Thursday, April 8, 2010

TEATER "MAHKAMAH KEADILAN" DI PANGGUNG BUDAYA UPSI










8 April 2010 jam 8.30 malam berlangsung persembahan produksi teater berjodol "MAHKAMAH KEADILAN" oleh pelajar-pelajar Minor Teater Fakulti Seni dan Muzik, UPSI. Persembahan akhir ini adalah hasil kerja pelajar-pelajar Minor Teater untuk dinilai oleh pensyarah-pensyarah Teater UPSI. Teater komedi ini menarik perhatian khalayak yang terdiri daripada pelajar-pelajar dan pensyarah UPSI yang datang memenuhi Panggung Budaya UPSI malam tadi. Persembahan kali kedua akan berlangsung pada malam ini di tempat yang sama.





Teater tersebut mengingatkan aku kepada aktiviti teater yang pernah kulibati ketika mengambil kursus "Pengenalan kepada Lakonan" di bawah Kala Dewata ( Mustapa Kamal) pada tahun 1976 di Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan, Universiti Sains Malaysia dahulu. Alhamdulillah aku "score A" kursus itu.





"MAHKAMAH KEADILAN" ini begitu sinis sekali. Suluhan "spotlight" yang menyorot pergerakan pelakon wanita di awal persembahan, memulakan monolog yang mengesankan.Sekadar duduk dan kadang-kadang berdiri, pelakon wanita itu berbicara sendiri.Intonasi yang mengesankan, pergerakan badan yang bersahaja memukau khalayak. Pilihan "Monolog" yang dilontarkan mengajak khalayak memikirkan buah butir kata-kata timbal balik antara penuduh, yang dituduh dan kata putus hakim. Pergerakan kreatif yang dilakukan oleh pelakon-pelakon khususnya ketika hukuman telah dijatuhkan dan kemenangan kepada pihak hakim dan tertuduh "Penjual roti" cukup menarik. Begitu juga tarian gelek yang dipersembahkan oleh pelakon-pelakon lelaki yang menyamar wanita.Salah seorang daripada penari gelek itu adalah RAHIZUL pelajar Pendidikan Seni yang baru-baru ini mengikutiku berkhemah dan kembara di Lubuk Kawah. Suasana keAraban jelas terpancar dalam seluruh persembahan kecuali di awal persembahan. Tarian gelek,loghat Arab,set dan props mahligai,kostume dan tingkah laku jelas menunjukkan hal itu. Mainan lampu juga amat membantu.






Ada kelas! Itulah jawapan yang dapat kuberikan kepada persembahan teater malam itu. Syabas dan tahniah kepada semua pelajar-pelajar Minor Teater serta pensyarah-pensyarahnya.INGAT! DI TANAH INILAH LAHIRNYA TEATER MUZIKAL "BUKAN LALANG DITIUP ANGIN' KARYA SENIMAN NEGARA NOORDIN HASSAN YANG TELAH MEROMBAK ERTI SEBUAH TEATER SERTA MEMARTABATKANNYA SEBAGAI TEATER MODEN ( absurd) YANG PERTAMA DI MALAYSIA . ( aku sempat menyaksikan latihan teater itu di Bangunan Dewan Suluh Budiman pada tahun 1973 ketika aku bersekolah menengah di SMK Khir Johari Tanjung Malim dahulu)






Bakat dan kemahiran yang ditonjolkan oleh pelajar-pelajar ini memginsafi diri kita sebagai pendidik, bahawa sebenarnya ramai lagi pelajar-pelajar kita yang berbakat dan berkemahiran dalam pelbagai bidang tetapi tidak berpeluang menonjolkan diri. Barangkali ini jugalah yang berlaku di sekolah-sekolah kita hari ini. Mereka tidak ada "peluang" atau tidak diberi "ruang" untuk mengases diri sebagai "pekerja kreatif". Jutaan pelajar-pelajar kita di sekolah-sekolah menengah dan rendah, persoalannya "berapakah bilangan mereka yang berpeluang menjelmakan daya kreativiti mereka dalam bidang sains,seni dan sukan". Alangkah malangnya kita sebagai pentadbir dan pendidik mensia-siakan aset yang diberikan oleh ALLAH kepada kita.

Wednesday, April 7, 2010

MENYELIA PRAKTIKUM DI SEK.MEN.KEB. DOL SAID,ALOR GAJAH,MELAKA

6 April 2010 yang lalu aku telah pergi ke Alor Gajah bersama rakan sekerjaku Amir Hshim (dia adalah bekas pelajarku KPLI Seni UPSI tahun 1990 an dulu dan kini menjadi pensyarah Seni UPSI). Oleh kerana jenuh kami mencari hotel di Alor Gajah,tapi tak jumpa,kami membuat keputusan menginap di Hotel Seri Malaysia, Air Keroh,Melaka. Hotel yang sederhana besarnya bertaraf 3 bintang cukuplah untuk kami menginap dan melepaskan lelah. Kami bertolak jam 2 petang dan sampai ke Alor Gajah jam 4.30 petang. selepas mandi kami berehat-rehat saja di bilik sambil membuka laptop untuk melayari internet, menjengok blog dan Facebook.




Malamnya kami ke Muar untuk ke destinasi makanan sup yang enak. Memang benar-benar enak. Terima kasih yang tidak terhingga kepada bekas pelajarku Violet yang sekarang ini mengajar di Muar ( kampungnya sendiri). Aku menelefonnya ketika sampai di hotel untuk makan malam dengannya di Muar. Dia menunggu kami di Muar. Balik ke hotel kekenyangan. Aku menyambung kerja-kerja penulisanku sehingga jam 2 pagi. Rakanku Amir Hashim dah terlelap lama. Aku memang jarang tidur awal, paling cepat pun jam 12 tengah malam. Peliknya aku juga sentiasa bangun awal jam 5.30 pagi mataku dah celik terbuka.




Selepas solat subuh aku masih di hadapan laptop. Nampak gayanya aku sukar memisahkan diri dari laptop. Dia dah menjadi "talian hayat"ku kini disamping sketchbook. Banyak perkara yang boleh ku buat dengan menggunakan laptop ini, penulisan penyelidikan,blog,Facebook, data dan maklumat dalam internet dan pelbagai perkara lagi.




Selepas sarapan pagi di hotel, aku ke Sek.Men.Keb.Dol Said untuk menyelia guru-guru pelatih DPLI UPSI. Nurul dan Zaila telah ku hubungi sebelumnya melalui sms. Hal ini sangat perlu dilakukan, takut-takut di sekolahnya nanti ada progrem dan majlis rasmi yang menyebabkan jadual akan berubah. Nasib baik juga aku telah menghubungi mereka kerana sekolah itu ada aktiviti sukan di sebelah paginya. Namun begitu aku masih dapat menyelia mereka walaupun aktiviti itu terus berlangsung.


Aku menemui Pengetua sekolah dengan ditemani oleh Penolong Kanan HEM.Pengetua sekolah sangat mesra. Banyak perkara yang kami bualkan dari hal-hal yang berkaitan dengan sekolah itu sehinggalah kepada hal yang berkaitan dengan guru pelatih ini. SMK Dol Said adalah "Sekolah Bestari". Jumlah pelajarnya 1700 orang dan pelajar lelaki berjumlah 1000 orang. Ada asrama lelaki dan tiada pula asrama pelajar perempuan. Lokasinya betul-betul di tepi jalan besar berhadapan kubur cina. Kawasan sekolah luas dan mempunyai 2 padang- di bahagian bawah dan atas. Pencapaian akademik dan kokurikulum adalah antara sekolah yang terbaik di Melaka.


Selepas itu aku menemui Zaila dan Nurul di bilik seni. Aku cuba membina hubungan yang mesra antara penyelia dan Guru pelatih. Aku amat tidak suka suasana yang serius dan formal. Perbualan awal yang berkisar kepada rumah sewa,masakan dan aktiviti harian melenturkan tembuk pemisah antara pensyarah dan pelajar. Selepas itu baharulah aku menumpukan kepada "Pra Penyeliaan". Aku cuba menarik perhatian mereka kepada aktiviti mereka sebelum masuk ke kelas? Jawapan yang umum pastilah mereka menyediakan "Persediaan Mengajar Harian", merujuk buku-buku, membina Alat Bantu Mengajar (ABM). Aku juga cuba mengorek perasaan dalaman mereka ketika mengajar sebelum aku datang.




Aku suka sangat melihat "Buku Persediaan Mengajar" mereka. Aku selak satu-satu. Tumpuan mataku lebih kepada "Objektif Pengajaran dan Pembelajaran". Aku semak satu-satu. DI sinilah kelemahan yang paling nyata di kalangan hampir semua guru pelatih yang sedang menjalani praktikum iaitu penulisan objektif yang tidak objektif. Apabila menulis Objektif P & P, ia perlu objektif dengan kata lain mesti tepat tidak samar-samar,mesti teliti dan detail. Soal "Kata Kerja" adalah aspek penting yang boleh diukur dalam "Objektif Tingkah Laku". Ketika menulis Objektif P & P persoalan tiga domain iaitu domain kognitif,domain psikomotor dan domain afektif juga perlu diambil kira.



Contoh penulisan Objektif P&P yang tidak jelas antaranya "Di akhir pelajaran murid-murid dapat menghasilkan karya catan" atau "Di akhir pelajaran murid-murid dapat melakar bentuk bunga" Sepatutnya "Di akhir pelajaran murid-murid dapat menghasilkan sebuah catan bertemakan potrait manusia dengan menggunakan "teknik cat air" dengan menggunakan medium cat air" atau "Di akhir pelajaran murid-murid dapat melakar rupa sekuntum bunga raya dengan menggunakan "teknik garisan" menggunakan pensil. Maknanya dalam sesebuah penulisan Objektif P & P persoalan bila,apa,bagaiamana perlu sangat diambil berat.



Aku meminta guru pelatih yang kubimbing ini membuat tugasan di depan mataku khususnya dalam penulisan Objektif P & P. Selain itu aku juga menyemak langkah-langkah pengajaran adakah menepati kehendak objektif atau tidak. Semua itu penting dalam menyediakan sesebuah "Persediaan Mengajar Harian". Aku juga berbincang dengan mereka mengenai "Set Induksi". Inilah kelemahan yang berlaku pada guru pelatih kita. Mereka masih beranggapan "Set Induksi" ini hanya perlu dan digunakan di awal pengajaran sahaja. Aku menjelaskan fungsi "Set Induksi" ialah untuk menarik perhatian murid. Oleh yang demikian ia boleh digunakan di awal peengajaran atau di awal langkah-langkah pengajaran bila didapati murid-murid telah menunjukkan tidak berminat lagi kepada pengajaran guru. Maka di situlah "Set Induksi" yang baru perlu dilakukan. Aku juga melihat Alat Bantu Mengajar yang mereka sediakan.Memadai, sesuai atau tidak? Aku juga menyemak isi kandungan pelajaran yang akan diajar pada hari itu. Adakah telah mencapai tahap umur murid? Bimbang juga takut isi kandungan itu amat rendah atau sangat tinggi? Langkah-langkah pelajaran juga disemak untuk melihat aktiviti P & P yang akan dijalankan. Adakah menepati dengan isi kandungan? Semuanya itu perlu disemak dan diteliti betul-betul agar p & p yang disampaikan berkesan.




Aku melihat mereka mengajar di dalam kelas. Masih banyak ruang yang perlu diperbaiki. Aku memberitahu mereka "bahawa mereka dalam praktikum..oleh kerana itu banyak perkara yang perlu dipelajari...untuk menjadi guru yang berkesan memakan masa yang lama dan ia tidak mungkin boleh dibentuk dalam dua tiga bulan". Pengalaman aku menyelia Guru Pelatih cukup lama. Aku telah menyelia guru-guru pelatih ini sejak era MPSI, IPSI dan kini UPSI. Sudah 25 tahun aku menyelia praktikum dan ratusan guru yang telah diselia. Insyaallah dan alhamdulillah aku boleh menentukan secara holistik pengajaran guru pelatih yang dikategorikan cemerlang,baik dan sederhana. Sekali imbas sahaja,insyallah aku boleh tahu jantan betinanya. Ini bukan maksudnya aku takbur atau cuba menunjuk-nunjuk tetapi pengalamana telah banyak mengajar aku. Sepanjang pengajaran dan pembelajaran yang dilakukan oleh Nurul dan Zaila itu aku pergi melihat aktiviti-aktiviti yang dilakukan oleh murid-murid mereka.Ya..ada kesungguhan dan minat yang ditunjukkan oleh mereka. Aku sempat merakamkan foto-foto gelagat dan aksi mereka.



Selepas loceng berbunyi, aku dan Guru pelatih keluar kelas bersama, sama seperti aku bersama bila masuk ke kelas tadi. Aku memberi ruang untuk mereka bernafas sebelum "Pos Penyeliaan" dilakukan. Aku mohon mereka duduk dalam keadaan selesa. Aku cungkil perasaan mereka ketika mengajar. Wah banyak perkara yang dicurahkan. Antara luahannya..gementar,darah gemuruh, panik, laju,murid ada yang respon ada yang tidak, dr ada murid tak bising....,dan pelbagai lagi luahan. Namun begitu aku dapat menyelami perasaan mereka...iaitu "PUAS". Aku puas hati pengajaran mereka hari itu walau pun banyak perkara yang perlu dipertingkatkan lagi.




Aku menegaskan kepada mereka " U ADALAH SELEBRITI DI DALAM KELAS. 40 PASANG MATA MELIHAT U DARI HUJUNG KAKI KE HUJUNG RAMBUT. TERPULANG KEPADA U UNTUK MEMBENTUK MEREKA. TERPULANG KEPADA U BAGAIMANAKAH CARA MENARIK PERHATIAN MEREKA? DAN... GURU ADALAH SEGALA-GALANYA....."

Saturday, April 3, 2010

SELAMAT PENGANTIN BARU MOHD SIDDIQUE HJ.ANUAR DAN MAZNI IBRAHIM


2 April 2010 aku dan adik-adikku Noriah, Azhar dan isterinya bertolak dari Taman wilayah, Selayang ke bandar Muadzam Shah,Pahang. Kami bertolak jam 9 malam selepas isya untuk mengikuti rombongan anak saudaraku Mohd.Siddique bin Hj.Anuar( nama itu aku yang memberikannya bila dia lahir) bersama 5 buah kereta yang telah awal bertolak ke Pahang. Abangku Hj.Anuar bersama isteri dan ahli keluarga yang lain bertolak jam 11 pagi untuk menghadiri majlis akad nikah jam 9 malam itu.



Cuaca yang terang dan tidak hujan memudahkan perjalanan kami ke sana. Perjalanan jauh itu menyebabkan rasa mengantuk yang amat sangat. Entah berapa kali tertidur. Adikku Azhar langsung tidak mengantuk ketika memandu. Dia biasa sangat memandu waktu malam,katanya sejuk dan segar.



Tiba-tiba dalam keadaan gelap di Lebuh raya Maran, kami terkejut bila suatu objek datang meluru, kata adikku macam plastik. "Gedegah-gedegah!" bunyi kereta melanggar sesuatu, Rupa-rupanya adikku melanggar babi hutan. Makhluk tu dah terhoyong-hayang dilanggar kereta di hadapan kami. Jadi itu yang kami nampak macam plastik tu..meluru kerana terhoyong hayang. Adikku sempat mengelak sikit tetapi terlanggar juga. Kami tidak berhenti tetapi meneruskan perjalanan. Tiba-tiba babi yang dilanggar tadi, kelihatan di but kereta di hadapan kami. Wah kenduri besar pemandu Cina itu.



Kami sampai ke WAWA INN,sebelah MRSM di bandar Muadzam Shah jam 1.30 pagi. Terus check in. Keletihan menyebabkan adikku Noriah dan Na isteri Azhar tidak boleh tidur. Mereka sukar nak tidur disebabkan dengkuran aku dan adikku Azhar. Inilah dalam sejarah hidupku tidur sebilik bersama adik-adik beradikku Hj.Anuar,Noriah dan Azhar. Aku tidur sebelahan adikku Azhar. Rasanya kami pernah tidur bersama waktu kecil-kecil dulu di rumah abah,Behrang. Seronok juga berbual-bual sampai dinihari.


Selepas sarapan pagi kami berehat-berehat di resort itu sementara menunggu majlis perkahwinan jam 1.30 tengahari. Jam 1 tengah hari kami check out dan terus ke Masjid Jamik Muadzam Shah untuk menunaikan solat Zohor. Selepas untuk kami bertolak ke Desa Tanjung, bandar Muadzam Shah untuk majlis perkahwinan itu. Paman ucapkan SELAMAT PENGANTIN BARU kepada MOHD.SIDDIQUE DAN MAZNI IBRAHIM.

Thursday, April 1, 2010

PAMERAN KARYA SENI STPM DI GALERI UPSI







1 April 2010 berlangsunglah Pameran Karya Seni STPM di Galeri Seni UPSI. Pameran ini adalah kerjasama antara Fakulti Seni dan Muzik dengan Majlis Peperiksaan Malaysia. Karya-karya seni ini adalah hasil kerja pelajar-pelajar Tingkatan Enam atas yang mengambil Subjek Pendidikan Seni Visual di peringkat STPM. Selain karya-karya seni dalam pelbagai genre seperti batik,catan,poster,arca,risalah dan pembungkusan folio pelajar juga dipamerkan.




Demonstrasi batik, tembikar,tenunan turut dipertunjukan di ruang legar galeri ini. Hari pertam sahaja telah ramai guru-guru dan pelajar-pelajar sekolah menengah yang datang dari sekolah menengah sekitar dan ada juga yang datang dari Perlis. Beberapa rombongan sekolah dari Muar,Johor juga akan datang melawat pameran ini pada 12 April ini. Sebaran maklumat mengenai pameran ini telah disampaikan di sekolah-sekolah seluruh Malaysia.





Pameran ini amat berfaedah kepada guru-guru dan pelajar-pelajar STPM yang mengambil subjek Pendidikan Seni. Selain dapat melihat tahap standard karya-karya dan folio yang dihasilkan, pelajar-pelajar juga boleh melihat demonstrasi karya-karya seni.Ceramah dan bengkel juga diadakan sepanjang sepanjang pameran ini mengikut jadual. Pensyarah seni UPSI selaku pemeriksa pelbagai kertas STPM Pendidikan Seni Visual turut terlibat dalam memberikan ceramah dan bengkel. Malah Ketua Pemeriksa Kertas Pendidikan Seni Visual Profesor Dr.Mustafa Ghazali dijangka memberi taklimat.




Pameran ini akan berlangsung sehingga 30 April 2010. Pihak Galeri dan Fakulti Seni dan Muzik mengalu-aalukan kehadiran pelajar-pelajar dan guru ke pameran ini.