Showing posts with label Khazanah Islam. Show all posts
Showing posts with label Khazanah Islam. Show all posts

Thursday, July 23, 2009

Cuti Sabatikal 57-Kembara Bali:Tanah Perkuburan Bugis











23 Julai 2009 sejak pagi sampailah petang aku membaca dua buah buku iaitu Ramalan Tentang Muhammad SAW dan novel Martir Tuhan. Caranya begini sekiranya aku penat membaca buku Ramalan Tentang Muhammad SAW kerana isinya agak berat ( jumlah muka surat 425) aku akan membaca novel Martir Tuhan ( jumlah muka surat 376) yang agak ringan. Akhirnya novel itu selesai aku baca jam 6 petang manakala buku Ramalan Tentang Muhammad SAW belum selesai aku baca. Nampaknya dalam masa cuti Sabatikal ini aku banyak membaca buku dan membuat kerja-kerja lapangan untuk penyelidikanku. Selepas menunaikan solat Maghrib di rumah jam 6.30 petang( di sini waktu solat maghrib awal itu jam 6.15 petang) aku ke Denpasar dengan Rofiq sahabat baruku itu. Di pertengahan jalan Rofiq menunjukkan kepadaku kawasan makam orang-orang Islam Bugis di Denpasar Selatan. Kawasan perkuburan itu agak luas dan bertembok. Malah ia adalah kawasan perkuburan orang-orang bugis yang awal berhijrah ke Bali. Selepas melihat kawasan perkuburan itu aku ke sebuah masjid di Denpasar Selatan yang sedang direnovasi. Aku dan Rofiq sempat menunaikan solat isya berjemaah di situ.

Tuesday, July 14, 2009

Cuti Sabatikal 46-Kembara Bali: Kampung Kecicang Islam Karangasem





























Perjalanan yang sangat menarik mendaki gunung dan menyusur pantai yang indah akhirnya menyampaikan aku ke Kampung Kecicang Islam daerah Karangasem iaitu di Barat Bali jam 8 malam. Aku solat Jamak Maghrib dan Isya di Masjid Baiturrahim Kecicang. Masjid ini sedang direnovasi. Masjid ini diberitakan telah lama wujud sejak ratusan tahun dahulu. Keseluruhan masjid telah diubahsuai melainkan mimbarnya sahaja yang masih dikekalkan sebagai artifak yang sangat berharga kerana kecantikan ukiran dan keunikannya. Kebanyakan masjid yang kutemui sedang direhatkan untuk renovasi. Keseluruhan masyarakat di kampung ini adalah orang-orang Islam. Mereka kebanyakannya berasal dari Lombok. Kebanyakan rumah mereka kecil-kecil sahaja dan saling merapati. Aku temui sebuah rumah yang dihiasi kaligrafi Islam di bahagian luarnya. Cukup menarik.

Monday, July 13, 2009

Cuti Sabatikal 43-Kembara Bali:Pondok Pasenteren Ummulquro











Pada tarikh yang sama 12 Julai 2009 jam 2 petang selepas mengunjungi Masjid Baitul Qodim Loloan Timur serta rumah tradisional gaya Trengganu aku menyeberangi jambatan yang menemukan aku dengan sebuah pasenteren ( pondok ) yang indah. Pasenteren ini terletak di seberang sungai yang dihubungi oleh jambatan tersebut. Ketika aku mengelilingi pondok tersebut beberapa orang pelajar keluar dari pondok yang mengelilingi musolla itu. Aku tidak sempat untuk berbual-bual dengan pelajar-pelajar tersebut kerana aku akan ke Loloan Barat pula. Dalam fikiran ku Islam masih menyebar di Bali dengan kehadiran pasenteren ini. Alhamdulillah.

Sunday, July 12, 2009

Cuti Sabatikal 42- Kembara Bali: Loloan Timur dan Warisan Trengganu
























































Lebih kurang 3 jam perjalanan pada tarikh 12 Julai 2009, aku sampai ke Loloan Timur. Satu perkampungan Islam yang mempunyai warisan Trengganu. Sebelum ini aku telah mendapat maklumat daripada Sdr. Azam Sulung ( Dungun) pensyarah Muzik di Jabatan Muzik, UPSI yang maklumatnya telah disampaikan oleh Dr.Zawawi dari Universiti Malaya mengenai hadirnya orang-orang Trengganu di situ. Mengikut Dr. Zawawi melalui kata-kata Azam, orang-orang Trengganu itu sebenarnya telah lari dari Perang Paderi di Jawa dan berndur ke Bali dan menetap di Loloan Timur. Aku telah menemuduga beberapa orang tua di situ terutama pak Sulaiman penjaga masjid tersebut yang berumur 74 tahun tetapi jawapan yang pasti ialah ada seorang insan Trengganu bernama En. Yaakob yang telah mewakafkan sebidang tanah dan sebuah mushaf Al Quran tulisan tangan yang telah ditulis oleh Syeikh Muhammad pada tahun 1591 M. En Yaakob telah berkahwin dengan wanita Loloan Timur. Mushaf Al Quran itu aku belek dan pegang dengan penuh rasa terharu sambil membacanya, ketara sangat helaian mushaf itu banyak yang rosak. Ditulis dengan kaligrafi gaya nasakh yang cantik dan mempunyai iluminasi dengan warna emas, merah dan kuning pada dua helai al quran serta satu iluminasi pada penutupnya. Bagi menyakinkan aku, Pak Sulaiman menunjukkan Prasasti berukuran 45sm x 17 sm daripada kayu mengandungi kaligrafi yang berbunyi "Hijrah Nabi SAW Seribu Dua Ratus Enam puluh Dua Lapan ( 1268 ) tahun kepada Tahun Hijriah sehari bulan Zulkaidah kepada hari Isnin dewasa itulah Encik Yaakob orang Trengganu mewakafkan ia akan barang isterinya serta muwafakah ia segala warisnya iaitu Quran dan sawah sati tebih, di Mestesari perolehan empst puluh sibak, di dalam Masjid Jembrana Loloan ketika Pak Mahmubah jadi Penghulu dan Bapak Mustika jadi pemekel, saksi bapak Abdullah bin Yahya Al Qadri, khatib Bapak Abdul Hamid, itulah adanya". Selepas menunaikan solat Zohor berjamah serta jamak Asar di Masjid Agong Baitul Qodim Loloan Timur aku berjalan melihat warisan beberapa buah rumah tradisional gaya Trengganu yang masih ada lagi di kiri kanan jalan Loloan Timur itu. Subhanallah, orang Trengganu sudah jauh mengembara dan menyampaikan risalah Islam. Anak kepada En.Yaakob itu sekarang ini bernama Ustaz Abdul Kadir Hassan masih hidup dan tinggal di Gilimanuk,Bali mengajar di masjid-masjid di Bali termasuk masjid Agong Baitul Qadim Loloan Timur ini.