Perang Perak: Satu manifestasi visual
Oleh
Dr.Ahmad Suhaimi Bin Mohd.Noor
Fakulti Seni dan Muzik,
Universiti Pendidikan Sultan Idris
Tanjong Malim, Perak
Abstrak
Penulisan ini adalah berkisar kepada peranan ilustrasi sebagai ‘genre’ seni dalam menyampaikan risalah visualisasi kepada khalayak. Ilustrasi-ilustrasi yang memaparkan episod Perang Perak ini diterbitkan oleh akhbar terkemuka dunia ketika itu (1876) The Illustrated London News dan Graphic. Malah ilustrasi potret Sultan Abdullah dalam akhbar tempatan seperti JAJAHAN MELAYU juga turut diberi sorotan. Pentingnya ilustrasi potret Sultan Abdullah itu bukan semata-mata kerana keterlibatan tokohnya dalam Perang Perak itu tetapi kerana tandatangan artis yang mengesahkan hak cipta yang sangat sukar ditemui dalam budaya Melayu ketika itu. Ilustrasi sebagai alat komunikasi visual mengesahkan keberadaannya di tengah-tengah kecerdikan pembaca untuk menghayati dan menilai siapakah watak-watak yang ada dalam ilustrasi itu. Peranan artis dan engraver sebagai ganti kamera meletakkannya sebagai pengukir realisme yang tersohor. Ilustrasi-ilustrasi yang mengkisahkan Perang Perak itu tersebar di seluruh dunia dan Nusantara pada tahun 1876 melalui Akhbar The Illustrated London News. Pemberitaannya dalam bentuk ilustrasi mengesahkan peranan bahasa visual sebagai ganti bahasa literal.
Pengenalan
Perak telah mencipta sejarahnya tersendiri dalam Kebangkitan Nasionalisme di Malaysia. Campurtangan British dalam perebutan tahta di Perak menjadikannya negeri pertama di bawah kekuasaan British. Perjanjian Pangkor yang ditandatangani pada tahun 1874 oleh pihak British dan Sultan Abdullah mengesahkan campurtangan itu. Perak adalah kuasa ekonomi dunia ketika itu. Industri Bijih timah menjadikan Perak negeri yang terkaya di Semenanjung Tanah Melayu. Campurtangan British di Perak adalah berhasrat untuk menguasai industri bijih timah itu. Perlantikan Sultan Abdullah sebagai Sultan Perak menyaksikan kekuasaan British sebagai penjajah yang licik. J.W.W. Birch telah dilantik sebagai penasihat Sultan dalam bidang ekonomi dan pentadbiran tetapi tidak dalam adat istiadat Melayu dan agama Islam.
J.W.W Birch sebagai Residen Inggeris yang pertama di Perak dan Malaya tidak dapat memahami budaya dan adat istiadat Melayu Perak ketika itu. Dua tahun British berkuasa dan J.W.W. Birch menjadi residen menyebabkan kekuasaan Sultan dan Pembesar-Pembesar Perak semakin lama semakin terhakis. Beliau dengan beraninya telah menghalang pungutan cukai Sultan di Sungai Perak. Cukai adalah masalah ekonomi tetapi juga adalah budaya bagi pembesar dan Sultan. Jadi hal ini tidak difahami oleh J.W.W Birch. Seolah-olah masalah cukai adalah masalah ekonomi semata-mata. Tindakan J.W.W.Birch menimbulkan kemarahan di hati sultan dan Pembesar-Pembesar Perak. Kemarahan itu sampai kemuncaknya bila gundek Sultan Abdullah lari dan tinggal di rumah penasihat Inggeris itu. Apa lagi ‘retak menanti belah’. Sultan dan pembesar-pembesar telah mengadakan mesyuarat sulit untuk membunuh J.W.W. Birch. Datuk Maharaja Lela dan Puntum ditugaskan untuk membunuh J.W.W.Birch. Akhirnya terbunuhlah residen itu bersama dengan pengiringnya Kapten Innes ditangan Puntum dan Datuk Maharaja Lela di tebing Sungai Perak, Pasir Salak.
Gendang perang telah dipukul. Tentera Inggeris telah dikerahkan dari Singapura dan Pulau Pinang ke Pasir Salak. Orang-orang Melayu Perak dengan bersenjatakan lembing, tombak, keris, parang dan pedang bertempur dengan tentera Inggeris yang bersenjatakan senapang patah. Dengan kelengkapan serba kekurangan orang-orang Melayu Perak dengan penuh semangat menentang tentera Inggeris tetapi akhirnya tewas ditangan Inggeris tetapi benih semangat nasionalisme menentang British terus menyala-nyala. 15 orang tentera Inggeris seorang berpangkat major dan seorang leftenan terbunuh ( kuburnya ada di Kuala Kangsar). Pihak Inggeris telah bertindak menangkap Datuk Maharaja Lela dan Puntum, kedua-duanya telah dihukum gantung sampai mati ( Kuburnya ada di Pasir Salak). Manakala Sultan Abdullah telah dihukum buang negeri ke Pulau Sychelles sehinggalah beliau meninggal dunia di situ. Tokoh-tokoh Perak Selepas Sultan Abdullah,Datuk Maharaja Lela dan Puntum telah bangun menentang penjajahan Inggeris seperti Ustad Abu Bakar Al Baqir( Gunung Semanggul), Burhanuddin El Hilmi (Taiping), Zulkifli Muhammad (Kuala Kangsar), Datuk Ahmad Boestamam( Behrang ) dan Rashid Maidin ( Parit). Beliau ini (Rashid Maidin) bergerila di dalam hutan menentang British bersama-sama dengan Shamsiah Fakih( Negeri Sembilan). ( Mereka golongan kiri-Komunis).
Lakaran Perang Perak
Peristiwa Perang Perak telah dirakam oleh pelukis-pelukis Inggeris yang turut serta dalam peperangan itu. Cuma yang amat dikesali sukar mengesan nama ilustraturnya yang sebenar. Karya-karya cetakan engraving itu tiada tandatangan. Hal ini adalah sesuatu yang aneh dalam budaya senirupa Barat. Hak cipta melalui tandatangan adalah sesuatu yang pasti dalam budaya mereka tidak seperti budaya lama Melayu yang amat sukar mengesan tandatangan artis dalam karya-karya seni seperti ilustrasi . Sebagai contoh amat sukarnya mengesan karya Munshi Abdullah dalam karya-karya ilustrasi dalam bukunya Hikayat Abdullah 1849 melainkan setelah membaca buku-buku lain yang mengesahkan karya ilustrasi itu adalah karya ciptaan Munshi Abdullah sendiri.
Dalam sidang editor majalah tersebut dinyatakan senarai nama artis dan ilustratur yang terlibat iaitu Mabel Lucie Attwell, E.H. Shepherd, Kate Greenway,W.Heath Robinson.Chrles Robinson,Geoge E.Studdy,David Wright dan Melton Prior. Yang pastinya mungkin beberapa orang dari artis itu yang terlibat sama. Manakala engravernya ialah John Gilbert, Birket Foster dan George Cruikshan( mereka ini bertugas di studio).
Lukisan menggunakan teknik cetakan engraving itu telah diterbitkan dalam majalah Graphic dan akhbar The Illustrated London News pada tahun 1876. Kedua-dua media massa ini telah diterbitkan di London tetapi tersebar ke seluruh dunia termasuk Malaya dan Nusantara ketika itu. Oleh kerana pada masa itu sukarnya mendapatkan kamera ( kamera hanya muncul di Melaka pada tahun 1849- Hikayat Abdullah) pelukis-pelukis ditugaskan sebagai ganti kamera. Hal ini ada dinyatakan dalam akhbar itu sendiri.
Mashurlah peristiwa Perang Perak ini kerana lakaran-lakaran mengenainya telah diterbitkan dalam akhbar terpenting dunia ketika itu. The Illustrated London News mengatasi populariti majalah Time ketika itu dari segi jumlah sebarannya di seluruh dunia. Pada tahun 1863 akhbar ini terjual sebanyak 300,000 naskhah seminggu mengatasi saingannya TIME ketika itu. Akhbar ini telah ditubuhkan pada tahun 1842 dan dilancarkan oleh Herbert Ingram pada 14 Mei 1842. Suratkhabar ini adalah suratkhabar pertama dunia yang berorientasikan ilustrasi dan diterbitkan pada setiap minggu sehinggalah pada tahun 1971 ia berubah menjadi akhbar bulanan. Penerbitannya berakhir pada tahun 1989. Ilustrasi yang terkandung dalam akhbar ini adalah menggunakan cetakan kayu dan engraving.
Potret J.W.W.Birch
Lakaran wajah J.W.W Birch yang kemudiannya dicetak menggunakan teknik engraving ini dihasilkan oleh artis bagi menggambarkan wajah sebenar residen Inggeris tersebut. Kekuatan kepada garisan yang membentuk ‘form’ wajah tersebut yang bujur sireh diadunkan dengan pelbagai jenis garisan tebal dan halus. Garisan yang kasar pada pakaian sehingga terkeluar dari imej itu ( out of frame) mengesahkan gaya ekspresif artist itu. Rambut ikal mayang dan misai yang lebat dan panjang menampakkan kehebatan tokoh itu. Berkelulusan dari School of Oriental Studies University of London, dialah penjawat awam dalam sistem pentadbiran British sebagai residen Inggeris yang pertama diberi kepercayaan Inggeris untuk berkhidmat sebagai penasihat Sultan Abdullah tetapi malangnya telah dibunuh oleh majikannya sendiri.
Potraiture atau memotret wajah tokoh-tokoh adalah satu kegilaan dalam dunia seni rupa Barat sejak zaman Renaissance malah dapat dikesan sejak zaman klasik lagi. Selain mengabdikan wajah sebagai satu status dan kebanggaan sosial ia juga akhirnya menjadi rekod sejarah kemudian harinya kelak. Kebanyakan potret tokoh dilukis dengan cat minyak pada kanvas bersaiz besar dan digantung dan dipamerkan di dinding ruang tamu atau dewan sebagai simbol kemewahan dan kebanggaan. Raja-raja dan golongan bangsawan akan mengupah artis untuk melukis potret mereka. Ada juga lukisan potret yang dibuat menggunakan teknik cetakan kayu dan engraving yang fungsinya agak berbeza. Ia lebih kepada “visual Communication”. Begitulah potret J.W.W.Birch. Sama ada sedar atau tidak, potretnya telah mempunyai nilai sejarah dan berfungsi sebagai alat komunikasi visual. Malah bila potretnya disiarkan dalam akhbar The Illustrated London News sebagai akhbar terkemuka dunia ketika itu ( 1876) potretnya juga tersebar di seluruh dunia termasuk di Nusantara. Pembaca-pembacanya dari kalangan berpendidikan Inggeris membaca potret itu sebagai residen yang mati dibunuh. Gahlah J.W.W.Birch tetapi sayangnya dia tidak dapat menyaksikan peristiwa itu disebabkan dia berada di alam yang lain.
Peranan potret itu sebagai bahan bacaan umum di kalangan golongan aristokrat dan berpendidikan Inggeris mengesahkan betapa bahasa visual yang terkandung pada potret J.W.W. Birch itu boleh membawa mesej yang sangat bererti. Ia sering dikaitkan dengan nilai sejarah. Sebenarnya seni itu tidak ada sejarah yang ada sejarah ialah karya-karya seni . Lalu orang akan bertanya siapakah wajah potet ini? Bilakah potret itu dihasilkan? Mengapakah dilukiskan potret itu? Teknik apakah yang digunakan? Siapa pelukisnya? Medium apakah yang digunakan? Situasi apakah yang menyebabkan karya itu lahir? Semua itu adalah pertanyaan-pertanyaan sejarah yang minta dipertanggungjawabkan oleh sejarahwan seni.
Ekspedisi Perang Perak
Inilah bentuk sampan yang digunakan oleh tentera British belayar memudiki Sungai Perak ke Pasir Salak menentang orang-orang Melayu di situ. Sampan berbentuk rumah itu dilukis dengan teliti oleh artis yang turut serta dalam ekspedisi perang itu. Penggunaan perspektif sangat jelas mendominasi karya ini. Sampan yang dekat dilukis besar dan terang manakala sampan yang jauh dilukis kecil dan sedikit kabur. Penggunaan ton hitam putih menjelaskan perspektif itu. Ini bermakna kedudukan artis ketika itu memang berada di dalam sampan di hadapan sekali, kerana beliau dapat melakarkan ekspedisi itu dengan sangat jelasnya. Pengetahuan artis tentang konsep ruang adalah sangat ketara. Beliau mampu melakar dengan kedudukan yang betul. Pendidikan formal seni rupa memang dimiliki olehnya.
Sungai Perak diperjelaskan kehadirannya oleh artis itu melalui sentuhan garisan yang meenggambarkan kocakan air yang sedang diredah oleh sampan- sampan tersebut. Bayangan sampan yang tumpah di permukaan air digelapkan dengan garisan yang tebal dan berulang. Kelihatan pendayung-pendayung upahan digunakan untuk mendayung sampan itu. Batang-batang dayung dijelaskan dengan sedikit cahaya. Tebing Sungai Perak yang dilukis di tepian menggambarkan lebarnya sungai tersebut serta jauhnya jalur sungai itu dari Kuala Kangsar ke Pasir Salak. Kelihatan juga gunung yang nampak berbalam di tengah-tengah karya ini. Jumlah sampan yang banyak itu membuktikan kesungguhan tentera British ingin membuktikan “British Empire” mampu dengan mudah menewaskan orang-orang Melayu dalam Perang Perak itu.
Pengkalan Tentera British di Bandar Baharu, Perak
Ilustrasi yang menggunakan teknik engraving ini menggambarkan Pengkalan tentera British di Bandar Baharu di tebing Sungai Perak. Dari pengkalan inilah tentera British melancarkan perangnya di Pasir Salak. Kedudukan artis ketika melukis itu berada di seberang sungai mengadap pengkalan itu. Kelihatan rumah limas orang-orang Melayu berdindingkan anyaman buluh dan beratapkan nipah dilukis dengan teliti . Kedudukan rumah itu terlalu dekat dengan artis dan kemungkinan ia berada di atas bukit sehingga menampakkan ‘sudut pandangan’ yang menyeluruh bagi pemandangan itu.
Dua pemandangan yang berbeza dilukis oleh artis. Satu bahagian ialah kampung Melayu yang diwakili oleh rumah limas dan satu bahagian lagi ialah berek pengkalan tentera British yang berwarna putih. Kedua-duanya dipisahkan oleh Sungai Perak yang menganjur di tengah-tengahnya. Ini adalah pemilihan sudut gambaran yang menarik. Artis sangat bijak menggambarkan situasi yang berbeza. Seni bina yang berbeza menggambarkan perbezaan status, citarasa dan budaya yang berbeza.
Kem Tentera British di Pasir Salak
Ilustrasi ini menggambarkan kem penempatan tentera Inggeris ketika menentang Orang-orang Melayu di Pasir Salak. Khemah- khemah berwarna putih di sebelah kanan dan berlatarbelakangkan pokok-pokok yang besar dan gelap menjadi fokus khalayak. Artis dengan bijaknya cuba menyeimbangkan kedudukan itu dengan memberi penekanan kepada sampan dan tebing sungai yang gelap di sebelah kiri.
Keterperincian yang dilukiskan oleh artis itu sangat ketara di bahagian lalang dan rumput serta kayu-kayu yang bersepah. Artis cuba menghidupkan suasana dengan memasukkan figura-figura yang sedang melakukan aktiviti memasak. Kelihatan dari jauh sampan-sampan sedang belayar mendekati kem tersebut. Ada sesuatu yang istimewa yang ada dalam ilustrasi ini iaitu imej meriam yang tersadai di tebing sungai. Itulah senjata yang akan digunakan dalam pertempuran itu nanti. Satu lagi yang perlu dijelaskan ialah kecenderungan artis ini melukiskan awan dan langit yang menjadi sebahagian besar daripada ilustrasi ini.
Awan-awan yang berkepul sentiasa mengiringi karya- karya sebegini. Ini adalah unsur-unsur romantisme yang melanda senirupa Eropah pada abad ke 19 ketika itu.. Cuba lihat pokok yang menggerunkan itu,amat jelas membayangkan romantisme sebagai gaya yang paling gemar diikuti oleh artis ketika itu. Ciri-ciri dramatik pada awan dan pokok itu mengesahkan gaya tersebut.
Istana Permaisuri Perak di Kuala Kangsar
Rumah limas ini adalah istana Permaisuri Perak di Kuala Kangsar. Beratapkan nipah dan berdindingkan anyaman buluh, artis berjaya melukis seni bina rumah limas Orang-Orang Melayu Perak secara terperinci. Jalinan pada bumbung dan dinding istana menampakkan realiti yang ketara. Figura-figura lelaki dan wanita barangkali pengawal dan dayang-dayang kelihatan bersandar dilukis di bahagian bawah istana.
Istana yang terletak di kawasan pokok kelapa adalah satu fenomena yang biasa kepada kampung-kampung Melayu di Malaya ketika itu. Batang pokok kelapa yang besar dilukis di bahagian hadapan manakala beberapa pokok lagi dilukis sebagai latar kepada ilustrasi ini. Ilustrasi ini kelihatan realistik dengan sentuhan gelap pada bahagian tingkap, bawah istana dan rumput-rumput di bawah pohon kelapa itu.
Unsur pencahayaan terpancar pada ‘facade’ istana tersebut malah kelihatan juga di bahagian tanah hadapan istana. Unsur pencahayaan ini sangat penting dalam sesebuah karya realisme, ia bukan semata-mata untuk menggambarkan realiti tetapi juga sebagai bukti kecekapan artis menangkap cahaya. Seperti kata-kata Ma Yuan ketika mengulas karya-karya lanskap China ‘siapa yang menguasai putih kertas dia adalah master.’
Persiapan Menentang Orang-Orang Melayu di Pasir Salak
Ilustrasi ini dilukis oleh artis yang berbeza. Kelihatan tentera Inggeris dengan beruniform sedang santai dan berbincang untuk melakukan sesuatu. Figura-figura yang dilukis menampakkan kemahiran artistik yang tinggi . ‘Propotion’ dan gaya figuratif mengesahkan hal ini. Cuma yang agak kaku ialah pelepah-pelepah kelapa yang keras dan tidak realistik. Batang-batang pokok dilukis sebagai pagar yang melindungi pengkalan tersebut.
Kepakaran artis ini terbukti dalam memperincikan tumbuhan seperti lalang dan rumput. Malah bayang-bayang pendek figura yang jatuh di tanah mengesahkan waktu ketika itu adalah tengahari. Bangunan rumah yang bertiang dan beratap tinggi yang ada dalam ilustrasi itu barangkali adalah digunakan sebagai rumah peninjau. Begitu terperincinya sehingga artis masih mampu melukiskan seorang sedang berbaring dibuai gantungan dalam rumah peninjau itu.
Karya ilustrasi ini sangat berbeza dengan karya-karya ilustrasi yang lain dalam siri Perang Perak ini. Pelukisan Figuratif yang dominan dengan aksi-aksi yang tertentu mengesahkan hal itu. Seperkara lagi ialah warna hitam yang pekat dengan pengurangan ton warna menjadikan karya ini lebih eligen. Persoalan emosi adalah mesej yang ingin disampaikan oleh artis ini. Inilah adalah unsur romantisme yang ketara. Tingkah laku figura mencerminkan hal yang sebenar.
Sultan Abdullah dengan Pengikut-Pengikutnya
Kelihatan gambar lukisan engraving Sultan Abdullah dengan hulubalang dan pengikut-pengikutnya. Wajahnya yang garang dan duduk meluncurkan tangan di lutut. Dia dilukis di tengah-tengah dipayungi oleh pengikutnya. Pakaian aksoseri diraja dengan pedang melintang menunjukkan ia adalah orang istimewa. Berlatarbelakangkan rumah atau istana yang dilukis samar-samar, artis berjaya melukis wajah-wajah orang Melayu dengan senjata dan pakaian tradisionalnya. Pos yang diambil seolah-olah mereka memang bersedia untuk digambari. Apakah lukisan engraving ini dilukis berpandukan pada foto? Ataupun memang artis dengan pantasnya berjaya melukiskan aksi itu? Nampaknya kehebatan artis tersebut ialah kerana berjaya melukis dengan terperinci raut muka Sultan Abdullah serta pengikut-pengikutnya.
Pertempuran antara Tentera British dengan Orang-Orang Melayu di Pasir Salak
Pelukis nampaknya berjaya melukis episod pertempuran antara Orang-orang Melayu dan tentera British di Pasir Salak pada tahun 1876 itu. Kaedah yang sama dilakukan oleh artis ini untuk mendapatkan sudut pandangan yang menyeluruh bagi menggambarkan kedudukan kedua-dua belah pihak. Komposisi yang menarik ini menyenangkan khalayak untuk membaca ilustrasi ini. Yang nyata artis itu berada di kedudukan tentera Inggeris.
Tentera Inggeris yang beruniform dengan bersenjatakan senapang patah dan berhulukan benet kelihatan relaks menentang musuhnya Orang-orang Melayu. Senjatanya yang canggih ketika itu membolehkan mereka bersikap sedemikian. Tidak sedemikian halnya dengan Orang-orang Melayu. Mereka dengan berdada telanjang beriya-iya menentang tentera Inggeris dengan bersenjatakan lembing. Kelihatan juga orang-orang Melayu yang tersungkur. Dua orang tentera Inggeris (berseluar putih) juga rebah di tanah. Manakala seorang lagi berdiri menahan kesakitan kena lembing.
Unsur-unsur dramatik kurang berjaya dillukiskan oleh artis. Artis lebih suka memilih bahagian belakang dan sipi wajah tentera Inggeris sehingga tidak memungkinkan untuk melihat raut wajah ketika cemas berperang. Manakala orang-orang Melayu kelihatan agak jauh dan kecil sehingga sukar melakarkan emosi wajah.
Senjata yang digunakan oleh Orang-Orang Melayu Menentang Tentera British
Inilah senjata- senjata yang digunakan oleh Orang-orang Melayu Perak menentang Inggeris di Pasir Salak. Dilukis oleh artis dengan terperincinya. Garisan-garisan halus dan tebal digunakan membentuk ‘form’. Cahaya dan bayangan yang dilukis pada senjata itu menjadikan bentuk yang nyata. Malah ukiran pada pamur keris itu juga dilukis oleh artis dengan telitinya sehingga tidak ada satu ruang pun yang tertinggal. Ini bermakna lukisan pernyataan realisme adalah paling sesuai ganti fotografi. Pelbagai jenis keris seperti Keris Panjang dan Keris Pandak dengan pamurnya, meriam lela, parang, golok, pedang, tombak dan lembing di susun dengan eloknya bagi menyenangkan pembaca melihat dan mengkaji keunikannya.
Senjata-senjata ini adalah warisan kesenian Orang-orang Melayu Perak. Malah ia menjadi warisan kesenian orang-orang Melayu di Nusantara termasuk di Indonesia. Walaupun ia tidak digunakan sebagai senjata lagi tetapi senjata-senjata itu telah menjadi sejarah sebagai alat menentang penjajah Inggeris di Malaya atau penjajah Belanda di Indonesia. Kemasyurannya sebagai alat aksoseri lelaki adalah amat hebat sehingga dikatakan ‘lelaki itu telanjang kalau tidak memakai keris.’ Misteri dan mistiknya sering diperkatakan sejak dahulu lagi oleh orang-orang yang mencintainya
Kubur J.W.W. Birch dan Kaptain Innes
Di sebelah kanan gambar ini ialah pusara J.W.W. Birch dan Kaptain Innes yang mati dibunuh oleh Datuk Maharaja Lela dan Puntum di Pasir Salak pada tahun 1876. Pusara ini adalah kubur sementara sebelum mayatnya dipulangkan ke England. Entah mengapa pihak British tidak mengkebumikannya di Kuala Kangsar tidaklah diketahui sebabnya sedangkan 15 lagi tentera British yang terkorban dalam Perang Perak itu telah dikebumikan di Bandar Kuala Kangsar,Perak. Kubur atau pusara itu diserkup dengan sangkar seolah-olah macam sangkar binatang. Batang-batang buluh diikat merupai sangkar yang melengkung. Pusara itu terletak di bawah teduhan pohon kelapa. Artis begitu berjaya sekali melukiskan panorama ini. Kelihatan pohon kelapa yang dilukis begitu realistik dengan pelepah yang melambai. Bayangan pohon kelapa tumpah di bawahnya.
Manakala gambar sebelah kiri ialah bangunan berek tentera Inggeris di Bandar Baharu yang beratapkan nipah dan berdindingkan buluh. Kebanyakan bangunan yang dibina sama ada rumah, berek atau pejabat di tepi Sungai Perak ketika itu diperbuat dari buluh, nipah dan rotan. Itulah bahan alam yang sangat mudah ditemui di tebing-tebing sungai ketika itu.
Bangunan berek ini berpagarkan buluh bagi menghalang pencerobohan. Pohon-pohon kelapa yang menjadi latar belakang di bahagian belakang berek itu dilukiskan dalam keadaan bergerak dengan pelepahnya yang melambai-lambai ditiup angin. Kelihatan juga burung-burung sedang berterbangan. Ilustrasi yang teliti dan terperinci ini terutama pada atap daun nipah dan bayangannya pada dinding rumah itu mengesahkan kepakaran serta kemahiran yang tinggi yang dimiliki oleh artis dan engraver akhbar ILN ini.
Gambar Potret Sultan Abdullah Dalam Akhbar JAJAHAN MELAYU
Potret ini dilukis oleh Said Ahmad Al Kudri dan diterbitkan oleh Akhbar JAJAHAN MELAYU pada tahun 1886. Pemilihan gambar potret Sultan Abdullah dalam kertas kerja ini ialah kerana keterlibatan tokoh ini dalam Perang Perak. Malah peranan media massa sebagai alat komunikasi visual telah dilakukan oleh akhbar JAJAHAN MELAYU yang tersebar luas di Perak dan di Malaya ketika itu. Maknanya mesej penting siapakah Sultan Abdullah yang tersiar di muka hadapan akhbar itu telah disampaikan. Terpulanglah kepada pembaca ketika itu untuk menilainya sebagai ‘Pengkhianat atau Pembela Tanahair’ .Malah niat dan hasrat sebenar akhbar ini menyiarkan gambar itu pun boleh dinilai oleh khalayak pembaca, sama ada bersama dengan Inggeris atau sebalik.
Paling menarik dalam sejarah visual di Malaya ketika itu ada tandatangan yang mengesahkan siapakah pelukis bagi ilustrasi itu. Hak cipta ini memang berasal dari budaya Barat. Orang-orang Melayu dahulu tidak pernah mengakui karyanya adalah milik peribadinya, ia adalah milik umum atau milik masyarakat. Itulah sebabnya karya-karya puisi dan prosa yang dihasilkan oleh penulis-penulis Melayu dahulu tidak ada nama penulisnya. Said Ahmad Al Kudri belajar dari budaya itu. Oleh kerana ada tandatangan itu, inilah satu-satu karya anak tempatan yang dapat dikesan dalam abad ke 19 ini di Malaya. Walau pun karya ini kelihatannya ‘naive’ tetapi ia adalah hebat kerana pelukis ini berjaya melakukan ‘keserupaan’ pada wajah sebenar Sultan Abdullah. Dalam melukis potret persoalan ‘keserupaan’ adalah sesuatu yang sangat penting dan dituntut walaupun teknik dan lakarannya kurang impresif.
Keseluruhan ilustrasi yang lain yang dilukis dalam media massa yang diterbitkan di Malaya pada abad ke 19 dihasilkan oleh pelukis-pelukis pelawat atau pelukis-pelukis asing. Amat sukar menemui pelukis atau ilustratur Melayu ketika itu.
Penutup
Media Massa seperti The Illustrated London News, Graphic dan JAJAHAN MELAYU telah memainkan peranannya menyiarkan berita Perang Perak melalui ilustrasi. Ilustrasi sebagai ‘genre’ seni juga berjaya menyampaikan mesej visualisasinya kepada khalayak pembaca. Terpulanglah kepada khalayak bagaimana membaca gambar atau ilustrasi itu. Sentuhan garisan hitam putih oleh artis mengenai sesuatu kejadian itu merakamkan peristiwa sejarah yang amat mahal dan bernilai tinggi.
Perak rupa-rupanya memiliki warisan karya seninya yang tidak terhingga yang telah tersebar di seluruh dunia. Amat malang Muzium Perak langsung tidak perihatin dengan persoalan ini. Sepatutnya karya ini di perbesarkan dan dicetak dengan teknologi baru menggunakan teknik cetakan pada kanvas setelah meminta keizinan dari penerbitnya ILN. Sayangnya ILN telah ditutup tetapi boleh dicetak melalui internet tanpa melalui keizinan. Sebab gambar-gambar ini ada disiarkan melalui internet. Karya-karya itu boleh digantung dan dipamerkan di Muzium Perak sebagai warisan dan khazanah senirupa Negeri Perak.
Perak sebagai salah satu negeri di Malaysia sentiasa bergolak. Peperangan demi peperangan sentiasa berlaku sejak Perang Saudara Perak ( perebutan tahta antara Sultan Abdullah, Sultan Yusuf dan Sultan Ismail), Perang Larut( antara kongsi gelap Ghee Hin dan Hai San), Perang Perak( antara Orang Melayu dan Inggeris, Perak Pangkor( antara Panglima Hitam dan tentera Belanda) sehinggalah kini berlaku juga ‘Perang Politik’ antara parti UMNO dan Pakatan Rakyat dalam kes perebutan Kerusi Menteri Besar Perak. Di negeri inilah juga ditubuhkan SITC ( Sultan Idris Training College) pada tahun 1922 sebagai satu institusi pendidikan tinggi Melayu yang unggul yang menjadi pusat gerakan semangat nasionalisme menentang British( sekarang ini dinaikkan taraf sebagai Universiti Pendidikan Sultan Idris)
Rujukan
Ahmad Suhaimi bin Mohd.Noor. 2007. Sejarah Kesedaran Visual di Malaya. Tanjong Malim:Penerbit UPSI.
Ahmad Suhaimi bin Mohd.Noor & Manja Mat Ludin. 1995. Aspek-Aspek Kesenian Islam. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka
Gardner,G.B. 1936. Keris and Other Malay Weapons. Singapore: Progressive Publishing Co.
http://en.wikipedia.org/wiki/the illustrated london news
seni visual menganjak kenangan realiti perjuang Melayu di Pasir salak
ReplyDeletePerak bergolak kerana galaknya pemimpin tentang apa sebenaranya kepimpinan melalui demokrasi.Dalam konteks Pakatan Rakyat dengan BN, pergolakan tidak akan berlaku jika landasan demokrasi diikuti.Rakyat penentunya, sama seperti Pasir Salak, rakyat membrontak kerana kerajaan Inggeris tidak memahami maksud kepimpinan di zaman itu
ReplyDelete