Sunday, June 7, 2009

Cuti Sabatikal-Kembara Bali 6




9.20 pagi 7 Jun 2009 aku ke kedai Internet yang sekangkang kera dari bilik penginapanku. Aku menulis blog dan memasukkan cerita dan foto-foto sebagai tatapan sesiapa yang sudi mengunjunginya. Jam 12.30 tengahari perutku begitu lapar, selepas menyuntik insulin aku mencari restoran Dewata Minang iatu masakan Padang yang halal. Makan mahal juga di sini lebih kurang RM 8 dengan lauk rendang daging,paru-paru, sayur pucuk ubi, sebiji telur, kuah lemak dan sebotol air mineral. Sukar mencari makanan halal di sini kecuali restoran Padang,KFC , Mc Donald serta satu kedai makan Jawa muslim. Selepas makan aku balik ke bilikku berehat dan solat Jamak. Jam 4 petang aku mengunjungi pantai .Inilah buat pertama kali sejak 7 hari aku di sini, aku mandi laut. Manusia dari pelbagai negara penuh di pantai dengan pelbagai aktiviti pantai dan laut. Angin sentiasa bertiup nyaman di kejauhan kaki langit kelihatan Gunung Agung, gunung yang tertinggi di Bali dan paling keramat mengikut penduduk Bali. Gunung ini pernah meletus pada tahun 1962 mengorbankan 2000 penduduk serta memusnahkan kampung-kampung di sekitarnya. Di Bali kebanyakan tanahnya berwarna hitam bekas lahar gunug berapi. Gunung Agung banyak kali meletus. Satu lagi gunung berapi di sini ialah Gunung Batur berdekatan Kalamani. Selepas mandi di pantai aku menyusur pantai sejauh 3 kilometer sehinggalah aku menemui Jalan Hang Tuah. Alhamdulillah tidak jauh dari situ ku temui sebuah masjid bernama Masjid AL Ikhsan berdekatan dengan pantai Siddhu. Aku cuba mengambil gambarnya tapi sayang kameraku kematian bateri. Aku makan malam di KFC berdekatan dengan masjid tersebut. Harganya lebih kurang harga di Malaysia. Sampai ke bilik aku mandi dan menunaikan solat jamak maghrib dan Isya. Rupa-rupanya aku terlena selepas itu barangkali keletihan. Terbangun jam 10 malam dan terpinga-pinga mencari minuman di luar. Jam 11 malam aku menyambung bacaanku 100 tahun Affandi oleh Ajip Roshidi seorang penulis dan sasterawan Indonesia yang sangat terkenal yang kemudiannya menetap di Osaka,Jepun. Buku ini mengesahkan riwayat hidup serta perjalanan seni Affandi pelukis agung Indonesia. Jam 2 pagi aku selesai membacanya.

No comments:

Post a Comment