Tuesday, June 9, 2009

Cuti Sabatikal- Kembara Bali 8: Universitas Pendidikan Ganesha





















































Jam 7 pagi 9 Jun 2009 selepas mandi dan solat subuh aku bertolak dengan kawanku Made ke Singaraja. Perjalanan yang panjang dan jauh dengan jalan yang sempit mendaki pergunungan melewati kampung dan hutan menyaksikan pemandangan yang cantik di kiri kanan jalan. Kami singgah di Bedugul sebuah pekan kecil yang sejuk dan dingin setelah melewati tasek yang indah dengan air yang biru berlatarbelakangkan gunung. Ada dua tasek yang indah di Bedugul. Selepas sarapan pagi di kedai Jawa Muslim, aku sempat membeli buah-buahan seperti anggur dan strawberry yang banyak di tanam di sini. Kebanyakan gerai-gerai di sini menjual buah-buahan dan sayuran segar mengingatkan aku kepada Cameron Highland. Cuma yang membezakan ialah Cameron Highland penuh dengan racun manakala di sini asli , buah-buahan dan sayuran ditanam dan dipelihara secara alami. Kami sampai ke Singaraja lebih kurang jam 10 pagi bermakna 3 jam perjalanan dari Sanur ke sini tolak masa singgah di Bedugul. Aku telah disambut baik dan mesra oleh Dekan Fakultas Bahasa dan Seni Dr. Madi Sutama dan timbalan dekannya di samping beberapa orang pensyarah( dosen) termasuk Pak Hardiman. Kami berbincang panjang lebar tentang universiti masing-masing. Mereka sangat berminat untuk menjalinkan kerjasama dengan UPSI melalui MoU. Aku menyerahkan ole-oleh berupa cenderamata mengandungi pluk, brosur dan warta UPSI yang terkini kepada Dekan dan timbalannya. Dekan mengundangku untuk membentangkan kertas kerja mengenai kesenian di Konferen internasional yang akan diadakan di sini pada bulan September. Begitu juga mereka mengundangku untuk member syarahan mengenai Kesenian Malaysia. Aku bersetuju kerana ia adalah bidang kepakaranku. Aku juga berbincangdengan Dr. Madi Sutama mengenai penyelidikanku bertajuk "Kesenian Visual Bali Tradisi: Mengakarumbi dan Estetikanya." Beliau menjemput seorang pensyarah bernama Ketut Supir yang mahir dengan kesenian Bali tradisi. Aku sempat berbincang dengan beliau khusus kesenian lontar ( Aksara Bali dengan ilustrasi yang dilukis pada daun lontar) Beliau memintaku mengunjungi Museum Lontar yang ada di Singaraja Mengikutnya inilah satu-satu museum lontar di Indonesia malah katanya mungkin di dunia (kebetulan aku telah mengetahuinya dari kawan Drs Izani Mat Ill, Hanisa ) Di sini aku begitu kagum dengan khazanah teks daun lontar yang telah dihasilkan oleh cendekiawan Bali. Sayangnya teks pada daun lontar itu adalah reproduksi, yang aslinya sukar diperolehi dan mengikut pegawai museum ia mungkin ada di puri ( istana) di Denpasar. Insyaalah aku akan berusaha menjejakinya.Teksnya mengenai doa-doa sakral, cerita-cerita Mahabaratha dan Ramayana serta cerita-cerita binatang. Manakala ilustrasinya ialah gambar mahabrata dan ramayana, dewa-dewi, binatang-binatang dan makhluk-makhluk lain. Selepas di museum lontar aku mengunjungi pantai Lovina (Love Indonesia) 10 kilometer dari Singaraja. Tidak seperti pantai Kuta dan pantai Sanur yang pasirnya putih atau kuning tetapi pasir pantai Lovina hitam pantainya. Barangkali bekas lahar gunung berapi yang dulunya kerap meletus di Bali. Misiku tercapai hari ini dan aku bertolak pulang. Singgah makan di Restoran Sederhana masakan Padang dan akhirnya ke penginapanku jam 8 malam. Made berbual-bual mengenai kehidupannya sebagai pencuci Cruise di Amerika selama sepuluh tahun dan bekerja di Kedutaan Turki di Jakarta 3 tahun. Jam 10 malam dia pulang dan aku terlena.

No comments:

Post a Comment