Saturday, January 30, 2010

Cuti Sabatikal 198-Kembara Bali: SELAMAT TINGGAL BALI





28 Januari 2010 adalah hari terakhir aku di Pulau Bali. Sepatutnya aku berakhir di Bali pada 28 Februari iaitu sempena tamatnya cuti sabatikalku, tetapi oleh kerana tidak memperolehi visa untuk februari jadi aku terpaksa mengubah tarikh kepulanganku. Sebelum itu aku telah menghubungi Pejabat Bendahari UPSI mengenai masalah ini dan memohon jasa baik untuk mengubah tarikh penerbangan pulang dengan Malaysian Airlines daripada 28 Februari 2010 kepada 28 Januari 2010. Aku juga telah menghubungi Dr.I Made Sutama, Dekan Fakulti Bahasa dan Seni, Universiti Pendidikan Ganesha,Singaraja dan beberapa orang dosen fakultas tersebut mengenai masalahku.




Dua hari sebelum kepulanganku, aku diraikan oleh adik angkatku Anur Rofiq dan isterinya untuk makan malam terakhir di rumahnya di Denpasar. Pada malam berikutnya juga aku dan Suaidi bersiar-siar di kota Denpasar menyedut udara Bali buat kali terakhir.Aku, Suaidi dan Rofiq sempat singgah di sebuah warung menjual Bakso. Aku menikmati keenakan juadah Bakso buat kali terakhir di Denpasar.




Jam 5.30 pagi selepas memunaikan solat subuh, aku dan Suaidi ke pantai Siddhu, Sanur untuk melihat panorama matahari terbit di pantai itu. Pantai siddhu dan rumah sewaku amat berdekatan. Aku sempat merakamfotokan panorama itu. ketika itu kelihatan muda -mudi yang duduk di tepi pantai itu menyaksikan panorama yang sama. Kebetulan rakanku Adli Soffian dan isterinya juga turut berada di situ. Aku mengenali Soffian di Musolla Fastabiqul Khoirat ketika kami sering bersolat di situ.





Aku juga dapat menyaksikan pemandangan Gunung Agung yang nampak berbalam-balam dari pantai itu. Oh..sungguh indah melihat panorama matahari terbit dari ufuk laut. Horison laut yang bertebingkan langit tiba-tiba mengeluarkan pancaran sinar matahari yang mulai terbit. Kelihatan jalur-jalur putih diselang-seli jalur merah dan hitam sebagai bayangan kepada jalur yang membentuk garisan itu. Mempesonakan. Aku sempat merenung Gunung Agung dan menghirup udara segar pantai Siddhu buat kali terakhir. Ah..melankolik juga aku. Kesedihan mulai terasa meninggalkan pantai dan pulau Bali yang meruntun hatiku untuk ke sini lagi.Insyaallah.




Jam 7.30 pagi aku pulang ke rumah untuk berihat sementara menanti jam 10 untuk berangkat ke Bandara( lapangan terbang) Ngurah Rai, Denpasar untuk pulang ke tanahair.

Wednesday, January 27, 2010

Cuti Sabatikal 197-Kembara Bali: MENJEJAKI PULAU LOMBOK 8-MELUKIS ATAS FERI



25 Januari 2010 jam 5 petang ekspedisi kami ke Pulau Lombok tamat. Aku dan Suaidi pulang segera ke Pelabuhan Lempar, Lombok untuk menaiki feri jam 5 petang. Kami tidak boleh lewat menaiki feri kerana takut sampai lewat pagi. Jam 5 petang kira oklah, sebabnya perjalanan memakan masa 5 jam sampai ke Pelabuhan Padang Bai, Bali dan dari pelabuhan itu ke rumah memakan masa lebih sejam dengan sepeda motor. Suaidi bekerja keesokan harinya tentulah mengantuk dan keletihan. Aku tak apalah..maklumlah bercuti sabatikal.




Aku mencari tempat yang selesa dalam feri itu. Feri itu besar,luas dan selesa. Ada kerusi yang selesa dan boleh tidur berbaring. Ada musolla, bilik air, bilik wudhuk dan ruang memerhati yang selesa dengan meja dan kerusi di bahagian atas depan dan belakang feri. Aku memilih bahagian belakang di tingkat 3 atas feri. Tujuan ku hanya dua iaitu melukis pemandangan dari atas feri dan menyaksikan pemandangan laut dari feri. Wah aku tidak pernah melakukan hal ini kecuali melukis dalam kereta dan di tempat-tempat tertentu seperti tepi sungai atau tepi pantai.


Panorama laut dan bukit bukau dari feri ini sungguh mempesonakan. Kelihatan awan yang berbagai-bagai bentuk dan warna bila menjelang sore. Begitu juga kocakan air dan ombak kecil yang terbelah bila dilalui feri. Bukit-bukau nampak berbalam-balam dari jauh. Subhanallah maha suci Allah yang menjadikan keindahan alam ini. Rugilah manusia yang menafikan kewujudan Allah ini.





sepanjang 5 jam perjalanan dengan feri itu aku dapat melukis dan menyiapkan karya itu sebanyak 4 keping dengan menggunakan cat air. Puas dan cukup membahagiakan. Kepuasan yang mungkin tidak dirasai oleh orang yang belum pernah melukis di outdoor seperti dalam feri ini. Selepas berehat aku dan Suaidi solat jamak qasar maghrib dan Isya di musolla yang ada dalam feri itu. Sebelum ini kami solat jamak qasar zohor dan Asar di sebuah masjid dalam perjalanan pulang tadi. Kami sampai ke Pelabuhan Padang Bai jam 10 malam dan sampai ke rumahku di Sanur jam 11.30 dengan sepeda motor.

Tuesday, January 26, 2010

Cuti Sabatikal 196-Kembara Bali: MENJEJAKI PULAU LOMBOK 7-PANTAI SEGAR



Selepas puas menghirup udara segar di Pantai Kuta,Lombok aku dan suadi menyusur di celah-celah bukit menuju arah yang tidak pasti. Cuma satu tujuan kami iaitu mencari lagi pantai yang cantik dan menarik di sekitar kawasan itu. Setelah puas mencari kami terjumpa papan tanda yang daif bertulis Pantai Segar. Kami lalu mengikut arah papan tanda itu menyusur jalan tar dan jalan tanah di bawah pohon kelapa.






Puas kami meredah jalan kecil menuju celah-celah bukit akhirnya kami menemui satu pantai yang paling cantik dari ketiga-tiga pantai yang telah kami lawati di Pulau Lombok ini. Angin yang bertiup kencang serta lautan berwarna biru dengan onbak putih yang bergulung-gulung mengejar pantai yang putih benar-benar menakjubkan. Pantai ini masih belum terusik.



Kelihatan beberapa orang Bule atau Mat Salleh sedang "surfing" di celah-celah ombak itu. Nampaknya Bule lebih dahulu menghidu kewujudan pantai yang memiliki ombak yang menggulung ini. Bule tidak gemar kepada pantai yang tiada ombak. Mereka suka kepada cabaran. Mereka suka kepada aktiviti sukan tahan lasak seperti "surfing" itulah sebabnya mereka akan mencari di manakah terletaknya pantai dan laut sebegini.




Aku menyaksikan satu panorama yang indah di sebelah pantai itu iaitu bukit bukau berumpun yang menghijau. Kelihatan juga kerbau-kerbau sedang meragut rumpun di lereng-lereng bukit itu. Panorama ini mengingatkan aku di lereng-lereng bukit di New Zealand ketika aku berkunjung ke sana dahulu. Bedanya ialah di sini, kerbau manakala di sana, lembu.




Aku berehat sambil makan minum di gerai yang ada di situ. Itulah satu-satunya gerai makanan dan minuman yang ada di tepi pantai itu yang diperbuat dari bahan binaan yang ringkas iaitu dari buluh bearatapkan daun lalang.

Cuti Sabatikal 195-Kembara Bali: MENJEJAKI PULAU LOMBOK 6- PANTAI KUTA





25 Januari 2010 aku dan Suaidi merentas Pulau Lombok dari utara ke Selatan untuk pergi ke Pantai Kuta dan Pantai Segar yang terletak di bahagian selatan pulau itu. Saiz Pulau Lombok 5 kali lebih kecil dari Pulau Bali. Perjalanan menaiki sepeda motor memakan masa lebih dari satu jam memang menyakitkan pinggulku. Tapi ketabahan hati untuk melihat panorama pantai yang masih dara dan tidak terusik itu membuatku menjadi gagah perkasa.




Aku ke Pantai Kuta, Lombok ( di Pulau Bali ada juga Pantai Kuta tetapi sangat terkenal kepada pengunjung asing terutama Bule atau Mat Salleh kerana pantainya putih dan memanjang serta ombak yang menggulung). Sayangnya Pantai Kuta Lombok sunyi sepi, hanya beberapa orang yang kelihatan mandi manda di pantainya. Tidak seperti Pantai Senggigi yang penuh sesak dengan pengunjung, Pantai Kuta kelihatan tidak bermaya. Air lautnya biru, pasir pantainya putih, berteluk dan tiada kejaran ombak di pantainya.




Ah suasana yang damai ini mana bisa dibiarkan begitu sahaja. Aku memanjat bukit-bukit batu yang ada di tepian pantai itu untuk menghirup udara segar. Bukit batu yang tegak di tepian pantai itu menjadikan pantai itu lebih "exotiC", di samping rumpun pandan laut (sejenis spesis mengkuang tetapi daunnya lebih kecil) yang tumbuh liar di situ. Aku terpesona melihatnya..benar-benar alami. Tidak terusik. Aku juga juga melihat rumpun yang menjalar di tepian pantai itu ini menunjukkan pantai itu masih dara dan tidak terusik lagi. Persoalan yang timbul dalam benakku ialah mengapa jadi begitu? Adakah pantai itu terlalu jauh atau tiada prasarana yang disediakan?...mungkin begitu.

