Wednesday, November 25, 2009
Cuti Sabatikal 169-Kembara Bali: PAGI DI PANTAI SANUR
22 November 2009 jam 7.30 pagi selepas sarapan pagi, aku dan suaidi ke Pantai Sanur. Aku jarang ke pantai Sanur waktu pagi begini, selalunya waktu petang atau malam kerana udara yang lebih sejuk dan segar. Kata Suaidi "kita segarkan badan". Jadi aku pun pergilah ke sana. Alangkah terkejutnya aku, air laut kelihatan kering, jauh ke tengah. Kanak-kanak berebut-rebut mencari ikan manakala sang ayah dan ibu hanya menyaksikan pesta itu. Kelihatan juga rumput laut terdampar di pasir. Kelopak-kelopak air yang mengandung ikan-ikan kecil menjadi rebutan di kalangan kanak-kanak itu. Aku sempat bergaya berfoto dengan mereka. Mereka memanggil aku OM. Mereka pula merebut-rebut untuk berfoto denganku. Masing-masing dengan tingkahlakunya. Hujung minggu kanak-kanak ini tidak bersekolah jadi mereka menggunakan masa lapang ini berkelah dan bermain di tepi pantai ini.
Udara dan angin yang bertiup masih menempiaskan kesejukannya. Matahari sebenarnya telah terbit awal di Bali. Jam 5.30 suasana telah terang benderang. Masuk solat Subuh awal jam 4.25 pagi. Di Malaysia kalau waktu begini memang tengah lena tidur.Pada awal kehadiran aku di sini aku memang terkejut juga dengan perubahan itu tetapi kini ia telah menjadi biasa pula padaku.
Aku dan Suaidi merakamkan seberapa banyak foto di Pantai sanur itu. Air laut yang surut memudahkan aku bergerak sampai ke tengah-tengah. Laut Sanur tidak pula kelihatan batu karang cuma yang ada ialah rumput atau lalang laut sahaja.Kelihatan juga perahu atau bot yang tersadai di sepanjang pantai itu. Aku bergerak cergas ke sana sini. Peluh menitik memancar-mancar.Segar juga aku di pagi itu.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment