Sunday, May 17, 2009

Kesedaran visual part 9- Implikasi Celik Visual




Apakah implikasi celik visual di kalangan khalayak seni? Pertama, seseorang itu akan sentiasa peka dan sedar tentang kepentingan seni dalam kehidupannya. Kesedaran dan kepekaan itu boleh dilihat dari segi bagaimana seseorang itu memilih warna untuk rumah dan pakaian, fesyen pakaian, reka bentuk rumah dalaman dan luaran, susun atur pejabat serta keharmonian alam dan kehidupan sejagatnya. Kedua , seseorang itu akan sedar soal estetik adalah aspek penting yang perlu dijaga dan dipelihara dengan demikian kecintaannya terhadap keindahan alam ini semakin meningkat, keperluan untuk memelihara dan mengekalkannya adalah sesuatu yang sangat wajar dan perlu. Malahan percubaan untuk merosakkannya pasti akan mendapat tentangan daripada suara-suara mereka. Ketiga, golongan ini akan membina jaringan visual yang akan memastikan aspek kesenian perlu diambilkira dalam sesuatu keputusan atau tindakan. Jaringan itu boleh dibuat dalam bentuk penyuaraan dalam mesyuarat, penulisan dalam media, tindakan dalam membuat keputusan serta penubuhan sesuatu persatuan seni. Keempat, yang pentingnya khalayak seni yang celik visual ini sekurang-kurangnya berupaya membina wilayah seni yang akan meningkatkan jumlah pasaran seni di negara ini dan antarabangsa. Semakin ramainya khalayak yang celik visual semakin perlunya karya-karya seni dimiliki dan dan digantung dan diletakkan di dinding rumah, pejabat dan ruang terbuka. Malah kesedaran visual juga akan menambahkan lagi jumlah artis, patron, pemilik galeri, kurator, pengumpul karya seni, sejarahwan seni, pengkritik seni, penulis seni dan peminat-peminat seni. Hasilnya akan terserlah, semakin banyak pameran seni akan diadakan semakin ramai pembeli karya dan semakin banyak katalog yang diterbitkan yang memerlu penulis dan pengkritik menulisnya. Ini bermakna semakin riuhlah pekikan kesenian dan semakin bergeloralah ombak kesenian di negara kita. Malah harga sebuah karya seni juga pasti meningkat.

No comments:

Post a Comment