Monday, April 26, 2010

SOTO TOK PERAK, TANJUNG MALIM





27 April 2008, hampir setiap pagi aku sarapan di gerai no. 11 Tok Perak di Medan Selera, Tanjung Malim. Medan selera ini seberang jalan berhadapan Balai Polis Tanjung Malim. Apakah keistimewaan gerai Tok Perak ini? Tidak lain tidak bukan ialah SOTO nya yang amat enak dibandingkan soto-soto yang lain. Kuahnya pekat diadun dengan rempah ratus termasuk bawang putih memang menyelerakan bagi penggemar soto seperti aku ini. Aku telah menjelajah di kebanyakan tempat di Indonesia untuk merasai nikmat soto tetapi tidak dapat mengatasi kelazatan SOTO TOK PERAK MADE IN TANJUNG MALIM INI.




Tok Perak adalah tukang masak yang amat berpengalaman. Beliau pernah menjadi Tukang Masak di MPSI dahulu. Pengalaman bertahun-tahun memasak untuk ribuan pelajar MPSI dan IPSI menjadikan beliau gigih untuk membuka gerainya sendiri di Medan Selera Tanjung Malim. Selain soto, nasi lemak nya juga memang enak. Itulah dua menu utama Tok Perak.




Memang ramai pengunjung yang datang menjamu selera di gerai beliau termasuk staf UPSI. Hampir jam 11 pagi semua sajian makanannya habis, begitulah lakunya Soto Tok Perak.

Thursday, April 22, 2010

SEK.KEB.KAMPUNG PAUH @ SEK.KEB.DATO' KAMARUDDIN,BEHRANG STESEN,PERAK, 1967


22 April 2010 jam 9.40 malam, aku teringat untuk memasukkan foto guru-guru dan murid-murid Sek.Keb.Kampung Pauh @ Sek.Keb.Dato' Kamaruddin,Behrang Stesen,Perak yang kumiliki dan kusimpan sekian lama. Foto ini dirakamkan pada tahun 1967 ketika aku belajar di darjah 5 sekolah itu. Aku masih ingat lagi wajah dan nama guru yang ada dalam foto itu kecuali dua orang guru pelatih MPSI yang menjalani praktikum di situ. Nama-nama guru tersebut ialah Guru Besar Cikgu Laili bin Abd.Ghafar,Cikgu Noraini, Cikgu Kamaruddin bin Abd.Wahab dan Cikgu Badaruddin. Cikgu Badaruddin adalah guru kelasku Darjah 5.Dia amat baik, termasuk Cikgu Noraini dan Cikgu Kamaruddin manakala Guru Besar Cikgu Laili telah kuceritakan perangainya dalam blogku yang terdahulu. Kami belajar di dewan orang ramai di hujung kampung kerana kelas tidak mencukupi.


Pada tahun berikutnya 1968, kami akan bersekolah di Sek.Keb.Tanjung Malim,Perak untuk menyambung kelas darjah 6. Masalah kelas yang tidak mencukupi menyebabkan hal itu berlaku.Pada masa itu sekolah hanya memiliki satu blok sahaja bangunan itu pun blok kayu tanpa tandas guru dan tandas murid. Murid-murid akan balik ke rumahnya untuk menunaikan hajat. Lebih menyedihkan guru-guru terpaksa berkongsi tandas dengan orang kampung. Aku masih ingat lagi Cikgu Noraini sentiasa memanggil aku untuk membawa sebaldi air sekiranya dia hendak ke tandas orang kampung.


Paling tidak menyeronokkan bila aku dan empat lagi rakanku ke Sek.Keb.Tanjung Malim untuk melanjutkan kelas darjah 6 di sana. Cikgu Mohd.Noor yang garang dan tidak berperikemanusiaan itu adalah faktur ketidakseronokaan itu. Pada masa inilah hanya beberapa orang sahaja yang dapat melanjutkan pelajarannya di kelas darjah 6 di Tanjung Malim,yang lainnya keciciran kerana masalah kemiskinan. Wang tambang bas RM 15 setiap bulan menjadi faktur keciciran itu. Itu belum termasuk belanja poket lagi.

