Tuesday, September 1, 2009

Cuti Sabatikal 102-Kembara Bali: Mandi Hujan


2 September 2009 adalah hari yang bertuah bagiku. Sepanjang 3 bulan aku berada di Bali baru dua kali menikmati hujan. Cuaca yang panas di waktu siang meresahkan pergerakanku terutama bulan Ramadhan ini. Aku hanya keluar ke tempat peranginan pada bulan puasa ini sekadar membawa tamuku Zaba untuk menikmati keindahan kawasan tersebut, tetapi bila dia pulang ke Sarawak aku duduk di rumah sahaja. Terasa juga kesunyian dan keenakan masakannya. Tiba-tiba malam tadi jam 11 malam hujan turun agak lebatnya. Pada mulanya gerimis mulai jam 9 malam dan sebelah siangnya agak mendung. Apa lagi aku terus sahaja keluar rumah dan mandi hujan di perkarangan rumah sewaku. Oh bahagianya. Aku teringat waktu kecilku di kampung dahulu ( Kampung Pauh,Behrang Stesen,Perak), aku memang pantang melihat hujan turun. Aku akan mandi hujan dengan rakan-rakan sekampung. Aku teringat arwah Shaari, arwah Bakhtiar dan lain-lainnya, kami akan main bola di padang kalau hujan turun. Malah kami akan empang air hujan itu dalam longkang dan kemudiannya belayar turun mengikut air hujan itu.Wow satu permainan yang kanak-kanak sekarang ngak bisa melakukannya. Paling menarik hujan batu selalu turun di kampungku dulu..apa lagi berdepek-depek bunyinya menimpa kepala dan badan. Memang benar ketul-ketul ais yang kecil-kecil jatuh menimpa badan. Sakit juga tapi seronok jadi permainan melawan hujan ketul ais itu. Bila hujan batu turun bunyi zink atap rumahpun jadi bising. Itu yang membezakan hujan biasa dengan hujan batu. Orang-orang tua kata kalau hujan batu datang minum ais batunya nanti jadi pintar. Wah..entah berapa gelas ais batunya kutelan. Itulah agaknya aku bisa lulus B.A Hons, M.Ed dan Ph.D (jangan percaya kurafat).Aku benar-benar puas menikmati air hujan di Bali yang sentiasa ku tunggu-tunggu. Rupa-rupanya hujan yang lebat itu datang lagi jam 8 pagi ketika aku enak tidur. Aku kesejukan ngak bisa bangun. Suara lebatnya berdesing di telinga.

2 comments:

  1. wah.....mandi hujan eak. Sebenarnya hujan yang turun setelah sekian lama tidak hujan, tidak baik untuk kesihatan. Hujan asid ... semua yang yang terkumpul selama ni turun bersama hujan tu. Nanti sakit padan muka....he he he

    ReplyDelete
  2. Alhamdulillah ngak sakit bu..Allah bagi kekuatan kepadaku. Ibu gimana sekarang?

    ReplyDelete