Monday, January 25, 2010

Cuti Sabatikal 194-Kembara Bali: MENJEJAKI PULAU LOMBOK 5-PANTAI SENGGIGI






24 Januari 2010 jam 11 pagi aku sampai ke Pantai Senggigi selepas hampir sejam setengah dalam perjalanan menaiki sepeda motor. Sebenarnya kami terpaksa berhenti di tengah perjalanan kerana hujan yang turut dengan lebatnya. Kami berteduh sampai makan dan minum di sebuah warung kecil di tepi jalan.



Pantai Senggigi di penuhi orang. Bot dan sampan tersadai di pantai yang putih. Bazar sepanjang pantai yang menjual makanan, minuman, pakaian dan kraftangan diteduhi dengan pokok-pokok besar yang meredup. Di bawah pohon terbentang ribuan tikar yang sememangnya disediakan untuk pengunjung. Aku melihat pengunjung yang berehat di bawah pohon sambil makan dan minum di atas tikar itu. Ada yang berkenu di laut, ada pula yang mandi manda sambil berenang di laut. Pantai Senggigi berteluk ia terlindung dari ombak. Jadi tidak kedengaran deru ombak. Pantai sebegini tidak disukai oleh Bule ( Mat Salleh) mereka suka kepada cabaran. Oleh yang demikian pantai-pantai yang mempunyai ombak besar yang mengaum dan menderu menjadi pilihan mereka kerana mereka suka surving. walau pun ada juga bule dan pengunjung asing tetapi tidak ramai.




Kemudahan penginapan memang disediakan sepanjang Pantai Senggigi. Dari hotel yang besar dan berbintang, sehinggalah kepada hotel yang murah termasuk resort dan homestay terdapat di situ. Pelbagai restoran yang menyediakan makanan Barat dan tempatan terletak di pantai tersebut. Pendek kata segala prasarana dari hotel, restoran ,Bank dan ATM, kedai runcit dan massage centre terdapat di situ.

Cuti Sabatikal 193-Kembara Bali: MENJEJAKI PULAU LOMBOK 4-LAPANGAN TERBANG (BANDARA) INTERNASIONAL LOMBOK YANG BARU DALAM PEMBIKINAN





24 Januari 2010 pada tarikh yang sama sepanjang perjalanan ke Pantai Senggigi selain pemandangan sawah yang menghijau aku juga menyaksikan pemandangan tapak Lapangan Terbang ( bandara) Internasional Lombok yang sedang dalam pembikinan. Tapak dan kawasan yang luas serta bangunan seperti menara yang sedang dibina menunjukkan kesungguhan pemerintah Indonesia ingin menjadikan Pulau Lombok sebagai destinasi pariwisata yang hebat menyaingi Bali. Aku dan Suaidi ke tapak pembinaan itu untuk merakamfoto wajahnya yang hebat dan memukau itu.


Aku percaya apabila siapnya lapangan terbang antarabangsa Lombok ini, Pulau Lombok akan berubah wajah. Lombok mempunyai aset terbaik pantai-pantai yang asli, masih dara dan laut biru yang jernih seperti kristal dan pantai-pantai yang memutih seakan-akan belum disentuh lagi. Sesetengah lautnya mengaum dengan deru ombak yang memukau peminat-peminat surfing. Aku percaya dalam tempoh sepuluh tahun lagi Pulau Lombok menjadi "Pulau Pariwisata yang penting dunia".


Indonesia sangat bertuah mempunyai ribuan pulau yang masih tersimpan segala rahsia kejelitaannya. Ia perlu digilap dan diwarwarkan agar kejelitaannya menjadi sebutan dan rebutan pelancong seluruh dunia. Inilah aset terbesar Indonesia iaitu PARIWISATA. Masyarakat Pulau Lombok perlu bersiap-siap segera dari sekarang menghadapi cabaran besar nanti agar tanah mereka tidak terjual ke tangan warga asing seperti mana terjadi pada Bali. Jangan "BUTA MATA" melihat wang ringgit. Kongsi idea bagaimana menyelamatkan tanah serta harga diri. Gunakan kepakaran tempatan untuk membina kekayaan sendiri hasil pariwisata itu. Jangan percaya sangat kepada orang tengah dan agen-agen yang terdiri dari orang tempatan yang kadang-kadang memakan anak bangsa sendiri. Penduduk Pulau Lombok perlu berhati-hati. Kekayaan ada di tangan mereka janganlah sampai kekayaan itu tergadai ke tangan orang lain. JANGAN PUTIH MATA.