Tuesday, March 2, 2010

SEK.KEB.DATO' KAMARUDDIN BEHRANG STESEN



3 Mac 2010 adalah hari ketiga aku mulai bekerja sejak melaporkan diri pada 1 Mac yang lalu. Sejak aku tinggal di kampungku Kampung Pauh, Behrang Stesen aku sempat merakamkan foto wajah-wajah yang sering bermain di mataku. Antaranya sekolah asas tempat bermulanya pendidikan formal. Nama sekolah itu dahulunya ialah Sekolah Kebangsaan Kampung Pauh,Behrang Stesen kemudian bertukar namanya kepada Sekolah Kebangsaan Datuk Kamaruddin, Behrang Stesen mengambil sempena nama Mantan Menteri Besar Perak yang lalu.




Aku bersekolah di sini bermula darjah satu pada tahun 1963 sehinggalah darjah lima pada tahun 1967. Kelas darjah enam tidak ada di sini ketika itu. Malah kelas darjah lima diadakan di dewan orang ramai Kampung Pauh di hujung kampung ketika itu. Kami terpaksa berpindah ke kelas darjah enam di Sekolah Kebangsaan Tanjong Malim yang bangunannya sekarang di kampus UPSI ( bangunan itu dijadikan TADIKA UPSI) jauhnya 7 batu dari Behrang Stesen. Daripada 15 orang murid darjah lima hanya 5 orang sahaja yang menyambungkan pelajarannya di kelas darjah enam di Sekolah Kebangsaan Tanjong Malim, yang lainnya tercicir kerana kemiskinan. Ibubapa tidak mampu membayar wang tambang bas RM 15 sebulan serta bayaran yuran sekolah. Memang sedih mengenangkan hal itu. Majoriti ibubapa di kampungku ketika itu miskin-miskin belaka termasuk ibu bapaku. Pendapatan daripada pekerjaan menoreh getah berapalah sangat malah harga getah jatuh merudum ketika itu disebabkan persaingan dengan getah tiruan. Tidak seperti sekarang ini, getah buku sekilo berharga RM 4.00 lebih.



Bagi menampung wang belanja sekolah, aku bekerja mengutip cabai dan kacang tanah di kebun Cina di tepi Sungai Behrang pada hari sabtu dan Ahad. Dapatlah aku seringgit dua. Cabai dan kacang tanah yang dipungut diletakkan dalam tin minyak tanah. Harga bagi setin cabai atau kacang tanah ialah RM 0.20, bayangkanlah berapa tin minyak tanah untuk mendapat RM seringgit atau dua ringgit. Kehidupan amat susah masa itu. Ibu bapaku bekerja keras untuk menyekolahkan aku dan adik beradik yang lain. Kami kerap makan ubi kayu rebus sahaja. Bila musim buah, aku dan abangku NorAzmi menjual buah-buah rambutan, manggis dan pulasan pada waktu malam di pekan Behrang. Balik daripada menjual aku dan abang aku terpaksa melalui tanah perkuburan pada waktu malam. Orang-orang tua berpesan, tanggal baju dan seluar kalau lalu tepi kubur nanti hantu takut. Aku dan abang aku selalu telanjang bogel bila lalu tepi kubur konon nak patuh cakap orang tua-tua. Rupa-rupanya kami yang jadi "hantu"




Ada perkara yang nostalgik mengenai sekolah ini. Lencana sekolah ini adalah hasil ciptaanku pada tahun 1973 ( kerika itu aku di Tingkatan Lima). Lencana sekolah itu telah berumur 37 tahun dan masih digunakan sehingga kini. Aku masih lagi mengingati semua nama guruku dan rakan-rakan sedarjah limaku. Paling kuingati Cikgu Laili bin Abdul Ghafar guru besar dan guru sivik, cikgu Noraini guru bahasa Melayu dan bahasa Inggeris, Cikgu Kamaruddin Abd.Wahab guru matematik dan Sains, Cikgu Badaruddin, guru kelasku yang mengajar semua subjek, Ustad Ayub.Kami sangat takut dengan Guru Besar Cikgu Laili bin Abdul Ghafar. Dia sangat garang. Kalau terlalu marah dia akan menyepak dinding kelas ( daripada papan ) sehingga pecah. Akulah yang menjadi mangsanya mengambil "martul" ( hammer) untuk memaku semula dinding yang tercabut itu. Kepala aku bengkak dipukulnya dengan paip rokoknya. Ramai rakanku yang kena pukul dengan pembaris panjang sehingga lebam-lebam. Paling mengerikan bila kami tidak dapat menjawab soalan, dia akan membuka mulut kami dan meludah ke mulut kami. Kami disuruh menelan air liurnya. Bau air ludahnya yang busuk kerana bau rokok sangat-sangat kami ingati.

7 comments:

  1. salam.
    kenangan lalu memang indah bila dikenang. Yang pasti ia tetap tersimpan kemas dalam memori. Bagai sebuah drama kehidupan , boleh replay .. berulangkali. Tapi..payah untuk mendeletenya.

    ReplyDelete
  2. kami pelajar 5a UPSR sk dato kamaruddin 2011 seramai 8 orang dan 4a1b seramai 4 orang dan 3a2b seramai 4 orang juga telah mencipta sejarah pada tahun ini.Kamilah penyambung warisan.terima kasih DR AHMAD SUHAIMI BIN MOHD NOOR.

    ReplyDelete
  3. salam dr.arwah ibu saya berasal dr sane...arwah opah saya bernma mashitah dan atok saya nordin....hari ini saya kembali ke sane utk melihat rumah peninggalan arwah tp dh lama sgt tak balik tak tahu mane satu n mgkn juga sudah menyembah bumi..sedih rasenye...

    ReplyDelete
  4. Al fatihah buat dr suhaimi..... Moga rohnya dirahmati Allah....

    ReplyDelete