Tuesday, August 17, 2010

SSL 3062 SENI ISLAM PERBANDINGAN- LAWATAN AKADEMIK KE MELAKA


6-8 ogos yang lalu aku telah mengiringi 60 pelajar-pelajar SSL Seni Islam Perbandingan Ke Kota Melaka Bandaraya Bersejarah. Kami bertolak jam 10 pagi hari Jumaat.Objektif lawatan adalah membuat kajian Masjid-Masjid tua di bandar Melaka. Masjid-masjid tersebut ialah Masjid Tengkera( 1728),Masjid Kampung Hulu(1728)dan Masjid Kampung Keling(1748) di samping itu pelajar-pelajar juga dikehendakki membuat kajian masjid kontemporari di Bandar Melaka iaitu Masjid Selat Melaka (2006)sebagai kajian perbandingan. Kajian ini adalah tugasan kumpulan yang mesti dilakukan oleh pelajar-pelajar bagi memenuhi sebahagian syarat lulus kursus SSL 3062.

Kami tinggal 3 hari 2 malam di Seraya Pantai Chalet di Pengkalan Balak,Melaka. Chalet ini lebih kurang 50 meter dari pantai. Pada hari pertama acara bermain di pantai sebagai melepaskan penat sepanjang perjalanan. Kebetulan kami sampai pada waktu petang. Pelajar-pelajar bermain bola di pantai, mandi-manda dan menimbus rakan. Ada juga yang berligar-ligar mengambil angin petang yang bertiup deras. Malah ada juga yang berehat sampai minum air kelapa muda di gerai yang berdekatan. Aku turut sama mengambil angin di situ sampai merakam keindahan pantai Pengkalan Balak yang agak bersih. Selepas makan malam aku dan beberapa orang pelajar ke pekan yang berdekatan untuk membeli barang keperluan diri.

Keesokkannya jam 9 pagi kami bertolak dari tempat penginapan ke bandar Melaka Bersejarah. Perjalanan memakan masa lebih satu jam sehinggalah kami sampai ke Masjid Tengkera(1728). Pelajar-pelajar begitu ghairah sekali merakam monumen masjid yang bersejarah ini. Pengaruh Hindu terserlah pada bumbung Meru tiga tangkup. Manakala pengaruh Buddha ( China) terdapat pada menara masjid ini yang boleh dipanjat melalui tangga keliling di bahagian dalam menara. Beberapa orang pelajar dibenarkan menaiki menara tersebut sambil merakam keindahan panorama sekeliling masjid. Manakala pelajar-pelajar yang lain sibuk memarhati dan menyelidiki bahagian-bahagian yang terdapat pada masjid tersebut. Pelbagai pengaruh terjelma dalam masjid ini. Ada pengaruh Hindu,China,Barat, Arab dan Nusantara. Aku memberi taklimat dan penerangan kepada pelajar-pelajar khususnya mengenai elemen yang terdapat pada masjid tersebut seperti mihrab,Mimbar,Menara,Courtyard,Cupola,Bumbung,pillar,capital, fountain, facade. Malah ukiran, mozik dan tile yang terdapat pada masjid itu aku jelaskan daripada segi motif dan pengaruhnya.Lebih satu jam pelajar-pelajar memerhati,merakam gambar dan mendapatkan maklumat mengenai monumen masjid tersebut.

Selepas itu kami bertolak ke Masjid Kampung Hulu (1728). Tarikh pembinaan yang sama dengan Masjid Tengkera menyebabkan masjid itu banyak kesamaannya dengan Masjid Tengkera. Cuma Menara ala pagodanya lebih kecil. Kami sempat menunaikan solat zohor berjemaah di masjid itu. Seperti biasa pelajar-pelajar menggunakan kesempatan itu mengambil gambar dan menemubual pegawai dan pengunjung masjid itu bagi mendapatkan data yang lebih mendalam. Aku menjelaskan kepada pelajar-pelajar mengenai sejarah Kampung Hulu mengikut Buku Sejarah Melayu dan Kitab Hikayat Hang Tuah. Hang Tuah lima bersaudara mencipta nama sebagai pahlawan adalah bermula dari Kampung Hulu ini. Mereka dilahirkan dan membesar serta mengembangkan bakat dan kemahirannya dalam dunia persilatan Melayu di sini. Malangnya Kampung Hulu hanya tinggal namanya sahaja, rumah-rumah tradisi Melayu tiada langsung kelihatan di situ melainkan deretan kedai-kedai Cina yang mengepung keseluruhan masjid tersebut.Aku juga melihat ada pengunjung yang datang mengambil air daripada kolam wudhu masjid itu. Kononnya untuk berkat dan penyembuh penyakit. Wallahualam.

Kemudian kami berjalan kaki ke Masjid Kampung Keling (1748) yang tidak jauh daripada masjid Kampung Hulu. Menara pagoda yang tersergam indah menggamit kedatangan kami. Menara ala pagodanya lebih besar daripada menara Masjid Tengkera serta lebih banyak mengandungi niche mencantikkan lagi bentuk menara itu. Pelajar-pelajar memasukki kawasan masjid sambil merkam gambar serta memerhatikan struktur dan elemen yang terdapat dalam masjid itu. Ketiga-tiga masjid tersebut mempunyai kesamaan yang amat ketara daripada segi bentuk dan pengaruhnya. Perbincangan anatara kumpulan pelajar serta data-data yang diperolehi menguatkan lagi keinginan pelajar untuk mendapatkan data yang lebih detail.

Misi kami untuk mengkaji 3 masjid tua di Melaka telah berjaya. Ketiga-tiga masjid itu telah diwartakan sebagai khazanah warisan Negara. Kami sempat makan tengahari ( agak lewat) di warung Al Banjari yang menyediakan masakan asam pedas serta masakan Melayu yang lain. Warung ini terletak antara Masjid Kampung Hulu dengan Masjid Kampung Keling.Selepas itu bas dan coster UPSI membawa kami ke Dataran Pahlawan. Aku membenarkan pelajar-pelajar berehat, shopping dan berjalan-jalan di kawasaan A Farmosa dan bukit St.Paul sehingga jam 6 petang. Kesempatan ini diambil oleh pelajar-pelajar menaiki Menara Taming Sari, shopping di Dataran Pahlawan dan berlegar-legar di situ. Jam 6 petang kami bertolak ke Seraya Pantai Chalet di Pengkalan Balak tempat kami menginap.

Selepas penat membuat kajian sebelah malamnya sambil makan malam kami dihiburkan dengan persembahan oleh pelajar-pelajar.

Keesokkannya jam 10 pagi kami berangkat ke Masjid Selat Melaka sebuah masjid kontemporari yang telah dibina pada tahun 2006. Masjid berbentuk kapal yang terapung di atas permukaan laut ini memang cantik dipandang. Bersenibina "opera house" Sydney, Australia benar-benar menarik perhatian pelajar untuk mengkajinya daripada segi pengaruh,elemen dan strukturnya. Apatah lagi ia kelihatan teapung di laut. Selepas beberapa lama di masjid itu kami pun mencari restoran untuk makan tengahari sebelum pulang ke UPSI.