




29 Jun 2009 aku berehat di rumah. Perjalanan itu benar-benar membuat aku keletihan. Umurku yang menjangkau 53 tahun ( lahir pada 20.07.1956) tidak mengizinkan aku cergas seperti biasa. Apatah lagi aku mengidap diabetes dan ghout. Aku tidur sepanjang hari. Makan ubat dan suntikan insulin melayukan aku. Aku terjaga entah jam berapa. Esoknya 30 Jun 2009 jam 2 petang aku ke Puteri Seri Ayu pusat Bali SPA yang canggih di Nusa Dua. Pak Supir membawa aku ke sana. Sepanjang sebulan aku di sini, inilah rawatan massage yang canggih pernah aku alami. Harganya Rp 414000 satu jam setengah menyamai RM 160 agak murah bagi orang Malaysia tetapi mahal bagi orang Bali. Massage center ini macam sebuah taman yang indah dengan air pancutan, wakaf, courtyard dan pohon-pohon yang dijaga rapi. Aku diurut dalam sebuah kamar yang indah dengan kolam mandi dan bauan bunga oleh cewek yang profesional. No sex. Buat pertama kalinya selepas diurut aku berendam dalam kolam yang dipenuhi bunga. Harum semerbak dengan minyak jasmin . Pelanggan boleh memilih mandi bunga atau mandi susu. Aku seakan-akan Raja Behrang yang sedang bertandang ke Bali. Yang nyata massage dan mandi bunga itu benar-benar menyegarkan dan menghilangkan keletihanku. Aku puas. Yang pasti kalau ke Bali tidak diurut maka tak sahlah lawatan ke Bali itu.