Sunday, February 28, 2010

SAMBUTAN MAULUDIN RASUL DI BEHRANG STESEN



1 Mac 2010 aku melapor diri di Bahagian Sumber Manusia UPSI dan melapor diri kepada Dekan Fakulti Seni dan Muzik,UPSI setelah menamatkan cuti Sabatikalku selama 9 bulan di Pulau Bali. Aku bersyukur penyelidikanku yang bertajuk "Kesenian Tradisional Bali: Mengakarumbi dan estetikanya" telah kuperolehi semua datanya sebagaimana yang telah kurancangkan. Kini aku sedang rancak menulis semula penyelidikanku ini untuk ku terbitkan menjadi sebuah buku. Bila aku menyatakan hal ini di Bahagian Sumber Manusia, alhamdulillah aku adalah orang pertama pensyarah UPSI yang berbuat demikian. Aku juga bercadang menerbitkan catatan harianku di Bali dalam blogku http://orangbehrang.blogspot.com di samping memamerkan lukisan-lukisan mengenali Bali dalam pameran soloku yang kedua nanti.



Ketika aku menetap di kampungku di Behrang Stesen bersama ibuku, aku terlibat dalam aktiviti orang kampung seperti bersolat jemaah di masjid, menziarahi orang kampung, makan minum di gerai bersama adik beradik dan rakan sekampung,membersih sekitar masjid, menghadiri kenduri kendara dan yang paling menarik ialah menyertai perarakan Maulidin Rasul pada 12 Rabiuawal 1431 bersamaan 26 Februari 2010 hari Jumaat.




Inilah pertama kali perayaan ini dibuat dengan meriahnya. Lebih kurang seribu orang berarak dengan membawa sepanduk. 7 kontigen mengambil bahagian. Selain perarakan, pertandingan sepanduk,ceramah ugama dan penyampaian anugerah juga diadakan. Alhamdulillah tak disangka-sangka aku terpilih sebagai "tokoh akademik cemerlang". Beberapa orang pemimpin masyarakat seperti Ketua kampung kg Pauh/Kg.Padang Tn Hj.Mohd Shafie bin Syed Mansor,Pengerusi Masjid Tn Hj.Abd.Wahab Daib PJK, Setiausaha Masjid Tn.Hj.Syed Mohd Damiri,PPT, penceramah khas, pegawai polis, serta YB ADUN SLIM Datuk Mohd.Khusairi juga turut hadir bagi memeriahkan sambutan Maulidin Rasul itu.



Paling menarik dan mangharukan ialah bila pemimpin dan pengikut yang berlainan parti bergabung tenaga dan bersatu dalam satu ukhwah Islamiah. Inilah kelebihan Behrang Stesen yang jarang ada di tempat lain. Walaupun berlainan parti tetapi tetap bersama dalam semua aktiviti kampung termasuk kenduri kendara. Tidak ada pemulauan, tidak ada pertengkaran mengenai kepartian sejak dahulu lagi. Semua berjalan dengan baiknya. Aku sebagai penduduk asal Behrang Stesen amat bersyukur dengan keadaan ini.

Tuesday, February 23, 2010

Cuti Sabatikal 2010: ZIARAH RUMAH ADIK-ADIK DI KUALA LUMPUR







19 Februari 2010 aku ke Kuala Lumpur menziarahi adik-adikku Noriah, suaminya Razali dan anak-anaknyanya di Taman Wilayah,Selayang dan adik bongsuku Azhar, isteri dan anak-anaknya di Taman Segar,Cheras. Aku tinggal empat malam di sana. Memang inilah kali pertama aku menziarahi rumah adik-adikku di KL. Alhamdulillah. Aku bersyukur sebelum aku meninggalkan dunia yang indah ini aku dapat menziarahi rumah adik beradikku di Behrang, Slim River,Ipoh dan Kuala Lumpur.

Tuesday, February 16, 2010

Cuti Sabatikal 2009: KEMBALI KE BEHRANG





13 Februari 2010 aku kembali ke Behrang Stesen. Tanah tumpah darahku. Tempat aku dilahir, dibesar dan diberi pendidikan awal. Aku menemui ibu dan adik beradikku. Terasa juga pilu hati ini melihat ibu yang sudah semakin dimakan usia.









Alhamdulillah aku juga masih dapat menemui rakan-rakan sekampung dan ada yang masih sebaya usia dan sekelas denganku. Masjid Jamek Behrang Stesen itulah tempat pertemuan kami sejak kecil lagi. Sehingga kini masjid itulah yang menemukan kami bila solat berjemaah lima waktu di situ. Aku tidak tahu adakah masjid itukah yang akan menjadi tempat aku disembahyangkan nanti bila sampai waktunya nanti. Masjid itu banyak menyimpan sejarah hidupku sejak kecil sehingga ke tua. Di situlah kami sejak kecil bersolat, mengaji, beriktikaf dan tidur beramai-beramai di sana.
Malah bila meningkat remaja dan dewasa, masjid itu juga menjadi pusat usrah, pusat studi dan aktiviti rehlah yang kami aturkan. Cukup banyak kenangan yang mengharukan hati.





Sepanjang 5 hari aku tinggal di rumah ibu di Behrang, tidak henti-henti ada sahaja kenduri tahlil yang diadakan, termasuk kenduri tahlil untuk al marhum ayahandaku Hj.Mohd.Noor bin Hj. Umar.Alhamdulillah aku dapat memenuhi hajat dan menziarahi rumah-rumah penduduk kampungku.

Friday, February 12, 2010

Cuti Sabatikal 2008: PENGAJIAN TAUHID-KECINTAAN KEPADA ALLAH DI MASJID JAMEK TANJUNG MALIM


12 Februari 2010 kuliah maghrib bertajuk "Kecintaan kepada Allah" disampaikan oleh imam Masjid Kuala Kubu Bharu. Sebelum itu beliau telah mengimamkan solat maghrib berjemaah. Aku benar-benar terharu dengan suara dan alunan bacaan ayat-ayat al quran yang dibacanya. Gemersik suaranya. Indah benar lagunya. Walaupun surah yang dibacanya agak panjang tetapi tidak terasa lama. Sedap sungguh mendengarnya.



Dalam kuliahnya yang berpandukan kepada kitab, beliau telah menyentuh tentang bagaimanakah caranya mencintai Allah, sebagaimana yang ditulis oleh pengarang kitab tersebut. Antara jawapannya ialah kita mesti jangan mencintai dunia. Biarlah kita menggenggam dunia tetapi tidak meletakkan dunia dalam hati kita. Mengikut beliau zuhud dunia bukan bermakna kita tidak perlu menonton TV atau berpakaian tidak berseterika sebagaimana biasa ditanggapi oleh masyarakat umum.




Beliau memberi contoh satu peristiwa ketika Saidatina Aisyah r.a.melihat beberapa orang lelaki yang berjalan dengan lemah lembut, lantas beliau bertanya siapakah lelaki-lelaki itu lalu sahabat nabi yang lain menyatakan mereka adalah orang yang zuhud. Lalu Saidatina Aishah menjawab aku belum pernah melihat orang yang paling zuhud di kalangan sahabat Rasulullah melainkan Umar Ibnu Khatab. Bayangkan, siapakah Umar Ibnu Khatab? Beliau sangat keras pendiriannya. Sangat taqwa kepada Allah sehingga syaitan tidak akan melalui jalan yang dilaluinya. Dia adalah Khalifatul mukminin yang sangat berkuasa tetapi kekuasaan tidak bertahta dalam hatinya sebaliknya hanya dalam genggamannya. Dia bukan mencari kuasa tetapi kuasa datang kepadanya. Itulah Zuhud yang sebenarnya. Imam tersebut terus menyatakan kecintaan manusia kepada anak isteri,harta benda dan pangkat menghambat kecintaan kita kepada Allah.

Thursday, February 11, 2010

Cuti Sabatikal 2007: TAFSIR AL QURAN DI MASJID JAMEK TANJUNG MALIM




10 Februari 2010 bersamaan hari Rabu di Masjid Jamek Tanjung Malim telah diadakan Kuliah Tafsir Al Quran yang disampaikan oleh al Ustaz Shamsudin dari Kuala Kubu Bharu. Beliau mengajar di Sek.Men.Tinggi Agama Kuala Kubu Bharu. Berketurunan Patani, Thailand.



Aku dan rakan-rakanku terutamanya Lokman mendengar penuh khusyuk selepas menunaikan solat maghrib di situ. Jemaah yang hadir juga ramai tetapi lebih ramai bersandar di dinding kerana lebih selesa walaupun agak jauh dari penceramah. Maklumlah kebanyakan yang hadir golongan pertengahan umur dan berumur yang selalu mengidap sakit pinggang.



Kuliah tafsir yang disampaikan oleh al ustaz Shamsudin ini ada keistimewaannya. Setiap ayat yang ditafsirkan disertakan dengan tafsir oleh imam-imam tafsir yang besar seperti Ibn Katsir dan Hassan Basri. Beliau hanya mengemukakan tafsir-tafsir dari imam-imam tersebut serta imam-imam yang lain. Oleh yang demikian huraian dan tafsiran yang diperjelaskan lebih mantap dan terperinci.

Cuti Sabatikal 2006: SEMINAR SEHARI MEMUGAR WARISAN ADAT MELAYU DI UPSI






10 Februari 2010 aku dan Prof Dr. Zakaria Ali menghadiri Seminar Sehari Memugar Warisan Adat Melayu anjuran Fakulti Bahasa UPSI yang diadakan di Auditorium Utama UPSI. Seminar mengenai adat ini adalah lanjutan daripada seminar mengenai adat yang terdahulu seperti Seminar Warisan Rawa yang diadakan pada tahun lepas.



Pembentang kertas kerja antaranya ialah Prof Dr.Zakaria Ali dengan tajuk "Warisan Visual Negeri Sembilan",Pn.Nisah Haron dengan kertas kerja yang bertajuk "Citra Positif Adat Perpatih: Pengalaman menulis mencari Locus Standi, Aset Istiqamah, Lemang nan Sebatang", Abdul Latip bin Talib dengan tajuk "Penulisan Sejarah Islam", Dr Ani bt Hj.Omar "Peranan dan Kedudukan Wanita Dalam Adat Perpatih", A.Halim Ali "Teromba daripada Perspektif Keindahan Bermakna", Pn.Norhana "Kata Perbilangan Adat" dan Datin Sabariah Syukur....




Kebanyakan peserta yang hadir adalah daripada pelajar-pelajar Jabatan Bahasa dan Kesusasteraan Melayu UPSI disamping wakil dari Persatuan Penulis Negeri Sembilan, Pensyarah Institut Pendidikan Guru,staf Muzium dan Galeri Negeri Sembilan dan pensyarahn UPSI. Perasmian penutup telah dilakukan oleh Datuk Paduka Prof. Madya Dr.Rosli Salidin Selaku Ketua Jabatan Bahasa dan Kesusasteraan Melayu Fakulti Bahasa UPSI.

Wednesday, February 10, 2010

Cuti Sabatikal 2005: HALAQAH AL QURAN DI MASJID JAMEK TANJUNG MALIM


9 Februari 2010 selepas menunaikan solat maghrib di Masjid Jamek Tanjung Malim, aku terbaring kepenatan di verandah masjid. Kegiatan sepenuh masa menulis dan melukis di pejabatku rupa-rupanya mengundang kepenatan yang tak terjangka. Aku menjangka tidak ada pengajian pada malam itu. Langsung aku terlelap sebentar sehingga dikejutkan dengan suara-suara Al Quran dari dewan sembahyang. Aku terbangun dan duduk sebentar. Ah..rupanya ada halaqah Al Quran di dalam dewan. Aku bersandar menyaksi dan mendengar majlis itu berlangsung.



Halaqah bacaan Al Quran itu telah dipimpin oleh Hafiz Ali Badri Imam Masjid Wilayah Persekutuan. Beliau adalah anak tempatan yang berasal dari Kampung Simpat Empat. Mengalami kecacatan tuna ( buta ) kedua-dua belah matanya sejak lahir. Tetapi Allah SWT menganugerahkan kecelikan hati dan jiwa sehingga mampu menghafal seluruh surah ayat dalam Al Quran. Sejak kecil beliau pernah berguru al Quran dengan ayah sahabatku Lokman, kemudian pernah berguru dengan ustaz Busro di Temoh, Tapah sehinggalah beliau melanjutkan pengajian hafazan Al Quran di Masjid Negara (maklumat ini aku perolehi dari sahabatku Lokman- classmateku dari sekolah Kebangsaan Tanjung Malim sehinggalah ke Tingkatan Lima di Sekolah Menengah Khir Johari,Tanjung Malim.



Aku mendengar bacaan Al Qurannya sungguh merdu dan menggetarkan perasaan. Gemersik lagunya benar-benar mempesonakan. Bertuah betul orang-orang yang berguru dengan beliau.