Thursday, December 31, 2009

Cuti Sabatikal 176-Kembara Bali: MELUKIS POTRET HANI






31 Disember 2009 hingga tengah malam 1 Januari 2010 aku sibuk melukis. Mood melukis aku kembali datang. Kali ini aku melukis dengan menggunakan cat air. Aku melukis potret Hani. Aku dapat menyiapkan tiga buah catan potret Hani dengan menggunakan medium cat air sepanjang hari ini hingga larut pagi.


Ketika pulang ke Malaysia selama sebulan lepas aku juga sempat melukis dua buah catan cat minyak. Karya cat minyak ini aku perlu siapkan untuk Pameran Seni yang dikendalikan oleh Jabatan Seni Fakulti Seni dan Muzik UPSI yang akan diadakan pada bulan April 2010 di NN Galeri Kuala Lumpur. Aku perlu menyiapkan dua buah lagi catan cat minyak bila aku kembali semula bertugas di UPSI pada Mac 2010 nanti. Pagi ini aku telah menghantar email 'Artist Statement' dan Biografi Pameran kepada Dr.Fauzi untuk tujuan pengkatalogkan.


Sebuah lagi catan yang berlainan tema khusus beridentitikan figuratis humoris yang selalu menjadi kegemaran aku perlu aku siapkan untuk pameran di Horbart,Tasmania Australia pada Disember 2010 ( mengikut kata Penyelaras pameran Dr.Fauzi). Sambil aku menyiapkan penyelidikan, aku masih berupaya menghasilkan puluhan karya cat air yang bertemakan pantai-pantai di Bali. Aku berhajat untuk membuat pameran soloku yang kedua selepas ini bertemakan Bali. Pengalaman bercuti sabatikal selama 9 bulan di Bali banyak memberikanku input kebudayaan dan kesenian.

Terima Kasih BALI.( catatan: tambahan dua lagi potret 1januari 2010)

Cuti Sabatikal 175- Kembara Bali:SELAMAT PENGANTIN BARU









Aku terlalu lama tidak menulis untuk blogku sejak pulang ke Malaysia. Pelbagai aktiviti yang kulakukan sehingga aku tidak berkesempatan untuk menulisnya. Selain urusan penyelidikanku, aku juga terpaksa memeriksa disertasi calon Ph.D yang sama buat kali ketiga. Kini aku telah pulang semula ke Bali meneruskan cuti Sabatikalku. Banyak kenangan sepanjang sebulan aku di Malaysia antaranya urusan perkahwinan rakan-rakan, pertunangan anak saudara dan perkahwinan dua orang anak saudara yang dilakukan serentak di Ipoh.

Barangkali inilah pertama kalinya aku dapat bertemu enam lagi adik beradikku dan ibu serentak ketika perkahwinan itu diadakan di Ipoh sejak aku berpisah. Perkahwinan Fikri dan pasangannya serta adiknya Safiq dengan pasangannya telah disambut dengan meriah. Aku sempat bertemu dengan saudara maraku yang lama tidak berjumpa. Malah aku juga sempat bermalam di rumah abangku NoorRahman di Ipoh sempena perkahwinan kedua anak-anaknya.

Paman ucapkan Selamat Pengantin Baru.

Thursday, December 17, 2009

Cuti Sabatikal 174-Kembara Bali: SELAMAT PENGANTIN BARU






Hari ini bertarikh 1 Muharram 1431 bersamaan 18 disember 2009. Pada kesempatan ini saya mengucapkan SELAMAT MENYAMBUT MAAL HIJRIAH kepada seluruh kaum muslimin dan muslimat dan khususnya kepada rakan-rakan saya di Malaysia dan di Bali. Sudah lapan hari saya tidak menulis untuk blog ini. Malah kerana kesibukan urusan rasmi dan peribadi menyebabkan tertangguhnya penulisan ini.


Saya juga ingin mengucapkan SELAMAT PENGANTIN BARU kepada sdr Unan ( adik Zainal) dan pasangannya. Sebelumnya saya telah diberi penghormatan untuk menjadi jurucakap untuk meminang pasangannya yang tinggal di Bukit Indah, Ampang Kuala Lumpur. Alhamdulillah pada 12 Disember 2009 bersamaan hari Sabtu berlangsunglah pernikahannya di Masjid Bukit Indah, Ampang Kuala Lumpur. Sekali lagi saya diberi penghormatan menjadi pengapit dan saksi kepada pengantin lelaki manakala 13 Disember iaitu keesokannya diadakan majlis persandingan dan kenduri.


Rombongan pengantin lelaki dengan 8 buah kereta dari Tanjong Malim telah bermalam di apartmen yang telah disewa di Ampang. Saya, Zainal dan G tinggal berasingan di apartment Mokhtar ( abang Zainal) di Damansara.

Wednesday, December 9, 2009

Cuti Sabatikal 173-Kembara Bali: KESIHATAN YANG MEROSOT



Hari ini bertarikh 10 Disember 2009. Lebih kurang 14 hari atau dua minggu aku telah berada di Tanah air. Tidak banyak aktiviti yang aku lakukan melainkan menulis penyelidikanku, memeriksa dan menilai tesis Ph.D yang dibekalkan kepadaku oleh Dekan pada 30 Disember yang lalu. Pemeriksaan semula tesis itu perlu dilakukan buat kali ketiga. Malah mengikut Dekan FSM berdasarkan peraturan pemeriksaan semula akulah yang paling layak disebabkan aku Pemeriksa Dalam. Aku diberi tempoh 2 minggu. Kalau aku tidak pulang ke Tanah Air pun, tesis itu akan dihantar ke Bali untuk diperiksa semula olehku.


Aku jarang menulis blog melainkan kali terakhir pada 27 Disember ketika aku baru pulang ke Tanah Air. Aku pun jarang menjengok Facebook atau melayari internet. Kesihatan aku semakin merosot. Aku kerap demam dan batuk. Sudah dua kali aku menemui doktor untuk mendapatkan rawatan. Pertama di KLINIK DR. MAZLAN dan kedua PUSAT KESIHATAN UPSI. Aku bertanya kepada doktor UPSI adakah aku dijangkiti H1Ni. Doktor memeriksa seluruh badanku. Tiada virus itu katanya. Tapi aku nyatakan aku kerap demam dan batuk. Aku juga menyatakan aku mengidap sakit pinggang yang ngeri. Pemeriksaan pinggang dilakukan dan aku diberi ubat untuk demam,batuk,selsema, anti biotik dan sakit pinggang.


Dua hari yang lepas aku menerima rawatan bekam di pinggang,badan dan kakiku.Pusat rawatan itu di Supermarket Giant di Selayang. Aku ngeri melihat ketul-ketul darah merah pekat yang keluar dari seluruh badanku. Wah sakit juga bila kulit badanku direcih-recih dengan blette. Memang bekam adalah sunnah Rasullullah ada hadis yang menyatakan itu.

Thursday, December 3, 2009

Cuti Sabatikal 172-Kembara Bali: PULANG KE TANAH AIR









27 November 2009 jam 10 pagi aku bertolak ke Bandara Internasional Ngurah Rai Denpasar.Selepas chek in aku dan Suaidi ke warung makanan soto tidak jauh dari bandara. Soto di sini agak berbeda dengan soto di Malaysia. Soto di sini makan dengan nasi. Manakala soto di Malaysia makan dengan nasi himpit yang dimasukkan sekali dalam kuah soto itu.


Selepas itu aku chek in sekali di bandara itu sebelum berlepas. Aku menaiki pesawat MH714 Malaysia airline. Penerbangan dari Denpasar ke KLIA memakan masa 2jam 30 minit. Nampaknya pesawat MH714 tepat mengikut waktu pergi dari Denpasar dan sampai ke KLIA jam 3.30 petang. Aku berasa bangga dengan ketepatan waktu yang dilakukan oleh penerbangan Malaysia Airline ini.