Sunday, July 18, 2010

KARYA BARUKU "MALAYSIA ON RED AND BLACK"








19 Julai 2010, akhirnya siap juga karyaku yang terbaru "Malaysia on Red and Black" yang berukuran 6 ela x 52 inci. Karya ini akan dipamerkan di Tasmania pada 31 Ogos 2010 bersama karya-karya pelukis UPSI dan pelukis Universiti of Tasmania (UTAS),Australia.Karya yang menggunakan warna hitam dan merah ini bercirikan kartun dan berunsurkan humor. Tema demonstrasi menjadi asas kepada karya ini. Penegasan terhadap garisan mewarnai keseluruhan karya.

Friday, July 16, 2010

KARYA AKHIR UNTUK PAMERAN UPSI-UTAS DI TASMANIA,AUSTRALIA











16 Julai 2010 selepas solat Jumaat aku mula berkarya di studio UPSI. Kanvas berharga RM 450 made in USA segulung berukuran 6 ela x 52 inci akan menjadi catanku nanti. Semalam, Dr.Roskang dan Dr.Tajul membantuku meregangkan kanvas yang panjang itu dan melekatkan pada dinding studio catan. Inilah catan yang paling panjang aku hasilkan sepanjang aku berkarya.


Dalam mindaku telah tergambar apa yang perlu aku lakukan. Puluhan sketch (lakaran)pada kertas dan kanvas telah aku hasilkan. Pada sebelah pagi tadi jam 10 pagi aku telah membentangkan kerja-kerjaku di hadapan Profesor Adjung dari Universiti of Tasmania Profesor Jonathan Holmes dan rakan-rakan pelukis yang lain.. Alhamdulillah komen "excellent" telah diberikan padaku.Barangkali inilah gaya dan strokeku akan datang. Aku berhasrat untuk mengadakan pameran soloku yang kedua nanti.


Tema karyaku ialah demonstrasi. Karya ini menegaskan kepentingan "garisan" melalui "drawing" yang berunsur kartun. Unsur-unsur humor menjadi intipati pada karya ini. Aku menggunakan cat minyak jenama "Rowney" warna hitam. Aku juga sedang memikirkan adakah perlu warna-warna lain untukku persembahkan dalam karya itu nanti.

Sunday, July 11, 2010

PERSIAPAN PAMERAN SENI UPSI- UTAS DI TASMANIA,AUSTRALIA
















11 Julai 2010 bersamaan hari Ahad, aku sibuk di pejabatku menyiapkan sketches ( lakaran-lakaran) untuk menghasilkan karya akhirku yang akan dipamerkan di galeri University of Tasmania,Australia. Beberapa bulan aku memikirkan idea untuk menghasilkan karya ini setelah berhubung dengan pasangan pelukisku di Tasmania. Pameran ini adalah pameran antara Jabatan Seni, Fakulti Seni,Komputeran dan Industri Kreatif, UPSI dengan University of Tasmania, Australia. 12 orang pelukis yang mewakili UPSI ialah Prof.Dr.Zakaria Ali,Prof Madya Dr.Mohd.Zahidee Arshad, Dr.Ahmad Suhaimi Mohd.Noor,Dr.Abd.Halim Hussein,Dr.Mohd Fauzie Sedon,Dr.Roskang Jailani,Dr.Tajul Suhaizam,Dr.Harozila Ramlie,Abu Bakar Sabran,En.Abd.Razak Bin Jabbar,En.Zainuddin Hazir.

Setiap pelukis UPSI dipasangkan dengan 12 orang pelukis dari Tasmania,Australia yang mempunyai kesamaan dari segi stail. Setiap pasangan juga dikehendakki berhubung melalui email mengenai tema yang sesuai dengan hasrat dan kehendak masing-masing. Aku dipasangkan dengan vonne Rees Pagh yang mempunyai stail yang sama denganku. Tema yang dipersetujui oleh kami "violence" atau demonstrasi. Karya-karya kami berasaskan figur dan stroke kami lebih ke arah "drawing" yang menekankan garisan.


Aku paparkan "sketches" (lakaran-lakaran)yang kulukis sepanjang beberapa minggu ini. Idea kartun dan humurisme menjadi intipati karyaku. Memang sejarahku dulu adalah pelukis kartun waktu sek0lah dulu ( tahun-tahun 1970 an). Aku mengambil idea ini untuk menghasilkan karya terpanjang 3' x 15' untuk dihantar ke Tasmania.

Friday, July 9, 2010

KELAS MASTER SSP 6423 SEMINAR PENDIDIKAN SENI







10 Julai 2010 jam 11 pagi hingga 2 petang aku mengendalikan kelas Master SSP 6423 Seminar Penddikan Seni setiap hari sabtu. Hari ini adalah minggu yang keempat kelas ini berlangsung. Seramai 22 orang calon pelajar Master Pendidikan Seni yang mengambil kursus ini. Kebanyakannya adalah guru-guru sekolah. Ada juga dari BSLN dan juga bekerja di sektor swasta. Pada 3 minggu yang lepas berbincangan dua hala adalah berkisar tentang tajuk-tajuk seminar yang dipilih. Pelajar-pelajar dikehendaki menyiapkan satu proposal setebal 15 muka surat yang mengandungi bab 1 Pengenalan, Bab 11 sorotan literatur dan bab 111 Metodologi kajian.





Minggu kedua, ketiga dan keempat pelajar-pelajar telah mengemukakan tajuk-tajuk masing-masing di hadapan kelas. Rakan-rakan memberikan komen bagi mengukuhkan tajuk tersebut.Aku juga memberikan ulasan dan kesimpulannya. Setelah selesai 22 tajuk dikemukakan, cabutan undi dilakukan bagi menentukan giliran siapa yang membentangkan tajuk bagi minggu-minggu berikutnya. Bermula minggu hadapan 3 orang pelajar akan membentang draf proposal masing-masing. Proposal yang lengkap bertulis perlu diserahkan pada minggu keempat belas untuk diperiksa. Tiada kertas peperiksaan bertulis bagi kursus ini. Kursus dinilai pada pembentangan dan proposal lengkap. Pembentangan terpulang kepada daya kreativiti masing-masing.

Monday, July 5, 2010

BERTEMU SAHABAT LAMA




4 Julai 2010 lebih kurang jam 4 petang bersamaan hari Ahad, aku didatangi tetamu yang telah lama tidak bertemu. Beliau adalah sahabatku yang sama-sama mengajar di Binatang( sekarang Bintangor), Bahagian Keenam,Sarawak 1980-1984 dahulu. Sepanjang tempoh 1984 hingga kini,rasanya kami pernah dua kali bertemu. Beliau,ustad Abdul Hamid Harun masih tetap seperti dahulu sentiasa tersenyum dan saiz badan masih tidak berubah. Kali ini beliau membawa keluarganya bertemuku di pejabat. Anak keduanya mendaftar di UPSI sebagai siswi baru Pengajian Malaysia manakala anaknya yang sulung juga menuntut di semester 3 di UPSI dalam Pengajian Islam.

Rupa-rupanya sahabatku ini sentiasa mengikuti perkembanganku melalui blogku http://orangbehrang.blogspot.com. Alhamdulillah, memang blogku ini sangat bermanafaat.

Pertemuan kali ini menyeret kami ke kisah-kisah lalu, terutama rakan-rakan seangkatan yang telah lama tidak mendengar beritanya. Paling menyedihkan bila ustad Hamid membawa kabar salah seorang rakan kami "DIN POT-POT" telah kembali kerahmatullah. Aku pernah terserempak dengan arwah di Jalan Tunku Abd.Rahman,Kuala Lumpur belasan tahun yang lalu. Ah..masih terbayang wajah dan gelagatnya. Semoga Allah menghimpunkan rohnya di kalangan orang-orang yang soleh.AMIN.

Pertemuan itu memberikan semangat baru kepadaku untuk bertemu dengan rakan-rakan yang lain yang sama-sama mengajar di Binatang dahulu. Semoga Allah memperkenankan hajat kami nanti.Insyallah.