Sunday, September 12, 2010

MANDI RAYA DI SUNGAI BERNAM





11 September 2010 bersamaan hari raya kedua, aku bersama adik bongsuku Azhar serta isteri dan anak-anaknya bertukar mod dari rumah ke sungai pula. Setelah penat menyediakan juadah sebelum raya pertama, bersolat aidil fitri di masjid, melayan tetamu dan berkunjung ke rumah adik beradik di kampung, kami berpakat untuk berhari raya di sungai pula. Tempatnya telah dipastikan dahulu. Akhirnya selepas solat zohor kami pun bertolak ke Sungai Bernam, di Simpang Empat Dalam tidak jauh jauh dari kampus UPSI. Aku memang kerap ke situ bersama-sama pelajar seni UPSI.Malah kami sering berkhemah di campsite di Hulu Sungai Bernam yang jauh ke dalam hutan di kaki banjaran Titiwangsa.

Cuaca yang terang,udara yang segar di tengah-tengah belukar rimba yang kehijauan memang menarik perhatian pencinta alam sekitar. Apatah lagi air sungai yang dingin serta deru air di celah-celah batu yang membisu membuah rasa yang tidak pernah jemu kepada alam yang indah ini. Inilah anugerah Allah kepada manusia. Ia perlu dijaga dan dibelai sepanjang masa. Sama seperti kita membelai manusia kesayangan kita.

Kami mandi manda sepuasnya hampir empat jam. Aku tidak pernah rasa terketar sepanjang aku mandi di sungai. Semakin petang semakin dingin air sungai yang mengalir dari Banjaran Titiwangsa itu. Memang sejuk. Hilang rasa penat dan kesakitan yang dialami. Sebab pada hari raya pertama bacaan glukus dalam darahku meningkat mendadak sehingga 28.6 sehingga aku terpaksa baring sahaja atas katil. Ida, anak saudaraku yang berjawatan doktor perubatan memujuk aku masuk wad sahaja di hospital Slim River, setelah memeriksa aku ketika itu tetapi aku meminta untuk berehat sahaja di rumah. Memang aku mulai kabur penglihatanku serta keletihan yang memanjang disebabkan diabetes yang kritikal ini. Malah adakalanya berjalan pun macam terhoyong hayang. Apatah lagi penyakit batu karang yang menyerang sehingga menyebabkan radang sakit pinggang.

Setelah puas mandi manda, berendam dan makan minum, jam 6 petang kami pun berangkat pulang ke Behrang.