Tuesday, December 28, 2010

TIOMAN










24 Disember 2010 aku dan Enal ke Tg.Gemok,Pahang untuk ke Pulau Tioman. Malangnya perkhidmatan feri ke pulau itu terpaksa dihentikan sepanjang bulan disember ini kerana ombak kuat dan angin yang deras. Kami mengambil keputusan untuk mencuba nasib ke Mersing,Johor pula. Nasib baik perkhidmatan feri ke Pulau Tioman masih ada cuma sekali sahaja jam 11 pagi. Oleh kerana kami sampai jam 8 malam di Mersing, kami terpaksa menginap menginap di Mersing Inn. Keesokan paginya jam 11 kami bertolak dengan feri ke pulau tersebut.

Kali terakhir aku ke Pulau Tioman ialah tahun 1996. Ini bermakna hampir 15 tahun aku tidak pernah mengunjungi pulau tersebut. Dahulu bot penumpang ke pulau tersebut hanyalah bot nelayan sahaja kali ini dah berubah dengan feri yang serba lengkap sebagaimana feri ke Pulau Langkawi atau ke Pulau Pangkor. Aku ke Salang, Tioman menginap di dua tempat iaitu Puteri Salang Inn dan Salang Indah Resort. Kadar harga Sewa bilik jatuh 50 peratus disebabkan tiada pelancong yang datang musim ini.

Selain berehat aku sempat memancing bersama-sama penduduk tempatan di Jeti Salang. Dapat jugaklah ikan Lolong ( ikan uji Rashid-mata besar).

Thursday, December 23, 2010

MALAM MESRA ANAK-ANAK IBU KANDUNG MPSI








22 Disember 2010 aku dijemput oleh urusetia pertemuan Malam Mesra Anak-Anak Ibu Kandung MPSI sesi 82-84 dan sesi 84-86 ke Dewan Seri Tanjung UPSI untuk pertemuan dengan bekas-bekas pelajarku sesi 84-86. Aku tidak menjangka akan bertemu kembali dengan bekas-bekas pelajarku PM/PS 84/86 yang sekarang ini telah menjadi dewasa dengan kerjaya dan pendidikan yang lebih dari yang disangka. Alhamdulillah. Perasaan terlalu gembira melihat kejayaan bekas-bekas pelajar serta wajahnya masih belum berubah sangat mengingatkan ku pada nostalgia yang lepas.

Ah..kadang-kadang terlalu sayu juga hati ini melihat rakan-rakan pensyarah yang turut hadir antaranya Prof Madya Tn Hj Iberahim,Tn Hj.Ridzuan,Tn Hj.Fadhil,Tn.Hj.Samad dan Tn Hj. Sarji yang telah lama berkhidmat bersamaku sejak zaman MPSI lagi. Sayu juga hati ini mendengar rakan-rakan pensyarah yang lain yang telah lebih dulu pulang ke rahmatullah antaranya Hj.Ahmad Man,Khairuddin Ghani,Zainal Abidin Shaari, Hj Khusairi, Ibrahim Mat Zin, Zainal Abidin bin Yusuf dan Sahar Mustapa.

Pertemuan yang sangat besar ertinya ini kepada anak-anak Ibu Kandung MPSI ini bukanlah tidak bersebab, kerana hampir 24 tahun lebih mereka tidak bertemu secara beramai-ramai di alta matar mereka di Tanjung Malim ini. Aku hanya menyaksikan peristiwa ini dengan mata yang berkaca-kaca. 3 hari 2 malam mereka tinggal di Kolej Aminurrashid di Taman bahtera dengan pelbagai acara yang diatur oleh Urusetia. Aku mengucapkan syabas dan tahniah kepada Pengerusi program ini iaitu Dr.Mohd.Johari Abd Hamid (82/84), Setiausaha, Suhaimi Abd Rahim (84/86) dia ini 2 kali menjadi pelajarku PM/PS MPSI 86 dan KDPK IPSI 1996, Wan Zuhaidi (84/86) serta AJK yang lain. Semoga pertemuan ini akan berlanjutan kepada pertemuan-pertemuan yang lain.

Sunday, December 5, 2010

AKHIRNYA TEWAS JUGA SANG JELAWAT





4 Disember 2010, ketika aku berehat pada waktu petang sambil baring di lantai,aku dikejutkan dengan suara-suara di luar rumah. Aku bangun dan melihat sesuatu yang ku tunggu selama ini iaitu sang jelawat. Rupa-rupa suara kegembiraan yang ku dengar tadi adalah ekspresi dari suara Hafiz dan Alif- pelajar seni semester 5 yang telah berjaya menewaskan seekor jelawat yang beratnya lebih sekilogram di samping 4 ekor talapia merah yang besar juga saiznya.

Setelah hampir seminggu mereka memancing di kolamku barulah hari ini mereka berjaya mendaratkan jelawat. Sebelum ini mereka hanya berjaya mendaratkan 12 ekor talapia merah dan 2 ekor haruan. Entah berapa kali tali pancing mereka putus disentap jelawat yang semakin ganas meragut umpan cacing,cengkerik dan roti. Aku pernah mencabar mereka sebelum berjaya menewaskan jelawat jangan harap nak balik kampung. Aku juga menyatakan kolamku ini juga ada ikan patin, selain talapia merah dan jelawat. Manakala kolam yang lagi satu ku ternak haruan dan ikan keli.

Malam itu hafiz dan Alif menjadi tukang masak yang hebat. Mereka menggoreng ikan talapia dan memasak gulai jelawat di dapur rumah ku. Entah berapa tahun aku tidak mmenikmati keenakan jelawat, nampaknya malam itu rezeki aku menjamah daging jelawat yang enak itu. Syukur alhamdulillah.

MAJLIS PERKAHWINAN PUTERA SAHABATKU HJ.LOKMAN





4 Disember 2010 hari sabtu, aku menghadiri majlis perkahwinan putera sahabatku Hj.Lokman yang juga classmate ku ketika bersekolah di Sek.Men.Khir Johari,Tanjung Malim di tingkatan 1 hingga tingkatan 5. Majlis perkahwinan itu diadakan dirumahnya no 11, Simpang 4,Tanjung Malim. Kepada Hj.Lokman, sahabatku, selamat menerima menantu.

Wednesday, November 24, 2010

UPSI YANG INDAH







25 NOVEMBER 2010- Beberapa minggu yang lalu aku merakamkan panorama indah bangunan Dewan Suluh Budiman dan Canselori berlatarbelakangkan banjaran Titiwangsa yang membiru. Padang UPSI antara padang yang tertua di Malaysia (sejak tahun 1922) kelihatan bersih dan menghijau walaupun kini semakin mengecil.Panorama ini mengingatkan kenangan nostalgik aku yang telah lebih 25 tahun berkhidmat di institusi ini sejak zaman MPSI lagi.

Teringat juga rakan-rakan seperjuangan- pensyarah yang telah kembali kerahmatullah antaranya Zainal Abidin Yusuf(seni-MPSI,IPSI),Ahmad Man(kaji sosial-IPSI),Ibrahim Mat Zin(Komputer IPSI),Nordin( kaunseling IPSI), Ambigawaty(kaji sosial- IPSI),Zainal Shaari( Bahasa Melayu-UPSI),Mohd.Kusairi(sosiologi-UPSI),Zainuddin( MPSI,IPSI), Mokhtar (MPSI,IPSI),Ustad Azimat,(MPSI,IPSI),Khairuddin Ghani (MPSI,IPSI) dan Shahar Mustapa (IPSI). Ah..terasa semakin penghujung kehidupan ini.

Monday, November 22, 2010

MUSIM PEPERIKSAAN



22 November 2010 hingga 4 Disember 2010 pelajar-pelajar UPSI akan menempuh peperiksaannya. Begitu juga pelajar-pelajar IPT yang lain. Manakala pelajar-pelajar SPM dan STPM juga menghadapi saat-saat getir ini ketika ini. Aku mendoakan anak-anakku Zulaikha yang berada di Semester 5 UPSI, Ali syariati yang berada di UiTM dan Zuwaidah yang menduduki SPM ketika ini lulus dan berjaya dengan cemerlang. Amin ya Rabb. Kepada pelajar-pelajar UPSI yang lain aku juga mendoakan kejayaan anda semua. Amin Ya Rabb.

Berita terkini yang ku terima ramai graduan seni yang baru konvokesyen tahun ini telah mendapat tawaran berkhidmat sebagai Pegawai Perkhidmatan Pendidikan ( Guru Berijazah) di Sarawak,Johor,P.Pinang,Negeri Sembilan,Perak dan Selangor. Tahniah kepada mereka semua dan selamat berbakti untuk negara. Paling penting jaga nama baik diri,keluarga dan UPSI alma mater yang telah berjasa kepada anda.

Tuesday, November 2, 2010

PAMERAN PENILAIAN STUDIO PELAJAR-PELAJAR UPSI








2 November 2010,barangkali terlalu lama aku tidak menulis blogku ini. Paling kuingat tulisan terakhirku ialah mandi raya di Sungai Bernam pada hari raya aidil fitri dulu. Banyak peristiwa penting yang terlepas pandang. Di sini aku paparkan foto-foto pameran studio pelajar-pelajar seni, UPSI yang sempat aku hadiri.Antaranya pameran Batik dan arca di Taman Batik. Sayangnya pameran anyaman yang aku hadiri fotonya tidakku rakamkan kerana tertinggal kamera.

Sunday, September 12, 2010

MANDI RAYA DI SUNGAI BERNAM





11 September 2010 bersamaan hari raya kedua, aku bersama adik bongsuku Azhar serta isteri dan anak-anaknya bertukar mod dari rumah ke sungai pula. Setelah penat menyediakan juadah sebelum raya pertama, bersolat aidil fitri di masjid, melayan tetamu dan berkunjung ke rumah adik beradik di kampung, kami berpakat untuk berhari raya di sungai pula. Tempatnya telah dipastikan dahulu. Akhirnya selepas solat zohor kami pun bertolak ke Sungai Bernam, di Simpang Empat Dalam tidak jauh jauh dari kampus UPSI. Aku memang kerap ke situ bersama-sama pelajar seni UPSI.Malah kami sering berkhemah di campsite di Hulu Sungai Bernam yang jauh ke dalam hutan di kaki banjaran Titiwangsa.

Cuaca yang terang,udara yang segar di tengah-tengah belukar rimba yang kehijauan memang menarik perhatian pencinta alam sekitar. Apatah lagi air sungai yang dingin serta deru air di celah-celah batu yang membisu membuah rasa yang tidak pernah jemu kepada alam yang indah ini. Inilah anugerah Allah kepada manusia. Ia perlu dijaga dan dibelai sepanjang masa. Sama seperti kita membelai manusia kesayangan kita.

Kami mandi manda sepuasnya hampir empat jam. Aku tidak pernah rasa terketar sepanjang aku mandi di sungai. Semakin petang semakin dingin air sungai yang mengalir dari Banjaran Titiwangsa itu. Memang sejuk. Hilang rasa penat dan kesakitan yang dialami. Sebab pada hari raya pertama bacaan glukus dalam darahku meningkat mendadak sehingga 28.6 sehingga aku terpaksa baring sahaja atas katil. Ida, anak saudaraku yang berjawatan doktor perubatan memujuk aku masuk wad sahaja di hospital Slim River, setelah memeriksa aku ketika itu tetapi aku meminta untuk berehat sahaja di rumah. Memang aku mulai kabur penglihatanku serta keletihan yang memanjang disebabkan diabetes yang kritikal ini. Malah adakalanya berjalan pun macam terhoyong hayang. Apatah lagi penyakit batu karang yang menyerang sehingga menyebabkan radang sakit pinggang.

Setelah puas mandi manda, berendam dan makan minum, jam 6 petang kami pun berangkat pulang ke Behrang.

Tuesday, August 17, 2010

SSL 3062 SENI ISLAM PERBANDINGAN- LAWATAN AKADEMIK KE MELAKA


6-8 ogos yang lalu aku telah mengiringi 60 pelajar-pelajar SSL Seni Islam Perbandingan Ke Kota Melaka Bandaraya Bersejarah. Kami bertolak jam 10 pagi hari Jumaat.Objektif lawatan adalah membuat kajian Masjid-Masjid tua di bandar Melaka. Masjid-masjid tersebut ialah Masjid Tengkera( 1728),Masjid Kampung Hulu(1728)dan Masjid Kampung Keling(1748) di samping itu pelajar-pelajar juga dikehendakki membuat kajian masjid kontemporari di Bandar Melaka iaitu Masjid Selat Melaka (2006)sebagai kajian perbandingan. Kajian ini adalah tugasan kumpulan yang mesti dilakukan oleh pelajar-pelajar bagi memenuhi sebahagian syarat lulus kursus SSL 3062.

Kami tinggal 3 hari 2 malam di Seraya Pantai Chalet di Pengkalan Balak,Melaka. Chalet ini lebih kurang 50 meter dari pantai. Pada hari pertama acara bermain di pantai sebagai melepaskan penat sepanjang perjalanan. Kebetulan kami sampai pada waktu petang. Pelajar-pelajar bermain bola di pantai, mandi-manda dan menimbus rakan. Ada juga yang berligar-ligar mengambil angin petang yang bertiup deras. Malah ada juga yang berehat sampai minum air kelapa muda di gerai yang berdekatan. Aku turut sama mengambil angin di situ sampai merakam keindahan pantai Pengkalan Balak yang agak bersih. Selepas makan malam aku dan beberapa orang pelajar ke pekan yang berdekatan untuk membeli barang keperluan diri.

Keesokkannya jam 9 pagi kami bertolak dari tempat penginapan ke bandar Melaka Bersejarah. Perjalanan memakan masa lebih satu jam sehinggalah kami sampai ke Masjid Tengkera(1728). Pelajar-pelajar begitu ghairah sekali merakam monumen masjid yang bersejarah ini. Pengaruh Hindu terserlah pada bumbung Meru tiga tangkup. Manakala pengaruh Buddha ( China) terdapat pada menara masjid ini yang boleh dipanjat melalui tangga keliling di bahagian dalam menara. Beberapa orang pelajar dibenarkan menaiki menara tersebut sambil merakam keindahan panorama sekeliling masjid. Manakala pelajar-pelajar yang lain sibuk memarhati dan menyelidiki bahagian-bahagian yang terdapat pada masjid tersebut. Pelbagai pengaruh terjelma dalam masjid ini. Ada pengaruh Hindu,China,Barat, Arab dan Nusantara. Aku memberi taklimat dan penerangan kepada pelajar-pelajar khususnya mengenai elemen yang terdapat pada masjid tersebut seperti mihrab,Mimbar,Menara,Courtyard,Cupola,Bumbung,pillar,capital, fountain, facade. Malah ukiran, mozik dan tile yang terdapat pada masjid itu aku jelaskan daripada segi motif dan pengaruhnya.Lebih satu jam pelajar-pelajar memerhati,merakam gambar dan mendapatkan maklumat mengenai monumen masjid tersebut.

Selepas itu kami bertolak ke Masjid Kampung Hulu (1728). Tarikh pembinaan yang sama dengan Masjid Tengkera menyebabkan masjid itu banyak kesamaannya dengan Masjid Tengkera. Cuma Menara ala pagodanya lebih kecil. Kami sempat menunaikan solat zohor berjemaah di masjid itu. Seperti biasa pelajar-pelajar menggunakan kesempatan itu mengambil gambar dan menemubual pegawai dan pengunjung masjid itu bagi mendapatkan data yang lebih mendalam. Aku menjelaskan kepada pelajar-pelajar mengenai sejarah Kampung Hulu mengikut Buku Sejarah Melayu dan Kitab Hikayat Hang Tuah. Hang Tuah lima bersaudara mencipta nama sebagai pahlawan adalah bermula dari Kampung Hulu ini. Mereka dilahirkan dan membesar serta mengembangkan bakat dan kemahirannya dalam dunia persilatan Melayu di sini. Malangnya Kampung Hulu hanya tinggal namanya sahaja, rumah-rumah tradisi Melayu tiada langsung kelihatan di situ melainkan deretan kedai-kedai Cina yang mengepung keseluruhan masjid tersebut.Aku juga melihat ada pengunjung yang datang mengambil air daripada kolam wudhu masjid itu. Kononnya untuk berkat dan penyembuh penyakit. Wallahualam.

Kemudian kami berjalan kaki ke Masjid Kampung Keling (1748) yang tidak jauh daripada masjid Kampung Hulu. Menara pagoda yang tersergam indah menggamit kedatangan kami. Menara ala pagodanya lebih besar daripada menara Masjid Tengkera serta lebih banyak mengandungi niche mencantikkan lagi bentuk menara itu. Pelajar-pelajar memasukki kawasan masjid sambil merkam gambar serta memerhatikan struktur dan elemen yang terdapat dalam masjid itu. Ketiga-tiga masjid tersebut mempunyai kesamaan yang amat ketara daripada segi bentuk dan pengaruhnya. Perbincangan anatara kumpulan pelajar serta data-data yang diperolehi menguatkan lagi keinginan pelajar untuk mendapatkan data yang lebih detail.

Misi kami untuk mengkaji 3 masjid tua di Melaka telah berjaya. Ketiga-tiga masjid itu telah diwartakan sebagai khazanah warisan Negara. Kami sempat makan tengahari ( agak lewat) di warung Al Banjari yang menyediakan masakan asam pedas serta masakan Melayu yang lain. Warung ini terletak antara Masjid Kampung Hulu dengan Masjid Kampung Keling.Selepas itu bas dan coster UPSI membawa kami ke Dataran Pahlawan. Aku membenarkan pelajar-pelajar berehat, shopping dan berjalan-jalan di kawasaan A Farmosa dan bukit St.Paul sehingga jam 6 petang. Kesempatan ini diambil oleh pelajar-pelajar menaiki Menara Taming Sari, shopping di Dataran Pahlawan dan berlegar-legar di situ. Jam 6 petang kami bertolak ke Seraya Pantai Chalet di Pengkalan Balak tempat kami menginap.

Selepas penat membuat kajian sebelah malamnya sambil makan malam kami dihiburkan dengan persembahan oleh pelajar-pelajar.

Keesokkannya jam 10 pagi kami berangkat ke Masjid Selat Melaka sebuah masjid kontemporari yang telah dibina pada tahun 2006. Masjid berbentuk kapal yang terapung di atas permukaan laut ini memang cantik dipandang. Bersenibina "opera house" Sydney, Australia benar-benar menarik perhatian pelajar untuk mengkajinya daripada segi pengaruh,elemen dan strukturnya. Apatah lagi ia kelihatan teapung di laut. Selepas beberapa lama di masjid itu kami pun mencari restoran untuk makan tengahari sebelum pulang ke UPSI.

Sunday, July 18, 2010

KARYA BARUKU "MALAYSIA ON RED AND BLACK"








19 Julai 2010, akhirnya siap juga karyaku yang terbaru "Malaysia on Red and Black" yang berukuran 6 ela x 52 inci. Karya ini akan dipamerkan di Tasmania pada 31 Ogos 2010 bersama karya-karya pelukis UPSI dan pelukis Universiti of Tasmania (UTAS),Australia.Karya yang menggunakan warna hitam dan merah ini bercirikan kartun dan berunsurkan humor. Tema demonstrasi menjadi asas kepada karya ini. Penegasan terhadap garisan mewarnai keseluruhan karya.