Friday, May 29, 2009

Kesedaran visual part 12- karya seni


Mencipta karya seni visual baik catan,arca,cetakan,foto,lakaran dan sebagainya adalah satu proses mental yang melibatkan perdebatan minda dan jiwa yang berakhir dengan produk yang bernama karya. Bukan mudah menghasilkan karya, ia memerlukan persiapan minda, keluhuran jiwa yang bersatu membentuk idea kering yang perlu dicanai menjadi idea basah. Idea kering ini kadang-kadang terpaksa melalui proses pemeraman yang berbulaan-bulan lamanya. Idea basah ini perlu ditekuni melalui resepi pengalaman, penakulan dan sentuhan intelektualan yang membuahkan keinginan untuk menjelmakan lakaran awal sebagai draf pengkaryaan. Ini bermakna sesebuah karya seni yang dilahirkan oleh seseorang karyawan itu adalah himpunan seluruh kesatuan pemikiran, kejiwaan dan pengalamannya. Amatlah malang bagi seseorang yang buta visual itu terus beranggapan bahawa karya seni adalah satu proses penciptaan yang santai.

Thursday, May 21, 2009

Kesedaran visual part 11- Katalog Pameran


Katalog pameran adalah dokumen penting bagi seseorang artis. Di situlah direkodkan karya-karya yang dipamerkan. Di situ jugalah esei mengenai karya-karya tersebut dibicarakan oleh penulis-penulis yang dijemput khas. Rekod mengenai kegiatan dan pendidikan artis juga turut dimuatkan dalam katalog tersebut. Maknanya katalog adalah rekod kesedaran visual yang penting bagi seseorang artis. Malah ia juga sangat penting kepada penyelidik untuk membuat rujukan mengenai perkembangan kesenian visual sesuatu negara atau juga untuk mengkaji biodata seseorang artis. Menyimpan sesebuah katalog bermakna menyimpan sesebuah pameran dan khazanah visual yang didokumenkan. Semakin banyak katalog yang disimpan semakin banyak juga khazanah kesenian itu 'dimiliki'. Katalog juga berupaya membuktikan sejauhmana seseorang artis itu telah meningkat maju dan berkembang dari kerja-kerja seni yang awal. Malah stail atau gaya seseorang itu telah berubah juga boleh dapat dikesan. Malangnya kita tidak mampu untuk memiliki karya-karya asli artis yang dijual mahal tetapi bukan bermakna pula kita tidak berupaya mengetahui perkembangan kehidupan keseniannya, melalui kataloglah kita dapat berkongsi idea dan pengalaman kesenian dengan artis berkenaan. Semakin banyak katalog yang kita simpan bermakna semakin banyak pameran yang telah kita saksikan dan semakin meningkatlah kesedaran visual kita.

Tuesday, May 19, 2009

Kesedaran visual part 10- Pameran Lukisan





Pameran Solo Dr.Ahmad Suhaimi Mohd.Noor yang ditelah diadakan pada 15 Ogos 2008 di Galeri Universiti Pendidikan Sultan Idris sangat menarik untuk diperkatakan. 'Menarik' bukanlah disebabkan oleh pameran karya-karya seni milik saya tetapi menarik kerana pengisiannya. Pameran ini telah dirasmikan oleh Yang Berbahagia Datuk Prof.Dr.Aminah bt.Ayob, Naib Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris di hadapan staf akademik FSM, Pn.Zanita Anuar Timbalan Pengarah Balai Seni Lukis Negara, Zainal Abidin Pengarah Institut Kraf Negara, kakitangan serta pelajar-pelajarnya, Pengetua sekolah, guru-guru dan pelajar-pelajar sekolah serta pelajar-pelajar UPSI. Paling menarik ialah pembicaraan karya-karya seni saya oleh Profesor Dr. Zakaria Ali seorang sejarahwan seni yang tersohor di negara kita. Pembicaraan secara ilmiah itu telah memukau hadirin termasuk saya sendiri. Beberapa istilah yang menarik seperti ' 'uwandey' dalam bahasa Spain tidak pernah saya dengar sebelum ini.( uwandey bermaksud titik kemuncak kepada kreativiti seseorang karyawan itu berkarya sehingga bertemu di satu puncak yang menyebabkan karyawan itu mengenepikan segala-galanya termasuk makan-minum dan tidur rehatnya). Sepanjang minggu pameran itu juga telah diadakan Forum mengenai perkembangan kesenian di Malaysia. Ahli-ahli panel tersebut ialah Profesor Dr. Zakaria Ali, Profesor Dr.Zulhelmi( UiTM) dan Dr.Ahmad Suhaimi Mohd.Noor. Demontrasi dan Bicara artist oleh Patrick Lassak (P.Pinang) dan Harun Mokhtar(Sabak Bernam) juga diadakan. Malah bicara karya juga telah diadakan pada hari berikutnya yang di sampaikan oleh Profesor Dr. Zakaria Ali dan Profesor Dr. Mustafa bin Ghazali (UiTM). Beberapa aktiviti kuiz dan demontrasi yang melibatkan pelajar-pelajar sekolah turut juga diadakan. Sepanjang pameran tersebut selain khalayak seni dapat menikmati dan mengapresiasi karya saya ia juga berjaya meningkatkan kesedaran visual di kalangan pelajar-pelajar UPSI dan pelajar-pelajar sekolah ( dapat dikesan melalui ulasan yang ditulis dalam buku pelawat).

Sunday, May 17, 2009

Kesedaran visual part 9- Implikasi Celik Visual




Apakah implikasi celik visual di kalangan khalayak seni? Pertama, seseorang itu akan sentiasa peka dan sedar tentang kepentingan seni dalam kehidupannya. Kesedaran dan kepekaan itu boleh dilihat dari segi bagaimana seseorang itu memilih warna untuk rumah dan pakaian, fesyen pakaian, reka bentuk rumah dalaman dan luaran, susun atur pejabat serta keharmonian alam dan kehidupan sejagatnya. Kedua , seseorang itu akan sedar soal estetik adalah aspek penting yang perlu dijaga dan dipelihara dengan demikian kecintaannya terhadap keindahan alam ini semakin meningkat, keperluan untuk memelihara dan mengekalkannya adalah sesuatu yang sangat wajar dan perlu. Malahan percubaan untuk merosakkannya pasti akan mendapat tentangan daripada suara-suara mereka. Ketiga, golongan ini akan membina jaringan visual yang akan memastikan aspek kesenian perlu diambilkira dalam sesuatu keputusan atau tindakan. Jaringan itu boleh dibuat dalam bentuk penyuaraan dalam mesyuarat, penulisan dalam media, tindakan dalam membuat keputusan serta penubuhan sesuatu persatuan seni. Keempat, yang pentingnya khalayak seni yang celik visual ini sekurang-kurangnya berupaya membina wilayah seni yang akan meningkatkan jumlah pasaran seni di negara ini dan antarabangsa. Semakin ramainya khalayak yang celik visual semakin perlunya karya-karya seni dimiliki dan dan digantung dan diletakkan di dinding rumah, pejabat dan ruang terbuka. Malah kesedaran visual juga akan menambahkan lagi jumlah artis, patron, pemilik galeri, kurator, pengumpul karya seni, sejarahwan seni, pengkritik seni, penulis seni dan peminat-peminat seni. Hasilnya akan terserlah, semakin banyak pameran seni akan diadakan semakin ramai pembeli karya dan semakin banyak katalog yang diterbitkan yang memerlu penulis dan pengkritik menulisnya. Ini bermakna semakin riuhlah pekikan kesenian dan semakin bergeloralah ombak kesenian di negara kita. Malah harga sebuah karya seni juga pasti meningkat.

Friday, May 15, 2009

Kesedaran Visual part 8- Pertubuhan Seni


Sebelum memulakan bicara ,saya ingin mengucapkan Selamat Hari Guru hari ini 16 Mei kepada semua pendidik di seluruh Malaysia dan dunia dengan harapan jadikan kerja kita sebagai amal ibadat yang tidak pernah mengharapkan balasan melainkan balasan kredhaan dari Allah SWT sahaja. Amin.
Kesedaran visual di Malaya menemui puncaknya bila tertubuhnya pelbagai persatuan seni yang muncul di Pulau Pinang, Singapura dan Kuala Lumpur. Melalui persatuan ini pelbagai aktiviti seperti outdoor sketching, pameran, bengkel dan demonstrasi, ceramah dan kelas, mesyuarat dan perbincangan berjaya mengumpulkan ahli-ahli yang berminat dalam bidang seni. Pada masa yang sama kumpulan ini bergerak dalam satu gerakan menyebarkan risalah visualisasi melalui pelbagai aktiviti yang disebutkan tadi. Persatuan Seni yang terawal di Malaysia ialah The Penang Impresionist yang telah ditubuhkan pada 2 Ogos 1899 di bawah ordinan no.116 (pertubuhan) seksyen 5 di Pulau pinang adalah satu pertubuhan seni yang diwakili oleh suri rumah pegawai-pegawai kolonial British di Pulau Pinang. Ia hanya membuka keahliannya kepad dua orang tempatan iaitu Abdullah Ariff (guru Seni) dan isteri jutawan cina Mrs Lim Cheng Kung. Persoalannya ialah mengapa pertubuhan ini begitu tertutup dan hanya membenarkan dua orang Asia sahaja yang turut menjadi ahli. Andaian yang boleh diberikan ialah sebagai penjajah, sewajarnya mereka menjaga reputasinya sebagai kumpulan yang lebih tinggi darjatnya dari golongan yang dijajah. Kedua pertubuhan ini adalah pertubuhan kulit putih dari Eropah yang tidak mungkin boleh bercampur dengan manusia berlainan warna kulit. Kemasukan Abdullah Ariff dan Mrs Lim Chen Kung ada muslihatnya. Abdullah Ariff adalah guru dan pelukis terkenal di Pulau Pinang ketika itu, kepandaian dan kemahirannya sangat diperlukan oleh ahli kumpulan The Penang Impresionist manakala Mrs Lim Cheng Kung adalah isteri kepada seorang jutawan Cina yang boleh Boldmembantu pertubuhan itu dari segi kewangan. Pertubuhan ini mengadakan outdoor sketching dengan melukis panorama indah pantai dan bukit di Pulau Pinang. Kemunculan The Penang Impresionist telah mendapat reaksi dari kaum Cina di Pulau Pinang. Mereka kemudiannya telah menubuhkan Penang Chinese Art Society pada tahun 1935 yang asal namanya ialah Penang's Ying Ying Art Society. The Penang Impresionist telah mengadakan pameran-pamerannya di sana dan pada masa yang sama telah menjemput ahli-ahli Penang Chinese Art Club untuk menyaksikan pameran tersebut. Banyak lagi pertubuhan-pertubuhan seni yang muncul di Pulau Pinang antaranya ialah Penang Teachers' Art circle yang ditubuhkan pada tahun 1952. Thusday Art Group (?), Penang Art Society( 1953),The Arts Council Penang and Province Wellesley( 1954), Malay teachers Union (?), dan National Union of Teacher's Art Council (?). Kehebatan Pulau Pinang sebagai pusat kesedaran visual yang awal kemudiannya berkembang di Kuala Lumpur dengan munculnya beberapa pertubuhan yang terkenal antaranya ialah Majlis Kesenian (1952), Wednesday Art Group(1952) dan Angkatan Pelukis Semenanjung (1956). Di selatan tanahair pula iaitu Singapura turut menjadi gelanggang dan pusat kesedaran visual yang unggul dengan kemunculan persatuan dan pertubuhan seni yang penting seperti The Singapore Art Club (1929), Singapore Art Society (1949), Society of Chinese Artists(?) dan Malay Art society(?).

Kesedaran visual part 7- Media Massa

Media massa juga memainkan peranan penting dalam menyebarluaskan visualisasi di kalangan masyarakat. Di Malaya, akhbar, majalah, jurnal, buku dan poster yang diterbitkan di Pulau Pinang, Melaka dan Singapura dalam tulisan jawi, rumi, tulisan dalam dalam bahasa Mandarin dan Tamil yang mengandungi gambar dan ilustrasi boleh dirujuk. Akhbar seperti Jajahan Malaya, The Straits Echo, The Penang Gazette, Malayan Shinbon, Malayan Nunban, Akhbar Dewasa dan Warta Jenaka adalah akhbar penting ketika itu. Majalah seperti Majalah Guru, Majalah Hiboran, Majalah Seni, majalah Bintang, Mastika adalah majalah yang popular di kalangan masyarakat Melayu sejak tahun-tahun 1950 an lagi. Jurnal yang mengandungi tulisan mengenai kesenian malah juga ilustrasi seperti Journal of the Malayan Branch Royal Asiatic Society (JMBRAS), Journal of The Royal Branch Asiatic Society (JRAS) dan Journal of The Federated Malay States Museums adalah gelanggang bagi pegawai kolonial British menyalurkan pemikirannya mengenai kesenian di Malaya. Buku-Buku bergambar yang popular ketika itu seperti Ahmad dan Halimah( keseluruhan ilustrasi berwarna dilukis oleh Mohd Hossein Enas)dan Panduan Akal (keseluruhan ilustrasi dilukis oleh Abdullah Ariff) tersebarluas ke sekolah-sekolah Melayu ketika itu ( 1950 andan 1960 an).

Thursday, May 14, 2009

Kesedaran visual part 6- Galeri Seni



Peranan galeri adalah juga penting dalam menyemarakkan kesedaran visual. Sama ada galeri tertutup, galeri mudahalih atau galeri terbuka ia memainkan peranan yang sama dalam meningkatkan darjah kesedaran visual itu di kalangan masyarakat. Pada peringkat awal perkembangan kesenian di Malaya sehingga penubuhan Balai Seni Lukis Negara pada tahun 1958, galeri terbuka memainkan peranan penting dalam 'gerakan celik visual'. Poster-poster yang mengandungi gambar-gambar penjenayah yang ditampal di merata tempat seperti stesen keretapi, stesen bas dan di tempat-tempat awam yang lain memberi erti yang bukan sedikit kepada kepentingan visual itu. Malah sejarah darurat di Malaya pada tahun-tahun 1960 an mengingatkan kita kepada perang urat saraf melawan gerakan komunis. Pada masa itu pihak kerajaan telah menggunakan kapal terbang untuk menggugurkan jutaan poster bergambar anti komunis di hutan belantara Malaya ( Ahmad Suhaimi Mohd.Noor dalam buku Sejarah Kesedaran Visual Di Malaya diterbitkan oleh Penerbit UPSI, 2007). Poster-poster bersifat propaganda anti komunis, anti Japanese dan anti British bertaburan di Malaya sepanjang pemerintahan Kolonial British dan Jepun ketika itu.. Poster-poster bergambar itu masih tersimpan dalam fail di Pejabat Pertubuhan Pulau Pinang. Maknanya poster-poster bergambar sebagai bahan visual adalah alat bagi menyedarkan masyarakat kepada sesuatu mesej yang ingin disampaikan. Peranan artis adalah penting ketika itu. Tokoh-tokoh seperti Abdullah Arif di Pulau Pinang pernah menjadi pelukis propaganda anti British begitu juga A.B. Ibrahim dan Saidin Yahya di Kedah .

Tuesday, May 12, 2009

Kesedaran visual part 5- Sejarah Awal




Perbicaraan mengenai kesedaran visual di Malaya selalu dikaitkan dengan pensejarahannya. Dokumen awal mengenai kesenian yang ditulis oleh pegawai kolonial British bolehlah dirujuk dalam jurnal, majalah dan akhbar tertentu. Jurnal seperti Journal of The Malayan Branch Royal Asiatic Society(JMBRAS), Journal of The Royal Branch Asiatic Society (JRAS) dan Journal of The Federated Malay States Museums adalah dokuman penting yang perlu dirujuk. Tulisan-tulisan oleh E.H.Ivan dan R.O.Winstedt mengenai kesenian terdapat di situ. Mengenai ilustrasi yang penting pula boleh dirujuk dalam Illustrated London News yang sebarannya sangat meluas sehingga sampai ke Malaya. Paling menarik ilustrasi yang menggambar Perang Perak pada tahun 1786. Ilustrasi pada masa itu adalah gambar-gambar yang dilukis oleh artis pada suasana ketika itu. Artis adalah jurukamera yang bertindak merakamkan episod-episod penting menggantikan kamera yang belum ada lagi di Malaya ketika itu. Kamera hanya dapat dikesan muncul pada tahun 1849 di Melaka dalam buku Hikayat Abdullah. Ilustrasi-ilustrasi awal yang penting dapat dikesan dilukis oleh anak tempatan seperti Munshi Abdullah dalam buku Hikayat Abdullah, Sayid Ahmad Al Kudri dalam akhbar Jajahan Malaya tahun-tahun 1880an. Ilustrasi berbentuk karikatur dapat dikesan dilukis oleh Abdullah Ariff dalam akhbar The Straits Echo sebagai propaganda anti British.Malah ilustrasi penting yang dilukis oleh Abdullah Ariff dimuatkan dalam buku Panduan Akal yang di terbitkan oleh Malaya Publishing House pada tahun 1955 yang menjadi teks kepada sekolah-sekolah di Persekutuan Tanah Melayu ketika itu. Buku ini telah dicetak sebanyak 70,000 pada tahun 1955, 20,000 naskah pada tahun1956 dan 60,000 naskah dicetak pada tahun 1958. Bayangkan betapa pentingnya buku ini kepada sekolah- sekolah ketika itu dan bayangkan juga pengaruh ilustrasi yang menjadi bacaan kepada murid-murid sekolah ketika itu. Bermakna kesedaran visual di kalangan mereka boleh dikesan ketika itu.


Monday, May 11, 2009

Kesedaran visual part 4- Wilayah Kesenian

Bagaimanakah hendak membentuk wilayah kesenian? hal ini perlu dijawab dengan mengaitkAlign Rightannya dengan kesedaran visual. Semakin tinggi darjah kesedaran visual bermakna semakin lebarlah wilayah kesenian itu.Proses melebarkan wilayah kesenian itu amat bergantung kepada bagaimanakah caranya kita boleh meningkatkan darjah kesenian visual itu. Dalam hal ini soal pendidikan adalah salah satu jawapannya. Mendidik sekumpulan masyarakat dalam institusi formal oleh guru-guru yang terlatih dalam bidang seni visual barangkali memberi impak yang sangat bermakna kepada kesedaran visual. Pelajar-pelajar inilah yang terbentuk melalui satu sistem kurikulum yang mengandungi kesenian akan keluar sebagai manusia yang barangkali sedar tentang kepentingan kesenian kepada kehidupan. Malah melalui institusi non formal juga manusia yang mempunyai kejelikitan dengan alam juga terdidik untuk mencintai pola-pola motif yang berlengkar dicelah-celah rona wajah alam. Semakin sedar manusia kepada visualisasi ini sepatutnya semakin sedar dirinya kepada pencipta estetika alam ini.

kesedaran visual part 3- Aktiviti Kesedaran Visual


Aktiviti kesedaran visual dengan melihat, meninjau, mengapresiasi serta menilai sesebuah karya seni memerlukan pertimbangan akal dan sensitiviti kalbu. Keperihatinan dan keseronokan mata bermain dengan imej-imej, motif serta ikon yang terkandung dalam karya seni sewajarnya memberi impak kepada audien khususnya audien yang terlatih dalam bidang seni visual. Kebiasaan dalam menyelami makna-makna yang terkandung pada pola-pola motif atau tema menambahkan lagi keseronokan berkomunikasi dengan karya-karya seni. Keenakan bermain mata dengan karya-karya seni ini menjamin seseorang itu memiliki khazanah rasa dan kepuitisan jiwa. Khazanah ini perlu dipupuk dan dibelai bagi menentukan halatuju dan wilayah kesenian di kalangan masyarakat kita. Bukanlah mudah membentuk wilayah kesenian ini tetapi dengan meningkatkan darjah kesedaran visual di kalangan masyarakat kita insyallah hal ini akan menjadi kenyataan.

Thursday, May 7, 2009

Kesedaran Visuai Part 2- Mengukur Kesedaran Visual


Bagaimanakah kita nak mengukur seseorang itu telah mengalami proses celik visual atau dengan perkataan lain bagaimanakah kita boleh mengetahui seseorang yang asalnya buta visual telah berubah menjadi celik visual? Persoalan-persoalan ini perlu dijawab dengan kajian yang terperinci. Kita boleh menggunakan kaedah eksperimental. Dengan mengambil sampelan individu atau kumpulan secara rawak. lakukan ujian bertulis atau objektif berpandukan slide gambar atau imej karya-karya seni. Jawapan dari ujian tersebut boleh digunakan untuk mengukur darjah kesedaran visual seseorang itu. Kedua lakukan ujian melukis dengan menggunakan pensil berpandukan objek-objek yang dipilih diletakkan di hadapan responden. Hasilnya juga boleh membuktikan darjah kesedaran itu. Ketiga melalui ujian apresiasi, respondon itu perlu membuat apresiasi secara lisan berpandukan karya seni yang sebenar. Percakapan itu direkodkan dan pengkaji itu boleh menilai sejauhmana darjah kesedaran visual responden itu.Seperkara lagi kita boleh menentukan ditahap manakah darjah kesdaran visual itu melalui ujian pre dan pos. Seseorang atau sekumpulan responden yang dpilih diberikan ujian pre dahulu kemudian setelah mengalami proses latihan yang dirancang dalam tempoh masa yang tertentu satu ujian pos dilakukan. Hasil ujian boleh dijadikan ukuran menentukan sejauhmanakah perubahan darjah kesedaran visual itu.

Kesedaran visual- Definisi dan makna


Kesedaran visual adalah satu istilah yang merujuk kepada kepekaan seseorang terhadap imej-imej bergambar yang terjelma di hadapan mata.Keseronokan mata bermain dengan imej-imej adalah episod yang boleh dikaitkan dengan kesedaran itu. Gelagat tersebut membentuk kod yang kemudiannya dihantar ke kotak pemikiran. Di situlah proses percernaan makna berlaku. Ia kemudiannya pula mengalir ke jiwa dan bertindak sebagai satu proses mengapresiasi dan menilai imej tersebut.Kegiatan timbal balik antara imej dengan mata,pemikiran dan jiwa akan membentuk persepsi individu ke arah celik visual. Bukanlah sesuatu yang senang mengubah paradigma buta visual kepada yang celik visual. Soal masa, ketekunan, minat dan latihan adalah faktur-faktur penentu. Oleh yang demikian bermain di mata dan belayar di hati adalah kalimat yang paling enak untuk memahami inti kesedaran visual itu.

Tuesday, May 5, 2009

Perasmian Blog

Saya Dr.Ahmad Suhaimi bin Mohd.Noor ingin merasmikan blog pertama saya. Semoga anda semua sudi mengunjungi blog ini dan dapat berinteraksi dengan saya melalui komen-komen yang diberikan. Terima Kasih.