Saturday, November 14, 2009

Cuti Sabatikal 159-Kembara Bali: HUJAN PAGI DI SANUR






14 November 2009 Suaidi datang menginap di rumahku. Beliau membantuku mengemaskinikan blogku serta menambahbaikkan kandungannya.Sambil dia bermain dengan laptopku aku mengemas rumah dan memasak. Aku masak rendang terung dan goreng ikan berlada. Kami makan nasi awal. Maknanya sarapan dan makan tengahari sekali. Dia pulang ke Denpasar jam 5 petang.

Esoknya jam 2.46 pagi 15 November 2009 aku terkejut dari tidur. Bunyi hujan menderu. Syukur alhamdulillah doaku dimakbulkan. Kepanasan sepanjang siang hari mulai reda dengan kedatangan hujan yang kadang-kadang lebat dan kadang-kadang tidak sehinggalah hujan berhenti sepenuhnya pada jam 5.42 pagi. Aku awal bangun. Selepas solat subuh aku membuka pintu dan menyaksikan hujan turun. Aku sempat merakamfotokan suasana hujan itu.Aku sambil duduk di beranda menyaksikan titik-titik hujan menjadi garis hujan turun. Angin sejuk menampar mukaku. Percikan hujan jatuh di pipiku. Ah..romantik sekali. Sayangnya aku bersendirian jam 5 pagi itu di beranda. Umurku lebih separuh abad ini masih gemar dibelai hujan pagi. Dulu pernah aku maandi hujan di sini. Kerana terlalu geram melihat hujan turun, aku sengaja membasahkan diri di tengah titik-titik hujan. Anihnya hujan di sini tidak dituruti dengan guruh dan petir. Dia datang bersendirian dan pulangnya pun bersendirian. Tanpa disedari.

Hujan pagi ini mengingatkan aku novel "HUJAN PAGI" oleh Sasterawan Negara A.Samad Said. Novel ini telah kubaca puluhan tahun dahulu. Malah kedatangan hujan seawal pagi ini juga mengingatkan ku lagu "HUJAN" oleh Almarhum Sudirman. Kebetulan lagu ini ku perdengarkan ketika "SI DIA" bersiap-siap untuk pulang ke tanah air setelah menginap di rumahku selama seminggu.

Ku perturunkan lirik lagu itu:

Hujan yang turun
bagaikan mutiara
berkilau,bersinar berkerdipan
subur menghijau bumi terbentang
dan bayu berpuput lembut

Cinta yang bersemi di waktu hujan turun
menyiram ketandusan hati
dan hujan mengiringi
engkau pergi

Selembut hujan bercurahan
begitulah cinta ini
semesra bumi yang disirami
begitulah hati ini

Hujan yang turun bersama air mata
bersama pedih bersama rindu
kau datang dan kau pergi jua
rindu lagi rindu lagi

No comments:

Post a Comment