Monday, January 25, 2010
Cuti Sabatikal 192-Kembara Bali: MENJEJAKI PULAU LOMBOK 3-SAWAH PADI
24 Januari 2010 pada tarikh yang sama ketika aku dan Suaidi dalam perjalanan ke pantai Senggigi aku menyaksikan panorama yang menghijau di kiri kanan jalan. Pemandangan sawah padi yang saujana memandang mengingatkan aku kepada panorama yang hampir sama di Sungai Besar dan Sabak Bernam, Selangor,Seberang Perai di Pulau Pinang dan Kedah di Malaysia. Bedanya tidak ada parit atau tali air di sini. Sistem pengairannya berbeda. Jadi tidak nampak pembahagian besar tapak-tapak sawah, seolah-olah ia bersambung tanpa batasan melainkan batas biasa.
Satu lagi perbedaan yang besar antara sawah padi di Indonesia dan Malaysia ialah penggunaan tenaga manusia di Indonesia dan penggunaan jentera di Malaysia. Di Indonesia semuanya menggunakan tenaga manusia sebaliknya di Malaysia semuanya dilakukan oleh jentera berat dari proses membajak tanah, menyemai benih, menanam padi, menuai dan mengkisar padi untuk mendapatkan beras.Penggunaan tenaga manusia dan kerbau di sawah-sawah padi di Malaysia pernah dilakukan 20 tahun dahulu dan kini tidak kelihatan lagi baik di Sungai Besar dan Sabak Bernam di Selangor, Seberang Perai di Pulau Pinang atau "Jelapang Padi" di Kedah.
Di Lombok aku menyaksikan proses menanam padi dilakukan oleh kebanyakan wanita-wanitanya. Ketika aku berhenti untuk merakamfoto wajah dan aktiviti mereka, semuanya berpalih ke arahku seakan-akan sesuatu yang aneh bagi mereka. Aku meminta izin kepada mereka untuk merakamfoto wajah-wajah mereka itu. Aku tertarik melihat gelagat mereka seolah-olah sesuatu yang harmonis antara manusia dengan alam bila mereka sedang menanam benih-benih padi. Seolah-olah juga mereka sedang bercakap dan berkomunikasi dengan tanaman mereka. Aku teringat novel-novel karya Sasterawan Negara Shahnon Ahmad yang pernah menjadi pensyarahku di USM tahun 1976 dan 1977 dahulu ketika aku mengambil papernya "Novel-Novel Malaysia". Karya besarnya yang diterjemahkan dalam pelbagai bahasa dunia "Ranjau Sepanjang Jalan", "Srengenge", "Rentong", "Seluang Menodak Baung" dan lain-lain pernah menceritakan kisah sawah padi dan penggunaan tenaga manusia dan sinisnya penggunaan jentera ketika itu.
Aku juga menyaksikan sawah padi teres juga wujud di sini tetapi tidaklah seindah di Padang dan Bukit Tinggi di Sumatera dan di Ubud, Bali. Sayangnya sawah padi teres tidak ada di Malaysia disebabkan penggunaan jentera yang berluas-luasa yang memerlukan tanah yang rata.
Angin yang dingin, segar dan nyaman bertiup menyejukkan badan dan minda. Pemandangan yang menghijau ini sungguh mempesonakan. Bayangkan kita berada di tengah-tengah kehijauan sawah yang melaut ini. Alangkah kerdilnya kita dibandingkan dengan kehijauan alam yang luas ciptaan Allah ini. Sejuk mata memandang.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment