Tuesday, January 5, 2010
Cuti Sabatikal 180-Kembara Bali: TRADISI ISLAM DI BALI
6 Januari 2010 aku masak menu 'khurma' telor pagi ini untuk sarapan pagi dan tengahari. Aku makan jam 11.30 pagi bersama Yanto rakanku dari Surabaya yang kebetulan tiba semalam. Beliau menginap di kamar sebelah rumahku. Kesukaannya ialah masakan khurma. Beliau menyatakan tidak pernah makan masakan ini di Indonesia. Aku mengirimkan 2 bungkus rempah khurma ketika beliau balik ke Surabaya minggu lepas. Rempah khurma bersama-sama rempah kari, sup dan rendang aku beli dan bawa dari Malaysia. Rempah-rempah ini tidak ada di Bali. Rempah kari dan sup di Indonesia berbeda sangat dari Malaysia. Mengikut Yanto dan ibu Gede rempah kari Malaysia lebih "keras".
Semalam aku ke Musolla Fastabiqul Khoirat, Sanur menunaikan solat Isya di sana. Aku kerap solat Jumaat di sini. Inilah Masjid/musolla yang paling hampir dengan rumahku selain Masjid Al Ikhsan. Aku kerap mengembara di masjid-masjid di Bali, selain dapat menunaikan solat fardhu berlainan masjid aku dapat mengumpul data-data penting mengenai seni bina masjid dan musolla di Bali. Cukup banyak data yang ku perolehi. Paling menarik aku dapat mengesan tradisi Islam yang begitu bersemarak di Bali.
Semua masjid dan musolla di Bali yang kukunjungi mengadakan kelas-kelas Fardhu Ain untuk kanak-kanak. Kelas mengaji quran, sirah dan Fekah untuk kanak-kanak diadakan sebelah petang atau malam. Guru-guru yang terdiri dari ustaz dan ustazah mengajar penuh dedikasi. Sahabat dan adik angkatku Suaidi dan Anur Rofiq yang begitu muda sekali telah diangkat menjadi ustaz mengajar al Quran di masjid dan Musolla. Suadi mengajar Al Quran di Masjid Ibn Batutha di Nusa Dua manakala Anur Rofiq mengajar Al Quran di Musolla di Denpasar. Di Musolla Fastabiqul Khoirat ini tiap-tiap malam diadakan kelas pengajian Fardhu Ain untuk kanak-kanak. Malah di tingkat atasnya disediakan bilik komputer untuk pengunjung yang memerlukan perkhidmatan pengkomputeran. Pengajian Fardhu Ain yang dikendalikan oleh ustaz dan ustazah itu dijalankan di tingkat bawah dan atas musolla. Beberapa halaqah mengikut umur dan kelas diasingkan.
Meja-meja panjang dan rendah yang disusun bertingkat di sudut masjid dan musolla adalah bukti wujudnya 'kelas beralih' fardhu ain di setiap masjid dan musolla di Bali. Aku tertarik dengan pengajaran Quran yang menggunakan kaedah IQRA. Kaedah yang menggunakan sebutan bunyi huruf ini sebenarnya telah tersebar ke Malaysia. Ia adalah diasaskan di pasentren Indonesia. Dahulu ketika aku belajar mengaji Quran pada tahun-tahun 60-an adalah berdasarkan huruf seperti alif, ba, sa/ alif di atas a, alif di bawah e, alif di depan u = a i u. Sekarang ini kaedah sebutan huruf seperti a ba sa. Orang Indonesia memang menggunakan kaedah sebutan itu ketika menyebut huruf-huruf roman. Mereka tidak akan menyebut A itu A tetapi a, B itu ba dan C itu ca. Kaedah penyebutan itu akhirnya digunakan pada huruf-huruf Arab iatu huruf yang digunakan dalam Al Quran. Nampaknya memang cepat dan lancar difahami dan disebut oleh kanak-kanak dan remaja.
Selain kelas Farhu Ain, kelas-kelas untuk orang dewasa juga diadakan seperti pengajian tafsir Al Quran dan Al Hadis. Ceramah-ceramah agama serta sambutan perayaan-perayaan penting dalam Islam seperti Maal Hijrah, Maulidurrasul dan solat Tarawih pada bulan Ramadhan. Paling istimewa ada masjid yang melakukan upacara perarakan Kitab Al Quran tulisan tangan bagi menandakan masuknya bulan Ramadhan, masjid itu ialah Masjid As Syuhada di Pulau Serangan yang menjadi perkampungan orang-orang Islam Bugis di Bali. Ada tiga perkampungan masyarakat Islam di Bali yang telah kukunjungi iaitu Kampung Kecincang di Karangasem ( mendaki gunung selama 2 jam setengah dengan kereta baru sampai), Pulau Serangan dan Kampung Pariaman di Singgahraja.
Di Bali wujud PASENTREN yang menjadi tulang belakang kepada perkembangan Islam di Bali. Aku telah mengunjunginya di LOLOAN TIMUR tidak jauh dari NEGARA. Juga terdapat beberapa PASENTREN MODEN di Denpasar yang menggabung sistem pengajian pondok dan kurikulum pengajian moden.
Paling menarik ketika mengunjungi beberapa masjid di Bali ialah wujudnya bangunan khas yang besar bersebelahan dengan masjid yang dipunyai oleh YAYASAN masjid itu sendiri. Misalnya Masjid An Nur di Denpasar mempunyai YAYASAN An NUR yang mengandungi pejabat,galeri dan tempat penginapan untuk musafir begitu juga dengan masjid-masjid yang lain. Aku kagum dengan hal ini. Di Malaysia aku rasa tidak ada yayasan bagi sesebuah masjid itu. Inilah keistimemaan masjid-masjid di Bali.
Percayalah orang-orang Bali baik masyarakat Hindu dan masyarakat Muslimnya sangat baik dan mesra. Aku terpesona dengan budi bahasa mereka. Walaupun sistem jalanraya di Bali agak teruk tetapi tidak berlaku langsung kemalangan jalanraya. Pemandu-pemandunya sangat berhemah walaupun lampu hijau dari dua arah menyala. Mereka tidak terburu-buru sebaliknya memberi laluan kepada pemandu yang lain. Tidak kedengaran bunyi hon walau pun macet( Traffic jam ). Jarang sekali aku dengar kejadian jenayah. Kalau pun ada ia dilakukan oleh orang luar Bali. Orang Bali cukup takut dengan hukum karma. Tidak ada "MAT REMPET" dan "MAT RAGUT'di Bali. Anda boleh berjalan kaki tengah malam tanpa ragu. Jalanraya dan Highway di Malaysia adalah terbaik di Asia Tenggara tetapi kadar kemalangan jalanraya di Malaysia adalah antara yang tertinggi di dunia. Setiap hari ada saja yang tewas dan terkorban disebabkan bas terbalik, kereta berlanggar atau motorsikal bertembung dengan kenderaan lain 'ORANG MALAYSIA LEMAH LEMBUT DAN BERBUDI BAHASA' tetapi bila di jalan raya 'MEREKA MENJADI GANAS,MENJADI LANUN DI JALANRAYA, TIDAK BERHATI PERUT'
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
Alangkah bagusnya jika masjid-masjid indah dan besar di Malaysia dibuat seperti di Bali.Saya lihat sebahagian masjid di Msia langsung tiada lanskap. Tiada elemen air dan flora untuk 'menyejukkan' bangunan yang 'keras'. Pendek kata dan panjang kata dalam minda kita, masjid hanya tempat bersolat dan usroh.Mengapa tidak kita buat latihan silat ,olahraga yang mudah atau apa saja yang boleh memancing minat golongan muda ke masjid.Tidaklah dikatakan masjid hanya untuk golongan pencen saja
ReplyDeleteiya ibu saya hampir terlupa. Sebuah masjid paling indah di Denpasar Bali bernama Masjid Al Hikmah mempunyai sepenuhnya gaya Bali. Ukiran kayu dan konkrit yang bermotifkan flora. Saya pernah tulis sebelum ini dalam blog saya. Tapi yang ingin saya ceritakan ialah tiap-tiap malam selepas isya ada latihan silat di kalangan remaja di perkarangan masjid itu. Saya lupa apa nama silat itu..
ReplyDelete