Monday, January 4, 2010

Cuti Sabatikal 179-Kembara Bali: MASJID dan LANSKAP







5 Januari 2010 pagi ini aku masak awal dan makan awal-sarapan pagi dan makan tengahari sekali. Aku masak sambal tumis ikan bilis (orang Indonesia panggil Keri) petai. Sejak 5 hari aku kembali ke Bali aku masak beras merah yang kurang kabohaiderat dan sangat sesuai untukku pengidap diabetes. Beras ini agak mahal Rp 25000 sekilo menyamai RM10. Beras ini ditanam di bukit-bukit dengan sistem pengairan khas. Beras merah ini kalau dimasak berbau pandan, wangi sekali.


Semalam aku solat Maghrib dan Isya di Masjid Al Ikhsan, Sanur. Masjid ini lebih kurang 200 meter jaraknya dari pantai Sanur. Di sebelahnya padang Golf Sanur manakala di belakangnya hotel Sanur. Aku suka dengan seni binanya yang terbuka. Melainkan tembok di bahagian Mihrab, keliling masjid ini kelihatan terbuka dengan tiang-tiang yang menjadi pendokong. Bumbung masjid ala seni bina pura Hindu di perbuat dari kayu belian yang ditarah menjadi kepingan-kepingan genting. Nampak dari jauh berwarna hitam seperti atap nipah. Beranda masjid luas. Lanskapnya sangat menarik dengan pohon palma dan pohon renek yang dijaga dengan baik. Rumput yang mengelilingi kawasan masjid dipotong rapi. Seluruh kawasan masjid bertembok. Kawasan masjid yang berumput itu umpama sebuah taman yang dijaga lanskapnya. Kanak-kanak boleh berlari dan bermain di kawasan itu malah ibubapa pun boleh berehat di situ. Apatah lagi ia kelihatan redup dan teduh.


Sepanjang lebih 6 bulan aku di Bali puluhan masjid dan Musolla yang kukunjungi. Ramai orang asing yang tidak mengetahui bahawa terlalu banyak masjid dan musolla yang ada di pulau Bali. Hampir 200 masjid di seluruh Bali manakala di Denpasar sahaja ada 70 buah masjid dan Musolla. Cuma masjid dan Musolla di Bali tersorok. Mencarinya agak payah terpaksa melalui "gang tikus' yang hanya boleh dikunjungi dengan sepeda motor( motorsikal) atau berjalan kaki kerana gang tikus itu sempit dan tidak boleh dilalui menggunakan mobil( kereta). Hanya pura sahaja yang kelihatan di tepi-tepi jalan kerana Bali adalah wilayah Hindu. Jadi keistimewaan adalah kepada Pura. Berbeda dengan Pulau Jawa dan Sumatera yang Islam adalah agama terbesar jadi masjid-masjid bisa sahaja ditemui sepanjang jalan di situ.


Di mana sahaja masjid dan musolla yang kutemui di Bali tidak akan mengenepikan lanskapnya. Sekecil-kecil musolla lanskapnya tetap ada. Inilah kelebihan masjid-masjid di Bali. Tidak kira masjid itu terletak di bandar atau di desa-desa, lanskap tetap ada dan terpelihara. Aku kagum dengannya. Ini bermakna orang Muslim Bali sama dengan orang Hindu Bali tetap menganggap alam adalah sebahagian daripada kehidupan yang perlu diterjemah dan direalisasikan. Konsep mesra alam itu memang benar-benar dinyatakan secara zahir. Semua masjid di Bali indah-indah belaka. Bahan kontruksinya dari mar-mar atau mozaik. Barangkali bahan ini murah dan mudah diperolehi. Apatah lagi upah pekerjanya jauh lebih murah dibandingkan dari Malaysia.


Dalam hal ini Malaysia perlu belajar daripada Bali. Kebanyakan masjid dan surau di Malaysia langsung tidak mementingkan taman dan lanskap. Siaknya hanya bertugas menyapu lantai dan menyediakan sejadah sahaja. Keliling masjid terbiar tiada pokok bunga, tiada rumput yang terjaga apatah lagi tiada taman dan lanskap. Masjid hanyalah bangunan konkrit yang tiada bernyawa. Cubalah anda kunjungi kamar kecil (tandas) di mana-mana pun masjid dan musolla di Bali, semuanya bersih dan terjaga. Sebaliknya pergilah ke tandas-tandas masjid dan surau di Malaysia berapa peratus yang boleh dianggap bersih dan terjaga. Pengalaman mengembara di masjid-masjid Malaysia membuktikan kenyataan ini. Malah aku pernah terbantut membuang air besar kerana tandas di beberapa masjid Malaysia yang kukunjungi sangat kotor dan menjijikkan. Aku sangat elegik dengan tandas. Kalau aku mau muntah angin ini bermakna tandas itu kotor. Sejak aku bujang sampai kini, aku suka mencuci tandas. Aku sentiasa maukan tandas atau kamar kecilku bersih dan wangi. Tandas di rumah sewaku di Bali aku letakkan dua pasu bunga kecil dan sekotak haruman yang digantung.


Aku menyeru kepada pengerusi masjid dan ahli jawatankuasa masjid di Malaysia buatlah rombongan pariwisata ke Bali kunjungilah masjid-masjid di Bali anda pasti terpesona dibuatnya. Selain taman dan lanskap kegiatan mengimarahkan masjid tetap meriah. Malah kelas mengaji quran sentiasa diadakan di masjid dan musolla pada waktu siang atau selepas Maghrib menunggu Isya. Khutbah Jumaatnya paling mempesonakan. Khatib di Bali dan di Indonesia berkhutbah tanpa teks sebaliknya khatib di Malaysia membaca khutbah. Pengalaman aku bersolat Jumaat di masjid Jamek Tg. Malim membuktikan itu semua. Ketika rakyat Palestin digodam Israel, khatib membaca khutbah tentang iman dan taqwa.

2 comments:

  1. Bangga dengan pandangan Dr tentang masjid dan surau di Malaysia. Kita serupa, tidak akan masuk tandas yang memualkan.Sikap begini datang dari mentaliti. Kalau benar-benar taat kepada Rasul, pasti ajarannya juga diikutin.Teruskan kembaraMu.

    ReplyDelete
  2. Assalaamu 'alaikum,
    Pak Suhaimi, sepertinya di Bali lebih bersemangat menulis, ya. Mungkin di Malaysia disibukkan oleh banyak kegiatan. Ya, setiba di Bali kembali, tampak tulisan Bapak mengalir lagi. Syukurlah.

    Coba Bapak hubungi Pak Made Sutama, menuarut Pak Hardiman Bapak akan diminta menampilkan makalah lagi. Saya belum sempat bertemu dengan Pak Dekan.

    Amatan Bapak tentang keruangan (lanskap) masjid bisa menjadi bahan tulisan panjang tuh. Seperti Bapak tulis, bisa dibandingkan dengan kondisi di tempat lainnya. Selamat berkarya lagi.

    ReplyDelete