Tuesday, April 20, 2010

ULANGTAHUN KE 25 PERKHIDMATANKU DI MPSI,IPSI DAN UPSI 1.1.1986- 1.1.2010













22 April 2010, tahun ini genaplah 25 tahun perkhidmatanku di institusi yang bersejarah ini MPSI,IPSI dan UPSI. Aku mula berkhidmat di Maktab Petguruan Sultan Idris pada 1 Januari 1986 dan sekarang telah menjangkau tahun ke 25 aku di sini. Maknanya aku bolehlah berbangga menyambut sendiri perayaan Jubli Perak sempena 25 tahun perkhidmatanku ini.





Bukanlah senang untuk mengekalkan diri secara konsisten di tempat yang sama sepanjang tempoh masa 25 tahun itu tetapi alhamdulillah aku komited dan konsisten dengan kerjayaku di sini untuk mendidik bakal guru. Perasaan bangga dan puas hati memang tidak dapat digambarkan bila melihat kebanyakan sekolah menengah dan rendah di Malaysia mempunyai guru-guru yang ku didik dan ku latih di institusi bersejarah ini. Lebih bangga lagi bila mereka meluru untuk bersalam denganku bila aku datang ke mana-mana sekolah ketika menyelia praktikum.





Sebagai analogi dan kiasan sepanjang 25 tahun perkhidmatanku itu,aku masukkan foto potretku ketika berumur 1 tahun,11 tahun,14 tahun,17 tahun,18 tahun,19 tahun,2i tahun,22 tahun dan foto terkini 53 tahun. aku publishkan juga foto-foto zaman persekolahan dahulu untuk kenangan.

Sunday, April 18, 2010

INTERIOR DESIGN EXHIBITION, FAKULTI SENI DAN MUZIK,UPSI




16 April 2010 jam 11 pagi berlangsunglah perasmian pameran "Interior Design" oleh Timbalan Dekan Akademik, Fakulti Seni dan Muzik,UPSI, Dr.Abd.Halim Hussein. Pameran ini telah dihadiri oleh beberapa orang pensyarah dan pereka seni termasuk Timbalan Dekan Penyelidikan dan Siswazah, Dr.Nasir Ibrahim, mantan dekan Fakulti Seni dan Muzik Dr.Ahmad Suhaimi bin Mohd.Noor,Cik Muriza Mustapa, Dr. Mohd.Fauzi Sedon, Zainuddin Abindin Hazir,Nur Akmal,Azhar Ahmad serta pelajar-pelajar Interior Design asas dan lanjutan.





Kursus Asas dan lanjutan Interior Design ini dikendalikan oleh pensyarah Cik Muriza Mustapa Lulusan School of Housing Building and Plannning,Universiti Sains Malaysia. Kepakaran yang ditunjukkan oleh beliau mampu melahirkan guru-guru seni yang berketrampilan dan berkemahiran dalam bidang ini. Syabas dan tahniah kepada beliau dan pelajar-pelajar ID. Bukan senang hendak menghasilkan model yang bertemakan bunglow dan gerai pameran sepanjang 14 minggu, melainkan benar-benar mengetahui konsep sebenar ID. Pelajar-pelajar terpaksa membuat rujukan dan kajian terlebih dahulu, selepas itu membuat lakaran-lakaran yang sesuai dan akhirnya membina model yang telah dirancang.





Sepanjang menyaksikan pameran penilaian ini setiap semester, kerja kursus yang dihasilkan oleh pelajar-pelajar semakin mantap. Daya kreativiti, komitmen dan imaginasi yang tinggi barangkali menyerlahkan keberhasilan itu. Tahniah dan syabas.





Pameran penilaian ini berlangsung sehingga hari Isnin 19 April 2010 di studio Interior Design, Fakulti Seni dan Muzik,UPSI.

Thursday, April 15, 2010

MALAM ASPIRASI TAMAN BATIK UPSI





14 April 2010 jam 8.30 malam berlangsunglah "Malam Aspirasi Taman Batik" yang diadakan di Taman Batik atau Batik Park yang dulunya dikenali sebagai "Taman Astakona" di era MPSI dan IPSI. Perubahan nama itu muncul secara tidak sengaja apabila pelajar-pelajar 3D Lanjutan di bawah bimbingan Prof Madya Zulkifli Yusuf melakukan tugasan membuat "Batik 3D" yakni bereksperimen dengan membuat mozek pada bentuk-bentuk kon,bulat dan pilar dengan membentuk imej batik yang telah dirancang.





Naib Canselor UPSI Prof.Dato'Dr.Aminah Binti Ayob, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar Prof.Dr.Shaharudin, Timbalan Dekan Akademik Fakulti Seni dan Muzik Dr.Abd.Halim Hussein, Mantan Dekan Fakulti Seni dan Muzik Dr.Ahmad Suhaimi bin Mohd.Noor,Penasihat BatikPark Prof.Madya Zulkifli Yusoff,pensyarah-pensyarah seni,palajar-pelajar 3D lanjutan telah memenuhi ruang legar Taman Batik itu. Jamuan makan malam yang enak dengan sajian sate kajang dan menu yang lain membangkitkan selera pengunjung. Apatah lagi "Kek khas" telah dipotong bersama bagi menandakan rasminya pelancaran "Taman Batik UPSI". Selain ucapan perasmian,dendangan nyanyian oleh pelajar-pelajar dan pensyarah yang diiringi oleh band pelajar minor muzik memeriahkan suasana malam.






Istilah "Batik 3D" ini adalah baru dalam sejarah seni tampak Malaysia. Istilah yang biasa kita dengar ialah "Batik Painting" dan kemudiannya muncul pula satu lagi istilah iaitu "Panting Batik" merujuk kepada melukis batik (Lihat Harozila Ramlie, 2009, "Batik Painting dan "Painting Batik" dalam Sejarah Seni Tampak Malaysia" Tesis Doktor Falsafah Seni yang tidak diterbitkan, Universiti Sains Malaysia).





Batik 3D ini adalah tugasan kursus 3D lanjutan yang dinilai oleh Prof Madya Zulkifli Yusuf sebagai syarat pengkuliahan bagi memenuhi pengijazahan B.Ed( Seni). Ini bermakna ia sama seperti kursus-kursus lain yang ditawarkan oleh Fakulti Seni dan Muzik. Cuma yang paling menarik ialah pendekatan pengajarah "Studio Terbuka" ini memerlukan komitmen yang tinggi di kalangan pelajar seni. Sebagai "kerja Kumpulan" soal-soal "selffish" dan keindividualan wajar diketepikan. Hal-hal inilah yang perlu ditanam bagi melahirkan "Insan Guru".






Tugasan yang memakan masa selama 14 minggu ini amat mencabar ketahanan fizikal dan minda, kreativiti, kesabaran dan kemahiran berkarya. Pelajar-pelajar bekerja siang dan malam dan berhadapan pula dengan cuaca panas dan hujan yang kerap menghalang. Paling menarik, selain pengajaran "face to face" pengajaran juga berlaku dalam maya. Pensyarah dan pelajar serta pelajar dengan pelajar berinteraksi melalui "Facebook" dan sms. "Batikpark Tamanbatik" telah menjadi jenama yang dominan dalam facebook dalam 2, 3 bulan kebelakangan ini. Pengajaran dan pembelajaran secara maya ini amat bermanafaat dalam era teknologi terkini. Segala kemudahan teknologi komunikasi telah dieksploit oleh pensyarah dan pelajar dalam pembelajaran terbuka ini.