Monday, June 15, 2009

Cuti Sabatikal 15- Kembara Bali:Ubud,Neka Museum dan Museum Puri Lukisan
















15 Jun 2009 jam 8 pagi aku bertolak ke Ubud dengan kawanku Made. Perjalanan mengambil masa sejam dari Sanur. Ubud adalah bandar seni yang hebat. Sepanjang perjalanan kiri dan kanan selain sawah padi yang menghijau ialah kedai-kedai dan galeri yang menjual produk seni dari ukiran kayu, ukiran batu, anyaman, tekstil, besi sehinggalah kepada perabut. apa sahaja boleh didapati di sini. Aku sarapan pagi di restoran Murni berhadapan dengan satu pemandangan luar biasa- sawah padi teres yang tiada di Malaysia. Pemandangan tropika yang sangat mengesankan. Barangkali inilah pemandangan sawah padi teres yang tercantik pernah kulihat( sebelum ini di perjalanan antara Padang dan Bukit Tinggi, Sumatera). Udara yang dingin dan angin yang bertiup perlahan mengenakkan lagi sarapan pagi kali ini. Aku kemudiannya mengunjungi dua museum yang terkenal di Bali iaitu Neka Museum dan Puri Museum Lukisan. Kedua-dua museum ini memamerkan lukisan-lukisan tradisional Bali. Neka Musuem memamerkan lukisan tradisional tetapi terkini. Manakala Puri Museum Lukisan memamerkan lukisan -lukisan tradisional yang telah dihasilkan sejak abad ke 17 lagi. Barangkali museum ini adalah museum yang terbaik yang mengumbulkan khazanah lukisan tradisonal Bali yang telah dikembalikan oleh Kerajaan Belanda pada tahun 1978 melalui perjanjian kebudayaan ( malangnya Malaysia dan Britain tidak pernah berbuat begitu). Karya-karya tersebut ada yang dilukis pada kain Bali dan daun lontar. Kebanyakan tema catan-catannya adalah spiritual agama Hindu. Watak Ramayana, Mahabratta dan Sang Boma adalah dominan. Makan tengahari aku di sebuah restoran luar biasa yang pemandangannya menjunam ke sungai. Bermakna binaan restoran ini bertingkat-tingkat mengadap sungai yang kedengaran deru jeramnya. Wah tidak pernah kusaksikan pemandangan seperti ini sebelumnya. Made kawanku akan membawa aku ke tempat-tempat yang luar biasa dan istimewa yang pengunjungi lain pun kurang mengetahuinya. Selepas makan aku mengunjungi kedai dan galeri-galeri di Ubud. Paling menarik perhatian ku ialah sekumpulan warga tua dan muda sejumlah 50 orang sedang mengukir, memahat dan mengilat kayu. Aku terus berbual-bual dan menyaksikan kepakaran mereka. Sebenarnya kumpulan ini adalah penduduk kampung yang sedang gotong royong menghasilkan ukiran untuk pura (candi) mereka. Aku juga sempat menemubual dua orang pengukir yang sedang mengukir patung kayu di sebelah rumah kedai mereka. Rata-rata pengukir-pengukir ini telah mendapat latihan kemahiran mengukir sejak dari SD ( sekolah Dasar atau di Malaysia dipanggil Sekolah Kebangsaan). Maknanya kurikulum kraf amat ditekankan di Indonesia sejak awal-awal lagi. Malah kebanyakan daripada mereka mendapat latihan alami dari ibubapa mereka di rumah. Kegiatan mengukir adalah kegiatan orang lelaki Bali. Tidak sempurna lelaki Bali kalau tidak pandai mengukir begitu juga tidak sempurna wanita Bali kalau tidak pandai menari. Inilah falsafah kesenian Bali-spritual, alami dan turun temurun sehingga berlanjutan ke hari ini. Aku sempat membeli produk ukiran kayu iatu sebuah tingkap berukir bersaiz sederhana yang mengandungi cermin muka berharga Rp 90,000 bersamaan kurang dari RM 40 (cukup murah boleh buat bisnes). Pulangnya lewat sore dan aku keletihan.

1 comment: