Wednesday, September 30, 2009

Cuti Sabatikal 131-Kembara Bali: K.O.R.B.A.N. G.E.M.P.A B.U.M.I



1 Oktober 2009 aku dikejutkan dengan hujan yang deras sebelum subuh. Sehingga jam 10 pagi ketika aku menulis ini cuaca mendung, cahaya matahari belum bersinar lagi. Selalunya jam 6.30 pagi matahari begitu galak memyinar. Aku masak mee goreng sambil menonton televisi siaran Metro TV. Sejak malam tadi aku menonton siaran tv itu untuk mengikuti perkembangan gempa bumi yang berlaku di Pariaman,sumatera Barat pada hari semalam 30 September jam 17.16 sore dengan kekuatan 7.6 Sekala Ritcher. Ketika aku masak tadi aku terdengar bunyi HP aku berbunyi. Aku meletakkan HP di atas katil dan dapur jauh dari kamarku. Bila kulihat rupa-rupanya SMS dari Violet yang tinggal di Singapura dan adikku Azhar dari Kuala Lumpur yang cemas takut-takut aku terlibat dalam gempa itu.

SMS Violet berbunyi:

"Dr.Suhaimi,are u ok? Stil alive?
i read the news about earthquake which happen at indons"

SMS adikku Azhar pula:
"Akum bang mcmane ok ke gempa bumi...kena tak"

Aku lambat membalas SMS tu kerana aku tengah masak. Sambil aku menaip ini aku menyaksi dan mendengar berita-berita yang memilukan. Hampir 390 orang yang tewas setakat berita ini ditulis. Ratusan lagi masih terperangkap. Gedung-gedung perniagaan dan gedung-gedung pemerintah roboh ranap ke bumi. Universiti Andalas,Padang ranap.Jambatan roboh. Bandara Internasional Minangkabau,Padang ditutup. Banyak hotel besar di Padang ranap termasuk Hotel Ambacang Dan HOTEL BUMIMINANG. Aku pernah tinggal beberapa hari di HOTEL BUMIMINANG sebuah hotel yang mewah,cantik dan dekoratif ketika kunjungi rasmi mengiringi Datuk VC ke Universitas Negeri Padang beberapa tahun yang lalu.

Foto-foto pilu dan suara tangisan mengiringi gempa itu. Wajah-wajah parah dan terluka terbaring dan terperangkap dalam runtuhan itu. Aku benar-benar terharu. Alangkah bahagianya rakyat Malaysia, tidak pernah mengalami gempa bumi atau gunung berapi. Yang sering berlaku ialah tanah runtuh dan banjir cuma tempias Tsunami berlaku ketika Acheh dilanda Tsunami itu.

Peringatan dari ALLAH AZZAWAJALLA kepada semua manusia. Kekuasaannya mengatasi segala-galanya. Kepada ALLAH lah kepunyaan bumi ini, maka terpulanglah kepada DIA menentukan segala-galanya.Kita sebagai hambanya hanya mampu berdoa.

Cuti Sabatikal 130-Kembara Bali: G.E.M.P.A B.U.M.I L.A.G.I





30 September 2009 baru sebentar tadi satu lagi gempa bumi yang amat kuat iaitu 7.6 Sekala Ritcher dengan kedalaman 71 kilometer telah berlaku di Pariaman,Sumatera Barat pada jam 17.16( mengikut Dr.Roskang Pariaman itu bermaksud "safe area"). Gempa ini melebehi kekuatan gempa di Jawa dan Bali baru-baru ini. Mengikut Metro TV banyak gedung-gedung yang roboh di bandar Padang. Kemalangan jiwa belum diketahui lagi. Gempa susulan berukuran 6.2 SR baru sebentar berlaku pada jam 17.36 di barat daya Pariaman, Sumatera Barat.

Sepanjang aku berada di Bali ini aku telah mengalami 3 gempa bumi. Paling kuat gegarannya ialah di Bali baru-baru ini sehingga menggegarkan rumahku. Pulau Sumatera, Jawa dan Kalimantan berada di kerak bumi dibawah lingkungan "lingkaran cincin berapi" bila-bila masa sahaja akan meletuskan gerakan bawah bumi yang menyebabkan gempa bumi dan Tsunami tanpa pengetahuan manusia melainkan ALLAH AZAWAJALLA sahaja. Kata Dr.Roskang "Bumi Indonesia menjerit kerana jenazah NOORDIN MAT TOP dibawa balik ke Malaysia pada esok hari 1 Oktober(khamis)"

Cuti Sabatikal 129-Kembara Bali: O.P.E.R.A.S.I R.U.M.A.H




30 September 2009 selepas sarapan pagi- makan nasi sambal petai ( aku masak sendiri), aku mengemas rumah. Dari bilik air ke bilik tidur ke ruang tamu hinggalah ke dapur aku cuci. Wah memang eksesais yang bagus. Peluh memancar-mancar membasahi lantai. Maklumlah dah lama tak eksesais.Sebenarnya rumahku sentiasa bersih tapi kali ini aku "ekstra bersih" sebab ada dua orang tetamu yang akan datang esok. Tunggulah siapakah tetamu itu? Seorang datang siang, seorang lagi datang malam. Agaknya mereka masing-masing tidak mengetahui ya? Insyaallah aku akan dua kali ke bandara (bandar udara-lapangan terbang)Ngurai Rai,Denpasar esok.

Kedatangan mereka adalah atas urusan rasmi sebagai mewakili UPSI untuk menghadiri SEMINAR INTERNASIONAL KHAZANAH SENI RUPA NUSANTARA yang dianjurkan oleh UNIVERSITAS PENDIDIKAN GANESHA(UNDIKSA),SINGARAJA sebagai pembentang kertas kerja dan peserta. Aku juga akan membentangkan kertas kerja bertajuk PERANG PERAK: SATU MANIFESTASI VISUAL dalam seminar itu. Melalui blog http://rupasenirupa.blogspot.com,mengikut Pak Jajang (dosen Senirupa Undiksa) aku juga disepakati oleh jawatankuasa sebagai moderatur untuk beberapa sesi pembentangan. Insyaallah tidak menjadi masalah kepadaku kerana sudah biasa melakukannya.

Ini bermakna sepanjang empat bulan aku di Bali aku telah menghadiri dua seminar besar iatu KONVENSYEN DAN FESTIVAL INTERNASIONAL BUDAYA BALI UTARA dan SEMINAR INTERNASIONAL KHAZANAH SENIRUPA NUSANTARA serta PAMERAN SENIRUPA BULIAN anjuran UNDIKSA . Aku juga telah menghadiri Perasmian PESTA KESENIAN BALI KALI KE 3I oleh Presiden Indonesia Bambang Susilo di Denpasar serta menyaksikan pelbagai persembahan kebudayaan dan kesenian dalam pesta itu. Malah aku cukup bertuah kerana banyak menyaksikan upacara kebudayaan yang diamalkan oleh penduduk Bali sama ada penganut Hindu atau Muslim. Semuanya itu adalah data-data yang membantuku untuk menulis penyelidikan yang sedang aku jalani ini.

Tuesday, September 29, 2009

Cuti Sabatikal 128-Kembara Bali: PERPUSTAKAAN NASIONAL




29 September 2009 aku dijemput oleh Suaidi di rumahku jam 10 pagi ke perpustakaan Nasional, Denpasar. Inilah pertama kali aku masuk ke perpustakaan itu. Selama ini aku hanya melawat muzium dan galeri sahaja. Aku memang mengetahui letak kedudukan perpustakaan nasional ini tetapi aku bimbang tidak dibenarkan masuk sebab aku tidak mempunyai KTP-Kartu Tetap Penduduk. Aku hanyalah orang asing yang mempunyai Visa Kunjungan sahaja. Mengikut Suaidi tidak mengapa, kita masuk sahaja. Aku masuk ke perpustakaan ini membelek buku dari satu rak ke satu rak. Hampir semua bukunya dalam Bahasa Indonesia. Buku-buku asing juga diterjemah ke dalam Bahasa Indonesia. Tidak ada satu pun buku dalam Bahasa Malaysia.

Inilah salah satu kelemahan perpustakaan Indonesia.Di Perpustakaan Nasional Malaysia terlalu banyak buku-buku dalam Bahasa Inggeris, Bahasa Arab, Bahasa Melayu, Bahasa Indonesia dan buku-buku bahasa asing yang lain. Pengguna pelbagai bangsa boleh menggunakan pelbagai jenis buku daripada pelbagai jenis bahasa. Malah yang paling lemah ialah sistem pengesanan buku. Teknologinya amat kurang penggunaan komputernya sangat terhad. Mikro filemnya juga tidak ada. Aku melihat Perpustakaan Nasional ini barangkali perpustakaan awam di Malaysia 20 tahun dahulu yang hanya menyediakan lembaran-lembaran kertas sahaja. Stafnya ramai tetapi kurang bermakna hanya bising melakukan kerja. Penggunanya membaca buku sebaliknya pekerjanya pula yang bising.

Aku menyuarakan hal ini kepada Suaidi. Malah ku ceritakan pada Suaidi Kedai buku BORDERS di Kuala Lumpur dan Penang, bukan sahaja pengguna boleh membeli buku, tetapi juga boleh membaca buku di situ, di ruangan tempat duduk yang disediakan malah boleh menjamu selera di kafe yang disediakan. Dia tercengang bila kuceritakan hal itu.

Banyak perkara Indonesia perlu belajar dari Malaysia. Jangan malu walaupun Malaysia pada anggapan Indonesia adalah adik kandung tetapi adik kandung ini cepat membesar, dewasa dan matang mengatasi jauh abang kandungnya. Sepanjang saya berada di Bali dan kerap mengunjungi Jawa dan Sumatera banyak kelemahan yang saya lihat dari sistem pentadbirannya. Kantor Imigrasi paling lemah. Di Malaysia visa boleh diperolehi dalam masa satu hari dan pasport paling lama 3 jam tetapi di Indonesia tidak begitu, visa berhari-hari malah terlalu cerewet. Kantur perpustakaan nampaknya perlu banyak diperbaiki. Sistem pendidikannya, sistem jalanraya, sistem teknologi komunikasi banyak yang perlu dipelajari dari Malaysia. Indonesia tidak perlu belajar jauh dari Amerika atau dari Jepang, belanjanya mahal. Datang sahaja ke seberang( Malaysia) paling dekat, lihatlah sendiri kenyataannya. Ya aku teringat kata-kata Bos atau Taukeh Nabila Internet( orang Islam). Dia belajar komputer di Petaling Jaya puluhan tahun dahulu dan sekarang dia menjadi usahawan yang berjaya membuka pusat Internet paling popular di Sanur hasil dari pembelajarannya di Malaysia.

Monday, September 28, 2009

Cuti Sabatikal 127-Kembara Bali : K.E.T.I.K.A C.I.N.T.A B.E.R.T.A.S.B.I.H kali ke 2



28 September 2008 Suaidi datang ke rumahku. Aku meminta tolong memasukkan foto-foto harirayaku dalam Facebook. Setelah selesai kami ke Denpasar makan dan minum. Aku telah lama tak makan bakso. Wah kali ini memang enak baksonya, cuma sedikit pedas. Selepas itu aku dan Suaidi ke bioskop sekali lagi menonton filem KETIKA CINTA BERTASBIH part 2 di Denpasar. Sementara menunggu masuk maghrib dan tayangan bermula, aku duduk berbual-bual di bangku yang tersedia dengan dua orang gadis Bali yang kebetulan akan menonton filem yang sama. Salah seorangnya ialah pramaguri Air Asia namanya Vernandesh ( foto sebelah kiri berbaju kuning) dan beliau biasa ke Kuala Lumpur kerana bertugas dengan pesawat Air Asia dari Denpasar ke Kuala Lumpur. Aku sempat merakamkan wajahnya yang jelita itu. Aku juga meminta izin untuk memasukkan fotonya dalam blogku. Alamat blogku http://orangbehrang.blogspot.com dan emailku suhaimie.noor@yahoo.com kuserahkan padanya. Aku masuk lewat ke bioskop setelah menunaikan solat Maghrib berjemaah di Musolla yang disediakan di tingkat atas bioskup.

Sunday, September 27, 2009

Cuti Sabatikal 126-Kembara Bali: S.Y.A.W.A.L.A.N






27 Sepetember 2009 jam 5 sore Rofiq datang menjemputku di rumah.Dia telah sms ku untuk menjemputku ke majlis SYAWALAN yang diadakan di Bali Beach,Sanur. Majlis ini adalah acara tahunan yang disambut oleh kaum Muslimin Denpasar pada hari ke lapan seminggu selepas lebaran di tepi pantai Sanur mulai jam 5 sore sampai ke Maghrib. Dalam majlis ada acara berkelah sekeluarga dengan bekalan yang dibawa, sambil bermain dan mandi manda di laut, berkenoing atau apa saja yang difikirkan yang boleh menggembirakan mereka. Acara tradisi ini mengundang puluhan ribu manusia Muslim yang datang berkunjung ke pantai tersebut. Memang terlalu ramai dan penuh sesak dengan manusia. Jalan Hang Tuah yang menjadi laluan utama ke pantai itu "macet" dengan kenderaan sepeda motor dan mobil. Aduh aku terkepung dengan kepadatan manusia itu. Alhamdulillah Rofiq dan keluarga membawa bekalan nasi, lauk pauk dan minuman untuk kami santapi nanti.

Saturday, September 26, 2009

Cuti Sabatikal 125-Kembara Bali: GEDE ANAK JIRANKU





27 September 2009 pada sebelah paginya aku masak rendang ikan tongkol ( ikan kayu). Aku makan awal jam 9.30 pagi. Maknanya breakfast dan lunch sekali. Selepas makan aku membuka laptopku untuk melihat perkembangan dunia. Pada masa yang sama aku menulis untuk blogku. Aku teringat Gede anak jiranku berumur 2 tahun yang lincah dan sering ke rumahku untuk bermain-main. Ya, aku menulis dan memasukkan fotonya dalam blogku. Dia akan ketawa kalau aku merakam fotonya. Kadang-kadang dia memintaku untuk main komputer. Sering menangis kalau tidak dibawa oleh bapanya dengan motor.

Cuti Sabatikal 124-Kembara Bali: B.A.L.I B.E.A.C.H S.A.N.U.R







26 September 2009 pada sebelah petang selepas menunaikan solat asar, aku ke pantai yang tidak jauh dari rumahku. Naik bemo lebih kurang 5 minit sampailah.Tambangnya Rp3000 bersamaan Rm 1.20. Aku memang dah lama tidak pergi ke pantai. Seingatku sudah dua kali aku mandi di pantai sini.Pantai ini boleh dikunjungi melalui jalan yang dinamakan JALAN HANG TUAH. Jalan ini adalah jalan yang penting menghubungi Sanur ke Denpasar. Di kiri kanan jalan ini terutama di Bali Beach terletak Restoran KFC, Masjid Al Ikhsan,Padang Golf Sanur dan hotel mewah. Aku turut merasa bangga nama HANG TUAH Pahlawan Melayu Melaka dinamakan pada jalan yang amat penting dan utama di Bali.

Wah memang ramai pengunjungnya kali ini dari pelbagai bangsa Eropah dan Asia, walau pun pantai ini tidaklah menjadi tumpuan bule. Bule cowok hanya datang ke sini untuk main surfing dan kenoving di tengah laut. Ombak di pantai-pantai Sanur di tengah laut dan bukannya di tepi. Inilah yang menjadi keunikannya. Kanak-kanak lebih selamat mandi di tepi pantainya kerana ombaknya tiada. Walau bagaimanapun angin di tepi pantai Sanur memang kuat dengan deruman ombak di tengah-tengahnya. Aku suka melihat air lautnya yang biru umpama "navy blue" warna korporat UPSI. Ditambah pula dengan jalur warna putih sebagai ombak yang menggulung dan berpecah di tengah-tengahnya. Subhanallah inilah keindahan ciptaan Allah azzawajalla.

Bule cewek tidak berani mandi di sini sebab ramai orang tempatan yang mandi manda di sini. Bule cewek lebih suka di Pantai Kuta, Pantai Legian, Dreamland dan beberapa pantai di Nusa Dua. Mereka ini tidak mahu mandi manda bercampur dengan orang tempatan. Maklumlah mereka tidak selesa dipandang dengan pandangan anih,kerana pakaian mandi mereka yang kecil itu.

Friday, September 25, 2009

Cuti Sabatikal 123-Kembara Bali: PECAL NOORDIN




25 September 2009 aku buat kali ketiga ke kantor Imigrasi di Renon, Denpasar. Setelah menyerahkan borang-borang bersama pasport, aku diserahkan nota untuk hadir sekali lagi pada 7 Oktober 2009. Mengikut staf imigrasi, visa itu akan dihantar ke kantur wilayah dan aku perlu mendapatkan visa itu di sana. 26 Setember 2009 aku duduk di rumah dan menonton Televisi siaran Metro TV. Alangkah terperanjatnya aku, rumah tempat terakhir NOORDIN MAT TOP dan rakan-rakannya dibunuh di Solo,Jawa Tengah telah dijadikan pusat warisata oleh ramai penduduk Indonesia. Malah peniaga-peniaga telah menggunakan populariti nama NOORDIN MAT TOP untuk mengaitkan namanya dengan makanan yang dijual. PECAL NOORDIN telah laku habis dijual di situ. Ada pelbagai makanan lagi yang dikaitkan dengan nama mereka.

Sedangkan Jenazah NOORDIN MAT TOP masih terbaring beristirehat di Bilik Jenazah Hospital Jati Kramat,Solo,Jawa Tengah menunggu untuk diterbangkan ke Johor Malaysia pada 1 Oktober 2009 nanti.

Thursday, September 24, 2009

Cuti Sabatikal 122-Kembara Bali: KETIKA CINTA BERTASBIH





24 September 2009 selepas sarapan pagi di rumah aku membuka laptop untuk mengetahui perkembangan yang berlaku. Aku menjengok blogku dan blog rakan-rakan yang lain,Facebook,Frindster dan YM. Nampaknya cuti Lebaran ini menyebabkan semua blog yang kukunjungi juga bercuti, kecuali Blog Pof.Emeritus Abdullah Hassan. Dia memaparkan You Tube lagu Sayang Serawak, Seri Mersing dan Tudung Periuk. Aku cuba mendengarnya. Ya. Bagus suara biduanita Sharifah Aini dan Datuk Siti Nurhaliza tetapi Suara Ismail Alimuda padaku kurang enak bila dia menyanyikan "Tudung Periuk". Dia lebih berjaya membawa lagu "Berdendang Sayang". Aku cuba respons You Tube itu.(ketika aku melihat blognya pada sebelah petang dia telah pos responsku dengan tajuk "Dr.Shuhaimi menulis dari Bali"). Alhamdulillah,terima kasih prof kerana menyiarkan responsku itu. Setakat ini aku telah lima kali respons bahan-bahan yang disiarkannya.

Selepas aku makan tengahari dan solat Zohor di Restoran Suri Bonda di Jalan Danau Poso,Sanur, aku pergi ke kantor Imigrasi di Renon,Denpasar. Aku menaiki bemo.Aku memang mengetahui dari tuan rumahku bahawa kantor Imigrasi dibuka hari ini. Sayang sekali bila aku sampai ke kantor Visa, kantor itu tutup. Aku terus bertanya kepada staf imigrasi di situ, mereka menyatakan bahagian Visa hanya sebelah pagi sahaja. Aduh aku tidak mengetahuinya. Ini bermakna sudah dua kali aku ke kantor Imigrasi tetapi kecewa.

Setelah kecewa, aku terus ke Jalan Tamrin,Denpasar. Aku teringat kata Suaidi rakanku orang Jawa di Bali. Beliau menyatakan dia telah menonton Filem "KETIKA CINTA BERTASBIH" Part 2. Katanya filem ini bagus. Wah sebenarnya aku telah menonton Filem ini part 1, ketika aku berwisata di Surabaya pada bulan Jun dahulu. Memang jalan cerita ini menarik. Filem kisah cinta pelajar- pelajar Indonesia ketika menuntut di Universiti Al Azhar, Kairo, Mesir. Lokasi filem ini di Mesir dan di Jawa. Aku juga telah membeli dan membaca novel ini yang ditulis oleh Habiburrahman El Shirazy seorang sarjana dari Universiti Al Azhar. Novel ini telah mendapat sambutan hangat dari peminat sastera Indonesia sehingga ramai tokoh-tokoh penulis menganggapnya sebagai Tsunami dalam perkembangan kesusasteraan moden Indonesia. Novel ini tidak sampai setahun telah terjual 150,000 naskhah. Pada tahun 2008 telah 12 kali novel ini dicetak semula. Novel yang dianggap MEGABESTSELLER di Indonesia ini adalah novel pembangun jiwa Islami. Cinta melalui pendekatan Islam. Inilah novel pertama yang saya hayati melalui pendekatan ini.

Sebuah lagi novel Indonesia yang hangat diperkatakan dan sangat bagus untuk dibaca ialah "Laskar Pelangi" ditulis oleh Andrea Hirata. Novel ini telah aku beli dan baca di Malaysia 2 tahun yang lalu. Kisah perceritaan kanak-kanak sekolah pasenteren yang daif tetapi mempunyai jiwa yang besar untuk mengangkat darjat sekolah mereka. Di Bali aku telah membeli DVD dan menontonnya.

Novelis Habiburrahman El Shirazy telah meletopkan dunia kesusasteraan moden Indonesia dengan novel "Ayat-Ayat Cinta" iaitu novel terdahulu dari novel ini. Saya telah membaca dan menonton Filemnya. Masih berkisar kisah Cinta Islami pelajar-pelajar Indonesia di Universiti Al Azhar. Waduh aku sering bertanya bilakah ada novelis Malaysia yang mampu berbuat demikian? Yang ada ialah novel-novel cinta yang "lagho". Dalam bioskup( pawagam) aku mengalirkan air mata bila melihat episod jenazah ibu Azam terbaring dikelilingi oleh anak-anaknya. Maaf aku sering menangis bila menonton filem-filem yang mengharukan. Ketika menonton filem itu, aku juga terfikir-fikir bilakah pula CINTAKU BERTASBIH semula dengan wanita-wanita yang berjilbab,solehah dan sakinah ini. Malah aku sering membayangkan heroin itu Anna Althafunnisa yang solehah, ayu dan sakinah itu menjadi permaisuriku setelah hampir dua tahun aku menduda.Amin.

Oleh kerana tidak ada "sign" melarang merakam atau mengambil foto (yang ada cuma simbol dilarang merokok), jadi aku mengambil kesempatan ini untuk mengmbil foto beberapa episod dalam filem ini. Jadi gambar-gambar yang anda lihat dalam blog ini adalah gambar yang kurakamkan dalam bioskup(pawagam).Lihat tanda merah dilarang merokok pada bahagian bawah gambar tersebut.

Wednesday, September 23, 2009

Cuti Sabatikal 121-Kembara Bali: KONTROVERSI PEMAKAMAN 3 YANG TERKORBAN DIBUNUH DENSUS 88 POLISI KHAS ANTI TERORIS






24 September 2009 aku menonton televisi saluran Berita Metro TV malam tadi. Saluran itu menyiarkan berita dan gambar-gambar protes dan demonstrasi pro dan kontra pemakaman 3 orang yang dibunuh bersama NOORDIN MAT TOP di Solo Jawa Tengah pada 16 September 2009 yang lalu. Antara yang dibunuh oleh DENSUS 88 iaitu Polisi Khas Anti Teroris pada bulan Ramadhan 5 hari sebulan Aidil Fitri itu ialah Urwah. Yang peliknya penduduk di luar desanya di Kudus membuat demontrasi menghalang pemakaman jenazahnya di situ. Sebaliknya seluruh penduduk desa tersebut membantah demontrasi itu dengan menyatakan Urwah adalah penduduk asal di situ dan dia ada hak dimakamkan di situ. Begitu jugalah yang terjadi kepada dua lagi jenazah yang terkorban itu. Masing-masing ada pro dan kontranya, sedangkan untuk pemakaman jenazah Noordin Mat Top, wartawan METRO TV telah pun pergi ke Malaysia ke Tanah Perkuburan Islam Kampung Melayu,Johor tempat kelahiran Noordin. Gambar tapak makam Noordin ditayangkan bersebelahan dengan makam abangnya yang telah kembali ke rahmatullah sebulan yang
lepas.

Hingga blog ini ditulis, keempat-empat jenazah itu masih terbaring berehat di Bilik Jenazah Hospital Solo,Jawa Tengah.

Cuti Sabatikal 120-Kembara Bali: TUAN RUMAH JIRANKU







22 dan 23 September 2009 aku santainya sahaja di rumah kecuali jam 10 pagi 23 September 2009 aku ke kantor Imigrasi di Renon,Denpasar untuk urusan melanjutkan visaku. Tetapi sayang kantor Imigrasi masih lagi tutup dan bercuti menyambut lebaran. Aku pulang sahaja ke rumah menyambung penulisan penyelidikanku yang telah ku mulai dua hari yang lepas.

Waktu sore jam 6 petang aku menyaksikan tuan rumah yang bernama Gede (nama anak sulung) selaku jiranku menunaikan sembahyang di pekarangan rumah kami. Aku memang kerap melihat dia menunaikan ibadat sembahyang agama Hindu di situ. Dia, isteri dan anak kecilnya bernama Gede telah bersiap-siap memakai pakaian tradisional Bali untuk ke majlis upacara di rumah ibu mereka. Mereka suami isteri adalah penganut agama Hindu yang taat. Sangat baik dan ramah, sering berbual denganku. Sentiasa menjaga kebersihan halaman rumah. Halaman rumah umpama sebuah taman dipenuhi dengan pelbagai pokok bunga antara Orkid, tanduk rusa, palm dan lain-lain yang sentiasa dipelihara oleh mereka. Sehingga pekarangan rumah begitu segar dan menenangkan. Tiap-tiap hari pagi dan petang menyapu rumah dan membersihkan lantai termasuk lantai rumah sewaku. Aku sangat kagum dan menghormati mereka. Anaknya Gede berumur 2 tahun menjadi temanku di sini. Dia sering datang ke rumahku bermain komputer, aku menyediakan makanan ringan seperti biskut dan coklat untuknya.

Monday, September 21, 2009

Cuti Sabatikal 119-Kembara Bali: FOTO-FOTO HARI LEBARAN DI MUSOLLA DAN RUMAHKU 57,JALAN DANAU BERATAN,SANUR,BALI














21 Sepetember 2009 hari ini adalah 2 Syawal bermakna hari kedua umat Islam menyambut hari raya di seluruh Asia. Cuaca mendung dan gerimis sejak semalam hinggalah ke hari ini. Suaidi dan rakannya Ahmad atau nama sebutannya Adat telah datang berhari raya di rumahku. Adat berpuasa enam mulai hari ini, Suadi tidak. Aku hanya menyediakan kueh dan biskut serta minuman panas untuk Suaidi. Menjelang tengahari aku dan Suadi makan tengahari di Restoran Minang Roso Bonda di Jalan Danau Poso, Sanur. Adat tinggal di rumahku menonton televisi. Aku membeli nasi bungkus untuk dia berbuka puasa nanti.

Foto-foto di atas ialah foto kaum muslimin dan muslimat yang sedang mendengar khutbah aidilfitri di musolla,Sanur. Manakala foto yang lain adalah tetamuku pelajar-pelajar Malaysia yang sedang mengikuti pengajian di Fakultas Kedoktoran, Universitas Udayana,Bali.