Sunday, August 16, 2009

Cuti Sabatikal 85-Kembara Bali:MERDEKA INDONESIA


17 Augustus 2009. Hari ini adalah hari ulangtahun Kemerdekaan Indonesia yang ke 64 Tahun. Sejarah kemerdekaan Indonesia sangat menarik untuk dibaca dan diketahui.Mereka telah dijajah selama 350 tahun oleh Belanda. Istilah bambu runcing menentang penjajahan Belanda sangat terkenal. Rakyat Indonesia telah mengeluarkan darah dan airmata semata-mata untuk kemerdekaan ibu pertiwinya. Berbeza dengan Malaysia, Indonesia mengalami 2 kali penjajahan iaitu penjajahan Belanda dan Jepun sedangkan Malaysia sungguh banyak penjajahnya iaitu Siam,Portugis, Belanda, Inggeris, Jepun, Ingeris sekali lagi dan hampir-hampir dijajah komunis. Orang-orang Melayu telah memberikan penentangannya sejak Siam menyerang Melaka. Tun Perak adalah tokoh terkenal menentang Siam. Portugis telah ditentang hebat oleh Raja-raja Melayu dan pahlawan Melayu walaupun tewas. Sejak awal kemasukan Inggeris memang banyak penentangan daripada orang-orang Melayu misalnya Sultan Abdullah dan Datuk Maharajalela dari Perak, Pemberontakan Datuk Ibrahim Limbong Terengganu. Pemberontakan Tok Janggut Kelantan, Datuk Bahaman dan Mat Kilau dari Pahang, Dol Said Naning Negeri Sembilan. Malah Tokoh hebat seperti Ustad Abu Bakar Bakir dari Semanggul yang dipenjarakan oleh Inggeris sehingga meninggal dalam penjara adalah tokoh yang sangat digeruni kerana perjuangan Islamnya menentang British sehingga Datok Onn mengganggapnya sebagai "bahaya dari Gunung" dan "lebih bahaya dari Komunis".Tokoh Islam yang lain Datuk Burhanuddin Al Helmy dan Prof.Zulkifli Muhammad dan tokoh kiri Seperti Datuk Ahmad Boestamam ( orang sekampung saya), Ishak Hj Muhammad,tokoh Nasionalis dari SITC seperti Ibrahim Yaakob yang menubuhkan KMM di padang SITC tidak mendapat tempat yang sepatutnya dalam sejarah kemerdekaan Malaysia. Berbeza dengan kemerdekaan Indonesia yang menghidangkan darahnya merah, kemerdekaan Malaysia dihidangkan dengan permaidani merah, tokoh-tokoh yang diagung-agungkankannya tidak pernah merasai kepahitan perjuangan, tidak pernah menikmati getirnya hidup dalam penjara. Sedar-sedar mereka terus jadi pemimpin sehinggalah ke hari ini.Itulah sebabnya semangat rakyat Malaysia mudah luntur berbanding rakyat Indonesia walaupun mereka miskin dan serba kekurangan tetapi kecintaannya kepada negaranya jauh melangit berbanding kita sebabnya rakyat Malaysia tidak ada pemimpin idola. Pemimpinnya lahir, membesar dengan kemewahan. Mereka tidak mengalami jerit pekik penderitaan rakyat. Sekadar menjenguk bila musim pilihanraya atau bila banjir melanda. Bicaranya tidak ada ruh. Air mukanya keruh.

No comments:

Post a Comment