Wednesday, November 25, 2009

Cuti Sabatikal 170-Kembara Bali: ZIARAH TUJUH MASJID










22 November 2009 Selepas pulang dari pantai Sanur aku berehat sebentar. Kemudian jam 11.30 pagi aku dan Suaidi melakukan ekspedisi ke Denpasar,Kuta dan Jimbaran menziarahi tujuh buah masjid yang aku masih lagi belum kunjungi. Antara masjid yang aku kunjungi itu ialah Masjid Ar Rahmat Kuta, Masjid Baitul Makmur Denpasar, Masjid Suci Denpasar, Masjid Al Muhajirin( masjid Minang) Denpasar,Musolla Al Huda Jimbaran,Masjid Baitul Rahmah Denpasar dan Masjid Al Ikhlas Denpasar.


Terdapat beberapa keistimewaan pada setiap masjid ini misalnya Masjid Suci Denpasar pintu kayunya diukir dengan hiasan awan larat yang menarik. Bahagian luarnya terdapat ukiran kayu kaligrafi gaya Tuluth yang unik. Direka dalam bentuk bulatan dan diukir tembuk tembus. Ketika aku datang ke situ ada sekeumpulan Jamaat Tabligh dari Denpasar yang sedang sarapan pagi. Aku menyalami mereka sambil duduk bersama. Sempat berbual-bual dan minum bersama mereka. Terkejut juga mereka bila aku nyatakan aku berasal dari Malaysia,mungkin tutur atau bicaraku sudah berubah menjadi sepenuhnya Indonesia. Ramai yang kutemui tidak percaya aku berasal dari Malaysia. Mereka menyangka aku dari Jakarta.


Kemudian kami ke Masjid Baitul Rahmah di Denpasar. Masjid ini agak luas dan bertingkat tiga. Tidak banyak hiasan kaligrafi yang menghiasi masjid ini cuma kayu-kayu berpalang indah menghiasi tangga ke tingkat atas. Palang-palang kayu membentuk garisan yang menjadi hiasan utama masjid ini. Kami solat Zohor di masjid ini.


Selepas itu aku ke Masjid Baitul Makmur di Denpasar. Rekabentuk bumbung masjid ini adalah dipengaruhi oleh reka bentuk pura Hindu gaya Meru. Bumbung tiga tangkup ini kelihatan tinggi berwarna hijau. Di sebelahnya terdapat bangunan Yayasan Makmur dan sekolahnya. Tempat letak kereta dan motornya agak luas dan mengikut Suaidi pada waktu malam dijadikan tempat jualan. Maknanya masjid ini menyewakan kepada peniaga-peniaga yang ingin berniaga di perkarangan masjidnya.


Selepas itu kami ke Masjid Al Ikhlas di Denpasar. Di hadapan masjid ini ada toko kayu. masjid ini tersorok di celah-celah toko ini. Adakah toko itu kepunyaan masjid itu? Aku tidak sempat bertanya kepada jemaah yang ada di situ.


Suaidi membawa aku ke sebuah masjid yang unik iatu Masjid Al Muhajirin atau lebih dikenali dengan panggilan Masjid Minang. Rekabentuk yang yang tinggi serta menara masjid ala Padang membezakan ia dengan masjid-masjid yang lain. Bahagian tingkat bawah masjid ini mengandungi dewan untuk digunakan sebagai tempat upacara perkahwinan manakala tingkat atas untuk bersolat. Tangga yang tinggi di kiri kanan masjid digunakan untuk ke tingkat atas.


Aku dan Suaidi singgah makan tengahari di warung rakannya yang tidak jauh dari situ. Aku makan nasi berlaukkan ikan kembung, sayur jering dan nangka. Suaidi berbeda sedikit. Dia makan nasi berlaukkan ikan dan sayur nangka sahaja. Kami minum teh ais dalam botol.


Kami beredar pula ke Kuta. Kami singgah pula ke Masjid Ar Rahmat. Msjid yang menjadi pusat kegiatan Jemaah Tabligh Bali. Masjid agak luas bertingkat dua. Fasad (Facade) dibina dari batu marmar yang cantik tertera tulisan MASJID AR RAHMAH dari jauh. Ketika aku di situ tidak ramai jemaah yang ada kerana belum masuk waktu asar lagi. Aku iktikaf di masjid itu sambil menunggu masuknya waktu Asar.


Selepas solat Asar di Masjid Ar Rahmat kami ke Jimbaran pulak. Jimbaran agak jauh juga dari Denpasar. Kami singgah di Ampangan Sungai Badong. Sambil berehat dan menyaksikan pesta memancing, sempat juga kami merakamfotokan aksi dan gaya kami yang menarik ala titanic. Angin yang bertiup menyejukkan badan. Segar seketika.


Kami sampai ke Musolla Al Huda di Jimbaran di tengah-tengah kampung nelayan. Aku dan Suaidi merakamfotokan sudut-sudut musolla itu. Kelihatan anak-anak sedang melakukan aktiviti melukis di beranda musolla itu.


Selepas itu kami singgah ke pasar ikan Jimbaran di tepi pantai Jimbaran. Ikan-ikan yang segar memenuhi sepanjang gerai di pasar itu. Pelbagai jenis ikan segar seperti ikan tongkol,ikan kembong, ikan tuna, ikan kerapu, ikan siakap udang dan sotong dijual di situ. Sayangnya aku tidak menemui ikan cencaru di nsini. Memang sukar mencari ikan cencaru. Aku hanya sekali dapat membelinya di pasar Badong. Aku membeli ikan tongkol, ikan kembong dan siakap kecil.


Dalam perjalanan pulang aku mulai demam dan batuk-batuk. Sepanjang malam itu aku demam panas dan batuk sehingga ke pagi. Aku benar-benar keletihan dan tidak bermaya.

No comments:

Post a Comment