Tuesday, January 26, 2010

Cuti Sabatikal 196-Kembara Bali: MENJEJAKI PULAU LOMBOK 7-PANTAI SEGAR



Selepas puas menghirup udara segar di Pantai Kuta,Lombok aku dan suadi menyusur di celah-celah bukit menuju arah yang tidak pasti. Cuma satu tujuan kami iaitu mencari lagi pantai yang cantik dan menarik di sekitar kawasan itu. Setelah puas mencari kami terjumpa papan tanda yang daif bertulis Pantai Segar. Kami lalu mengikut arah papan tanda itu menyusur jalan tar dan jalan tanah di bawah pohon kelapa.






Puas kami meredah jalan kecil menuju celah-celah bukit akhirnya kami menemui satu pantai yang paling cantik dari ketiga-tiga pantai yang telah kami lawati di Pulau Lombok ini. Angin yang bertiup kencang serta lautan berwarna biru dengan onbak putih yang bergulung-gulung mengejar pantai yang putih benar-benar menakjubkan. Pantai ini masih belum terusik.



Kelihatan beberapa orang Bule atau Mat Salleh sedang "surfing" di celah-celah ombak itu. Nampaknya Bule lebih dahulu menghidu kewujudan pantai yang memiliki ombak yang menggulung ini. Bule tidak gemar kepada pantai yang tiada ombak. Mereka suka kepada cabaran. Mereka suka kepada aktiviti sukan tahan lasak seperti "surfing" itulah sebabnya mereka akan mencari di manakah terletaknya pantai dan laut sebegini.




Aku menyaksikan satu panorama yang indah di sebelah pantai itu iaitu bukit bukau berumpun yang menghijau. Kelihatan juga kerbau-kerbau sedang meragut rumpun di lereng-lereng bukit itu. Panorama ini mengingatkan aku di lereng-lereng bukit di New Zealand ketika aku berkunjung ke sana dahulu. Bedanya ialah di sini, kerbau manakala di sana, lembu.




Aku berehat sambil makan minum di gerai yang ada di situ. Itulah satu-satunya gerai makanan dan minuman yang ada di tepi pantai itu yang diperbuat dari bahan binaan yang ringkas iaitu dari buluh bearatapkan daun lalang.

No comments:

Post a Comment