Friday, June 12, 2009

Cuti Sabatikal 12-Kembara Bali 12: Masjid Al Ikhsan Sanur












Masih di tarikh yang sama jam 12.30 tengahari selepas makan tengahari aku mengunjungi Masjid Al Ikhsan di Sanur untuk solat Jumaat. Masjid ini cukup menarik kerana di sebelahnya adalah hotel besar dan di bahagian hadapannya pula ialah padang golf. Terletak di Jalan Hang Tuah agak tersorok ke dalam, hanya papan tanda yang menjadi panduan. Masjid moden tetapi berasaskan seni bina tradisional pura Bali terutama di bahagian bumbungnya yang bertingkat. Atapnya diperbuat dari kayu yang telah dipotong menjadi genting. Masjid ini kelihatan lapang kerana ditiadakan dindingnya kecuali tembok yang menjadi identiti senibina rumah kediaman orang Bali. Tembok atau dinding yang setara dengan mihrab tidak ditutup terus tetapi memiliki ruang terbuka untuk laluan angin. Di bahagian silingnya diperbuat juga dari kayu manakala bahagian 'Kupola' dihias menarik dengan dekorasi kaligrafi Islam yang khusus. Bahagian luar masjid ini mengandungi taman yang bersih dengan rumput yang dijaga rapi. Memang sentiasa nyaman dan segar tidak langsung rasa panas. Ada lebih kurang 5 ribu orang yang menunaikan solat Jumaat ketika itu. Suara Azan dari muazzin sangat merdunya mengatasi suara azan di tempatku di Tanjung Malim,Perak,Malaysia. Khutbahnya ringkas dan padat mengenai keubudian kepada Allah S.W.T. Aku berasa sangat bersyukur kepada Allah kerana menemukan juga masjid ini di tengah-tengah pulau yang mengandungi puluhan ribu pura ( candi).

1 comment:

  1. Askm. Saya akan cari masjid ini bila ke Bali nt insyaallah

    ReplyDelete