Monday, November 16, 2009
Cuti Sabatikal 162-Kembara Bali: MASJID AT TAQWA, POLDA, DENPASAR
Masih pada waktu yang hampir sama bertarikh 16 November 2009 selepas aku dan Suaidi makan bakso di Restoran Bakso Malang, kami singgah menunaikan solat isya di Masjid At Taqwa,Polda di Denpasar sebelum sampai ke pasar Badung. Inilah kelebihan Suaidi. Walau kemana pergi dia akan singgah ke masjid dahulu menunaikan solat sebelum sampai ke destinasi yang ditujui. Aku senang dengannya. Tidak banyak kerenah dan dia tahu citarasaku.
Masjid ini adalah masjid kepunyaan polisi( polis) di Denpasar. Bersebelahan dengan ibu pejabat polisi Bali di Denpasar. Rekabentuknya yang menarik dan luas memudahkan orang Islam yang lalu lalang di hadapannya untuk menunaikan solat. Kebetulan memang ramai jemaah yang menunaikan solat isya di situ.Sebelum ini aku belum pernah lagi singgah di masjid ini.Suaidi memang pandai dia akan mencari masjid-masjid yang masih belum aku kunjungi lagi.
Aku kagum dengan kaligrafi yang tepampang di dinding masjid itu terutama di atas mihrab. Ukiran kayu kaligrafi gaya Tuluth dengan tembuk tembus amat jarang kutemui melainkan ukiran relief. Paling menarik silat serta lentuk liuknya yang berirama serta bersambung-sambung menimbulkan perasaan yang syahdu melihatnya. Setiap ukiran kayu kaligrafi itu diberikan keterangan maknanya di bahagian bawah. aku sempat merakamfoto ukiran kaligrafi itu. Setakat ini, inilah masjid yang mempunyai ukiran kaligrafi yang terindah sekali di Bali. Malah setiap niche di bahagian tingkat atas masjid itu dihiasi dengan ukiran kaligrafi yang indah. Ukiran itu pada kayu. Ukiran kayu kaligrafi di bahagian atas mihrab berbentuk bulat manakala ukiran kayu kaligrafi pada dinding hadapan masjid berbentuk empat segi bujur dan berbingkai. Masjid ini juga mempunyai beduk yang besar. Kulit sapi diikat pada kayu yang membentuk beduk yang besar ini. Fungsi beduk ini ialah digunakan untuk menandakan masuknya waktu solat dengan cara memukulnya sehingga mengeluarkan bunyi yang kuat. Selepas itu barulah azan dikumandangkan. Sekarang ini kebanyakan beduk di masjid-masjid di Bali sekadar menjadi hiasan sahaja. Fungsinya tidak lagi dipenuhi. Ia sekadar adat sahaja dan bukannya sunnah.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment