Sunday, August 2, 2009

Cuti Sabatikal 70-Kembara Bali: Tidur di rumah Hardiman





























Selepas majlis penutup itu aku menginap di rumah Pak Hardiman seorang pensyarah seni rupa di Universiti Pendidikan Ganesha,Singaraja. Beliau adalah seorang kurator yang terkenal di Indonesia, banyak pameran seni rupa yang bertaraf nasional telah banyak dikuratorkannya terutama di Jakarta. Malah beliau juga seorang penulis dan pelukis. Tulisan-tulisannya banyak dimuatkan dalam akhbar Kompas ( akhbar arus perdana )dan majalah Visual Art. Sebenarnya sebelah petangnya bila tamat sahaja majlis konferensi itu aku dibawa oleh Hardiman ke rumahnya. Reka bentuk rumahnya menarik ada tiga tingkat yang mengandungi ruang kediaman, dapur, ruang tamu, ruang kerja, studio dan loteng yang mempunyai sudut pandangan yang menarik kerana mengadap laut, sawah dan gunung. Pada petang itu juga aku dibawa oleh Hardiman mengunjungi rumah jiran sebelah rumahnya iaitu Pak Mukhlis yang mempunyai mushaf Al Quran tulisan tangan. Aku begitu terharu memegang, menatap dan membaca al Quran yang indah itu. Walaupun tidak bertulis tarikh, tetapi berdasarkan kertas yang digunakan memang umur Al Quran itu sangat lama. Mengikut Pak Mukhlis kajian yang dibuat oleh Departmen Agama dari Jakarta berdasarkan kertas yang digunakan itu menunjukkan tahun penggunaan kertas itu di Indonesia adalah dalam lingkungan tarikh 1740 an M. Selepas menyaksikan mushaf al Quran itu aku dan Hardiman sempat menikmati sunset dari wakaf di loteng rumahnya. Memang sungguh indah dengan cahaya senja dan udara segar yang bertiup. Malamnya jam 12.30 aku tidur lena di kamar tingkat atas mengadap loteng itu sehingga dikejutkan azan subuh jam 5.30 pagi.

1 comment: