Sunday, September 20, 2009

Cuti Sabatikal 118-Kembara Bali: S.E.L.A.M.A.T H.A.R.I R.A.Y.A M.A.A.F Z.A.H.I.R B.A.T.I.N





20 September 2009 Takbir bergema di seluruh pelusuk Asia dan Nusantara- Afghanistan, Pakistan,India,Thailand,Indonesia,Malaysia,Singapura, Filipina dan Brunei menyambut 1 Shawal pada hari ini. Aku bangun awal menunaikan solat subuh dan kemudian mengemas rumah. Aku menyediakan makanan seperti kueh,biskut dan buah-buahan yang aku beli di MAKRO. selepas itu aku bergegas menaiki bemo menuju Musolla untuk menunaikan solat sunat aidilfitri. Wah musolla penuh dengan jemaah dari kaum muslimin dan muslimat termasuk kanak-kanak. Nampak sungguh kegembiraan yang terpancar di wajah mereka.

Selepas menunaikan solat, aku balik ke rumah dan memulakan kerja-kerja di dapur- memasak nasi dan menggoreng ayam. Ketika itulah aku menerima SMS daripada Abdullah yang menyatakan beliau dan rakan-rakannya telah sampai. Aku keluar menuju ke jalanraya yang beberapa langkah sahaja dari rumahku. Abdullah dan 8 orang lagi rakan-rakannya adalah pelajar-pelajar Malaysia yang sedang menuntut di Fakultas Perubatan di Universitas Udayana, Bali. Ada 200 orang pelajar Malaysia yang menuntut di Fakultas Perubatan di universiti itu. Kebanyakannya ditaja oleh Biasiswa MARA dan JPA dan adanya juga yang menggunakan wang sendiri. Kami berkenalan kira-kira sebulan yang lepas ketika aku dan mereka berurusan di kantor Imigrasi, Renon,Bali. Kehadiran mereka berhariraya di rumahku sekurang-kurangnya dapat melepaskan kesunyian yang kualami selama ini. Tidak lama kemudian Rofiq dan keluarga juga datang berhariraya di rumahku sebelum mereka bertolak ke Banyuwangi,Jawa. Sambil makan dan minum kami bersembang-sembang dan berkenalan. Beberapa orang dari mereka termasuk dua orang pelajar perempuan ke dapur untuk memasak rendang. Wah berselera sungguh kami b eramai-ramai makan nasi berlaukkan ayam goreng dan rendang walaupun tanpa lemang dan ketupat.

Saturday, September 19, 2009

Cuti Sabatikal 117- Kembara Bali: KEMBALINYA NOORDIN MAT TOP



19 September 2009 setelah berbuka puasa jam 6.18 petang dan menunaikan solat Maghrib, aku menonton Televisi Saluran Metro TV. Berita penting telah diumumkan oleh Ketua Polis Indonesia Brigider Jenderal Eddy Saparwoko mengenai keputusan DNA tokoh yang tewas ditembak polisi di Solo,Jawa pada 16 September yang lalu(Rabu).Pertempuran yang memakan masa selama 17 jam berakhir hingga jam 7 pagi. Noordin Mat Top dicari oleh Polisi Indonesia selama 7 tahun. Keputusan DNA itu yang diambil dari anaknya di Jawa dan di Johor mengesahkan tokoh tersebut adalah NOORDIN MAT TOP. Beliau tewas bersama tiga orang pejuangnya.

Sekali lagi Metro TV telah menyiarkan siaran khas Sejarah NOORDIN MAT TOP dan JEMAAH ISLAMIYYAH Di ASIA TENGGARA jam 7.45 malam. Pertubuhan ini adalah lahir dan berkembang dari pertubuhan Islam yang menentang penjajahan Belanda pada tahun 1940an. TV ITU JUGA MENYATAKAN JUGA JEMAAH ISLAMIYYAH DITUBUHKAN DI SEBUAH PASENTEREN DI JOHOR SEBAGAI JARINGAN DARI JEMAAH ISLAMIYYAH ASIA TENGGARA YANG BERHUBUNGRAPAT DENGAN PERTUBUHAN AL QAEDA. MISI DAN VISINYA ADALAH UNTUK MELUMPUH DAN MENYERANG KEPENTINGAN AMERIKA DAN SEKUTU-KUTUNYA YANG TELAH MEMBUNUH KAUM MUSLIMIN DI IRAQ,AFGHANISTAN DAN DI NEGARA-NEGARA ISLAM YANG LAIN.

Apa yang menariknya ialah kata-kata dari pengacara TV itu ialah "NOORDIN MAT TOP DAN DR.AZHARI ADALAH MADE IN MALAYSIA,DAN NAMPAKNYA KERAJAAN MALAYSIA CUCI TANGAN TENTANG APA YANG TELAH BERLAKU DI INDONESIA'

Friday, September 18, 2009

Cuti Sabatikal 116 -Kembara Bali: G.E.M.P.A. B.U.M.I.


19 September 2009 jam 7.10 pagi aku dikejutkan dari tidur dengan gegaran yang kuat. Beberapa saat aku digoyangkan oleh sesuatu. Bunyi yang kuat di bahagian bumbung. Bunyi benda jatuh. Aku bergegas keluar rumah. Aku melihat jiran-jiranku juga berbuat demikian. Aku hanya berdoa pada Allah agar diselamatkan dari gempa yang kuat ini. Inilah kali kedua aku merasakannya. Tapi yang dulu tidak terasa sangat. Selepas mengucapkan syukur, aku masih berdiri berbual-bual dengan jiranku.Aku masih tidak mahu masuk ke rumah, takut ada gegaran lagi. Selepas itu barulah aku berbuat demikian. Aku melihat cermin muka jatuh. Wah..menakutkan juga ya. Aku tidak pernah merasa gegaran yang begini kuat. Aku membuka siaran televisi,ingin mengetahui apakah yang berlaku. Ya satu catatan pada layar TV menyatakan satu gempa bumi telah berlaku di Tenggara Nusa Dua, Bali dengan kekuatan gegaran 6.4 sekala Ritcher kedalaman 6km. Aku tak tahu apa yang akan terjadi di Nusa Dua, kerana aku pernah ke sana menyaksikan panorama pantai yang indah itu.

Cuti Sabatikal 115-Kembara Bali: JABATAN SENI TIDAK MENYUMBANGKAN APA-APA KEPADA UPSI?


18 September 2009 selepas solat Jumaat di Musolla, Sanur, aku berehat sebentar menahan sakit pinggangku yang semakin menjadi-jadi. Aku menampal salonPas di bahagian pinggangku untuk meredakan kesakitan itu. Aku terfikir untuk menulis sesuatu yang perlu diketahui oleh semua tentang JABATAN SENI,UPSI.

Sejak penubuhan SITC pada tahun 1922,unit Seni telah wujud dan dipimpin oleh Mohd Said bin Hussain. Dalam kertas kerja yang saya bentangkan dalam Konvensyen Pendidikan Seni Kebangsaan kali kedua 2004, saya mengemukakan ketokohan beliau dengan tajuk Mohd Said Bin Hussain Tokoh Pelopor Pendidikan Seni Visual Malaysia. Saya nyatakan itu kerana beliau adalah pensyarah seni,penulis buku panduan mengajar Seni yang pertama di Malaya ketika itu(1928), penterjemah,pelukis, ilustratur yang karya-karya menjadi ilustrasi dalam buku-buku sekolah. Pada zamannyalah Pameran karya seni penuntut SITC dipamerkan di London ( 1930 an), malah ada karya seni itu telah dibeli olah Queen Elizabeth. Pada zaman MPSI beberapa orang pelukis terkemuka telah berkhidmat di unit seni antaranya Anthony Lau ( pengarca terkemuka Malaysia),Syed Shaharudin( pelukis batik terkemuka Malaysia) dan Grace Selvanayagam (pelukis pertama wanita India di Malaysia). Akhir Era MPSI sehingga era IPSI beberapa orang lagi tokoh telah berkhidmat di Unit Seni seperti Tn Hj.Iberahim(Pendidik dan penggubal Pendidikan Seni),Judin bin Ahmad(Pelukis Kumpulan UTARA), Mitsuru Sugiyama(Pendidik dan pelukis dari Jepun),Zainal abidin Yusuf( Pendidik dan Penggubal Pendidikan Seni),Ahmad Suhaimi bin Mohd.Noor( Pendidik dan Penulis Seni) dan lain-lain.

Bila UPSI ditubuhkan pada tahun 1997 Unit Seni di bawah Jabatan Kaji Sosial IPSI berkembang menjadi progrem( Jabatan) di bawah FAKULTI SAINS SOSIAL DAN KESENIAN. Pada masa itu Dr.Bakhtiar menerajui fakulti sebagai Dekan dan pada masa yang sama mengendalikan Progrem Bimbingan dan Kaunseling. Bila Bimbingan dan Kaunseling dipisahkan dari fakulti, Tn Hj.Iberahim( sekarang Prof Madya)pula menerajui fakulti itu sebagai Dekan dan dibantu oleh En Ahmad Suhaimi bin Mohd.Noor(sekarang Dr.)sebagai Penyelaras Seni(Ketua Jabatan tidak rasmi). Hanya Tn.Hj.Iberahim dan E.Ahmad Suhaimi sahaja ketika itu sebagai pentadbir dan pensyarah seni. Mereka berdua menggubal kurikulum, memberi kuliah, merancang budget dan menyediakan prasarana serta berusaha mencari pensyarah baru. Akhirnya barulah pensyarah kumpulan pertama seperti Zulkifli Yusuf( sekarang PM),Izani Mat Ill(Drs) dan Mohd.Zahidee (sekarang PM) mendaftar sebagai pensyarah baru.

Sepanjang penubuhan Jabatan Seni ia telah dikendalikan oleh 5 orang Ketua Jabatan iaitu Dr.Ahmad Suhaimi bin Mohd.Noor(jawatan tak rasmi dulu dipanggil Penyelaras), Prof Madya Mohd.Zahidee bin Arshad, En Abu Bakar bin Sabran,Dr.Roskang bin Jailani dan terkini Dr.Mohd.Johari bin Abd.Hamid. Beberapa aktiviti Jabatan yang penting telah dilaksanakan sepanjang perkhidmatan mereka sebagai KETUA JABATAN antaranya:

1. BENGKEL KRAF UNTUK GURU-GURU PSV NEGERI PERAK DAN SELANGOR (1999),
2. KONVENSYEN PENDIDIKAN SENI VISUAL KEBANGSAAN KALI 1 (2000) dengan kerjasama FSM,BSLN dan PPK.
3. SEMINAR KRAF PERINGKAT KEBANGSAAN (2003)
5. KONVENSYEN PENDIDIKAN SENI VISUAL KEBANGSAAN KALI 2(2004)
6. MoU dengan pelbagai agensi seperti Institut kraf Negara dan Pusat Kraf kaca(langkawi),
7.Ceramah,bengkel untuk guru-guru dan pelajar-pelajar sekolah
8. Perundingcara kepada agensi-agensi tertentu.
9. Penglibatan pensyarah Jabatan Seni dalam pelbagai tugas rasmi antaranya sebagai Penggubal Kurikulum Sekolah Seni,Penggubal kurikulum untuk BPG,Panel penggubal ijazah Perguruan Seni IPG, Panel Lembaga Aktradesi Negara(LAN),Penyelidik untuk Kementerian Kebudayaan dan Warisan dan lain-lain.
10.Pameran-pameran Seni Berkumpulan atau Solo oleh kakitangannya di peringkat Kebangsaan dan Antarabangsa.
11.Penulisan buku-buku seni yang ditulis oleh kakitangannya yang telah diterbitkan oleh pelbagai penerbitan dalam negara. Buku-buku ini menjadi rujukan kepada pelajar pelajar ,guru-guru dan masyarakat.
12. Penyelidikan yang telah dihasilkan oleh kakitangannya di peringkat Kebangsaan dan antarabangsa.

Tidakkah ini sumbangan besar JABATAN SENI kepada UPSI, masyarakat dan negara?

Pelbagai anugerah dan pingat yang telah diterima oleh kakitangannya antaranya ialah Anugerah Pingat Emas di Pameran Penyelidikan Intex di Kl (En.Abd Razak),Anugerah Pingat Gangsa dalam Pameran Penyelidikan Antarabangsa Geneva (En.Abd.Razak),Anugerah Perdana Menteri dalam bidang Kesenian (Prof Madya Zulkifli Yusuf), Anugerah Pingat Ahli Mangku Negara(AMN) dari DYMM Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong kepada Prof Madya Tn Hj.Iberahim dan Dr.Ahmad Suhaimi bin Mohd.Noor kerana sumbangan mereka dalam bidang kesenian. Walaupun anugerah itu kepada individu tetapi individu itu telah berkhidmat dan menerima pengalaman kerjayanya dari jabatannya ini bermakna ia adalah mewakili jabatannya iaitu JABATAN SENI.

Tidakkah ini juga tanda sumbangan besar Jabatan Seni kepada UPSI, masyarakat dan negara?

Di Jabatan inilah berhimpunnya tokoh-tokoh seni yang berkaliber dan berwibawa serta berpengalaman luas di peringkat Kebangsaan dan Antarabangsa. Antaranya Prof Dr.Zakaria Ali( Pelukis, Penulis, Sejahrawan Seni tersohor Tanahair),Prof.Dr.TjepTjep (Antropolog,Budayawan dan penulis tersohor Indonesia),Tn. Hj.Iberahim (Pendidik dan Penggubal Pendidikan Seni negara),Dr. Ahmad Suhaimi bin Mohd.Noor(Pendidik,pelukis, Sejarawan dan Penulis Seni), Prof Madya Zulkifli Yusof(Pelukis tersohor negara dan Antarabangsa),Hassan Hohd Ghazali( Pendidik,Penggubal dan Penulis buku-buku seni terkenal Tanahair))Dr.Mohd.Johari Abd.Hamid ( Pengkritik seni,novelis dan penulis Seni terkenal Tanahair),Dr.Mohd.Fauzi Sedon( Pelukis terkenal antarabangsa),Dr.Abd Halim Hussein( Pendidik,Panel dan penggubal Seni),Dr.Nasir Ibrahim (Pendidik,Panel dan Penggubal Seni),Prof Madya Mohd.Zahidee Arshad( Pendidik dan Panel Lembaga Akreditasi Negara) Dr.Roskang Jailani(Pendidik, dan Pelukis antarabangsa),En.AbdulRazak (Pereka bentuk Kaca antarabangsa),Syed Osman Syed Yusuf( International Graphic Designer), En Abu Bakar Sabran (Pereka bentuk Industri kebangsaan dan antarabangsa),Drs Izani Mat Ill (Penyelidik dan Penulis Kementerian Kebudayaan dan Warisan), Dr.Tajul( Seniman Seramik Kebangsaan dan Antarabangsa), Dr. Harozilla (Pereka batik Kebangsaan dan Antarabangsa), ZainalAbidin( arcawan Kebangsaan), En Ibrahim Bakri ( Seniman Pengukir antarabangsa) dan lain-lain lagi.

Berhimpunnya tokoh-tokoh ini bermakna berhimpunlah segala bidang dan disiplin ilmu seni yang berpusat di JABATAN SENI,UPSI. Ratusan pelajar ijazah pertama, ratusan pelajar Master dan puluhan calon Ph.D sedang menimba ilmu di Jabatan ini. Malah ada calon Ph.D yang datang dari luar negara. Ramai yang graduat menjadi Pendidik Seni di seluruh negara, Graduan Masternya pula berkhidmat di agensi-agensi penting dalam Kementerian Pelajaran seperti pensyarah Institut Pendidikan Guru(IPG),Pegawai di Pusat Perkembangan Kurikulum(PPK)dan Bahagian Sekolah.

Tidakkah ini sumbangan besar JABATAN SENI kepada UPSI, masyarakat dan negara?

Jabatan Seni menjadi rujukan penting dalam disiplin ilmu Pendidikan Seni Visual di peringkat negara. Ianya telah bertapak kukuh di persada UPSI dan negara. Siapakah yang boleh menafikannya?

Inilah kekuatan JABATAN SENI yang telah mengukir namanya sejak dahulu lagi. Wallahualam.

Thursday, September 17, 2009

Cuti Sabatikal 114-Kembara Bali: TERBONGKARNYA SATU BERITA


17 September 2009 pada hari yang sama dan isu yang sama aku teringat dari mana asal cerita perpisahan ini. Ya baru aku ingat. Aku sering berinteraksi dengan sahabatku Dr.Jo melalui Yahoo Messenger,Facebook atau melalui SMS. Pada suatu hari( minggu ini)kami berinteraksi melalui YM dia menyatakan sesuatu berteka teki:

"itulah kau tak ada"
aku membalasnya,"pasal apa?"
"pasal nak berpecah",
"pecah apa" balasku
katanya, "fakulti nak berpecah"
"ada-ada saja kalau aku tak ada" Gurauku

"Itulah kau tak ada"
"Tak apalah Muzik buat fakulti baru, seni buat fakulti baru"kata ku selamba
"Masalahnya SENI TAK ADA"
"HA?" "Kau jangan bergurau Jo" "IYA"

(perbualan ini betul cuma ayat ini diberitanda sebagai sebuah dialog- penulis)

Dari sinilah aku mula mengetahui isu yang bergolak di Fakulti Seni dan Muzik UPSI itu. Sejak itulah juga aku sentiasa menghubungi sahabat-sahabatku pensyarah seni di UPSI terutamanya Dr Jo dan Mentorku Profesor Dr.Zakaria Ali mengenai perkembangan dan tindakan yang telah diambil.

Wednesday, September 16, 2009

Cuti Sabatikal 113-Kembara Bali: HARI INI DALAM SEJARAH


17 September 2009 jam 1.30 pagi aku menulis untuk blog ini. Tadinya jam 12.30 tengah malam (pagi?)aku baru bangun tidur. Tidak pernah aku tidur awal tetapi terpaksa dan dipaksakan kerana blackout berlaku selepas berbuka puasa petang tadi. Inilah buat kedua kalinya blackout sepanjang hampir 4 bulan aku tinggal di Sanur Bali. Wah memang gelap sungguh, aku memang tiada menyediakan lilin atau lampu suluh. Aku gunakan handphone untuk mendapatkan cahaya itu pun tidak lama kerana baterinya pula habis. Nasib baik isteri tuan rumah yang menjadi jiranku menyediakan lilin yg tinggal sedikit untuk menerangi rumahku.Alhamdulillah hanya sejam kemudian aku terus bergelap dan tertidur.

HARI INI DALAM SEJARAH. Ya aku memang tidak pernah SMS atau call DATUK NAIB CANSELOR Prof Datuk Dr Aminah bt Ayob sepanjang aku kenal dia. Pada hal aku mmemang mengenalinya lama semenjak beliau menjadi penyelia masterku pada tahun 1996 lagi ketika beliau berkhidmat sebagai pensyarah di USM. Aku pernah beberapa kali menemuinya di pejabat atas urusan rasmi. Malah aku tidak pernah mengambil kesempatan atas hubungan ini. Aku cukup profesional dalam masalah ini. Walau bagaimanapun kami sering bercanda.

Isu ini menyebabkan aku terpanggil. Aku gelisah dan tidak boleh diam dan tidak boleh tidur dibuatnya. Kebetulan sahabatku Dr.Joe menyuntikku..sebenarnya aku memang nak call dia. Aku cuba 2 kali call dia tapi panggilan tidak dijawab. Aku pasti nombor hpnya betul. Lepas itu aku SMS dia sebagai intro. Dalam intro itu aku berikan ucapan selamat hari raya dan bertanya kabar. Tidak disangka-sangka dia membalas sms aku. ah aku melihat ada sedikit cahaya untuk aku berbicara dengannya. Aku call dia balik tapi dia masih tidak menjawabnya. Aku yakin dia sibuk. Lebih kurang jam 2.30 petang DATUK VC call. Alhamdulillah satu perbicaraan dari hati ke hati berlaku. Aku menyuarakan kegelisahan dan pandanganku terhadap isu ini. Aku meminta agar nama SENI jangan dibuang dalam pembentukan fakulti baru. Dia nampaknya perihatin. Dia menjelaskan SENI TIDAK HILANG. Aku membalasnya dengan kepentingan seni dalam industri. Satu fakulti baru yang dinamakan FAKULTI PENGKOMPUTERAN, SENI DAN KREATIF INDUSTRI akan diwujudkan mengganti fakulti lama. Seni akan bergabung dengan fakulti Teknologi Maklumat dan Komunikasi dalam fakulti baru itu. Perkataan SENI terus kekal sebaliknya teknologi maklumat dan komunikasi hilang terus diganti pengkomputeran. Malah kekuatan seni ditambah dengan KREATIF INDUSTRI. Itulah kandungan perbicaraan aku dengan DATUK VC. Alhamdulillah. Pembentukan fakulti baru itu hanya akan menukar rakan gabungan sahaja dari rakan muzik ke rakan FTMK.

Tuesday, September 15, 2009

Cuti Sabatikal 112-Kembara Bali:ROBOHNYA SEBUAH MAHLIGAI


15 dan 16 September 2009 aku meneruskan kerja-kerja penulisanku yang lain walaupun Kertas Kerja PERANG PERAK: SATU MANIFESTASI VISUAL selesai dan telah ku emailkan. Malam tadi 16 September 2009 kira-kira jam 9 malam aku menerima SMS yang mendukacitakan dari mentorku Profesor Dr.Zakaria Ali yang berbunyi "Kita tewas, Dr.Hassan & saya berhujah keras tapi rombakan pasti berlaku". Aku duduk tersentak membacanya. Sebelumnya dua kali aku menghantar SMS kepada prof Z, pertama memintanya mempertahankan nama seni sebagai satu fakulti. Kedua sebelah bagi 16 September 2009 aku menghantar SMS yang berbunyi " Selamat berbuka.Seni masih berkibarkah?" Beliau membalas sms ku dengan menyatakan mesyuarat senat akan diadakan pada 2.30 petang ini. Aku memang mengetahui hanya dua orang wakil dari Fakulti Seni dan Muzik yang menjadi ahli senat iatu Dekan dan beliau. Aku cepat-cepat menghantar perkabaran ini melalui sms kepada rakan-rakanku pensyarah seni antarannya:

orang pertama Dr.Jo, kemudian Dr.Roskang,HassanGhazali,Dr.Fauzi,Dr.Halim,Dr.Nasir,Dr.Tajul,Muriza,Jamilah,Pm.Hj Iberahim,Pm. ZulkifliYusuf dan Pm Mohd Zahidee. Sayangnya mereka yang dekat belum lagi mengetahui kedudukan sebenar. Ini bermakna aku yang jauh ini adalah orang yang awal mengetahui berita ini. Aku menerima respons yang lantang dari Dr.Jo, Dr.Roskang, Dr.Fauzi dan Dr.Tajul.

Persoalannya sekarang ialah kemana dan di mana kedudukan seni sebagai satu Fakulti? Aku hanya mendengar khabar dan ura-ara Muzik akan berkembang menjadi satu fakulti yang dinamakan Fakulti Muzik dan Persembahan manakala seni akan tercampak(?) di bawah Fakulti Teknologi Maklumat.Aku sangat prihatin dengan masalah dan isu ini kerana aku mempunyai rekod sejarah sebagai orang kedua selepas Profesor Madya Tn Hj.Iberahim Hassan yang mula-mula berkhidmat pada tahun 1997( sejak penubuhan UPSI) sebagai pensyarah seni di bawah FAKULTI KESENIAN DAN SAINS SOSIAL ( nama dahulunya) sebelum bertukar kepada FAKULTI SENI DAN MUZIK.Aku telah berkhidmat di MPSI,IPSI dan UPSI selama 24 tahun. Aku terlibat sepenuhnya bersama PM.Tn Hj.Iberahim Hassan merangka dan menggubal kurikulum fakulti khususnya dalam bidang seni.Malah amat terlibat dalam menentukan pensyarah yang akan diambil berkhidmat sebagai pensyarah seni ketika itu. Aku diberi kepercayaan penuh oleh PM Tn Hj.Iberahim. Aku bersama beliau merangka budget fakulti termasuk merancang prasarana fakulti. Selepas itu barulah datang pensyarah-pensyarah yang lain seperti PM Zulkifli Yusuf,Drs Izani Mat Ill dan dan PM Mohd.Zahidee sebagai pensyarah kumpulan pertama. Aku menyimpan semua fail personal yang mengandungi surat-surat penting itu termasuk kehadiran mesyuarat, tugas-tugas rasmi dan sebagainya.

Andaikata nama dan perkataan Seni atau Kesenian dalam rombakan yang terbaru ini tiada maka amat malanglah kedudukan seni yang telah bertapak lama sebagai salah satu 'niche' universiti sekian lamanya sejak penubuhan SITC 1922. Pensyarah seni kini telah ada 8 orang yang memiliki Ph.D,(ramai lagi akan pulang dengan Ph.D) 2 orang profesor dan 3 orang profesor Madya, pensyarah kanan dan pensyarah yang lain. Jumlah pelajarnya ramai. Pelajar masternya ratusan, calon ph.d melebihi 5 orang. Kekuatan fakulti ini terletak kepada stafnya,seni telah cukup kuat untuk menubuhkan fakulti sedangkan muzik hanya seorang sahaja pemegang Ph.D dan 3 orang profesor Madya dengan jumlah pelajar yang sedikit sudah boleh menubuhkan fakulti sendiri? Apakah justifikasi yang kuat untuk penubuhannya sedangkan keperluan di sekolah dan keperluan untuk negara adalah terhad untuk bidang ini? Lebih malang lagi ialah makin sedikit pensyarah muzik dan staf muzik makin dapat Fakulti sedangkan makin ramai pensyarah seni dapat Ph.D makin hilang Fakulti....(?) Aku sangat bimbang takut-takut Seni akan membina batu nesannya di UPSI di celah-celah laman arcanya sendiri.

Langkah yang terbaik ialah penubuhan FAKULTI SENI tanpa menggabungkan dengan progrem lain. Justifikasinya sangat kuat. Bidangnya banyak, beragam dan verstail. Ada teori dan amalinya. Keperluannya di sekolah, industri dan negara amat ketara. Memiliki staf yang berkalibar dan berwibawa. Bangunan studionya telah ada cuma pejabat pentadbiran dan pejabat pensyarahnya perlu diubahsuai dari bangunan yang ada. ITU SAHAJA PILIHAN YANG PALING TEPAT SEBELUM RAMAI PENSYARAH SENI YANG TERLUKA INI BERTINDAK BERHIJRAH BERAMAI-RAMAI KE UNIVERSITI LAIN.

Monday, September 14, 2009

Cuti Sabatikal 111-Kembara Bali: S.E.L.E.S.A.I @ S.E.L.E.S.A. I



14 September 2009 aku sepenuh masa bertungkus lumus menyiapkan kertas kerjaku yang bertajuk PERANG PERAK: SATU MANIFESTASI VISUAL. Alhamdulillah aku dapat menyempurnakannya pada jam 12.00 tengahari setelah empat jam menyiapkannya tanpa henti ditambah dengan beberapa hari sebelumnya. Selepas solat zohor jam 12.30 tengahari, aku ke Nabila Internet untuk urusan email. Aku tidak dapat mengemail kertas kerjaku melalui talian brondband Telkomsel unlimited ini kerana ia selalu terputus sehingga membosankanku. Di Nabila Internet aku cuba mengemail kertas kerja itu tetapi sampai 5 jam aku tidak dapat melakukannya. Pada hal sku dibantu oleh staf di pusat Internet itu yang sangat berkemahiran dalam bidang komputer. Akhirnya aku dibantu pula oleh majikan pusat itu. Ia tahu masalahnya iaitu saiz gambar terlalu besar dan berat. Ia cuba memisahkan satu demi satu gambar itu serta mengecilkankan saiznya kepada 2 megabait setiap satu. Beliau meminta aku mengemail satu persatu. Maknanya satu muka surat setiap kali email. Aku cuba berbuat demikian tetapi masih terlalu lambat untuk berjaya. Aku solat Asar di pusat itu sementara menunggu mereka menyelesaikan. Sehingga jam 6 petang kertas kerja itu masih tidak dapat diemailkan sedangkan waktu berbuka semakin dekat. Aku terpaksa meninggalkan kerjaya baruku sebagai CHEF hari ini kerana kesuntukan masa dan berbuka puasa di warung Madiun sahaja. Akhirnya aku membuat keputusan yang lambat. Aku menelefon Pak Jajang( dosen senirupa UNDIKSA selaku urusetia seminar itu dan menyatakan masalah yang aku hadapi. Akhirnya kata putus telah kuambil iaitu aku email sahaja kertas kerja itu tanpa gambarnya dan ketika membentangnya nanti aku sertakan gambarnya sekali. Pak Jajang bersetuju dengan cadanganku. Akhirnya aku berjaya mengemail kertas kerja beserta abstraknya sekali tanpa visual. Akhinya SELESAI@SELESA I

Sunday, September 13, 2009

Cuti Sabatikal 110-Kembara Bali: Sambungan Kertas Kerja



13 September 2009 aku masih menulis kertas kerjaku PERANG PERAK:SATU MANIFESTASI VISUAL. Sejak pagi sampailah ke petang, aku menumpukan sepenuhnya tanggungjawab itu namun masih lagi belum siap. Aku berehat untuk solat, membeli belah barang-barang keperluan harian di supermarket Hardy's Sanur dan memasak sahaja. Sehingga terasa sakit pinggang dan ngerinye tulang belakang kerana terlalu lama duduk mengadap komputer. Aku telah berjanji dengan Pak Jajang ( dosen senirupa UNDIKSA selaku urusetia seminar) untuk menghantar makalah ini hari ini melalui e mail namun nampaknya gagal. Insyaallah aku cuba sedaya upaya menyiapkan segera paling cepat esok. Banyak perkara yang perlu kulibatkan dalam penulisan ini selain aspek-aspek seni aku juga memikirkan pendekatan sejarah. Inilah bidang kepakaranku Sejarah Seni. Melihat Seni dari pendekatan sejarah. "Seni tidak ada sejarah yang bersejarah adalah karya-karya seni". Itulah kata-kata Profesor Sejarah Seniku Dr. Zakaria Ali dalam bukunya Esei-Esei Seni dan Seniman terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka. Ketika aku bercuti Sabatikal ini dia membantuku dengan mengambilalih pengajaran kursusku di Fakulti Seni dan Muzik iaitu SSL 3064 Seni Islam Perbandingan, SSL 2064 Sejarah Seni Tampak Malaysia dan SSP 6493 Kesedaran Visual di Malaysia ( kursus ini untuk pelajar-pelajar Master). Malah dia membantuku sebagai penyelia ganti kepada 3 calon doktor falsafah di bawah selianku sepanjang aku bercuti sabatikal ini. Aku banyak berterima kasih dengannya.

Friday, September 11, 2009

Cuti Sabatikal 109-Kembara Bali: Menyiapkan Kertas Kerja






11 dan 12 September 2009 aku sibuk menyiapkan kertas kerjaku yang bertajuk PERANG PERAK: SATU MANIFESTASI VISUAL. Sayangnya talian brondbandku Flash Telkomsel sangat bermasalah. Walaupun dinyatakan unlimited tetapi rupa-rupanya limited. Dua hari ini aku berada di Nabila Internet menyiapkan kertas kerja itu. Di Nabila Internet ini tidak ada masalah kerana menggunakan kabel. Lagipun ia berhampiran dengan musolla jadi aku senang menunaikan solat di situ. Aku sertakan lakaran taswir Sultan Abdullah karya said Ahmad al Kudri atas permintaan anakku Zulaikha. Dalam blog terdahulu aku menyatakan wajahku mirip Sultan Abdullah.

Thursday, September 10, 2009

Cuti Sabatikal 108-Kembara Bali: Perang Perak -Satu Manifestasi Visual


10 September 2009 aku mula mencari idea apakah tajuk dan tema untuk kertas kerja yang ku tulis untuk Seminar Internasional Khazanah Seni Rupa Nusantara. Seminar anjuran Universiti Pendidikan Ganesha, Singaraja ini akan diadakan pada 2-3 Oktober 2009 di UNDIKSA,Singaraja,Bali. Dari awal lagi Dr I Made Sutama Dekan Fakultas Bahasa dan Seni UNDIKSA menjemputku untuk membentangkan kertas kerja untuk seminar ini, tapi aku sering lupa tarikhnya. Fikir punya fikir akhirnya tiba-tiba aku perolehi idea tentang Perang Perak, kebetulan aku selalu melihat lakaran Sultan Abdullah oleh Said Ahmad Al Khudri dalam akhbar JAJAHAN MELAYU yang telah diterbitkan oleh Syed Abdul Hassan Ibni Burhan( keturunan Arab) pada tahun 1886 di Taiping. Lakaran di muka hadapan akhbar itu sangat mengesankan aku. Lakaran wajah Sultan Abdullah itu mirip foto wajah Sultan Abdullah sendiri. Aku melihat sesuatu yang unik pada artis tersebut iaitu Said Ahmad Al Khudri. Aku juga melihat sesuatu yang istimewa pada akhbar JAJAHAN MELAYU. Mengapa mereka memilih taswir Sultan Abdullah adalah sesuatu yang di luar jangkaan. Sebabnya akhbar itu diterbitkan ketika Malaya di bawah jajahan British, manakala Taiping adalah pusat pentadbiran British ketika itu (1886) sebelum berpindah ke kuala Lumpur. Sultan Abdullah ketika itu telah menjalani hukuman buang negeri ke Pulau Sychelles kerana terlibat membunuh J.W.W.Birch Residen Inggeris Perak. Aku menyemak semula foto-foto yang kumiliki mengenai Perang Perak. Aku memang menyimpan lakaran-lakaran Engraving peristiwa Perang Perak di Pasir Salak yang diterbitkan dalam Akhbar THE ILLUSTRATED LONDON NEWS pada tahun 1876. Dua naskhah asal akhbar itu aku miliki ketika aku membuat penyelidikan Doktor Falsafah dahulu. Lakaran itu dibuat oleh artis Inggeris ( tidak dapat dikesan nama artis tersebut) ketika perang itu berlaku. Sudah menjadi dasar akhbar ini yang berteraskan ilustrasi setiap kejadian penting termasuk peperangan, seorang artis akan dihantar (umpama cameraman) melukiskan peristiwa itu secara 'live'. Aku cuba menghubungkan tajuk ini dengan seminar antarabangsa itu. Ya aku fikir ada sesuatu yang perlu diketahui tentang peranan ilustrasi dalam media massa dalam dunia komunikasi di nusantara ini. Akhirnya aku memilih tajuk yang pasti untuk kertas kerja ini iaitu PERANG PERAK : SATU MANIFESTASI VISUAL.(Tambahan: Aku masukkan fotoku ini sebab aku rasa wajahku mirip wajah Sultan Abdullah.Cuma aku tak pakai songkok pengakap macam Sultan Abdullah pakai dan Sultan Abdullah tak simpan janggut macam aku simpan. Yang sama misai dan dahi luasnya. Perasan)

Wednesday, September 9, 2009

Cuti Sabatikal 107-Kembara Bali: Line Broadband Terputus


9 Sepetember 2009 hampir 4 hari aku tidak dapat menjengok blogku dan melihat email,fiendster,Facebook dan YM setelah penulisan blog terakhirku "Berita Tanahair". Empat hari 6, 7, 8 dan 9 September 2009 aku duduk di rumah, mengemas rumah, masak dan melayan tetamu Rofiq yang datang ke rumahku sambil berbuka puasa. Beliau sering saja membawa buah tangan bila datang kerumahku. Aku sudah menganggap dia, isteri dan anak-anaknya macam keluargaku sendiri. Alhamdulillah malam ini aku tidak menyangka talian brondbandku telah kembali pulih. Hari ini aku membuka blog Pak Jajang http://rupasenirupa.blogspot.com setelah beliau mengomen blogku. Pak Jajang adalah dosen(pensyarah) seni rupa Universitas Pendidikan Ganesha,Singaraja,Bali. Beliau meminta aku menyerahkan kertas Kerja untuk Seminar Internasional Khazanah Senirupa Nusantara. Katanya tarikh seminar telah terlalu hampir iaitu 2-3 Oktober 2009 sedangkan aku masih belum lagi menghantar kertas kerja. Oh..aku hampir-hampir lupa dengan tarikh seminar itu, aku ingat masih lama lagi. Insyaallah aku akan segera menyiapkannya.

Sunday, September 6, 2009

Cuti Sabatikal 106-Kembara Bali: Berita Tanahair


6 September 2009 sebelah paginya selepas bangun tidur aku melihat bintik-bintik merah di seluruh badanku. Aku rasa aku elejek dengan makanan, aku tak tahu makanan apa yang aku makan, melainkan 2 hari lepas aku makan udang dan sotong. Bintik-bintik ini menyebabkan aku gatal dan kerap menggaru aku membuka laptop melihat internet. Cuba mencari berita-berita mengenai tanahair. Aku mengklik Harakah Daily, Utusan Malaysia dan Berta Harian. Talian broadbard di Sanur, Bali tempatku tinggal tidak berapa bagus selalu sahaja terputus. Tengah asyik menulis atau melihat email atau berita selalu sahaja terganggu, malah ketika download foto kerap terputus, terpaksa berulangkali melakukannya lagi. Pernah sampai lima kali aku melakukan kerja yang sama. Aku memang sudah lama tidak mengikuti perkembangan yang berlaku di Malaysia. Nampaknya satu lagi Pilihanraya kecil akan diadakan di Malaysia , bila ADUN Teluk Kemang Sdr. Azman (ADUN dari UMNO)telah pulang ke Rahmatullah. Setakat ini telah 8 kali pilihanraya kecil telah diadakan dan Pakatan Rakyat telah memenangi 7 manakala BN 1 di Batang Ai.

Friday, September 4, 2009

Cuti Sabatikal 105-Kembara Bali:Santai di rumah


4 dan 5 September 2009 aku santai di rumah saja. Bulan Ramadhan ini pergerakanku agak terbatas. Aku sentiasa keletihan, maklumlah berpuasa apatah lagi aku pengidap diabetes dan ghout tegar,sering kehausan. Aku gagahkan juga berpuasa. Setakat ini selama 15 hari aku masih mampu berpuasa. Alhamdulillah. Aku sibukkan diriku dengan membuat penyelidikan di rumah, kerja-kerja rumah dan ibadat yang lain. Kadang-kadang bila sunyi ni teringat anak-anak. Gurau senda dan gelagatnya.Ialah sudah hampir 2 tahun aku berpisah dengan bekas isteriku. Aku jarang sekali menemui anak-anakku. Mereka tinggal dengan ibunya di Taman Happy,Tanjung Malim,Perak. Sebelum aku bercuti 9 bulan di Bali aku datang ke rumahnya menemui anak-anakku.Iya mereka telah besar. Yang sulung Zulaikha ( 22 tahun) sedang menuntut di Tahun 2 Fakulti Seni dan Muzik, UPSI dalam progrem ijazah Pendidikan Seni, Yang tengah Ali Shariati( 20 Tahun ) sedang menuntut di Tahun 2 di Universiti Teknologi Mara (UiTM) dalam progrem Diploma Seni Halus. Manakala yang bongsu Zuwaidah( 16 tahun ) sedang menuntut di Tingkatan 4 di Sek.Men.Keb.Methodist,Tg. Malim, Perak. Mereka ini baik dan pintar-pintar diasuh oleh ibunya. Aku amat jarang mendidik anak-anak sekadar melihat mereka membesar di hadapan mata.

Thursday, September 3, 2009

Cuti Sabatikal 104-Kembara Bali: Visa Lanjutan


3 September 2009 aku ke pejabat Imigrasi di renon, Denpasar untuk mendapatkan visa lanjutan untuk bulan September. Aku terpaksa berulang alik paling kurang 3 kali setiap bulan bagi menguruskan visa ini. Pertama menghantar borang yang telah sempurna, kemudian staf imigrasi akan memberi nota untuk datang kali kedua untuk membayar. Lepas itu aku perlu datang kali kedua untuk membayar wang sebanyak RP250000 bagi visa itu ( untuk bulan September aku perlu bayar lebih iaitu Rp265000 tambahan Rp 15000 untuk cap sepuluh jari tangan). Staf imigrasi yang lain akan memberikan resit pembayaran. Tetapi aku masih lagi tidak dapat visa itu, aku disuruh datang untuk kali ketiganya beberapa hari kemudian untuk mendapatkan visa itu. Oh sungguh leceh betul. Perkara itu terlalu mudah untuk diuruskan. Aku tidak Faham mengapa terlalu lambat. Itu sebsbnya ramai yang menggunakan khidmat ejen tetapi Bayaran kepada ejen ialah sekali ganda iaitu Rp500000 ( setengah juta rupiah).Baiklah aku uruskan sendiri,sekurang-kurangnya aku dapat mengetahui birokrasi perkhidmatan awam di sini. Hari ini aku dipanggil oleh staf imigrasi peringkat tinggi ke biliknya. Aku ditanya dengan pelbagai soalan.Antaranya mengapa aku datang ke sini. Siapa sponsor. Pekerjaan aku. Apa yang aku buat di sini. Mengapa pilih Bali, dan yang paling mengejutkan aku ialah mengapa Malaysia mengklim tarian pendet sebagai tarian Malaysia malah pegawai itu bertanya tentang budaya Indonesia yang dicuri oleh Malaysia. Isu Ambalat juga di timbulkan. Nampaknya aku telah bertukar profisen iaitu sebagai DUTA BESAR MALAYSIA( tak rasmi) ke Bali. Aku dengan konfidennya menjelaskan duduk perkara. Alhamdulillah satu persefahaman telah berlaku antara aku dengan pegawai tersebut. Aku rasa aku bisa berada di pentas Indonesia untuk menjelaskan kedudukan yang sebenar. Selepas selesai mendapatkan visa itu aku terserempak dengan 12 orang beruniform seluar kelabu,kemeja putih dan bertali leher. Suaidi yang menunggu aku di ruang tamu memperkenalkan aku dengan 12 orang itu. Rupa-rupanya mereka itu adalah freshie siswa Fakultas Perubatan Universitas Udayana,Denpasar dari Malaysia. Mereka tidak percaya aku orang Malaysia sebab tuturkataku udah berubah seperti orang Indonesia. Mereka baru dua minggu mendaftar di universitas itu. Salah seorangnya bernama Abdullah dari KL. Dia mengambil no HP aku dan katanya akan berhari raya di rumahku nanti dengan kawan-kawannya. Aku menjemputnya bila-bila masa ke kediamanku di Sanur Bali. Memang ramai pelajar-pelajar Malaysia yang menuntut di Fakultas perubatan di universitas itu selama 5 setengah tahun sebelum bergelar doktor.