Friday, November 20, 2009
Cuti Sabatikal 165-Kembara Bali: BARONG
19 November 2009 sebelah pagi sampai petang aku sibuk mengemaskinikan fail-fail dalam komputerku. Ribuan foto yang aku rakamkan sebelum ini hanya aku masukkan dalam fail umum sahaja misalnya fail bertarikh itu dan ini. Mulai sekarang aku mula membuat Folder baru dengan memisahkan foto-foto tersebut mengikut tajuk-tajuk kecil. Pelbagai Folder baru telah kuwujudkan bagi memudahkan aku merujuk ketika membuat penulisan nanti. Penulisan awal bagi penyelidikanku ( orang Indonesia menyebutnya penelitian) telah kumulai. Insyallah dalam masa cuti sebulan aku di Malaysia nanti iaitu mulai 27 November sehingga 30 Disember aku kan menyambung penulisan itu. Paling kurang setengah daripada penulisan untuk penyelidikanku nanti insyallah akan siap.
Dalam diam-diam hampir enam bulan aku telah berada di rantau orang. Visa lanjutanku yang kelima ini berakhir pada 27 November ini iaitu jatuh pada Hari Raya Aidul Adha dan hari Jumaat. Tiket penerbanganku ke Malaysia telah ditempah juga pada hari tarikh tersebut jam 1 tengahari dari Bandara Denpasar. Tiket itu telah ditempah awal oleh adik angkatku Zainal berapa bulan yang lepas. Memang aku yang mengkehendaki tarikh itu. Aku langsung tak perasan tarikh itu jatuh pada hari Jumaat bersamaan Hari Raya Aidul Adha. Alhamdulillah tarikh itu bersamaan juga tamatnya visa lanjutan ku di sini. Andaikata tarikh visa itu jatuh pada tarikh sebelumnya mmemang parah aku dibuatnya. Aku pasti didenda kerana menduduki negara orang secara haram melebehi tarikh yang sepatutnya.
Selepas penat mengemaskinikan fail aku berehat sebentar pada sebelah petang. Kemudian selepas solat Maghrib aku ke banjar( balairaya) di Jalan Danau Beratan tidak jauh dari rumahku untuk menyaksikan satu upacara Tarian Barong. Ribuan manusia terutamanya masyarakat Hindu Bali dari banjar yang berdekatan berhimpun menyaksikan upacara itu. Lelaki,wanita serta kanak-kanak dengan pakaian tradisi Bali datang lebih awal. Aku agak lewat juga tetapi tarian itu masih belum ditarikan lagi cuma muzik gamelan Bali bergemersik mengiringi upacara itu. Peniaga-peniaga mengambil kesempatan menjual barangan makanan dan minuman di sekeliling banjar tersebut. Jalan danau Beratan penuh sesak dengan kenderaan dan manusia yang lalu lalang. Cukup meriah. Boleh dikatakan hampir tiap-tiap hari ada sahaja upacara di Bali ini. Aku mengambil peluang dan kesempatan ini untuk menyaksikan upacara yang tidak pernah aku lihat sebelumnya.
Barong adalah semangat yang akan melindungi dan menjaga manusia yang tersembunyi dalam tarian yang menggunakan kostum dan topeng sebagaimana mengikut kepercayaan penganut Hindu Bali.Tarian ini selalunya ditarikan sewaktu sambutan hari raya Galungan dan Kuningan iaitu sambutan hari raya penganut Hindu Bali. Terdapat pelbagai jenis kostum Barongan ada yang berbentuk kera atau singa. Tetapi yang biasa dipakai ialah Barong KetKet atau Barong Ket iatu makhluk halus yang bermuka merah, bermata besar dan merah dengan gigi yang panjang dan berpakaian berwarna emas dengan jalinan cermin di permukaan kostumnya.
Semasa tarian itu diadakan ada satu watak yang akan muncul iaitu Rangda dengan kostum yang berbeza. Berkuku panjang, bergigi panjang, berambut panjang berjuntai. Rangda dan Barong akan bertarung dalam bentuk formasi tarian. Mengikut kepercayaan masyarakat Hindu Bali kedua-dua watak baik dan buruk ini adalah watak yang seimbang yang sentiasa wujud dalam kehidupan ini. Barong tidak boleh bersendirian tanpa Rangda. Dengan perkataan lain baik dan jahat, benar dan salah adalah lumrah kehidupan ini.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment