Sunday, July 12, 2009

Cuti Sabatikal 42- Kembara Bali: Loloan Timur dan Warisan Trengganu
























































Lebih kurang 3 jam perjalanan pada tarikh 12 Julai 2009, aku sampai ke Loloan Timur. Satu perkampungan Islam yang mempunyai warisan Trengganu. Sebelum ini aku telah mendapat maklumat daripada Sdr. Azam Sulung ( Dungun) pensyarah Muzik di Jabatan Muzik, UPSI yang maklumatnya telah disampaikan oleh Dr.Zawawi dari Universiti Malaya mengenai hadirnya orang-orang Trengganu di situ. Mengikut Dr. Zawawi melalui kata-kata Azam, orang-orang Trengganu itu sebenarnya telah lari dari Perang Paderi di Jawa dan berndur ke Bali dan menetap di Loloan Timur. Aku telah menemuduga beberapa orang tua di situ terutama pak Sulaiman penjaga masjid tersebut yang berumur 74 tahun tetapi jawapan yang pasti ialah ada seorang insan Trengganu bernama En. Yaakob yang telah mewakafkan sebidang tanah dan sebuah mushaf Al Quran tulisan tangan yang telah ditulis oleh Syeikh Muhammad pada tahun 1591 M. En Yaakob telah berkahwin dengan wanita Loloan Timur. Mushaf Al Quran itu aku belek dan pegang dengan penuh rasa terharu sambil membacanya, ketara sangat helaian mushaf itu banyak yang rosak. Ditulis dengan kaligrafi gaya nasakh yang cantik dan mempunyai iluminasi dengan warna emas, merah dan kuning pada dua helai al quran serta satu iluminasi pada penutupnya. Bagi menyakinkan aku, Pak Sulaiman menunjukkan Prasasti berukuran 45sm x 17 sm daripada kayu mengandungi kaligrafi yang berbunyi "Hijrah Nabi SAW Seribu Dua Ratus Enam puluh Dua Lapan ( 1268 ) tahun kepada Tahun Hijriah sehari bulan Zulkaidah kepada hari Isnin dewasa itulah Encik Yaakob orang Trengganu mewakafkan ia akan barang isterinya serta muwafakah ia segala warisnya iaitu Quran dan sawah sati tebih, di Mestesari perolehan empst puluh sibak, di dalam Masjid Jembrana Loloan ketika Pak Mahmubah jadi Penghulu dan Bapak Mustika jadi pemekel, saksi bapak Abdullah bin Yahya Al Qadri, khatib Bapak Abdul Hamid, itulah adanya". Selepas menunaikan solat Zohor berjamah serta jamak Asar di Masjid Agong Baitul Qodim Loloan Timur aku berjalan melihat warisan beberapa buah rumah tradisional gaya Trengganu yang masih ada lagi di kiri kanan jalan Loloan Timur itu. Subhanallah, orang Trengganu sudah jauh mengembara dan menyampaikan risalah Islam. Anak kepada En.Yaakob itu sekarang ini bernama Ustaz Abdul Kadir Hassan masih hidup dan tinggal di Gilimanuk,Bali mengajar di masjid-masjid di Bali termasuk masjid Agong Baitul Qadim Loloan Timur ini.

1 comment: