Showing posts with label Masjid. Show all posts
Showing posts with label Masjid. Show all posts

Monday, November 16, 2009

Cuti Sabatikal 162-Kembara Bali: MASJID AT TAQWA, POLDA, DENPASAR











Masih pada waktu yang hampir sama bertarikh 16 November 2009 selepas aku dan Suaidi makan bakso di Restoran Bakso Malang, kami singgah menunaikan solat isya di Masjid At Taqwa,Polda di Denpasar sebelum sampai ke pasar Badung. Inilah kelebihan Suaidi. Walau kemana pergi dia akan singgah ke masjid dahulu menunaikan solat sebelum sampai ke destinasi yang ditujui. Aku senang dengannya. Tidak banyak kerenah dan dia tahu citarasaku.

Masjid ini adalah masjid kepunyaan polisi( polis) di Denpasar. Bersebelahan dengan ibu pejabat polisi Bali di Denpasar. Rekabentuknya yang menarik dan luas memudahkan orang Islam yang lalu lalang di hadapannya untuk menunaikan solat. Kebetulan memang ramai jemaah yang menunaikan solat isya di situ.Sebelum ini aku belum pernah lagi singgah di masjid ini.Suaidi memang pandai dia akan mencari masjid-masjid yang masih belum aku kunjungi lagi.


Aku kagum dengan kaligrafi yang tepampang di dinding masjid itu terutama di atas mihrab. Ukiran kayu kaligrafi gaya Tuluth dengan tembuk tembus amat jarang kutemui melainkan ukiran relief. Paling menarik silat serta lentuk liuknya yang berirama serta bersambung-sambung menimbulkan perasaan yang syahdu melihatnya. Setiap ukiran kayu kaligrafi itu diberikan keterangan maknanya di bahagian bawah. aku sempat merakamfoto ukiran kaligrafi itu. Setakat ini, inilah masjid yang mempunyai ukiran kaligrafi yang terindah sekali di Bali. Malah setiap niche di bahagian tingkat atas masjid itu dihiasi dengan ukiran kaligrafi yang indah. Ukiran itu pada kayu. Ukiran kayu kaligrafi di bahagian atas mihrab berbentuk bulat manakala ukiran kayu kaligrafi pada dinding hadapan masjid berbentuk empat segi bujur dan berbingkai. Masjid ini juga mempunyai beduk yang besar. Kulit sapi diikat pada kayu yang membentuk beduk yang besar ini. Fungsi beduk ini ialah digunakan untuk menandakan masuknya waktu solat dengan cara memukulnya sehingga mengeluarkan bunyi yang kuat. Selepas itu barulah azan dikumandangkan. Sekarang ini kebanyakan beduk di masjid-masjid di Bali sekadar menjadi hiasan sahaja. Fungsinya tidak lagi dipenuhi. Ia sekadar adat sahaja dan bukannya sunnah.

Sunday, August 2, 2009

Cuti Sabatikal 71-Kembara Bali:Mengunjungi Masjid Agung dan Masjid Keramat di Singaraja














































2 Julai 2009 selepas solat subuh aku ketiduran. Kemudian bangun dan ke kamar mandi. Selepas sarapan pagi aku menuju ke Masjid Agung dan Masjid Keramat di Singaraja. Ada sesuatu yang menarik di Masjid Agung selain iwannya ialah hiasan ukiran pada pintu dan mimbarnya. Malah kayu-kayu binaan asalnya telah dianugerahkan oleh Maharaja beragama Islam yang pernah memerintah wilayah itu. Itulah sebabnya wilayah Singaraja ramai penduduk yang beragama Islam dan terdapat banyak masjid di sini. Paling menarik mengikut Pak Hardiman Masjid Agung ini disucikan oleh penduduk beragama Hindu di Singaraja. Air dari masjid ini perlu diambil oleh mereka untuk acara tertentu kalau tidak mengikut mereka musibah akan berlaku. Terdapat juga beberapa naskah Al Quran tulisan tangan di dalam almari berkaca yang berkunci. Suatu hari nanti insyaallah aku akan melihatnya nanti. Masjid Keramat adalah masjid paling tua di Singaraja, saiznya kecil dan banyak yang telah direnovasi kecuali yang tinggal ialah tiang yang besar dan mimbarnya. Masjid ini telah dibina oleh Sunan Prapen pada tahun 1654M. ia dianggap keramat oleh penduduk Hindu dan Islam. Malah dijadikan tempat bersumpah mubahalah antara penduduk Hindu dan Islam.

Friday, July 17, 2009

Cuti Sabatikal 51-Kembara Bali: Solat Jumaat di Musolla Fastabiqul, Sanur







Jam 10 pagi 17 Julai 2009 aku ke warung sederhana menikmati breakfast@lunch. Sambil makan aku menaip komputer dan memasukkan nota-nota. Kedengaran berita yang mengejutkan melalui televisi di warung itu iaitu ledakan bom di hotel J.W.Marriot di Jakarta yang mencederakan 49 termasuk 9 orang terbunuh. Pada masa itu tidak ada sesiapa yang bertanggungjawab. Aku nanti akan melihat siaran Al Jezeera melalui televisi rumahku. Ya aku melanggan Indosat yakni pelbagai rancangan seperti Astro di Malaysia. Aku melanggan HBO, AXN,CINEMAX,NATIONAL GEOGRAPHY,ANIMAL PLANET,CNN,AL JAZEERA, BBC London dan pelbagai siaran lagi. Tujuannya adalah untuk mendapat maklumat sambil berhibur menghilangkan kesunyian duduk seorang diri di rumah Bali ini. Selepas makan aku ke Musolla yang tidak jauh dari warung sederhana itu. Aku tidak pergi ke masjid lain hari ini kerana kakiku Ghout. Aku terpaksa berjalan perlahan-lahan. Paling menarik khutbah Jumaat kali ini ialah tentang Israk dan Mikraj yang akan di sambut besar-besaran oleh umat Islam Indonesia dan dunia pada hari Isnin 27 Hijriah bersamaan 20 Julai 2009. Kebetulan tarikh itu adalah tarikh hari lahir aku yang ke 53 tahun. Aku belum pernah dengar tentang kisah perdebatan antara bumi dan langit sebelum kejadian Israk dan mikraj ini. Ustaz dari pasenteren Jawa ini selaku khatib telah menceritakan kisah perdebatan itu yang selama ini ngak pernah aku dengar. Cukup menarik. Yang aku dengar ialah kisah semasa israk dan mikraj itu. Mengikut ustaz itu masing-masing mendakwa dialah yang hebat. Bumi kata ada laut,sungai,darat, hutan dan kota. Langit membalas dia juga hebat ada bulan,matahari, bintang dan awan. Bumi menjawab dia ada Kaabah di Baitul Haram untuk manusia di bumi. Langit membalas dia juga ada kaabah di Baitul Makmur untuk para malaikat. Akhirnya bumi membalas bahawa dia ada MUHAMMAD SAW kekasih ALLAH. Langit tidak dapat menjawab dan membalasnya. Lalu langit memohon kepada ALLAH semoga MUHAMMAD SAW kekasih ALLAH itu diundang ke langit untuk persaksian dan kehormatan. Lalu ALLAH memerintahkan Jibrail turun ke Bumi menjemput MUHAMMAD SAW. Jibrail turun ke syurga dahulu mencari buraq untuk kenderaan MUHAMMAD SAW. Di syurga ada 40,000 ekor buraq yang menghiasi taman-taman syurga. Hanya seekor burung buraq yang kurus kering tidak mahu makan dan minum. Lalu ditanya oleh Jibrail mengapa. Jawab Buraq dia menunggu ribuan tahun kekasih ALLAH untuk ditunggangi. Lalu Jibrail mengeluarkan buraq tersebut turun ke bumi menjadi kenderaan MUHAMMAD SAW ke langit. Inilah kisahnya. Alhamdulillah aku dapat ilmu hari ini. Syukhran.

Tuesday, July 14, 2009

Cuti Sabatikal 47-Kembara Bali: Masjid Al Hikmah, Denpasar






















Aku dan rakan-rakan baruku pulang semula ke Denpasar. Suhaidi mengajakku mengunjungi sebuah masjid pada malam itu juga. Di celah-celah perumahan masyarakat Hindu, Denpasar aku dikejutkan dengan keindahan sebuah masjid yang luar biasa indahnya. Masjid Al Hikmah ini benar-benar beridentitikan Bali dari segi ukiran, gapura dan bumbungnya. Yang membezakannya dengan ukiran Bali ialah ketiadaan imej patung atau fauna. Pengukirnya cuma mengukir imej flora sahaja, malah kaligrafi Islam juga tiada. Masjid ini boleh memuatkan lebih kurang 300 orang jemaah. Selepas makan steak yang enak di Restoran Wang Solo, aku dihantar pulang ke Sanur oleh kedua sahabat baruku itu.

Cuti Sabatikal 45-Kembara Bali:Masjid Baitul Solihin di Negara







Selepas Loloan Barat aku ke bandar Negara untuk pergi lebih jauh lagi be Barat iaitu Karangasem yang diberitakan ada perkampungan masyarakat Islam di situ. Di pertengahan jalan ku temui sebuah lagi masjid yang mengingatkan aku kepada masjid-masjid di Melaka dari segi bentuk bumbung Merunya. Masjid itu ialah Masjid Baitul Solihin. Pengaruh pura Hindu sangat jelas pada bumbungnya.

Cuti Sabatikal 44- Kembara Bali: Masjid Al Mujahedin, Loloan Barat











Selepas mengunjungi Masjid Baitul Qodim dan Pasenteren UmmulQuro di Loloan Timur aku ke Loloan Barat dan menemui sebuah masjid yang sedang direnovasi. Nampaknya masjid ini kelihatannya indah dan besar walau pun masih belum siap sepenuhnya. Pengaruh masjid Timur Tengah khususnya masjid-masjid di Iran sangat jelas kelihatan terutama pada iwannya. Manakala menaranya adalah tinggi dan nampak lebih elegan. Di sebelah masjid ini terdapat kawasan perkuburan Islam yang di kelilingi tembok. Setakat ini, inilah satu-satunya masjid di Bali yang mengandungi kawasan pemakaman di sebelahnya.

Tuesday, June 16, 2009

Cuti Sabatikal16- Kembara Bali: Menjejaki Masjid di Denpasar

















































Seperti biasa selepas solat subuh aku meneruskan pembacaan mengenai kesenian Bali. Jam 9. 30 pagi aku ke pusat internet yang baru yang lebih murah tetapi jauh sedikit dari tempat menginapku. Selesai menulis blog dan memasukkan foto-foto terbaru aku ke kota Denpasar menjejaki masjid-masjid yang ada. Kutemui musalla Darul Arqom di kota tersebut dan bertanya arah ke masjid. Akhirnya aku menemui Masjid Al Furqon dan solat zohor berjemaah di sana. Masjid terletak di jalan Suakaryabaru. Dibina pada tahun 1982 oleh pendirinya iaitu Pak Mukhtar Naim. Boleh memuatkan 1000 jemaah bagi setiap solat Jumaat. Masjid ini mempunyai 2 tingkat manakala menara masjid ini bercirikan masjid-masjid di Mesir. Selepas solat aku makan soto, rojak buah dan minum cendol yang dijual dalam perkarangan masjid. Selepas berehat sebentar aku meneruskan perjalanan menjejaki masji yang lain. Kutemui masjid Agung Sudirman, masjid yang terbesar di Bali boleh memuatkan 5000 jemaah. Dibina pada 5 Januari 1995 melalui wang penderma. Bumbung masjid ini berwarna hijau dan berbentuk meru ( atap tiga tangkup)menyamai masjid Tengkera di Melaka. Pengaruh pura hindu amat ketara. Seni bina masjid terbuka dengan dengan arch yang mengelilinginya. Tiada dinding melainkan di bahagian mihrabnya. Udara keluar masuk menyegarkan pemikiran. Kupola di sanggah dengan susunan kayu yang menarik. Di bahagian dinding yang memanjang setara dengan mihrab dihiasi seni kaligrafi yang indah. Masjid ini tiada menara. Seni bina moden dengan mengekalkan ciri-ciri tradisional Bali seperti bumbung, lapangan serta taman menjadi tarikan utama. Masjid dua tingkat ini menjadi lambang kewujudan Islam di Bali. selepas berehat dan mengambil foto aku meneruskan pencarian ke masjid-masjid yang lain. Akhirnya setelah berkeliling kota aku menemui sebuah lagi masjid yang dinamakan Masjid Raya Ukhuwah yang telah dibina pada tahun 1925 dan telah diperbaiki banyak kali. Ketika ini juga masjid tersebut sedang direnovasi. Masjid ini adalah masjid yang tertua sekali di Bali. Kelihatan lebih eligen dengan gaya moden di bahagian arch tetapi masih mengekal ciri seni tradisional Bali terutama di bahagian bumbungnya. Masjid ini mempunyai menara yang tinggi. Terletak di Jalan Kalimantan,mengingatkan aku kepada Jalan Masjid India di Kuala Lumpur. Di kiri kanan jalan bersebelahan dengan masjid itu terdapat kedai-kedai yang menjual sejadah, telekong, songkok,kupiah,tasbih, minyak atar dan baju-baju ala baju Melayu. Aku makan tengahari di kedai Zuraidah yang terjamin halalnya. Paling menarik ialah taukeh-taukeh di kedai jalan Kalimantan ini adalah seperti mamak atau India Muslim. Adakah mereka berasal dari Gujerat India atau dari keturunan Arab Yaman ? Kerana warna kulitnya menyamai mamak di Malaysia.

Friday, June 12, 2009

Cuti Sabatikal 12-Kembara Bali 12: Masjid Al Ikhsan Sanur












Masih di tarikh yang sama jam 12.30 tengahari selepas makan tengahari aku mengunjungi Masjid Al Ikhsan di Sanur untuk solat Jumaat. Masjid ini cukup menarik kerana di sebelahnya adalah hotel besar dan di bahagian hadapannya pula ialah padang golf. Terletak di Jalan Hang Tuah agak tersorok ke dalam, hanya papan tanda yang menjadi panduan. Masjid moden tetapi berasaskan seni bina tradisional pura Bali terutama di bahagian bumbungnya yang bertingkat. Atapnya diperbuat dari kayu yang telah dipotong menjadi genting. Masjid ini kelihatan lapang kerana ditiadakan dindingnya kecuali tembok yang menjadi identiti senibina rumah kediaman orang Bali. Tembok atau dinding yang setara dengan mihrab tidak ditutup terus tetapi memiliki ruang terbuka untuk laluan angin. Di bahagian silingnya diperbuat juga dari kayu manakala bahagian 'Kupola' dihias menarik dengan dekorasi kaligrafi Islam yang khusus. Bahagian luar masjid ini mengandungi taman yang bersih dengan rumput yang dijaga rapi. Memang sentiasa nyaman dan segar tidak langsung rasa panas. Ada lebih kurang 5 ribu orang yang menunaikan solat Jumaat ketika itu. Suara Azan dari muazzin sangat merdunya mengatasi suara azan di tempatku di Tanjung Malim,Perak,Malaysia. Khutbahnya ringkas dan padat mengenai keubudian kepada Allah S.W.T. Aku berasa sangat bersyukur kepada Allah kerana menemukan juga masjid ini di tengah-tengah pulau yang mengandungi puluhan ribu pura ( candi).