Sunday, March 28, 2010

"MELETAK KERJA' DI RUMAH HJ.ANUAR BIN HJ.MOHD.NOOR, BEHRANG STESEN.


28 Mac 2010 bersamaan 22 Rabiuawal 1413 hari Ahad jam 3 petang, satu majlis "meletak kerja" telah diadakan di rumah Hj.Anuar bin Hj.Mohd.Noor, di kampung Pauh,Behrang Stesen,Perak. "Meletak Kerja" adalah adat orang Melayu yang masih dilaksanakan di kampung-kampung ketika mengadakan majlis kenduri kahwin. Dalam majlis itu satu perbincangan mengenai tugas dan tanggungjawab sepanjang majlis kenduri telah diadakan oleh jemputan yang hadir pada petang itu.






Adat "Meletak Kerja" ini adalah mengikut falsafah orang Melayu "BULAT AIR KERANA PEMBENTUNG,BULAT MANUSIA KERANA MUAFAKAT'. Kerjasama dan gotong royong dalam melaksanakan kenduri kendara perkahwinan atau kenduri yang lain menjadi intipati kepada sifat dan nilai budaya orang-orang Melayu yang masih menekankan soal "CUBIT DI PEHA KANAN, DI PEHA KIRI TERASA,'. Mereka amat menolak pegangan negatif seperti 'Bagai aur dalam belukar melepaskan pucuk masing-masing".




Pengerusi majlis ialah Ketua Kampung sendiri iaitu Tuan Hj.Mohd.Shafie Syed Mansor.






Perbincangan berkisar kepada tugas-tugas yang sepatutnya dijalankan sepanjang tempoh kenduri kendara diadakan seperti penyambut tetamu,tukang masak,tukang hidang,pengkompang,DJ, pendiri khemah,pembancuh air minum,pencuci pinggan mangkuk dan penghias meja makan pengantin. Tuan Rumah ingin mengadakan majlis perkahwinan anak lelakinya Mohd.Siddique Hj.Anuar dengan pasangan pengantin perempuan berasal dari Pahang. Ramai juga tetamu yang hadir dan ramai juga yang memberi cadangan dan pendapat.Bacaan doa selamat oleh imam Jamaludin diadakan sebelum perbincangan diadakan.





Kami dihidangkan dengan laksa,kueh-mueh dan air sirap sepanjang perbincangan itu.

Friday, March 26, 2010

PEMBENTANGAN PROPOSAL MASTER OF EDUCATION FAKULTI SENI DAN MUZIK, UPSI






26 Mac 2010 bersamaan hari Jumaat jam 9 pagi telah diadakan pembentangan proposal oleh 3 orang calon Master of Education ( M.Ed) Pendidikan Seni dan Pendidikan Muzik. Pembentangan proposal itu diadakan di bilik Pasca Siswazah Fakulti Seni dan Muzik. Penilai- penilai terdiri daripada pensyarah-pensyarah Seni dan Muzik serta seorang pensyarah dari fakulti lain yang dijemput. Telah menjadi tradisi di UPSI setiap calon pasca siswazah sama ada calon master atau Ph.D perlu membentangkan proposalnya untuk dinilai dan diperbaiki sebelum seseorang calon itu dibenarkan meneruskan penyelidikannya.





Beberapa orang pensyarah, pemyelia dan pelajar pasca siswazah lain turut hadir untuk mendengar pembentangan itu. Dua orang Timbalan Dekan iaitu Dr Mohd.Nasir Ibrahim Timbalan Dekan Pasca Siswazah dan Penyelidikan serta Dr.Abd.Halim Hussain Timbalan Dekan Akademik dan Hal Ehwal Pelajar turut hadir. Pensyarah-pensyarah lain yang turut hadir ialah Prof Madya Zahrulail, Prof Madya Ahmad Fuaad Dahalan, En. Azam Sulung, En.Affendi selaku pengerusi majlis, Prof Madya Dr. Mohd.Zahidee Arshad,Prof Dr. Tjep Tjep Rohindi, Tuan Syed Osman, Dr. Ahmad Suhaimi Mohd.Noor,Dr. Mohd.Johari Abd.Hamid Ketua Jabatan Seni, En. Ramlan Jantan dan Dr.Jamal dari Fakulti Sains Kognitif dan Pembangunan Manusia. Mereka juga diberi peluang untuk membantu calon-calon tadi.






3 orang calon yang membentangkan proposal itu ialah Mohd.Nizam bin Abu Bakar ( M.Ed Pendidikan Muzik) dengan tajuk proposalnya "Sistem Latihan Wind Okestra yang Efektif di Sekolah Alam Shah, Putra Jaya. Satu kajian Kes", Redhuan Abd.Aziz (M.Ed Pendidikan Seni) dengan tajuk proposalnya "Peranan Ketua Panitia Pendidikan Seni Visual dalam Pasukan Kerja Berkesan ke arah Pencapaian Akademik di Sekolah-Sekolah Menengah Seremban" dan Fauziah Abd.Latif ( M.Ed Pendidikan Muzik) dengan tajuk proposalnya "Aplikasi Teknik Vokal dalam Nyanyian Tradisional Melayu"




Setiap pelajar diberikan masa 20 minit untuk membentangkan proposal mereka. Kemudian setiap penilai akan memberi ulasan dan pandangan untuk menambahbaikkan. Pensyarah-pensyarah lain turut sama membantu untuk memperbaiki proposal tersebut. Menarik juga ulasan dan pandangan daripada penilai dan pensyarah tersebut sehingga semua proposal itu nampaknya perlu diperbaiki dan ada yang perlu diperbaiki keseluruhan proposalnya itu. Keuntungan yang diperolehi oleh calon amat besar, mereka dapat melihat kelemahan proposal tersebut daripada pelbagai aspek termasuk tajuk,tujuan kajian,persoalan kajian dan metodologi kajian. Ada calon yang "gemuruh" walau pun telah berpengalaman bertahun-tahun mengajar di sekolah.

MATAHARI TERBENAM DI BEHRANG STESEN




27 Mac 2010 ketika aku pulang ke rumah ibuku di Behrang Stesen, aku menyaksikan satu panorama yang indah di situ iaitu matahari terbenam betul-betul di celah-celah bukit. Kilauan cahaya merah,kuning,putih, dan oren memenuhi langit petang. Bayangan warna kelabu, hitam dan gelap pada pohon-pohon menjadi latar depan. Memang indah kalau dilukiskan. Ramai pelukis yang mengabadikan keindahan matahari terbenam ini dalam karya catan mereka baik pelukis Barat atau pelukis Timur. Van Gogh pelukis Impresionist yang terkenal itu pernah menghasilkan karya berjodol "Sunset".



Begitulah ALLAH menciptakan keindahan matahari terbenam ini bukan sekadar untuk diperhatikan tetapi yang penting ialah untuk difikirkan. Kejadian pertukaran waktu siang dan malam yang menerbitkan perbedaan warna alam menunjukkan kepada manusia betapa besarnya kekuasaan ALLAH menciptakan kita "MASA".



Selang antara siang dan malam itu, Allah jadikan pula waktu subuh dan senja selain zohor dan Asar. Begitu pentingnya waktu atau masa yang terbit daripada pertukaran siang dan malam itu ALLAH bersumpah dengan nama "Demi masa"...."Demi masa Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian. Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan kesabaran" (103 Surah Al asr).



Pertukaran antara siang dan malam itu juga adalah disebabkan peredaran bumi mengelilingi matahari yang mewujudkan masa "tahun" kerana tempoh peredaran itu memakan masa satu tahun dan bulan mengelilingi bumi mewujudkan masa "bulan" kerana tempoh peredaran itu memakan masa satu bulan. Peredaran itu juga akan nantinya menyebabkan berlakunya gerhana bulan dan gerhana matahari- satu fenomena alam yang menakjubkan bila kedudukan ketiga-ketiga planet itu sama setentang.



Masa yang terbit dari predaran siang dan malam itu jugalah yang mengubah paradigma kehidupan manusia dari alam roh kepada bayi,kanak-kanak, remaja, dewasa, tua dan alam kematian. Perubahan kehidupan manusia tidak pula mengubah kehidupan siang dan malam itu. Matahari tetap sama sejak ribuan tahun dahulu sehingga sekarang. Bulan tetap sama sejak dahulu sehingga sekarang melainkan bumi yang diduduki manusia ini kerap berubah cuaca dan iklimnya tetapi bentuk bulatnya tetap sama. Maknanya manusia sentiasa berubah tetapi planetplanet lain tetap tidak berubah kerana patuhnya kepada ALLAH sehinggalah berlakunya perubahan besar bila "Sangkala ditiupkan".

Monday, March 22, 2010

PERKHEMAHAN DI ULU SUNGAI BERNAM : KELAS CREATIVITY AND EFFECTIVE THINKING (CET)






20 Mac 2010 Aku, Izani dan Zainal telah membawa 15 orang pelajar Kelas Creativity and Effective Thinking (CET)ke tapak perkhemahan di ulu Sungai Bernam. 15 orang pelajar ini mengadakan progrem fotografi. Mereka terdiri daripada Michelle, Azmie Ibrahim, Rahizul Abd.Rahim, Lotfi Mustafa, Mohamad Afifruddin bin Takiudin, Mohd. Zuriman bin Zain, Zamre bin Abdullah, Ahmad Farhan bin Mat Siliji, Nor Ismawati Kamarudin, Suhaila binti Hanafi, Siti Nor Aisah binti Mohd.Ikhwan, Ily, Fiza dan Illa. Hampir semua pelajar ini tidak pernah mengalami kehidupan berkhemah di hutan. Inilah pengalaman pertama mereka. Bayangkan betapa terujanya mereka bila sampai di tapak perkhemahan di tepi ulu Sungai Bernam yang sangat jernih, dingin dan deras airnya serta berbatu-batu itu.






Izani memberi arahan kepada mereka agar membersihkan tapak perkhemahan dulu sebelum khemah didirikan. Ini adalah pelajaran yang penting bagi mereka bila membawa pelajar-pelajar sekolah nanti. Sebelum sampai ke tapak perkhemahan Izani telah pun memberi taklimat khas kepada pelajar-pelajar Visual Communication (VISKOM) ini di Batik Park Taman Batik, UPSI. Taklimat mengenai Survival di hutan, barang-barang yang perlu dibawa, etika dalam hutan, nilai kerjasama serta ekspedisi ke Lubuk Kawah.






Nampaknya taklimat yang diberikan oleh Izani itu amat berkesan, 15 orang pelajar-pelajar ini menunjukkan nilai kerjasama yang sangat tinggi, tanpa disuruh-suruh mereka telah melakukan kerja yang sepatutnya seperti membersihkan tapak perkhemahan, mendirikan khemah, memasak, "Camp fire", mandi manda di sungai, "explore" hutan dengan rakaman kamera waktu siang dan malam serta "jungle tracking" ke Lubuk Kawah telah dilakukan dengan cemerlang. Aku, Izani dan Zainal amat puas hati. Apatah lagi kerjasama yang ditunjukkan oleh mereka saat kecemasan ketika pulang menuruni bukit yang licin dalam hujan itu.






Pelajar-pelajar lelaki tidur dan solat di khemah terbuka manakala pelajar-pelajar perempuan dalam dua khemah tertutup. Aku, Izani dan Zainal memastikan keselamatan setiap pelajar-pelajar yang berkhemah ini. Ini bukanlah kali pertama kami membawa pelajar-pelajar UPSI berkhemah di sini dan di beberapa tapak perkhemahan yang lain seperti di Pos Tibang,Pos Bersih, Pos Tenau, Gunung Kubah, Ulu Sungai Bernam dan Lubuk Kawah dan beberapa tempat yang lain.






Kami ingin memastikan pelajar-pelajar UPSI dapat menghayati keindahan Flora dan Fauna yang terdapat dalam hutan di kaki Banjaran Titiwangsa, mempelajari dan mengetahui habitat yang ada dalam hutan serta fadhilatnya, mempelajari kemahiran hidup dalam hutan, menghayati etika dalam hutan disamping merakamkan keindahan lanskap hutan, sungai, batu-batu dalam bentuk karya-karya fotografi dan sketsa. Di samping itu pelajar-pelajar UPSI yang berasal dari bandar yang tidak pernah menyaksikan fenomena hutan dan desiran air sungai, kicauan burung, bunyi cengkerik dan riang-riang serta sahutan ungka pasti merasai pengalaman baru yang tidak mungkin dilupakan. Apatah lagi bermalam di khemah dengan menyaksikan kerdipan bintang dan cahaya rambulan yang menyuluh kegelapan malam pasti terasa sesuatu yang baru. Semuanya ini tidak diajar dalam kelas dan studio tetapi hanya boleh didapati ilmunya melalui penerokaan dalam perkhemahan seperti ini.




Ily, Aisyah dan beberapa pelajar perempuan lain sibuk memasak menu ikan sardin,sayur kubis berkuah kicap dan telur dadar. Pelajar lelaki membasuh beras untuk menanak nasi. Itulah menu kami makan tengahari hari pertama. Minuman pula air oren dan teh panas. Untuk membasah tekak buah tembikai merah yang dipotong kecil telah disediakan. Selepas makan tengahari pelajar-pelajar mula mengeksplor hutan dengan merakam imej-imej flora dan fauna. Pulang sebelah petangnya kami mandi-manda di ulu sungai Bernam yang dingin, bersih, deras dan jernih. Terasa segala kepenatan dan kerunsingan hilang bila kepala dan seluruh badan berendam dalam air sungai yang jernih dan bersih itu. Aku sempat menyandarkan badanku pada batu sambil membiarkan percikan air menyentuh tubuhku. Alunan air yang deras itu seakan-akan mengurut seluruh tubuhku. Aku jadi keliru. Adakah jari-jari halus wanita atau alunan air. Ah..aku bukannya bermimpi tapi sebenarnya realiti. Izani pulang ke rumah untuk mengambil isterinya Cikgu Rosmah dan dua orang anaknya Aisyah dan Amir Syakir. Aku sangat biasa dengan dua orang anaknya kerana kami sering turut berkhemah bersama.



Selepas solat maghrib berjemaah kami mula menyediakan api untuk "barbeuque". Tujuh ekor ayam yang dipotong 16 setiap satu menjadi menu kami malam itu selain mehun goreng. Pelajar-pelajar lelaki sibuk membuat bara api dengan arang serta membakar ayam manakala pelajar perempuan pula sibuk membuat rencah dan memasak mehun. Minuman kopi panas mengiringi menu "barbeuque" malam itu. Memang berselera betul kami makan malam itu. Selepas makan dan solat isya, pelajar-pelajar sekali lagi mengeksplor hutan waktu malam untuk merakam imej-imej flora dan fauna. Mereka pergi berkumpulan.




Acara malam di dalam khemah ialah "Pertukaran hadiah" yang dikendalikan oleh Izani. Aku terlelap. Siangnya aku sempat merakam lanskap dan potret pelajar dalam karya-karya cat airku. Aku sentiasa membawa kamera, kertas cat air, cat air dan berus dalam ekspedisi perkhemahan. Berpuluh-puluh karya cat air yang telah ku hasilkan sepanjang ekspedisi itu.Insyallah satu hari nanti aku akan membuat pameran soloku yang ketiga selepas pameran khas Bali(sempena cuti sabatikalku). Aku terjaga tengah malam dan dua tiga orang pelajar sedang membuat unggun api. Lidah api dan percikannya membentuk garisan yang mengasyikan. Tiga lensa kamera sempat merakam kecantikan bunga-bunga api yang terbit dari unggun api itu. Izani membawa pulang isterinya Cikgu Rosmah dengan menunggang Scrambler. Kedua-dua anaknya tidur nyenyak. Amir Syakir dalam khemah dan Aisyah dalam Pajero. Beliau kemudiannya datang semula ke tapak perkhemahan jam 3 pagi. Aku kagum dengan semangat dan keberaniannya membelah malam di tengah-tengah hutan ini.




Selepas solat subuh, masak mehun dan sarapan pagi kami "jungle tracking ke Lubuk Kawah". Izani menunggu di tapak perkhemahan tetapi sempat membawa anak perempuannya Aishah menyeberangi sungai dan menunjuk arah di pertengahan jalan. Aku sudah lupa laluannya. Kali terakhir aku ke Lubuk Kawah membawa pelajar UPSI pada tahun 2008. Wah..kami terpaksa merentas sungai, mendaki bukit yang tinggi dan menuruni curam. Aku sempat memberitahu nama-nama pokok dan kegunaannya kepada pelajar-pelajar. Di pertengahan jalan kami menemui batu kristal. Beberapa orang pelajar berusaha mencungkil dan mengambilnya.Pada mulanya mereka takut untuk mengambilnya takut kepunyaan orang bunian. Aku memberitahu mereka, "ambillah, itu semua adalah hak Allah taala". Sebelumnya aku meminta pelajar-pelajar menghidu sesuatu, mereka berkata, "bau kari". Aku membalas sambil berseloroh " Orang bunian sedang masak kari" Mereka terus diam. Perjalanan yang memakan masa satu jam itu akhirnya sampai ke destinasinya. Kami menuruni bukit dan menjumpai air terjun bertingkat-tingkat dengan kolam air yang jernih,bersih dan deras airnya. Bunyi deru air terjun menggamit kami untuk menikmatinya. Semua kami kecuali Zul menerkam kolam dan air terjun tersebut. Memang cantik dan mempesonakan. Hampir dua jam kami mandi manda sambil makan tengahari dengan bekalan mehun dan roti yang kami bawa. Selepas puas mandi manda kami pun pulang semula ke tapak perkhemahan.




Sekali lagi kami berendam dan mandi manda di ulu Sungai Bernam melepaskan penat lelah selepas "jungle Tracking" balik ke tapak perkhemahan. Oh..betapa nikmatnya. Selepas makan tengahari dan solat zohor kami bersiap-siap untuk pulang. Ketika itu hujan turut dengan amat lebatnya. Khemah kami basah. Izani telah membawa pulang 5 orang pelajar perempuan dengan Pajero. Kereta kancil dan Scramblernya tidak dapat digunakan. Jalan amat licin. Anak sungai dilimpahi air. Kami terpaksa meredah anak sungai yang banjir itu. Menuruni bukit dalam keadaan jalan licin merupakan cabaran besar kepada 4WD. Izani seorang yang amat berpengalaman. Dua kali dia membawa penumpang-penumpang dalam keadaan selamat walaupun ada ketikanya amat mencemaskan. Pelajar-pelajar lelaki yang menunggang motor dalam keadaan yang mencemaskan. Motor terpaksa ditolak. Jalan terlalu licin ketika meuruni bukit. Amat membahayakan. Zainal sangat membantu menolak setiap satu motor yang ditunggangi itu. Akhirnya semuanya selamat sampai ke UPSI. Alhamdulillah, syukur pada ALLAH Azzawajala