Wednesday, November 4, 2009

Cuti Sabatikal 153-Kembara Bali: PASAR BADUNG, DENPASAR









Beberapa hari sejak bulan puasa hinggalah kini aku sering ke Pasar Badung dengan Suaidi waktu malam. Aku pernah pergi waktu siang tetapi terlalu panas. Jadi aku buat keputusan untuk ke sana waktu malam sahaja lebih sejuk dan segar.
Pasar Badung ini luas. Pelbagai jualan daripada sayuran, buah-buahan, ikan, ayam dan daging, kain baju, kuih muih sehingga alat keperluan dapur seperti lesung, pisau dan lain-lainnya ada dijual di sini. Kebanyakan ikan yang dijual di sini ialah ikan tongkol (ikan Kayu) yang segar, ikan tuna yang besar serta ikan yang lain yang tidak aku jumpai di Malaysia. Memang payah nak cari ikan cencaru. Selama hampir 6 bulan aku di sini aku cuma pernah sekali menemui ikan cencaru dan membelinya. Makanan laut yang lain ada juga dijual di sini seperti udang, sotong dan ketam. Tetapi aku jarang sangat membelinya. Aku bimbang dengan penyakit ghoutku.

Paling menarik petai dan jering ada dijual di sini. Aku kerap juga membeli petai di sini. Kebanyakan sayur-sayuran datangnya dari daerah BEDUGUL sebuah daerah yang cuacanya dingin seperti Cameron Highland. Banyak sayur-sayuran dan buah-buahan yang ditanam di sini. Kebanyakan daging yang dijual di sini ialah daging babi. Daging sapi (lembu) tidak dijual di pasar ini sebab orang-orang Hindu tidak makan daging sapi. Mereka menganggap sapi atau lembu adalah DEWA mereka. Maka selamatlah lembu-lembu di Bali. Paling tak selamat ialah BABI dan AYAM. BABI GULING adalah makanan istimewa orang-orang Hindu Bali. Anak babi yang dicucuk dengan besi dari buntut hingga ke mulutnya lalu dipanggang dan diputar menjadi menu yang menarik perhatian pelancong yang suka makan babi. Peliknya daging kambing pun tak pernah aku jumpa dijual di pasar ini. Aku pun tak tahu kenapa? Memang ramai yang datang membeli barang keperluan tersebut pada waktu malam. Berkemungkinan udara yang sejuk dan segar menarik pengunjung ke situ pada waktu malam.

Aku jarang lama di pasar. Setelah memilih dan membeli ikan, sayur-sayuran dan buah-buahan aku pun pulang dengan Suaidi. Kadang-kadang kami singgah makan bakso dan es buah di sebuah gerai yang tidak jauh dari pasar tersebut. Baksonya memang enak. Makanan dan minuman Indonesia yang paling ku gemari ialah Bakso dan Es teler. Bakso yang dijual di Malaysia memang tidak sedap, sebabnya bebola daging itu penuh dengan tepung. Jadi bila makan, rasa tepung. Di Sini bebola daging atau ayam memang terasa daging atau terasa ayamnya. Pada hal Bakso itu mudah aje nak masaknya. Masukkan bebola daging dalam kuah sup. Kalau nak rasa pedas bubuh sos cili atau kicap. Memang enak. Hampir tiap-tiap minggu aku makan Bakso harganya murah Rp 5000 semangkuk (RM 2 ). Bebola daging atau ayam (yang HALAL) itu ada dijual di MAKRO. Tapi awas ada juga BAKSO bebola daging BABI atau bebola daging sapi dan ayam yang tidak HALAL. Hati-hati ya kalau hendak makan bakso atau makanan yang lain di Bali kerana banyak yang tidak halal. Gerai yang menjual makanan yang halal boleh dipastikan dengan tanda MUSLIM atau BISMILLAH atau tanya terus kepada peniaganya. Orang Hindu Bali tidak menipu mereka sangat taat dengan agamanya.

1 comment:

  1. Memang sedap bakso tu tapi lagi sedap kalau dah kena sakit. Apa pun bersederhanalah... selamat menjamu selera

    ReplyDelete