Wednesday, June 10, 2009

Cuti Sabatikal- Kembara Bali 9: Isu Manohara..











Seperti biasa jam 9 pagi 10 Jun 2009 aku ke pusat internet sebelah penginapanku. Sebelumnya selepas solat subuh aku menyambungkan pembacaan buku Jawa Islam oleh Woodward. Buku ini ditulis oleh seorang antropologis. Pandangannya banyak berkisar mengenai hubungan dan kewujudan Islam kebatinan dan Islam kesolehan di Jawa khususnya di keraton. Pembacaannya nanti kuteruskan pada sebelah malamnya. Selepas menulis blog dan memasukkan gambar, aku membaca email yang dikirim serta melihat Friendsterku. Wah sudah lebih 400 pengunjungnya manakala blogku telah melebihi 60 pengunjungnya dengan sedikit komen. 12.30 tengahari aku ke kedai makan Dewata Minang masakan Padang. Kali ini aku amat berhati-hati dengan makanan, takut Ghout dan diabetesku meningkat, setakat ini alhamdulillah. Barangkali kerap eksesais di pantai dengan menyusur pantai sejauh 3 kilometer dengan keringat yang memancar menyebabkan perubahan itu. Aku ke hypermarket Matahari mengunjungi dua kedai buku yang terkenal di Bali dan Indonesia iaitu di Periplus dan Gramedia. Aku duduk santai sambil membaca buku di kedua-dua kedai itu. 2 buku penting kubeli di situ iaitu Puri Museum Lukisan berharga Rp 225,000 dan Made in Indonesia berharga Rp 99,000. Satu perkara menarik ketika aku di kedai buku ialah salesgirl nya asyik bertanya tentang kes Manohara dan Putera Sultan Kelantan. Barangkali bahasaku dikenali sebagai orang Malaysia, ke mana sahaja aku berkunjung sama ada di tepi pantai, restoran, kedai, rumah orang Bali mereka akan bertanya tentang isu itu. Aku menjadi resah, rupa-rupanya Kes Manohara selebriti Indonesia yang berkahwin dengan putera Sultan Kelantan sudah menjadi isu nasional di Indonesia sehinggakan ketika aku makan di Restoran Minang kebetulan TV Indonesia menyiarkan berita hangat itu dengan wajah Manohara yang sedang menangis dan kesan lebam di tangan yang ditunjukkan menarik perhatianku. Di Malaysia isu ini tidak kedengaran langsung. Banyak pasangan mata merenungku. Mereka mengenaliku orang Malaysia kerana bahasa dan kebetulan jambang dan janggutku yang panjang. Setiap pertanyaan kujawab enggak tahu pak atau embak atau ibu. Baru-baru ini satu demonstrasi protes terhadap Malaysia telah diadakan di pantai Kuta mengenai isu pulau Ambalat yang didakwa oleh Indonesia tentera Malaysia telah menceroboh di situ sedangkan Malaysia mendakwa Ambalat adalah kawasan Zon Malaysia. Isu-isu tersebut menyebabkan Malaysia kurang disenangi oleh penduduk di Indonesia apatah lagi kes-kes penderaan pembantu rumah Indonesia di Malaysia kerap terjadi. Kelebihan Indonesia ialah kekuatan jati dirinya, isu yang melibatkan kes individu atau keluarga boleh diangkat jadi kes nasional. Sensitiviti orang Indonesia sangat kuat.

No comments:

Post a Comment