Tuesday, June 30, 2009

Cuti Sabatikal 30-Kembara Bali: Bali SPA
















29 Jun 2009 aku berehat di rumah. Perjalanan itu benar-benar membuat aku keletihan. Umurku yang menjangkau 53 tahun ( lahir pada 20.07.1956) tidak mengizinkan aku cergas seperti biasa. Apatah lagi aku mengidap diabetes dan ghout. Aku tidur sepanjang hari. Makan ubat dan suntikan insulin melayukan aku. Aku terjaga entah jam berapa. Esoknya 30 Jun 2009 jam 2 petang aku ke Puteri Seri Ayu pusat Bali SPA yang canggih di Nusa Dua. Pak Supir membawa aku ke sana. Sepanjang sebulan aku di sini, inilah rawatan massage yang canggih pernah aku alami. Harganya Rp 414000 satu jam setengah menyamai RM 160 agak murah bagi orang Malaysia tetapi mahal bagi orang Bali. Massage center ini macam sebuah taman yang indah dengan air pancutan, wakaf, courtyard dan pohon-pohon yang dijaga rapi. Aku diurut dalam sebuah kamar yang indah dengan kolam mandi dan bauan bunga oleh cewek yang profesional. No sex. Buat pertama kalinya selepas diurut aku berendam dalam kolam yang dipenuhi bunga. Harum semerbak dengan minyak jasmin . Pelanggan boleh memilih mandi bunga atau mandi susu. Aku seakan-akan Raja Behrang yang sedang bertandang ke Bali. Yang nyata massage dan mandi bunga itu benar-benar menyegarkan dan menghilangkan keletihanku. Aku puas. Yang pasti kalau ke Bali tidak diurut maka tak sahlah lawatan ke Bali itu.

Monday, June 29, 2009

Cuti Sabatikal 29-Kembara Bali:Mengembara ke Surabaya

















4 petang 28 Jun 2009 aku dijemput oleh pak supir di hotel Pavillion, Surabaya. Bas Pariwisata kemudiannya bertolak ke Denpasar jam 6 petang. Perjalanan melalui pekan-pekan kecil seperti Beji, Pasuruan hinggalah singgah makan malam di sebuah restoran yang agak besar di pekan yang aku lupa namanya. Akhirnya sampai ke pelabuhan seberang Ketabang jam 12.15 tengah malam. Bas mengesut-esut ke feri hingga masuk ke feri jam 2.45 pagi. Hampir tiga jam bas mengesut-ngesut. Wah cukup capek! Bas Pariwisata melalui kota negara, Melaya, Loluan timur dan tiba-tiba bas kerosakan di Tabanan. Alhamdulilaah. Dapat aku keluar menikmati angin segar di tepian sungai dan dapat juga breakfast di kedai muslim yang kebetulan ada di tepi jalan tersebut. Hampir 1 jam bas tersadai di Tabanan menunggu untuk dipulihkan. Alhamdulilah, pulih juga bas tersebut dan bertolak menuju ke Denpasar. Perjalanan kiri kanan jalan yang menarik terutama sawah padi, desa-desa dan pantai Soka yang indah dengan pasir pantai yang hitam. Aku terpesona. Bas tiba di Denpasar jam 11 pagi dan aku begitu capek sekali.

Saturday, June 27, 2009

Cuti Sabatikal 28-Kembara Bali:Mengembara di Surabaya







Jam 9.30 pagi 28 Jun 2009 aku ke Supermall Pakuwon Indah di kota Surabaya, mall yang agak besar dan mewah tetapi tidak sebesar KLCC atau Midvalley di KL. Aku sarapan pagi di restoran J.Co Donuts & Coffee yang halal. Di sini ada wifi percuma passwordnya ialah greenteafreeze dan aku menulis blog sambil makan donut yang kurang manis serta minum air greentea tanpa gula. Sejak aku tinggal di Bali dan mengembara ke Surabaya aku minum minuman tanpa gula. Di Indonesia kalau nak makan atau membeli makanan pastikan ada cop Halal dari Majlis Ulama Indonesia, barulah rasa yakin dan tenang nak makan. Kebanyakan restoran International seperti KFC, McDonald, A & W ada cop tersebut. Restoran tempatan yang terkenal seperti Es Teller Juara Indonesia, Raja Bakso, Malay Village (dari Malaysia) juga ada pengesahan halal itu. ( untuk maklumat semua restoran itu telah kukunjungi). Barang makanan yang dijual di supermarket seperti burger, hotdog, bakso daging sapi dan ayam, kentang, nugget, ayam dan daging lembu ada yang dicop halal oleh Majlis Ulama Indonesia anda tidak perlu ragu-ragu, barangan tersebut boleh dibeli, dimasak dan dimakan. Di Bali pun ada barangan seperti itu yang telah mendapat pengesahan halal daripada majlis tersebut. Aku juga menjengok toko buku di supermall di sini. Kegemaran aku ada dua kedai buku dan kedai makan. Jam 4 petang nanti pak supir akan menjemput aku dari hotel Pavillion tempat aku menginap untuk menaiki bas Pariwisata yang akan bertolak jam 6 sore ke Denpasar, Bali yang akan mengambil masa 12 jam untuk sampai ke sana. Insyallah aku akan menjelajah ke kota-kota besar Indonesia di lain kali pula.

Friday, June 26, 2009

Cuti Sabatikal 27-Kembara Bali: Mengembara ke Surabaya











26 Jun 2009 aku sampai ke kota Surabaya jam 7 pagi. Pak supir membawa aku ke hotel Pavillion Jalan Genting Besar, Surabaya. Hotel yang sederhana besar, bersih dan ada taman di tengah-tengahnya. Aku berehat dan tidur keletihan yang amat sangat. Aku tidak sedar jam berapa aku terbangun. Yang ku tahu perutku tersangat lapar. Selepas suntikan insulin aku mencari makan. Tengah makan baru ku sedar hari ini adalah Jumaat. Terlepas juga Jumaatku. Aku balik berehat di kamar hotel sahaja. Petangnya aku ke Jalan Basuki Rachmat mencari toko buku Gramedia. Gramedia sedang melancarkan exponya. Aku membeli beberapa buah buku. Kemudian aku ke Jalan Semarang, mengikut kawanku Yanto dari Jakarta, di situ banyak kedai buku terpakai. Sayangnya aku sampai jam 5.30 petang, sedangkan jam 5 petang di sini sudah gelap. Banyak kedai yang telah ditutup melainkan dua buah kedai. Aku mengambil keputusan akan datang keesokan paginya. Sepanjang jalan Semarang aku melihat kemiskinan merata-rata. Begitulah keadaan di kebanyakan kota-kota dan desa-desa di Indonesia, kemiskinanan melanda,pengemis meminta-meminta di setiap gang dan lorong. Apalah ertinya demokrasi yang telah diperolehi sedangkan rakyatnya menjadi pengemis. Lantas aku terfikir apakah dasar ekonomi yang telah dibuat dan dilaksanakan oleh pemerintah Indonesia? Dibiarkan rakyatnya merana kemiskinan.Waduh kesian betul. Esoknya jam 9.30 27 Jun 2009 aku ke Jalan Semarang mencari kedai buku terpakai. Aku menemui kedai-kedai menjual buku terpakai macam Chowrasta di Pulau Pinang. Malam tadi aku menghubungi Prof Z beliau meminta aku mencarikan novel Nyanyi Sunyi seorang Bisu oleh Pramoedya Ananta Toer . Sukar juga mencari buku kesenian di sini. aku hanya dapat membeli 8 buah buku sahaja. Buku yang dipesan oleh Prof Z tidak kutemui.

