Thursday, March 11, 2010

GENDANG SILAT: DUNIA SENI RUPA MELAYU




11 Mac 2010 seperti biasa jam 5 petang, aku akan ke bilik tradisional tingkat bawah menuju ke cafe untuk berlatih memalu "gendang silat". Gendang silat ini dipimpin oleh Dr.Joe (Dr.Mohd.Johari Abd.Hamid). Beliau mahir betul dengan gendang silat ini. Selain aku, Profesor Dr.Zakaria Ali, En. Abu Bakar bin Sabran, Dr.Abd.Halim Hussein dan Dr.Roskang Jailani turut sama berlatih. Petang khamis ini beberapa pelatih dari TLDM turut sama merasakan nikmat memalu rebana ini. Aku teringat masa cuti sabatikalku di Bali dulu aku turut berlatih bermain gamelan Bali yang kebetulan diadakan di banjar ( balairaya) sebelah rumahku. Kali ini aku memukul rebana pula.




Rupa-rupanya banyak lagu silat yang boleh dimainkan oleh paluan rebana ini. Hari pertama aku berlatih tapak tangan aku kebas kesakitan, merah-merah jadinya. Lenganku lenguh. Wah bukan main-main kesannya kepada fizikal. Minggu berikutnya aku dah mula mengikut rentak yang betul serta paluan yang bergema. Tanganku pun tidak menunjukkan kesan kesakitan, malah paluan rebana ini menjadi terapi yang bagus kepada kesihatanku - berpeluh,latihan tangan, latihan deria pendengaran, latihan keharmonian dan paling menarik ialah mempelajari kembali kesenian tradisi Melayu dalam muzik pencak silat yang semakin pupus.


Kami pensyarah-pensyarah seni visual UPSI kini mula membuat percubaan meneroka dimensi di luar sempadan dunia seni visual ke dunia seni muzik tradisi Melayu. Irama muzik yang mempunyai nadi dan gerak yang sama dalam dunia seni visual tradisi Melayu yang dicetuskan melalui ukiran kayu dan anyaman yang mempunyai irama silatnya tersendiri. Itulah sebabnya aku menggelarkan "Gendang Silat" ini sebagai dunia seni rupa Melayu kerana dia ada iramanya, ada lenggang lengguknya, ada akar umbinya, ada falsafah dan pemikirannya, ada objeknya, ada mediumnya ada pelakarnya ada ada kanvasnya.

3 comments:

  1. This comment has been removed by the author.

    ReplyDelete
  2. dunia seni luas tanpa sempadan. gendang silat adalah salah satu dari khazanah Melayu yang kurang pendedahannya pada masyarakat..ayuh bersama saya kita hidupkan kembali budaya Melayu ini pada setiap hari Khamis...kesannya sangat baik...roh Melayu meresap dalam jiwa kita semula..betulkan?

    ReplyDelete
  3. insyallah saya akan konsisten mempelajari "Gendang Silat" ini selain sangat baik untuk kesihatan saya, dapat juga menyelami khazanah budaya Melayu yang semakin pupus. Terima kasih Joe.

    ReplyDelete