Saturday, April 10, 2010
PAMERAN LUKISAN PENSYARAH JABATAN SENI FAKULTI SENI DAN MUZIK UPSI DI NN GALERI AMPANG
10 April 2010 berlangsunglah pameran lukisan oleh pensyarah-pensyarah Jabatan Seni Fakulti Seni dan Muzik UPSI di NN Galeri,Ampang, Kuala Lumpur.Galeri ini adalah "masterpiece" Syed Nabil Syed Nahar tuan empunya galeri ini yang terletak di kawasan premis perniagaan Ampang. Pameran yang bertemakan "Text Messages"ini menampilkan kepelbagaian idea,gaya,medium dan teknik oleh 24 orang pensyarah Jabatan Seni Fakulti Seni dan Muzik,UPSI.
Genre catan,anyaman,cetakan,fotografi,instalasi,seni elektronik,jeweleri dan seramik telah dipersembahkan dalam pameran itu. Barangkali ini adalah pameran pertama dan terakhir fakulti ini apabila fakulti seni baru akan ditubuhkan dengan nama "FAKULTI SENI,PENGKOMPUTERAN DAN KREATIF INDUSTRI manakala Muzik juga akan berpisah dan berkembang dikenali dengan nama FAKULTI MUZIK DAN PERSEMBAHAN. Kedua-dua fakulti itu telah diluluskan penubuhannya oleh Lembaga Pengurus UPSI serta Kementerian Pengajian Tinggi dan akan beroperasi tidak lama lagi.
Pameran yang akan berlangsung selama sebulan sehingga 28 April 2010 ini telah dirasmikan oleh Y.Bhg. Dato'Azian Mohd.Noh CEO Kumpulan Wang Persaraan Malaysia. Berapa orang pelukis ternama,"art Collector",wartawan,pensyarah-pensyarah universiti, peminat-peminat seni serta pelajar-pelajar UPSI turut hadir dalam majlis perasmian itu. Galeri penuh sesak dengan pengunjung. Prof.Dr.Zakaria Ali turut membicarakan karya-karya pelukis sebelum perasmian dilakukan. Aku tertarik dengan kefasihan bahasa Inggeris dan gaya pembicaraannya. Pemegang ijazah Ph.D dari Universiti Harvard ini memang ada kelas. Amat jarang profesor lain yang bisa melakukannya.
Hari pertama sahaja beberapa karya telah "sold out" Tahniah kepada Azhar Ahmad dan Murisa Mustapa. Kita juga menunggu karya-karya lain yang akan "sold Out" Karya-karya bernilai paling rendah RM 1,800 sehinggalah kepada RM 50,000 dipamer dan dijual di situ.
Aku tertarik sangat dengan karya abstrak Dr.Roskang Jailani yang bersaiz besar dan memenuhi ruang dinding pameran. Beliau tetap setia sebagai penganut "abstraktivisme". Prof.Dr Zakaria Ali bertahun-tahun bergelumang dengan gaya realismenya. Beliau tidak pernah jemu dengan gaya itu. Manakala cetakan adalah kepakaran Dr.Mohd.Fauzi Sedon. Siri "nametag" terbawa-bawa dalam persembahannya kali ini. Cetakan juga menjadi minat Dr.Harozi Ramli namun karya yang menterjemahkan "makna cinta" melalui imej bibir mengingatkan aku kepada batik-batiknya. Azhar Ahmad cuba membawa kelainan dalam batik. Penerokaan kepada teknik-tenik baru membatik membuahkan hasil. Prof Madya Dr.Mohd.Zahidee Arshad membawa imej kebaya nyonya dalam liukan tanah liatnya sementara Dr.Tajul bereksperimen dengan tanah liat yang telah berjaya dihasilkan dengan kerjasama "SIRIM".
Aku masih setia melukis wajahku tanpa jemu. Teknik Impasto menjadi pilihan. Kali ini aku guna warna merah, kuning dan putih sebagai latar. Aku kosongkan latar bagi menonjolkan imej. Seni eletronik dan intalasi menjadi pilihan Dr.Abd.Halim Hussein dan Nur Syuhada Mat Sin. Kita boleh menyelami intipati pengaruh seni kontemporari dalam karya-karya sebegini. Walau bagaimanapun Nur Syuhada memilih Imej wanita dalam karya elektronik sebaliknya Dr.Abdul Halim membawa audien berkomunikasi dengan imejnya. Sekeping karya Hassan Mohd Ghazali membawa erti kesunyian yang melanda wajah kanak-kanak. Latar kosong kuning menambahkan beratnya pertanyaan itu " Ah..dunia kanak-kanak yang tak sepatutnya sepi"
Aku senang dengan imej "pendemo". Aksara "GANYANG" membawa erti hubungan yang goyah dan semakin parah antara Malaysia-Indonesia. Warna kelam digunakan membangkit suasana itu. Nur Akmal bijak mengadun anyaman, mainan warna harmonisnya menyejukkan pemandangan. Unsur Feminisme menjadi mainan Ahmad Anis Mohd.Fauzi. Selain imej yang dijelmakan, warna juga menjadi adunan kewanitaan itu. "Taiping" aksara simbolik dalam "rustic billboard" karya Nur Azlan Hj.Zainuddin. Cetakan fotografinya itu mengingatkan kita kisah sejarah laluan keretapi pertama di Malaya "Taiping-Port Weld".
Pendatang baru Muriza Mustapa dalam karya "SERU" mengajak kita menyelami makna "AZAN" yang menyeru kepada kejayaan. Unsur kerohanian ini menjadi miliknya yang ingin dikongsi bersama. Sementara Ibrahim Bakri Musa menonjolkan imej Flora dalam ukiran kayunya.Beliau tidak meletakkan ukiran itu dalam demensi fungsi tradisional "berhias" tetapi memartabatkannya dalam dunia "Fine Art" sebagai karya yang perlu difrem,digantung dan dipamer. Zainuddin Abindin Hazir merujuk peribahasa Melayu "ikan di laut asam di darat, dalam periuk bertemu jua" dalam karya cetakannya. Nampaknya beliau berubah angin dari pengadun arca ke catan cetakan. Abu Bakar Sabran juga beralih arah dari penghalus jeweleri ke misteri catan. Dengan karya "Mak Minah pergi pekan" beliau cuba mendodoi lagu kanak-kanak.
Seorang lagi pelukis, Amir Hashim memasukkan unsur-unsur kerohanian dalam karya munajatnya dengan menggunakan cetakan digital. Begitu juga Mila Salima Halimi dengan menggunakan teknik yang sama memperjuangkan hak-hak wanita dalam karya bertajuk "You Are Not Alone". Intan Khasumarlina Mohd.Khalid pula mewajarkan bidangnya interior dalam karya "Landscape Series" menggunakan mix media. Kelainan telah dipersembahkan oleh Mohd.Noor Mustapha dengan "Batu Sihir"nya yang mengandungi aura dengan Tajuk "New World Series". Prof.Dr.TjetJep Rohendi Rohidi mempersembahkan karya abstrak bersaiz besar dengan tajuk "Untitled".
Pameran ini mengajak audien berinteraksi dengan karya-karya yang mengandungi pelbagai idea dan medium ini. Hubungan timbal balik ini melakarkan kesedaran visual yang tinggi antara pengkarya, audien dan karya. SELAMAT MENYAKSIKAN.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment