Monday, January 11, 2010

Cuti Sabatikal 184-Kembara Bali: PELAPIS DAN PEWARIS TARIAN BALI








10 Januari 2010 ketika aku dalam perjalanan ke Masjid Al Ikhsan,Sanur untuk solat asar, aku terserempak dengan satu acara latihan di Banjar Rawon jalan Danau Beratan. Aku berhenti sebentar menyaksikan acara itu sementelah pula waktu asar masih belum masuk lagi.


Wah..cukup menarik gadis cilik yang masih bersekolah Dasar ( di Malaysia dipanggil sekolah kebangsaan) sedang belajar menari. Mereka dilatih oleh beberapa orang gadis remaja. Aku terpesona melihat kanak-kanak kecil yang jumlahnya ramai ini menari. Cukup bergaya dengan lenggang lenggongnya terutama kepala, pinggul, mata dan jari jemarinya. Lentuknya membayangkan merekalah yang akan menjadi pelapis seni tari itu. Aku percaya itulah "TARIAN PENDET" yang menjadi isu kontroversi antara Malaysia dan Indonesia beberapa ketika dulu. Memang aku mengetahui ada pelbagai jenis tarian Bali yang selalu dimainkan di Bali dan aku pernah menyaksikannya dalam acara rasmi dan bukan rasmi.


Inilah keistimewaan Bali. Bali menyediakan segala-galanya. Bukan setakat panorama indah laut dan pantai,sawah padi,tasek, gunung berapi, tanah tinggi yang dingin dan manusianya yang budiman tetapi yang lebih pentingnya ialah kebudayaannya, Muzik Gamelan Bali, Tarian Bali, Ukiran Bali,Lanskap Bali, catan Bali, Seni Bina Bali, Teater Bali,Bahasa Bali, Aksara Bali, Massage dan SPA Bali, Aroma Bali dan Feshen pakaian Bali. Itulah sebabnya Bali diiktiraf oleh Majalah di Amerika sebagai Pulau Pariwisata No 1 dalam dunia. Pulau-pulau di Malaysia tidak ada itu semua. Cuma yang ada ialah keindahan panorama pantai sahaja.


Dalam hal tarian ini aku teringat Malaysia. Ah... malu aku nak menyatakan, bukan sahaja tarian malah balairayanya ( di Bali dipanggil BANJAR) sentiasa lengang dan sunyi. Di tempat aku dahulu balairayanya "TEMPAT KAMBING MENARI". Berbeza sungguh antara balairaya di Bali dengan balairaya di Malaysia. Balairaya di Bali sentiasa hidup penuh dengan acara dan upacara. Latihan tarian Bali, latihan muzik gamelan Bali dan pelbagai acara lagi yang diadakan setiap hari. Ada sahaja progrem yang dijalankan di balairaya atau banjar itu. Satu banjar mewakili satu perkampungan atau penempatan. Malah balairaya atau banjar itu sangat berdekatan antara satu sama lain. Di Jalan Danau Beratan ini sahaja sekurang-kurangnya ada empat banjar atau balairaya. Bayangkan masing-masing ada sahaja acaranya. Permainan muzik gamelan Bali sentiasa menjadi acara yang penting.


Di Malaysia, kanak-kanak Sekolah Kebangsaan dan murid-murid sekolah menengah sangat sibuk ke kelas Tuisyen atau ke pusat Internet. Mereka tidak ada masa untuk belajar menari atau untuk acara kebudayaan. Tuisyen dan Siber Kafe telah menjadi "acara budaya baru" di Malaysia. Ibu bapa di Malaysia sanggup menyerahkan anak-anak ke kelas tuisyen yang dikendalikan oleh sesetengah guru-guru yang tidak ada kelayakan mengajar( latihan perguruan seperti Diploma Pendidikan atau Bacelor Pendidikan).Ibubapa di Malaysia sanggup menghabiskan wang ringgit untuk itu sehingga mengabaikan aspek kehidupan lain kanak-kanak dan remaja mereka. Yang penting bagi mereka ialah "BERAPA A YANG ANAK MEREKA BOLEH DAPAT." Ibubapa di Malaysia sangat merasa "BERDOSA" kalau tidak menghantar anaknya ke kelas tuisyen. Malah ibubapa yang terdiri daripada guru-guru yang berkelayakan pun sanggup menyerahkan anak-anaknya kepada "guru-guru yang tidak berkelayakan ini." Ada juga guru yang mengajar sambil lewa mengajar di sekolah rasmi kerajaan tetapi beriya-iya mengajar di pusat tuisyen macam doktor perubatan yang berkhidmat dengan kasar di hospital kerajaan tetapi lemah lembut bila berkhidmat di klinik dan hospital swasta.


Pusat tuisyen sangat berbangga bila diumumkan keputusan murid-muridnya yang berjaya dalam peperiksaan awam seolah-olah merekalah yang menyebabkan kejayaan itu. Pada hal murid-murid itu berjaya kerana belajar di sekolah rasmi kerajaan dan pusat tuisyen hanya menumpang sahaja.

1 comment:

  1. Ibu bapa di Malaysia lebih suka melihat gred exam anak.... budaya peperiksaan dalam pendidikan Malaysia...

    ReplyDelete