Thursday, April 8, 2010

TEATER "MAHKAMAH KEADILAN" DI PANGGUNG BUDAYA UPSI










8 April 2010 jam 8.30 malam berlangsung persembahan produksi teater berjodol "MAHKAMAH KEADILAN" oleh pelajar-pelajar Minor Teater Fakulti Seni dan Muzik, UPSI. Persembahan akhir ini adalah hasil kerja pelajar-pelajar Minor Teater untuk dinilai oleh pensyarah-pensyarah Teater UPSI. Teater komedi ini menarik perhatian khalayak yang terdiri daripada pelajar-pelajar dan pensyarah UPSI yang datang memenuhi Panggung Budaya UPSI malam tadi. Persembahan kali kedua akan berlangsung pada malam ini di tempat yang sama.





Teater tersebut mengingatkan aku kepada aktiviti teater yang pernah kulibati ketika mengambil kursus "Pengenalan kepada Lakonan" di bawah Kala Dewata ( Mustapa Kamal) pada tahun 1976 di Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan, Universiti Sains Malaysia dahulu. Alhamdulillah aku "score A" kursus itu.





"MAHKAMAH KEADILAN" ini begitu sinis sekali. Suluhan "spotlight" yang menyorot pergerakan pelakon wanita di awal persembahan, memulakan monolog yang mengesankan.Sekadar duduk dan kadang-kadang berdiri, pelakon wanita itu berbicara sendiri.Intonasi yang mengesankan, pergerakan badan yang bersahaja memukau khalayak. Pilihan "Monolog" yang dilontarkan mengajak khalayak memikirkan buah butir kata-kata timbal balik antara penuduh, yang dituduh dan kata putus hakim. Pergerakan kreatif yang dilakukan oleh pelakon-pelakon khususnya ketika hukuman telah dijatuhkan dan kemenangan kepada pihak hakim dan tertuduh "Penjual roti" cukup menarik. Begitu juga tarian gelek yang dipersembahkan oleh pelakon-pelakon lelaki yang menyamar wanita.Salah seorang daripada penari gelek itu adalah RAHIZUL pelajar Pendidikan Seni yang baru-baru ini mengikutiku berkhemah dan kembara di Lubuk Kawah. Suasana keAraban jelas terpancar dalam seluruh persembahan kecuali di awal persembahan. Tarian gelek,loghat Arab,set dan props mahligai,kostume dan tingkah laku jelas menunjukkan hal itu. Mainan lampu juga amat membantu.






Ada kelas! Itulah jawapan yang dapat kuberikan kepada persembahan teater malam itu. Syabas dan tahniah kepada semua pelajar-pelajar Minor Teater serta pensyarah-pensyarahnya.INGAT! DI TANAH INILAH LAHIRNYA TEATER MUZIKAL "BUKAN LALANG DITIUP ANGIN' KARYA SENIMAN NEGARA NOORDIN HASSAN YANG TELAH MEROMBAK ERTI SEBUAH TEATER SERTA MEMARTABATKANNYA SEBAGAI TEATER MODEN ( absurd) YANG PERTAMA DI MALAYSIA . ( aku sempat menyaksikan latihan teater itu di Bangunan Dewan Suluh Budiman pada tahun 1973 ketika aku bersekolah menengah di SMK Khir Johari Tanjung Malim dahulu)






Bakat dan kemahiran yang ditonjolkan oleh pelajar-pelajar ini memginsafi diri kita sebagai pendidik, bahawa sebenarnya ramai lagi pelajar-pelajar kita yang berbakat dan berkemahiran dalam pelbagai bidang tetapi tidak berpeluang menonjolkan diri. Barangkali ini jugalah yang berlaku di sekolah-sekolah kita hari ini. Mereka tidak ada "peluang" atau tidak diberi "ruang" untuk mengases diri sebagai "pekerja kreatif". Jutaan pelajar-pelajar kita di sekolah-sekolah menengah dan rendah, persoalannya "berapakah bilangan mereka yang berpeluang menjelmakan daya kreativiti mereka dalam bidang sains,seni dan sukan". Alangkah malangnya kita sebagai pentadbir dan pendidik mensia-siakan aset yang diberikan oleh ALLAH kepada kita.

2 comments:

  1. terima kasih atas sokongan yg diberikan doktor utk aktiviti teater kami, jgnlah serik utk bertandang n menonton lg ya :)

    ReplyDelete