Tuesday, June 8, 2010

SELAMAT PENGANTIN BARU MOKHTAR N IZZATY



5 Jun 2010 kami dengan 4 buah kereta telah bertolak ke Kota Bharu melalui Lebuh raya Simpang Pulai-Gua Musang untuk menghadiri majlis perkahwinan saudara Mokhtar dan Izzaty. Perjalanan jauh yang memakan masa hampir 10 jam itu akhirnya sampai juga ke destinasi jam 7 malam. Kami check in di Hotel Umi, di tengah-tengah bandaraya Kota Bharu. Selepas mandi, berehat dan solat jamak maghrib-Isya kami ke pasar malam yang tidak jauh dari Pasar Siti Khadijah untuk menikmati makan malam. Pelbagai juadah tradisional Kelantan dari nasi kerabu, sotong sumbat,laksam sehinggalah kepada Somtam ada dijual di situ. Aku memesan laksam dan ais kosong. Memang sedap dan enak.


Keesokannya jam 10 pagi kami bertolak ke Tumpat untuk majlis pertunangan dan perkahwinan. Cukup menggembirakan kerana majlis pertunangan ditiadakan sebaliknya terus sahaja diadakan majlis akad nikah. Perkara yang mudah dipermudahkan, alhamdulullah. Sekali lafaz sahaja sdri Izzaty telah bergelar isteri kepada sdr Mokhtar. Kami dijamu dengan makanan enak untuk makan tengahari. Selepas itu memohon izin dari tuan rumah untuk berangkat pulang. Kami bertolak ke Kuala Terengganu jam 1 tengahari dan sampai ke Homestay di Kampung Banggul Tuan Muda, Manir jam 7 malam.

Makan malam disediakan oleh Kak Long dan ipar-ipar wanitanya. Kami makan lahap kerana terlalau lapar. Menu malam itu sardin,telur goreng serta lauk pauk majlis kenduri. Menginap di homestay dengan jumlah ahli yang ramai memang membawa cerita-cerita yang melambatkan tidur. Ada sahaja cerita yang ingin dibualkan. Memang kami tidur lewat malam itu. Keesokannya selepas sarapan pagi kami bertolak ke Taman Tamadun Islam, Kuala Terengganu. Aku rasa telah 5 tahun tidak menjejakkkan kaki ke Kuala Terengganu. Memang banyak perubahan yang sedang rancak berlaku.

Kami sempat menziarahi Masjid Kristal di Taman Tamadun Islam itu. Projek Islam Hadhari tajaan Mantan Perdana Menteri Tun Abdullah Badawi dijelmakan melalui projek kosmetik yang memakan belanja yang mahal. Tetapi yang untungnya adalah "orang bukan Islam" yang ada kaitannya dengan keluarga Badawi.( Tun Dr.Mahathir tahu sangat cerita ini). Selepas puas bergambar, kami bertolak ke Kampung Losong untuk menjamu keropok lekor yang enak itu. Selepas itu kami ke pasar Payang untuk membeli belah. Memang banyak perubahan yang berlaku di sekeliling Pasar Payang. Bangunan baru banyak yang sedang dibina. Cuaca yang panas dan rasa terkurung di Pasar Payang, menjadikan aku rimas. Aku mencari angin yang bertiup,alhamdulullah di bahagian tangga susuk kiri bangunan itu yang mengadap bangunan baru memberikan aku kelegaan yang amat sangat. Angin yang bertiup dari arah laut menyegarkan minda dan perasaan.


Kami makan minum di medan selera tidak jauh dari Pulau Duyung sebelum bertolak ke Kuantan dan Kuala Lumpur. Dari Kuala Terengganu ke Kuantan memakan masa 3 jam manakala dari Kuantan Ke Kuala Lumpur pula mengambil masa yang lebih lama iaitu 4 jam. Kami singgah makan dan minum di Hentian sebelah Kuantan dan juga di Kuala Lumpur. Kira-kira jam 2 pagi kami sampai ke Tanjung Malim. Perjalanan jauh 24 jam dari TM-KB-KT-K-KL-TM rupa-rupanya merentas 6 buah negeri iaitu Perak,Kelantan,Terengganu,Pahang,Wilayah Persekutuan dan Selangor. Aku mengambil 2 hari cuti untuk perjalanan jauh ini.

1 comment:

  1. Salam Dr..saya Mazeri Othman, bekas pelajar IPSI 96-99 (Muzik/P.Seni). ALhamdulillah, akhirnya bertemu saya dengan blog Dr hari ni. Dr..saya tertarik dengan komen Dr dlm satu blog bertajuk Kaedah Pengajaran Seni Visual Berdasarkan Masalah..menarik juga tajuk tu..suatu yg mungkin baru bagi saya..jadi saya berminat untuk melakukan kajian di peringkat PhD di UMK pasal tajuk tu..apa komen Dr?

    ReplyDelete