Cuti Sabatikal 26-Kembara Bali: Mengembara ke Surabaya


















Jam 8.30 malam 25 Jun 2009 bas Pariwisata yang membawaku singgah makan malam di Restoran Muslim di kota Negara. Kemudiannya sampai ke Pelabuhan Gilimanuk jam 9.17 malam setelah melalui jalan sempit yang berbukit-bukit dari Denpasar. Tidak ada highway di sini. Sepatutnya wang hasil pelancongan ke Bali yang berjumlah jutaan miliyer perlu digunakan untuk memperbaiki sistem jalanraya dan prasarana lain di Bali. Perjalanan bas mengesut-esut ke feri memakan masa hampir 3 jam, iaitu jam 12.15 tengah malam barulah bas dapat masuk ke feri. Ratusan bas berhimpun dan bersesak-sesak di pelabuhan Gilimanuk. Aku terkenangkan Mahathir, kalaulah dia pemerintah Indonesia pasti dibinanya highway dan jambatan dari Bali ke Pulau Jawa yang hanya memakan masa 30 minit sahaja perjalanan laut. Sepanjang 25 hari aku berada di Bali aku sering menonton Televisi Indonesia. Aku menyaksikan perdebatan 3 orang calon presiden Indonesia iaitu Bambang Susilo (SBY),Jusuff Kalla dan Megawati Sukarnoputeri. Aku begitu kagum dengan kebebasan televisi Indonesia, aku seakan-akan menyaksikan perdebatan ala presiden Amerika. Tapi sayangnya idea dan pemikiran calon-calon tersebut amat rendah tahap pemikiran dan kepemimpinannya. Tidak ada 'Futuristic Thinking' dan idealisme. Megawati paling worst sekali. SBY hanya meminta lanjutkan sahaja dan JK juga tidak kemana. SBY memiliki kempennya selang 10 minit di semua rancangan televisi Indonesia sedangkan JK dan Mega amat tidak kelihatan. Indonesia amat memerlukan seseorang seperti Sang Mahathir atau Sang Anwar Iberahim kalau tidak Indonesia akan tertinggal 50 tahun ke belakang dari Malaysia daripada pelbagai aspek seperti sistem ekonomi, pengswastaan,sistem pendidikan, sistem jalanraya, sistem telekomunikasi dan kemajuan teknologinya.Indonesia sering mendakwa Malaysia adalah adik kandung tetapi mana mungkin abang kandung jauh lebih mundur daripada adik kandung sedangkan abang kandung mempunyai tamadun yang lebih tua dan lama. Sebagai contoh kempen Pemilu SBY dalam televisi Indonesia menegaskan Sekolah Gratis (percuma) pada tahun 2009 sedangkan sekolah gratis sudah lama dilaksanakan di Malaysia. Sekolah Dasar ( sekolah Kebangsaan) SMP dan SMA nya kecil-kecil dengan kemudahan yang tidak mencukupi. Begitu juga ratusan universitas yang kecil-kecil yang tidak lengkap prasarananya. Hanya beberapa universitas sahaja yang yang terkenal. Universiti Ranking 2009 bagi Asia Pasific yang dikeluarkan oleh agensi dari Spain menunjukkan 3 buah universitas dari Indonesia iaitu Universitas Gajah Mada, Universitas Indonesia dan Institut Teknologi Bandung termasuk dalam ranking itu sebaliknya 5 buah universiti di Malaysia iaitu Universiti Sains Malaysia, Universiti Malaya, Universiti Kebangsaan Malaysia, Universiti Putra Malaysia dan Universiti Teknologi Malaysia tergolong dalam ranking tersebut. Sepatutnya Indonesia lebih lagi sebab ribuan universiti yang dimliki olehnya sedangkan Malaysia hanya memiliki 18 universiti awam dan sedikit universiti swasta yang dikawal ketat mutu dan kualitinya. Minggu lepas akhbar Bali Post menyiarkan berita tentang ramainya dosen-dosen universitas di Indonesia yang hanya memiliki S1( ijazah sarjanamuda) yang perlu diberi kursus untuk mendapatkan sertifikat bagi S2(ijazah sarjana -Master). Di Malaysia ijazah S1 hanya boleh jadi guru atau tutor sahaja dan tidak boleh jadi dosen (pensyarah) universiti. Malah universiti terkenal di Malaysia hanya menerima S3 untuk menjadi dosen,S2 hanya jadi tutor. Gaji guru sekolah menengah di Malaysia menyamai gaji profesor di Indonesia malah profesor tersebut terpaksa berkhidmat di beberapa universitas barulah mereka memiliki gaji sedemikian. Tahap pendidikan rakyat mereka amat rendah, ramai rakyat di Indonesia tidak bersekolah. Sahabat saya Made dari Bali dan adik-beradiknya tidak pernah ke sekolah. Dia sangat memarahi orde baru Suharto yang licik sekadar menurunkan harga beras dan minyak sahaja tetapi membiarkan rakyat tidak berpendidikan. Dosen-dosen dari Indonesia yang dilantik ke jawatan profesor di universiti di Malaysia di beri gaji lumayan RM 10,000 sebulan menyamai Rp 28 juta duit rupiah Indonesia sebulan. Tiap-tiap bulan boleh beli rumah di Indonesia. Mereka menjadi kaya raya, gaji tersebut amat sukar dipunyai oleh warga Indonesia di Indonesia malangnya kesarjanaan dan kesungguhan bekerja untuk Malaysia amat diragukan. Puluhan ribu warga Indonesia berduyun-duyun memasukki Malaysia secara sah atau secara haram. Mereka tidak peduli keselamatan laut,mati lemas tidak mengapa asalkan sampai ke Malaysia. Bagi mereka Malaysia adalah emas.TKI terlalu ramai di Malaysia. Malangnya kejadian jenayah berat banyak dikaitkan dengan mereka. Mereka menjadi perampok,perogol, penyamun dan pemukau. Dahulunya Malaysia amat aman dari masalah ini tetapi kedatangan pendatang asing telah merubah keamanan ini. Orang Indonesia di Indonesia cukup sensitif bila rakyatnya TKI ada yang didera, mereka protes sehingga ada rancangan televisinya menyiarkan karikatur menyindir Malaysia tetapi mereka tidak sedar ramai TKI nya menjadi lanun di Malaysia.

Thursday, June 25, 2009

Cuti Sabatikal 25-Kembara Bali 24: Rehat dan santai dirumah

24 Jun 2009 selepas solat subuh aku baca surah Yassin. Di Bali aku kerap baca surah Yassin hampir tiap-tiap hari. Jarang aku lakukan di Malaysia melainkan malam Jumaat itu pun kadang-kadang mised. Aku lebih tenang di sini walaupun berada di ribuan pura dan di ribuan upacara. Sepanjang hari ini aku relaks dan santai menonton televisi yang baru kubeli. Aku seolah-olah membina hidup baru di sini dengan membeli peti ais baru, televisi baru, kipas angin, rice cooker dan peralatan dapur. Aku masak sekarang. Aku telah mula mengumpul data-data untuk researchku khususnya mengenai seni rupa tradisional seperti seni persuratan daun lontar dengan ilustrsinya, catan tradisional serta ukiran kayu. Banyak lagi yang perlu aku gali sedalam-dalamnya khususnya dari segi filsafat dan sejarahnya. Aku perlu menemubual seniman-seniman lama yang masih hidup untuk menjelajah fikiran dan pengalamannya. Esoknya 25 Jun 2009 jam 6 petang aku akan bertolak ke Surabaya menaiki bas Eksklusif Pariwisata yang hanya mengandungi 18 penumpang sahaja. Bas ini ada bilik air dan ruang menghisap rokok. Tambangnya Rp 45,000 pergi dan balik.

Tuesday, June 23, 2009

Cuti Sabatikal 24-Kembara Bali:"nightlife at Kuta"
















23 Jun 2009 malam aku pergi massage di Griya Bugar di Kuta, massage center yang terbaik setakat ini, sangat bersih, profesional dan layanan mesra. Pengurut-pengurutnya wanita muda berunifom yang boleh dipilih melalui foto di bahagian kaunter. No Sex, no smoking itulah syarat-syarat yang terpampang di situ. Mereka menggunakan kaedah urutan Tsuzitsu, Thai dan Spa. Harganya murah iaitu Rp 55,000 sejam bagi body massage menyamai RM 22.50 sahaja sejam. Kalau di Malaysia body massage rata-ratanya ialah RM 60 sejam. Selepas massage aku makan nasi padang di Kuta, restoran berhawa dingin menyediakan masakan padang yang istimewa. Kemudian aku berjalan-jalan menyusur kaki lima kedai, kelab malam, diskotek, restoran, pub sehingga ke tempat tugu peringatan letupan bom 2002. Aku sempat mengambil foto mat saleh dan orang tempatan menari sambil mabuk di kelab malam tersebut. Happening. Kuta menyediakan segala-galanya kecuali mak bapak. Bule ( mat saleh) mabuk dan berdansa di depan khalayak adalah terlalu biasa, sampai ke pagi. seolah-olah Kuta adalah negara mereka. Tidak ada segan silu di sini.

Monday, June 22, 2009

Cuti Sabatikal 23-Kembara Bali: Pencemaran Alam




22 Jun 2009 jam 9.30 pagi aku ke Nabila Internet, seperti biasa memasukkan cerita-cerita dan foto-foto terbaru. Sepanjang 23 hari aku berada di Bali, menjelajah ke beberapa tempat dan bandar-bandar utama, memasuki jalan -jalan tikus di Sanur, Denpasar, Kuta dan Seminyak, kudapati kekotoran merata-rata, sampah sarap menyakinkan mata. Sungainya banyak yang tercemar terutama Sungai Badung di Denpasar, airnya hitam mengingatkan aku Sungai Pinang di Pulau Pinang, Malaysia yang dikategorikan 5 bermakna sungai itu telah mati tiada kehidupan di situ. Barangkali inilah risiko daripada korban pembangunan yang terpaksa kita terima. Di mana-manapun di dunia fenomenanya adalah sama cuma kita sebagai manusia perlu menghargai kehidupan makhluk lain yang juga adalah makhluk Allah penghuni dunia ini. Penguasa Bali patut mengambil berat soal ini kerana Bali adalah Pulau Pelancongan Bertaraf Dunia, ia bukan lagi milik Indonesia tetapi milik Dunia. Ia adalah warisan dunia yang perlu dipelihara dan dipulihara.

Sunday, June 21, 2009

Cuti Sabatikal 22-Kembara Bali: Menunggu Matahahari Terbenam di Tanah Lot



































































Aku sampai ke Tanah Lot jam 5 petang 21 Jun 2009. Ribuan manusia memenuhi kawasan itu. Aku bersesak-sesak ke tepi pantai tempat lokasi sunset dan Pura puncak bukit di tengah laut. Pelbagai manusia dari pelbagai negara seperti Malaysia, Jepun,China, Eropah, India dan orang tempatan memenuhi tempat strategik mengadap laut. Ombak yang kuat memukul batu-batu dan percikan airnya menyegarkan pemikiran. Aku mengambil foto setiap pergerakan matahari sehingga terbenam. Suatu pemandangan yang indah tidak pernah ku saksikan sepanjang hidupku. Subhanallah. Warna perang, merah kekuningan dan jalur putih memancar-mancar mengisi pemandangan langit dan laut. Suara ombak yang menderu mengiringi fenomena alam itu. Tepat jam 6 petang terbenamlah matahari itu.

Cuti Sabatikal 21-Kembara Bali:Perjalanan ke Tanah Lot
















Pada 21 Jun 2009 jam 9.30 pagi aku ke Nabila Internet, menulis blog dan memasukkan foto-foto terbaru. Kali ini agak lama kerana menulis dua catatan. Jam 12 tengahari aku pulang ke rumah, makan tengahari dan berehat. Jam 4 petang aku dan Made ke Tanah Lot satu jam perjalanan dari Sanur. Sepanjang perjalanan pemandangan mengasyikkan sawah padi yang menghijau. Kiri kanan jalan adalah sawah padi yang sedang dikerjakan oleh petani-petani Bali yang sangat rajin. Aku teringat sekali tentang Sistem Rodi Kopi atau Sistem Tanaman Paksa yang dikemukakan oleh Van Den Bosch Jenderal Belanda yang memerintah Jawa zaman kolonial dulu. Habis dipaksanya orang-orang Jawa bersawah, bercucuk tanam tanpa rehat tetapi 3/4 cukai dimasukkan ke dalam poket Belanda. Kalau dikenangkan masa lalu mahu ku bunuh semua Belanda itu ! Patutlah Datuk dan nenek ku yang berasal dari Banyumas, Jawa lari ke Malaya.

Saturday, June 20, 2009

cuti Sabatikal 20-Kembara Bali: Antara Kesenian dan Kepupusan






















20 Jun 2009 jam 11 pagi, sepanjang malam aku sentiasa memikirkan persoalan ini: Kesenian dan Kepupusan di Bali. Sepanjang 2 minggu aku menjelajah di beberapa tempat penting di Bali seperti Kuta, Denpasar, Sanur, Ubud, Kintamani, Sukawati, Besakih, Bedugul, Nusa dua dan Singaraja, aku mendapat jawapan yang pasti iaitu tidak ada lagi pokok-pokok tua dan besar sepanjang jalan, di kampung-kampung dan di hutan. Yang pastinya ia telah ditebang, yang tinggal hanyalah pokok-pokok kecil. Begitu juga batu-batu yang ada pada bukit-bukit dan gunung juga telah ditarah. Meninggalkan Bali dengan laungan kesedihan tanpa hutan tebal yang merimbun dan tanpa batu-batan yang menajap. Aku bingung. Apakah ertinya kesenian kalau semuanya telah musnah. Pokok-pokok kayu yang baik-baik seperti Jati dan lain-lain telah ditebang untuk buat perabut, produk ukiran, rumah dan sebagainya. Begitu juga bungkah-bungkah batu telah dipahat dan diukir untuk membuat pelbagai barang kesenian dan keagamaan. Aku resah dan inginkan penjelasan. Kutemui dan kuajukan persoalan ini kepada ramai pengukir dan pemahat di sini, jawapannya adalah sama iaitu kayu-kayu dan batu-batu tidak ada lagi di Bali, kami mengimportnya dari Jawa, Sumatera dan Sulawesi.Waduh! inilah yang paling ku takuti, Bali sudah pupus! Tidak ada konservasi di Bali, pemerintahnya membiarkan begitu sahaja tanpa pemeliharaan dan pemuliharaan hutan. Sekali lagi aku menjerit apalah ertinya kesenian yang indah......?

Cuti Sabatikal-Kembara Bali 19: Kematian, Muzik dan Tarian






















19 Jun 2009 jam 11 pagi, ketika aku bersiar-siar di bandar Sanur aku terhenti seketika. Puluhan kenderaan dan manusia sesak di jalan. Aku terpinga-pinga. Rupa-rupanya ada perarakan jenazah yang sedang diusung kesemadian. Jenazah itu akan dibakar. Wanita-wanita dan pria berjalan beratur mengiringi jenazah tersebut. Begitu tertib sekali. Aku sempat mengambil foto-fotonya. Aku pulang ke rumah dan masak. Inilah buat pertama kalinya masak masakan sendiri setelah 2 minggu tinggal di Bali. Masakan ringkas ikan sardin dalam tin cap ayam, telur dadar dan sausage ikan. Kelengkapan memasak mencukupi. Bermakna selepas ini aku tidak perlu lagi makan di luar, mungkin sekali sekala sahaja. Kemudiannya berehat di rumah, selepas solat zohor aku baring kepenatan. Tiba-tiba terdengar ketukan cak lempong, paluan gendang dan gong memersikkan telinga. Bunyi irama muzik tradisional Bali benar-benar datangnya dari sebelah rumah. Ketika itu jam 3 petang. Aku kemudiannya pergi kesebelah rumah. Memang benar irama muzik itu datangnya dari situ. Aku meminta izin masuk ke balai raya menyaksikan latihan tarian dan muzik yang dimainkan oleh kanak-kanak dan remaja Bali. Barangkali mereka adalah dari pelajar Sekolah Dasar dan SMP. Aku meminta izin daripada jurutunjuknya untuk mengambil video. Sepanjang perjalanan ke rumahku iatu jalan Danau Tebaran aku dapati tidak kurang dari 3 balairaya atau pura yang mengadakan latihan sedemikian setiap hari. Kesenian tradisi Bali sama ada Muziknya atau tariannya diajar kepada kanak-kanak lagi. Ia telah mengakarumbi dalam kehidupan mereka. Balai raya atau puranya sentiasa hidup dengan aktiviti. Tidak seperti di Malaysia, balai raya di kampung-kampung adalah tempat kambing menari. Masyarakat Malaysia perlu belajar dari Bali yang sentiasa mengekalkan tradisinya walaupun Tsunami moden hebat melanda. Jam 5 petang selepas solat asar aku ke pesta buku di Bali mall Galeria ,di Supermarket Matahari di bandar Kuta. Aku membeli 7 buah buku yang ada kaitannya dengan kesenian.Malamnya aku terus membaca.