6 April 2010 yang lalu aku telah pergi ke Alor Gajah bersama rakan sekerjaku Amir Hshim (dia adalah bekas pelajarku KPLI Seni UPSI tahun 1990 an dulu dan kini menjadi pensyarah Seni UPSI). Oleh kerana jenuh kami mencari hotel di Alor Gajah,tapi tak jumpa,kami membuat keputusan menginap di Hotel Seri Malaysia, Air Keroh,Melaka. Hotel yang sederhana besarnya bertaraf 3 bintang cukuplah untuk kami menginap dan melepaskan lelah. Kami bertolak jam 2 petang dan sampai ke Alor Gajah jam 4.30 petang. selepas mandi kami berehat-rehat saja di bilik sambil membuka laptop untuk melayari internet, menjengok blog dan Facebook.
Malamnya kami ke Muar untuk ke destinasi makanan sup yang enak. Memang benar-benar enak. Terima kasih yang tidak terhingga kepada bekas pelajarku Violet yang sekarang ini mengajar di Muar ( kampungnya sendiri). Aku menelefonnya ketika sampai di hotel untuk makan malam dengannya di Muar. Dia menunggu kami di Muar. Balik ke hotel kekenyangan. Aku menyambung kerja-kerja penulisanku sehingga jam 2 pagi. Rakanku Amir Hashim dah terlelap lama. Aku memang jarang tidur awal, paling cepat pun jam 12 tengah malam. Peliknya aku juga sentiasa bangun awal jam 5.30 pagi mataku dah celik terbuka.
Selepas solat subuh aku masih di hadapan laptop. Nampak gayanya aku sukar memisahkan diri dari laptop. Dia dah menjadi "talian hayat"ku kini disamping sketchbook. Banyak perkara yang boleh ku buat dengan menggunakan laptop ini, penulisan penyelidikan,blog,Facebook, data dan maklumat dalam internet dan pelbagai perkara lagi.
Selepas sarapan pagi di hotel, aku ke Sek.Men.Keb.Dol Said untuk menyelia guru-guru pelatih DPLI UPSI. Nurul dan Zaila telah ku hubungi sebelumnya melalui sms. Hal ini sangat perlu dilakukan, takut-takut di sekolahnya nanti ada progrem dan majlis rasmi yang menyebabkan jadual akan berubah. Nasib baik juga aku telah menghubungi mereka kerana sekolah itu ada aktiviti sukan di sebelah paginya. Namun begitu aku masih dapat menyelia mereka walaupun aktiviti itu terus berlangsung.
Aku menemui Pengetua sekolah dengan ditemani oleh Penolong Kanan HEM.Pengetua sekolah sangat mesra. Banyak perkara yang kami bualkan dari hal-hal yang berkaitan dengan sekolah itu sehinggalah kepada hal yang berkaitan dengan guru pelatih ini. SMK Dol Said adalah "Sekolah Bestari". Jumlah pelajarnya 1700 orang dan pelajar lelaki berjumlah 1000 orang. Ada asrama lelaki dan tiada pula asrama pelajar perempuan. Lokasinya betul-betul di tepi jalan besar berhadapan kubur cina. Kawasan sekolah luas dan mempunyai 2 padang- di bahagian bawah dan atas. Pencapaian akademik dan kokurikulum adalah antara sekolah yang terbaik di Melaka.
Selepas itu aku menemui Zaila dan Nurul di bilik seni. Aku cuba membina hubungan yang mesra antara penyelia dan Guru pelatih. Aku amat tidak suka suasana yang serius dan formal. Perbualan awal yang berkisar kepada rumah sewa,masakan dan aktiviti harian melenturkan tembuk pemisah antara pensyarah dan pelajar. Selepas itu baharulah aku menumpukan kepada "Pra Penyeliaan". Aku cuba menarik perhatian mereka kepada aktiviti mereka sebelum masuk ke kelas? Jawapan yang umum pastilah mereka menyediakan "Persediaan Mengajar Harian", merujuk buku-buku, membina Alat Bantu Mengajar (ABM). Aku juga cuba mengorek perasaan dalaman mereka ketika mengajar sebelum aku datang.
Aku suka sangat melihat "Buku Persediaan Mengajar" mereka. Aku selak satu-satu. Tumpuan mataku lebih kepada "Objektif Pengajaran dan Pembelajaran". Aku semak satu-satu. DI sinilah kelemahan yang paling nyata di kalangan hampir semua guru pelatih yang sedang menjalani praktikum iaitu penulisan objektif yang tidak objektif. Apabila menulis Objektif P & P, ia perlu objektif dengan kata lain mesti tepat tidak samar-samar,mesti teliti dan detail. Soal "Kata Kerja" adalah aspek penting yang boleh diukur dalam "Objektif Tingkah Laku". Ketika menulis Objektif P & P persoalan tiga domain iaitu domain kognitif,domain psikomotor dan domain afektif juga perlu diambil kira.
Contoh penulisan Objektif P&P yang tidak jelas antaranya "Di akhir pelajaran murid-murid dapat menghasilkan karya catan" atau "Di akhir pelajaran murid-murid dapat melakar bentuk bunga" Sepatutnya "Di akhir pelajaran murid-murid dapat menghasilkan sebuah catan bertemakan potrait manusia dengan menggunakan "teknik cat air" dengan menggunakan medium cat air" atau "Di akhir pelajaran murid-murid dapat melakar rupa sekuntum bunga raya dengan menggunakan "teknik garisan" menggunakan pensil. Maknanya dalam sesebuah penulisan Objektif P & P persoalan bila,apa,bagaiamana perlu sangat diambil berat.
Aku meminta guru pelatih yang kubimbing ini membuat tugasan di depan mataku khususnya dalam penulisan Objektif P & P. Selain itu aku juga menyemak langkah-langkah pengajaran adakah menepati kehendak objektif atau tidak. Semua itu penting dalam menyediakan sesebuah "Persediaan Mengajar Harian". Aku juga berbincang dengan mereka mengenai "Set Induksi". Inilah kelemahan yang berlaku pada guru pelatih kita. Mereka masih beranggapan "Set Induksi" ini hanya perlu dan digunakan di awal pengajaran sahaja. Aku menjelaskan fungsi "Set Induksi" ialah untuk menarik perhatian murid. Oleh yang demikian ia boleh digunakan di awal peengajaran atau di awal langkah-langkah pengajaran bila didapati murid-murid telah menunjukkan tidak berminat lagi kepada pengajaran guru. Maka di situlah "Set Induksi" yang baru perlu dilakukan. Aku juga melihat Alat Bantu Mengajar yang mereka sediakan.Memadai, sesuai atau tidak? Aku juga menyemak isi kandungan pelajaran yang akan diajar pada hari itu. Adakah telah mencapai tahap umur murid? Bimbang juga takut isi kandungan itu amat rendah atau sangat tinggi? Langkah-langkah pelajaran juga disemak untuk melihat aktiviti P & P yang akan dijalankan. Adakah menepati dengan isi kandungan? Semuanya itu perlu disemak dan diteliti betul-betul agar p & p yang disampaikan berkesan.
Aku melihat mereka mengajar di dalam kelas. Masih banyak ruang yang perlu diperbaiki. Aku memberitahu mereka "bahawa mereka dalam praktikum..oleh kerana itu banyak perkara yang perlu dipelajari...untuk menjadi guru yang berkesan memakan masa yang lama dan ia tidak mungkin boleh dibentuk dalam dua tiga bulan". Pengalaman aku menyelia Guru Pelatih cukup lama. Aku telah menyelia guru-guru pelatih ini sejak era MPSI, IPSI dan kini UPSI. Sudah 25 tahun aku menyelia praktikum dan ratusan guru yang telah diselia. Insyaallah dan alhamdulillah aku boleh menentukan secara holistik pengajaran guru pelatih yang dikategorikan cemerlang,baik dan sederhana. Sekali imbas sahaja,insyallah aku boleh tahu jantan betinanya. Ini bukan maksudnya aku takbur atau cuba menunjuk-nunjuk tetapi pengalamana telah banyak mengajar aku. Sepanjang pengajaran dan pembelajaran yang dilakukan oleh Nurul dan Zaila itu aku pergi melihat aktiviti-aktiviti yang dilakukan oleh murid-murid mereka.Ya..ada kesungguhan dan minat yang ditunjukkan oleh mereka. Aku sempat merakamkan foto-foto gelagat dan aksi mereka.
Selepas loceng berbunyi, aku dan Guru pelatih keluar kelas bersama, sama seperti aku bersama bila masuk ke kelas tadi. Aku memberi ruang untuk mereka bernafas sebelum "Pos Penyeliaan" dilakukan. Aku mohon mereka duduk dalam keadaan selesa. Aku cungkil perasaan mereka ketika mengajar. Wah banyak perkara yang dicurahkan. Antara luahannya..gementar,darah gemuruh, panik, laju,murid ada yang respon ada yang tidak, dr ada murid tak bising....,dan pelbagai lagi luahan. Namun begitu aku dapat menyelami perasaan mereka...iaitu "PUAS". Aku puas hati pengajaran mereka hari itu walau pun banyak perkara yang perlu dipertingkatkan lagi.
Aku menegaskan kepada mereka " U ADALAH SELEBRITI DI DALAM KELAS. 40 PASANG MATA MELIHAT U DARI HUJUNG KAKI KE HUJUNG RAMBUT. TERPULANG KEPADA U UNTUK MEMBENTUK MEREKA. TERPULANG KEPADA U BAGAIMANAKAH CARA MENARIK PERHATIAN MEREKA? DAN... GURU ADALAH SEGALA-GALANYA....."
No comments:
Post a Comment