Tuesday, March 16, 2010
SATE BEHRANG
17 Mac 2010 hari ini adalah hari kedua berlangsungnya konvokesyen UPSI yang ke 12 yang diadakan di Dewan SITC. Kali ini aku tidak terlibat dalam perarakan akademik. Kemungkinan besar aku baru sahaja balik dari Bali setelah menamatkan cuti sabatikalku selama 9 bulan oleh itu namaku tidak tersenarai dalam perarakan itu. Menjadi kebiasaan bagi acara konvokesyen akan diadakan perarakan graduan, perarakan akademik dan perarakan utama, selain ucapan dan penyampaian ijazah. Aku tidak mahu memperkatakan soal yang terlalu biasa itu.
Ada sesuatu yang "luar biasa" yang orang luar perlu mengetahuinya di tempat lahirku Behrang Stesen iaitu "Sate Behrang". Inilah satu-satunya gerai sate yang ada di pekan Behrang Stesen. "Sate Behrang" telah menawarkan khidmat keenakan sate yang istimewa kepada penduduk Behrang Stesen dan warga luar sejak puluhan tahun lalu. Malah keistimewaannya telah menjalar ke luar negara. Beberapa orang profesor dari Australia datang menikmati sate ini selain profesor-profesor dalam negara.
Aku adalah penggemar sate yang setia. Merata aku menjelajah dalam negara dan luar negara sambil makan sate termasuk sate Kajang, sate di bandar-bandar Sabah dan Sarawak malah ke luar negara di bandar-bandar di Thailand, Jawa, Sumatera, Bali dan Lombok tetapi aku dapat membandingkan keenakannya dengan "sate Behrang". "Sate Behrang" jauh lebih enak dari sate-sate yang ku sebutkan tadi. Aku bukan pula "bias" untuk menyatakan hal ini kerana aku berasal dari Behrang tetapi ku kutip kata-kata dari orang-orang luar yang pernah menikmatinya. Kuah dan ramuannya dagingnya sangat menyelerakan. Tidak hairanlah pada setiap hujung minggu puluhan ahli kumpulan bermotor besar akan singgah menikmati sate ini. Waktu ini anda tidak berpeluang untuk menikmati sate ini kerana telah ditempah habis oleh mereka.
"Sate Behrang" ini dipunyai oleh Wak Seroji dan dibantu oleh Wak Amran. Kedua-duanya telah berumur dan berasal dari Felda Sungai Tengi. Tidak ada gadis cantik yang membantu untuk melakukan sate ini. Gerai "sate Behrang" wujud dengan seadanya tanpa hiasan dan lampu mewah beroperasi sejak jam 6 petang hingga 10 malam. Ditutup 2 hari dalam seminggu ( malangnya aku tidak ingat harinya).
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment