Tuesday, December 28, 2010

TIOMAN










24 Disember 2010 aku dan Enal ke Tg.Gemok,Pahang untuk ke Pulau Tioman. Malangnya perkhidmatan feri ke pulau itu terpaksa dihentikan sepanjang bulan disember ini kerana ombak kuat dan angin yang deras. Kami mengambil keputusan untuk mencuba nasib ke Mersing,Johor pula. Nasib baik perkhidmatan feri ke Pulau Tioman masih ada cuma sekali sahaja jam 11 pagi. Oleh kerana kami sampai jam 8 malam di Mersing, kami terpaksa menginap menginap di Mersing Inn. Keesokan paginya jam 11 kami bertolak dengan feri ke pulau tersebut.

Kali terakhir aku ke Pulau Tioman ialah tahun 1996. Ini bermakna hampir 15 tahun aku tidak pernah mengunjungi pulau tersebut. Dahulu bot penumpang ke pulau tersebut hanyalah bot nelayan sahaja kali ini dah berubah dengan feri yang serba lengkap sebagaimana feri ke Pulau Langkawi atau ke Pulau Pangkor. Aku ke Salang, Tioman menginap di dua tempat iaitu Puteri Salang Inn dan Salang Indah Resort. Kadar harga Sewa bilik jatuh 50 peratus disebabkan tiada pelancong yang datang musim ini.

Selain berehat aku sempat memancing bersama-sama penduduk tempatan di Jeti Salang. Dapat jugaklah ikan Lolong ( ikan uji Rashid-mata besar).

Thursday, December 23, 2010

MALAM MESRA ANAK-ANAK IBU KANDUNG MPSI








22 Disember 2010 aku dijemput oleh urusetia pertemuan Malam Mesra Anak-Anak Ibu Kandung MPSI sesi 82-84 dan sesi 84-86 ke Dewan Seri Tanjung UPSI untuk pertemuan dengan bekas-bekas pelajarku sesi 84-86. Aku tidak menjangka akan bertemu kembali dengan bekas-bekas pelajarku PM/PS 84/86 yang sekarang ini telah menjadi dewasa dengan kerjaya dan pendidikan yang lebih dari yang disangka. Alhamdulillah. Perasaan terlalu gembira melihat kejayaan bekas-bekas pelajar serta wajahnya masih belum berubah sangat mengingatkan ku pada nostalgia yang lepas.

Ah..kadang-kadang terlalu sayu juga hati ini melihat rakan-rakan pensyarah yang turut hadir antaranya Prof Madya Tn Hj Iberahim,Tn Hj.Ridzuan,Tn Hj.Fadhil,Tn.Hj.Samad dan Tn Hj. Sarji yang telah lama berkhidmat bersamaku sejak zaman MPSI lagi. Sayu juga hati ini mendengar rakan-rakan pensyarah yang lain yang telah lebih dulu pulang ke rahmatullah antaranya Hj.Ahmad Man,Khairuddin Ghani,Zainal Abidin Shaari, Hj Khusairi, Ibrahim Mat Zin, Zainal Abidin bin Yusuf dan Sahar Mustapa.

Pertemuan yang sangat besar ertinya ini kepada anak-anak Ibu Kandung MPSI ini bukanlah tidak bersebab, kerana hampir 24 tahun lebih mereka tidak bertemu secara beramai-ramai di alta matar mereka di Tanjung Malim ini. Aku hanya menyaksikan peristiwa ini dengan mata yang berkaca-kaca. 3 hari 2 malam mereka tinggal di Kolej Aminurrashid di Taman bahtera dengan pelbagai acara yang diatur oleh Urusetia. Aku mengucapkan syabas dan tahniah kepada Pengerusi program ini iaitu Dr.Mohd.Johari Abd Hamid (82/84), Setiausaha, Suhaimi Abd Rahim (84/86) dia ini 2 kali menjadi pelajarku PM/PS MPSI 86 dan KDPK IPSI 1996, Wan Zuhaidi (84/86) serta AJK yang lain. Semoga pertemuan ini akan berlanjutan kepada pertemuan-pertemuan yang lain.

Sunday, December 5, 2010

AKHIRNYA TEWAS JUGA SANG JELAWAT





4 Disember 2010, ketika aku berehat pada waktu petang sambil baring di lantai,aku dikejutkan dengan suara-suara di luar rumah. Aku bangun dan melihat sesuatu yang ku tunggu selama ini iaitu sang jelawat. Rupa-rupa suara kegembiraan yang ku dengar tadi adalah ekspresi dari suara Hafiz dan Alif- pelajar seni semester 5 yang telah berjaya menewaskan seekor jelawat yang beratnya lebih sekilogram di samping 4 ekor talapia merah yang besar juga saiznya.

Setelah hampir seminggu mereka memancing di kolamku barulah hari ini mereka berjaya mendaratkan jelawat. Sebelum ini mereka hanya berjaya mendaratkan 12 ekor talapia merah dan 2 ekor haruan. Entah berapa kali tali pancing mereka putus disentap jelawat yang semakin ganas meragut umpan cacing,cengkerik dan roti. Aku pernah mencabar mereka sebelum berjaya menewaskan jelawat jangan harap nak balik kampung. Aku juga menyatakan kolamku ini juga ada ikan patin, selain talapia merah dan jelawat. Manakala kolam yang lagi satu ku ternak haruan dan ikan keli.

Malam itu hafiz dan Alif menjadi tukang masak yang hebat. Mereka menggoreng ikan talapia dan memasak gulai jelawat di dapur rumah ku. Entah berapa tahun aku tidak mmenikmati keenakan jelawat, nampaknya malam itu rezeki aku menjamah daging jelawat yang enak itu. Syukur alhamdulillah.

MAJLIS PERKAHWINAN PUTERA SAHABATKU HJ.LOKMAN





4 Disember 2010 hari sabtu, aku menghadiri majlis perkahwinan putera sahabatku Hj.Lokman yang juga classmate ku ketika bersekolah di Sek.Men.Khir Johari,Tanjung Malim di tingkatan 1 hingga tingkatan 5. Majlis perkahwinan itu diadakan dirumahnya no 11, Simpang 4,Tanjung Malim. Kepada Hj.Lokman, sahabatku, selamat menerima menantu.