Monday, March 8, 2010

SEK.KEB.DATO' KAMARUDDIN BEHRANG STESEN: PERHIMPUNAN PAGI HARI ISNIN


8 Mac 2010 bersamaan hari Isnin jam 7.45 pagi ketika dalam perjalanan ke tempat kerja di UPSI, Tanjung Malim, aku terserempak dengan satu pemandangan yang menarik perhatianku, iaitu perhimpunan pagi di Sek.Keb.Dato'Kamaruddin,Behrang Stesen. Aku turun dari kereta dan merakamkan foto-foto wajah murid-murid dan guru-guru yang ada di situ. Wajah-wajah yang syahdu dan bersih memenuhi ruang perhimpunan. Cucu saudaraku juga turut duduk berhimpun di situ. Aku jadi terharu.



Aku teringat ketika aku belajar di situ tahun 1963-1967 dahulu. Waktu perhimpunan pagi adalah waktu yang menggerunkan aku dan rakan-rakan. Kami dipaksa menyanyi dan menghafal lagu kebangsaan Negeri Perak ( melodinya sama dengan lagu Negaraku sekarang ini). Sekiranya kami menyanyi sumbang dan tidak menghafal liriknya kami akan dijemur sambil menyanyikan lagu itu berjam-jam lamanya. Guru yang mengajar nyanyian itu ialah Guru Besar sekolah itu Cikgu Laili bin Abdul Gafar (Lepasan SITC). Kadang-kadang kami tidak masuk kelas sehinggalah guru tersebut puas hati. Bayangkanlah kami ketinggalan banyak pelajaran lain sekadar untuk menyanyi dan menghafal lagu tersebut.Alhamdulillah Allah beri sedikit kepintaran padaku. Aku selalu menduduki tempat pertama sejak dari sekolah rendah sampai ke sekolah menengah, kecualilah bila aku sakit tidak dapat menduduki peperiksaan. Sejak kecil lagi aku selalu mengidap penyakit Asma( lelah) yang teruk. Kadang-kadang aku pernah tidak hadir ke sekolah selama sebulan. Aku terbaring sahaja di rumah. Kakakku Normah ( Kak Non) yang selalu menjaga aku. Ibu bekerja menoreh getah bersama bapaku.




Guru Besar tersebut telah lama pulang ke rahmatullah semoga Allah mengampunkan segala dosanya terhadap kami. Namun aku perlu menceritakan feelnya yang anih
supaya menjadi teladan kepada semua. Tidak ada seorang pun daripada kami yang tidak kena penangannya. Sepak terajang, pukul sampai lebam, ketuk kepala dengan paip rokok sampai binjul, penampar Jepun, selak skirt, ludah dalam mulut dan maki hamun menjadi tabiat biasa kepadanya. Hari- hari kami dalam ketakutan. Sekolah bukanlah tempat didikan tetapi tempat tahanan. Aku jadi baruanya tolong ambil martul ( kebetulan rumah ibubapaku sebelah sekolah) dan paku dinding yang pecah kena sepak terajangnya.




Dulu ibu bapa tak pernah komplen. Aku pernah mendengar bapakku menyatakan sesuatu pada guruku ketika menyerahkan aku ke pihak sekolah waktu pendaftaran aku ke kelas darjah enam di Sekolah Kebangsaan Tanjong Malim, Perak dahulu " Cikgu ini anak saya, ajarlah iya jangan sampai patah sudahlah" . Rupa-rupanya ada segelintir guru-guru dahulu mengambil kesempatan menggunakan kata-kata ibubapa ini sebagai pasport menggodam anak-anak muridnya. Kesalahan kecil dihukum tidak setimpal dengan kesalahan murid-murid itu. Amat malang bagi Guru Besar ini oleh kerana tidak tahan dengan sepak terajangnya juniorku telah memberontak, beramai-beramai menolak kereta "Moris Minor"nya jatuh ke bawah tersandar di pagar masjid. Aku tidak tahu berapa lama kereta "Moris Minor" itu tersadai di bawah bukit itu.

1 comment:

  1. Salam DR,
    Itulah dunia kanak-kanak. apa yang dialami akan terpahat dlm ingatan seumur hidup. Sedih juga saya dgr cerita Dr masa tu. Saya juga mengalami perkara2 begitu. .tapi hanya dpat melihat kawan2 yang tidak begitu cerdik diperlakukan begitu, ditampar , diludah dsb.Yang lebih memalukan ada sorang guru lelaki masa saya darjah 6 meraba dada murid perempuan dgn alasan katanya nak merasa degup jantung .Pada masa tu ada kes kecurian.Katanya dia tau sapa yg mencuri dgn merasa degup jantung tu..dari mana dia belajar ntah.Faham2 la murid darjah 6..bukan budak kecik.
    Tapi saya tetap memaafkan guru tersebut.Mungkin dah jadi arwah.

    ReplyDelete