Thursday, November 26, 2009

Cuti Sabatikal 171-Kembara Bali: SOLAT AIDUL ADHA DI LAPANGAN PUPUTAN RENON

















27 November 2009 hari ini adalah Hari Raya Aidul Adha bagi kaum muslimin seluruh dunia. Pagi-pagi lagi aku telah bangun memunaikan solat subuh. Jam 6.30 pagi aku dan Suaidi bertolak ke Lapangan Puputan Renon,Denpasar. Lapangan yang sangat luas ini digunakan untuk pelbagai acara. Ia mengandungi mercu tanda sebuah tugu di tengah-tengahnya. Kami mengambil tempat untuk bersolat. Hampir ratusan ribu umat muslimin yang datang dari Denpasar dan sekitarnya memenuhi lapangan terbuka itu.


Balik dari solat AidulAdha di Lapangan Puputan Renon, aku bersiap-siap untuk ke Bandara Internasional Ngurai Rai Denpasar untuk pulang ke tanah air. Penerbangan MAS ku jam 1 tengahari dan dijangka akan sampai ke KLIA jam 3.30 petang.Insyallah.

Wednesday, November 25, 2009

Cuti Sabatikal 170-Kembara Bali: ZIARAH TUJUH MASJID










22 November 2009 Selepas pulang dari pantai Sanur aku berehat sebentar. Kemudian jam 11.30 pagi aku dan Suaidi melakukan ekspedisi ke Denpasar,Kuta dan Jimbaran menziarahi tujuh buah masjid yang aku masih lagi belum kunjungi. Antara masjid yang aku kunjungi itu ialah Masjid Ar Rahmat Kuta, Masjid Baitul Makmur Denpasar, Masjid Suci Denpasar, Masjid Al Muhajirin( masjid Minang) Denpasar,Musolla Al Huda Jimbaran,Masjid Baitul Rahmah Denpasar dan Masjid Al Ikhlas Denpasar.


Terdapat beberapa keistimewaan pada setiap masjid ini misalnya Masjid Suci Denpasar pintu kayunya diukir dengan hiasan awan larat yang menarik. Bahagian luarnya terdapat ukiran kayu kaligrafi gaya Tuluth yang unik. Direka dalam bentuk bulatan dan diukir tembuk tembus. Ketika aku datang ke situ ada sekeumpulan Jamaat Tabligh dari Denpasar yang sedang sarapan pagi. Aku menyalami mereka sambil duduk bersama. Sempat berbual-bual dan minum bersama mereka. Terkejut juga mereka bila aku nyatakan aku berasal dari Malaysia,mungkin tutur atau bicaraku sudah berubah menjadi sepenuhnya Indonesia. Ramai yang kutemui tidak percaya aku berasal dari Malaysia. Mereka menyangka aku dari Jakarta.


Kemudian kami ke Masjid Baitul Rahmah di Denpasar. Masjid ini agak luas dan bertingkat tiga. Tidak banyak hiasan kaligrafi yang menghiasi masjid ini cuma kayu-kayu berpalang indah menghiasi tangga ke tingkat atas. Palang-palang kayu membentuk garisan yang menjadi hiasan utama masjid ini. Kami solat Zohor di masjid ini.


Selepas itu aku ke Masjid Baitul Makmur di Denpasar. Rekabentuk bumbung masjid ini adalah dipengaruhi oleh reka bentuk pura Hindu gaya Meru. Bumbung tiga tangkup ini kelihatan tinggi berwarna hijau. Di sebelahnya terdapat bangunan Yayasan Makmur dan sekolahnya. Tempat letak kereta dan motornya agak luas dan mengikut Suaidi pada waktu malam dijadikan tempat jualan. Maknanya masjid ini menyewakan kepada peniaga-peniaga yang ingin berniaga di perkarangan masjidnya.


Selepas itu kami ke Masjid Al Ikhlas di Denpasar. Di hadapan masjid ini ada toko kayu. masjid ini tersorok di celah-celah toko ini. Adakah toko itu kepunyaan masjid itu? Aku tidak sempat bertanya kepada jemaah yang ada di situ.


Suaidi membawa aku ke sebuah masjid yang unik iatu Masjid Al Muhajirin atau lebih dikenali dengan panggilan Masjid Minang. Rekabentuk yang yang tinggi serta menara masjid ala Padang membezakan ia dengan masjid-masjid yang lain. Bahagian tingkat bawah masjid ini mengandungi dewan untuk digunakan sebagai tempat upacara perkahwinan manakala tingkat atas untuk bersolat. Tangga yang tinggi di kiri kanan masjid digunakan untuk ke tingkat atas.


Aku dan Suaidi singgah makan tengahari di warung rakannya yang tidak jauh dari situ. Aku makan nasi berlaukkan ikan kembung, sayur jering dan nangka. Suaidi berbeda sedikit. Dia makan nasi berlaukkan ikan dan sayur nangka sahaja. Kami minum teh ais dalam botol.


Kami beredar pula ke Kuta. Kami singgah pula ke Masjid Ar Rahmat. Msjid yang menjadi pusat kegiatan Jemaah Tabligh Bali. Masjid agak luas bertingkat dua. Fasad (Facade) dibina dari batu marmar yang cantik tertera tulisan MASJID AR RAHMAH dari jauh. Ketika aku di situ tidak ramai jemaah yang ada kerana belum masuk waktu asar lagi. Aku iktikaf di masjid itu sambil menunggu masuknya waktu Asar.


Selepas solat Asar di Masjid Ar Rahmat kami ke Jimbaran pulak. Jimbaran agak jauh juga dari Denpasar. Kami singgah di Ampangan Sungai Badong. Sambil berehat dan menyaksikan pesta memancing, sempat juga kami merakamfotokan aksi dan gaya kami yang menarik ala titanic. Angin yang bertiup menyejukkan badan. Segar seketika.


Kami sampai ke Musolla Al Huda di Jimbaran di tengah-tengah kampung nelayan. Aku dan Suaidi merakamfotokan sudut-sudut musolla itu. Kelihatan anak-anak sedang melakukan aktiviti melukis di beranda musolla itu.


Selepas itu kami singgah ke pasar ikan Jimbaran di tepi pantai Jimbaran. Ikan-ikan yang segar memenuhi sepanjang gerai di pasar itu. Pelbagai jenis ikan segar seperti ikan tongkol,ikan kembong, ikan tuna, ikan kerapu, ikan siakap udang dan sotong dijual di situ. Sayangnya aku tidak menemui ikan cencaru di nsini. Memang sukar mencari ikan cencaru. Aku hanya sekali dapat membelinya di pasar Badong. Aku membeli ikan tongkol, ikan kembong dan siakap kecil.


Dalam perjalanan pulang aku mulai demam dan batuk-batuk. Sepanjang malam itu aku demam panas dan batuk sehingga ke pagi. Aku benar-benar keletihan dan tidak bermaya.

Cuti Sabatikal 169-Kembara Bali: PAGI DI PANTAI SANUR







22 November 2009 jam 7.30 pagi selepas sarapan pagi, aku dan suaidi ke Pantai Sanur. Aku jarang ke pantai Sanur waktu pagi begini, selalunya waktu petang atau malam kerana udara yang lebih sejuk dan segar. Kata Suaidi "kita segarkan badan". Jadi aku pun pergilah ke sana. Alangkah terkejutnya aku, air laut kelihatan kering, jauh ke tengah. Kanak-kanak berebut-rebut mencari ikan manakala sang ayah dan ibu hanya menyaksikan pesta itu. Kelihatan juga rumput laut terdampar di pasir. Kelopak-kelopak air yang mengandung ikan-ikan kecil menjadi rebutan di kalangan kanak-kanak itu. Aku sempat bergaya berfoto dengan mereka. Mereka memanggil aku OM. Mereka pula merebut-rebut untuk berfoto denganku. Masing-masing dengan tingkahlakunya. Hujung minggu kanak-kanak ini tidak bersekolah jadi mereka menggunakan masa lapang ini berkelah dan bermain di tepi pantai ini.


Udara dan angin yang bertiup masih menempiaskan kesejukannya. Matahari sebenarnya telah terbit awal di Bali. Jam 5.30 suasana telah terang benderang. Masuk solat Subuh awal jam 4.25 pagi. Di Malaysia kalau waktu begini memang tengah lena tidur.Pada awal kehadiran aku di sini aku memang terkejut juga dengan perubahan itu tetapi kini ia telah menjadi biasa pula padaku.


Aku dan Suaidi merakamkan seberapa banyak foto di Pantai sanur itu. Air laut yang surut memudahkan aku bergerak sampai ke tengah-tengah. Laut Sanur tidak pula kelihatan batu karang cuma yang ada ialah rumput atau lalang laut sahaja.Kelihatan juga perahu atau bot yang tersadai di sepanjang pantai itu. Aku bergerak cergas ke sana sini. Peluh menitik memancar-mancar.Segar juga aku di pagi itu.

Tuesday, November 24, 2009

Cuti Sabatikal 168-Kembara Bali: UPACARA MEPEED






22 November 2009 sebelah paginya aku membuka laptop melayari internet, membuka blogku dan blog rakan-rakan sambil mengunjungi Facebook. Aku masak awal pagi ini. Aku goreng ikan tongkol dan buat pecal. Kuah pecal memang telah siap dibeli dalam bentuk ketul. Cuma masukkan air yang sedang masak ke dalam mangkuk yang mengandungi ketul pecal itu lalu dikacau. Akhirnya jadilah kuah pecal itu. Aku rebus kangkung ganti pucuk ubi ( singkong). Wah memang enak makan pecal. Makanan asli orang Jawa. Lebih enak kalau dibubuh pucuk ubi, taugeh,ubi sengkuang,tahu goreng dan timun.


Selepas solat Zohor aku berehat sebentar sambil berbaring di katil. Cuaca yang panas memang melekitkan. Kipas berpusing 24 jam tanpa henti. Cuma berhenti bila aku keluar rumah. Jam 2.30 petang aku keluar menyaksikan upacara Mepeed di hadapan rumahku Jalan Danau Beratan. Jalan Danau Beratan adalah salah stu jalan yang penuh dengan adat istiadat upacara Hindu. Hampir tiap-tiap hari ada sahaja upacara dan permainan muzik Gamelan Bali serta tarian dimainkan di setiap banjar ( balairaya). Jalan Danau beratan sahaja mengandungi lebih 5 banjar. Bayangkanlah betapa berkumandangnya suara muzik di sepanjang jalan itu. Itu belum lagi acara yang melibatkan muzik di pura yang banyak terdapat di sepanjang jalan itu.


Perarakan wanita-wanita yang membawa persembahan berupa buah-buahan dijunjung di atas kepala. Hampir 1000 wanita berbaris dengan memakai kostume kebaya putih dan berkain kuning serta ikat pinggang berwarna kuning. Memang cantik dan penuh dsiplin. Dikawal oleh para lelaki yang berkeris di pinggang berbaju putih,berkain putih dan berdestar putih. Jalan Danau Beratan dipenuhi manusia ketika itu daripada orang tua lelaki dan wanita sehinggalah kepada kanak-kanak dengan pakaian seragam yang sama. Upacara Mepeed adalah upacara pesembahan buat tuhan masyarakat Hindu Bali bernama Ida Sang Hang Widhi Wasa. Tuhan masyarakat Hindu Bali tidak sama dengan Tuhan masyarakat Hindu di Malaysia.Manakala upacara ugama di sini juga jauh berbeda dengan upacara masyarakat Hindu di Malaysia. Kalau orang Hindu Malaysia datang ke sini mereka akan merasai kepelikan yang amat sangat.

Monday, November 23, 2009

Cuti Sabatikal 167-Kembara Bali: UPACARA TILAM KAJANG DAN MELASTI









21 November 2009 seperti biasanya aku mengemas rumah dan memasak untuk makan sarapan pagi@ tengahari. Kali ini aku masak gulai ikan kembung. Ikan kembung ini aku beli di Pasar Badong beberapa hari yang lalu. Memang enak kalau ikan itu segar. Selepas itu aku membuka laptopku melayari internet, melihat blogku serta blog rakan-rakan yang lain di samping mengunjungi Facebook.


Jam 3.30 petang aku menyaksikan upacara Tilam Kajang. Upacara ini dilakukan 6 bulan sekali. Perarakan penganut Hindu Bali sepanjang jalan Danau Beratan ke Pura tertua di situ. Selepas itu mereka akan berarak ke Pantai Sanur untuk upacara Melasti iaitu upaacara membersihkan segala kekotoran serta meminta keselamatan kepada dewata. Aku sempat merakamfotokan upacara-upacara itu. Aku juga menyaksikan ramai pengunjung asing dari pelbagai negara menyaksikan upacara penuh adat istiadat itu. Kebetulan ketika aku merakamfoto upacara itu aku sempat berkenalan dengan seorang penganut Hindu berasal dari India. Beliau menyatakan amalan ugama Hindu di sini adalah jauh berbeda. Di sini penuh dengan adat istiadat yang tidak ada di India.

Sunday, November 22, 2009

Cuti Sabatikal 166-Kembara Bali: KHUTBAH JUMAAT HAJI MABRUR



20 November 2009 pagi-pagi lagi aku telah bersiap-siap ke dapur untuk masak. Dapur dibina berasingan daripada rumahku selang beberapa langkah sahaja dari beranda. Pada kebiasaannya hari Jumaat aku masak lebih awal daripada biasa supaya aku tidak terkejar-kejar ke Musolla untuk menunaikan Solat Jumaat. Masuk waktu Zohor di sini awal jam 12.30 tengahari. Aku masak kari ikan tongkol ( ikan kayu) yang aku beli di pasar Badong. Ikan ini nampaknya segar. Aku jarang masak lebih dari satu menu. Cukup satu menu sahaja untuk aku sorang. Kalau ada rezeki, Suaidi datang dapatlah kami makan berdua. Makan sorang-sorang walaupun masakannya enak jadi tak berselera. Nasib baik Suaidi selalu datang makan bersama. Aku memang selalu mengajaknya datang makan samada makan tengahari atau malam. Jadi adalah kawan untuk makan bersama dan kawan untuk berbicara. Dia bekerja pada waktu siangnya, selalunya lepas bekerja dia akan datang menziarahiku.


Selepas sarapan pagi@ makan tengahari aku bersiap-siap awak ke Musolla Fastabiqul Khoirat di Jalan Danau Beratan bersebelahan dengan Nabilla Internet. Aku ke sana menaiki bemo. Biasanya aku datang awal. Jemaah solat Jumaat yang ada ketika itu cuma dua tiga orang sahaja. Sempatlah aku membaca surah Yassin atau berzikir panjang sebelum masuk waktu. Hampir masuk waktu barulah berbondong-bondong jemaah yang datang. Azan dikumandangkan menandakan masuk waktu solat Jumaat.


Khutbah Jumaat disampaikan oleh khatib berkisar kepada persoalan Haji Mabrur. Kebetulan sekarang ini musim haji. Seluruh jemaah haji dari seluruh dunia menyahut panggilan Ilahi menjadi TETAMU ALLAH. Aku teringatkan Dr. Joe sekeluaraga aku berdoa semoga beliau diberikan Allah kesihatan yang baik dan menerima anugerah Haji Mabrur itu. Bukannya senang untuk mendapatkan Haji yang Mambrur selain menyempurnakan syarat-syarat rukun dan sunat haji, keikhlasan,ketulusan dan pengabdian kepada Allah dengan jiwa yang suci dan ikhlas adalah dituntut. Jutaan manusia berkumpul di Mekah dan Madinah semata-mata menyahut Rukun Islam yang kelima. Sebagai tetamu Allah di sana pelbagai ujian yang menimpa kepada jemaah haji. Ada yang ringan dan ada yang berat. Masing-masing menerima haknya masing-masing. Akun berdoa kepada Allah semoga aku akan dijemput segera oleh Allah menjadi tetamunya.

Friday, November 20, 2009

Cuti Sabatikal 165-Kembara Bali: BARONG












19 November 2009 sebelah pagi sampai petang aku sibuk mengemaskinikan fail-fail dalam komputerku. Ribuan foto yang aku rakamkan sebelum ini hanya aku masukkan dalam fail umum sahaja misalnya fail bertarikh itu dan ini. Mulai sekarang aku mula membuat Folder baru dengan memisahkan foto-foto tersebut mengikut tajuk-tajuk kecil. Pelbagai Folder baru telah kuwujudkan bagi memudahkan aku merujuk ketika membuat penulisan nanti. Penulisan awal bagi penyelidikanku ( orang Indonesia menyebutnya penelitian) telah kumulai. Insyallah dalam masa cuti sebulan aku di Malaysia nanti iaitu mulai 27 November sehingga 30 Disember aku kan menyambung penulisan itu. Paling kurang setengah daripada penulisan untuk penyelidikanku nanti insyallah akan siap.


Dalam diam-diam hampir enam bulan aku telah berada di rantau orang. Visa lanjutanku yang kelima ini berakhir pada 27 November ini iaitu jatuh pada Hari Raya Aidul Adha dan hari Jumaat. Tiket penerbanganku ke Malaysia telah ditempah juga pada hari tarikh tersebut jam 1 tengahari dari Bandara Denpasar. Tiket itu telah ditempah awal oleh adik angkatku Zainal berapa bulan yang lepas. Memang aku yang mengkehendaki tarikh itu. Aku langsung tak perasan tarikh itu jatuh pada hari Jumaat bersamaan Hari Raya Aidul Adha. Alhamdulillah tarikh itu bersamaan juga tamatnya visa lanjutan ku di sini. Andaikata tarikh visa itu jatuh pada tarikh sebelumnya mmemang parah aku dibuatnya. Aku pasti didenda kerana menduduki negara orang secara haram melebehi tarikh yang sepatutnya.

Selepas penat mengemaskinikan fail aku berehat sebentar pada sebelah petang. Kemudian selepas solat Maghrib aku ke banjar( balairaya) di Jalan Danau Beratan tidak jauh dari rumahku untuk menyaksikan satu upacara Tarian Barong. Ribuan manusia terutamanya masyarakat Hindu Bali dari banjar yang berdekatan berhimpun menyaksikan upacara itu. Lelaki,wanita serta kanak-kanak dengan pakaian tradisi Bali datang lebih awal. Aku agak lewat juga tetapi tarian itu masih belum ditarikan lagi cuma muzik gamelan Bali bergemersik mengiringi upacara itu. Peniaga-peniaga mengambil kesempatan menjual barangan makanan dan minuman di sekeliling banjar tersebut. Jalan danau Beratan penuh sesak dengan kenderaan dan manusia yang lalu lalang. Cukup meriah. Boleh dikatakan hampir tiap-tiap hari ada sahaja upacara di Bali ini. Aku mengambil peluang dan kesempatan ini untuk menyaksikan upacara yang tidak pernah aku lihat sebelumnya.


Barong adalah semangat yang akan melindungi dan menjaga manusia yang tersembunyi dalam tarian yang menggunakan kostum dan topeng sebagaimana mengikut kepercayaan penganut Hindu Bali.Tarian ini selalunya ditarikan sewaktu sambutan hari raya Galungan dan Kuningan iaitu sambutan hari raya penganut Hindu Bali. Terdapat pelbagai jenis kostum Barongan ada yang berbentuk kera atau singa. Tetapi yang biasa dipakai ialah Barong KetKet atau Barong Ket iatu makhluk halus yang bermuka merah, bermata besar dan merah dengan gigi yang panjang dan berpakaian berwarna emas dengan jalinan cermin di permukaan kostumnya.


Semasa tarian itu diadakan ada satu watak yang akan muncul iaitu Rangda dengan kostum yang berbeza. Berkuku panjang, bergigi panjang, berambut panjang berjuntai. Rangda dan Barong akan bertarung dalam bentuk formasi tarian. Mengikut kepercayaan masyarakat Hindu Bali kedua-dua watak baik dan buruk ini adalah watak yang seimbang yang sentiasa wujud dalam kehidupan ini. Barong tidak boleh bersendirian tanpa Rangda. Dengan perkataan lain baik dan jahat, benar dan salah adalah lumrah kehidupan ini.